Ingatkah dikau, 10 Mei adalah hari yang diiktiraf sebagai hari ibu di seluruh dunia. Kita maklum, untuk kita, setiap hari ialah hari ibu. Kerana ibu dan ayah lah insan yang membawa kita ke muka bumi ini dengan izin Tuhan. Segala pengorbanan, keringat dan airmata kedua-duanya tidak akan pernah mampu kita bayar.
Pelbagai cara insan meraikan hari ibu. Tapi yang paling, pernahkah kita menghadiahkan sesuatu buat ibu, walaupun kita maklum, apa-apapun hadiah yang diberikan pada ibu dan ayah, tidak pernah boleh membalas segala kebaikan dan jasa kedua-duanya kepada kita. Paling hebatpun yang boleh kita berikan pada ibu dan ayah ialah, "doa anak-anak yang soleh dan solehah".
Namun bagi wanita-wanita ini, mereka menghadiahkan penulisan tentang ibu sebagai salah satu hadiah tanda kasih sayang. Walaupun ia tidak mungkin setara dengan segala pengorbanan kedua orang tua, namun ikutilah nukilan Dr Harlina Halizah Siraj ini tentang ibu beliau.
Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj
Pensyarah dan Doktor Pakar O & G
`Jika seorang wanita menghormati ibu mertuanya dengan baik, Insya-Allah, dia sendiri akan dihormati oleh menantu-menantunya satu hari nanti.’
Siapakah Hajah Siti Ramlah Haji Anuar ?
Wajah lembutnya adalah yang pertama aku tatapi sebaik lahir di dunia ini. Hampir pasti, wajah nya lah jua yang paling awal terpahat dalam ingatan pertama ku sekitar usia tiga ke empat tahun dahulu. Bukan hanya wajahnya, malahan lunak suaranya, kehangatan pelukannya serta wangi bau tubuhnya akan menjadi khazanah pusaka paling berharga bagi diriku.
Dilahirkan pada bulan Oktober 1938, Bonda Hajah Siti Ramlah Anuar merupakan puteri kedua kepada Kiyai Hj Anuar bin Hj Ramli, seorang guru pondok pesantren di Sungai Tiang Darat, Selekoh, Bagan Datoh, Perak. Bonda dibesarkan di tengah-tengah suasana tradisi keilmuan yang segar bugar dengan aktiviti pengajian puluhan para santri atau pelajar yang datang menuntut ilmu Islam dari bapanya. Bonda seorang pelajar cerdik yang disayangi dan menjadi harapan gurunya ketika bersekolah rendah.
Namun, sebagaimana anak-anak perempuan di zaman itu, persekolahan bonda terhenti setakat darjah empat apabila perancangan pernikahannya mula diatur. Gurunya datang bertemu Kiyai Hj Anuar, cuba-cuba memujuk kalau bonda ku boleh diizinkan terus belajar. Namun Almarhum nenda ku tetap dengan keputusannya, dan sebagai seorang anak yang patuh, bonda ku menurut sahaja.
Dalam usia muda tiga belas tahun, bonda berkahwin dengan Almarhum ayahanda, Haji Siraj @ Hj Ramli bin Abd. Rahman, anak seorang Pak Lurah ( ketua kampung) dari Sungai Ayer Tawar, Sabak Bernam. Dengan perkahwinan itu, tercapailah hajat Pak Lurah Sidang Haji Abd. Rahman untuk berbesan dengan Tuan Guru, Pak Kiyai Haji Anuar.
Mulai saat itu, al marhum ayahanda lah yang bertanggungjawab sepenuhnya mendidik isterinya yang masih mentah dan muda belia, menyelusur kehidupan berkeluarga selama 36 tahun bersama hingga dikurniakan Allah lapan orang cahaya mata. Almarhum ayahanda yang ketika itu berusia sekitar 32 tahun, hampir 19 tahun lebih tua dari bonda ku, merupakan seorang pemuda pintar yang begitu berminat dan asyik menuntut ilmu agama.
Selepas belajar bertahun-tahun di Mekah, Almarhum pergi pula meneruskan pengajiannya ke Tanah Jawa. Bergegas pulang dari Pesantren Darul Ulum, di Jombang, Jawa Tengah selepas menerima satu telegram yang mengatakan bonda nya sakit, rupa-rupanya Almarhum ayahanda mendapati ada perancangan besar untuk menikahkannya dengan bonda ku.
Di awal kehidupan rumahtangga mereka, Almarhum ayahanda pernah menjadi Pak Kiyai pesantren, mengajar ilmu agama kepada para santri. Almarhum kemudiannya dipelawa oleh kerajaan negeri Selangor di awal tahun 1960an untuk menjadi seorang kadi sehingga bersara sebagai Kadi mukim Sungai Besar pada tahun 1976. Sebagai isteri kepada Pak Kiyai yang juga menjadi kadi ketika itu, bonda diberi penghormatan gelaran Mbok Nyai oleh masyarakat Jawa di sekitar Sabak Bernam.
Semasa Almarhum ayahanda mengidap kegagalan ginjal (end stage renal disease) akibat diabetes mellitus hingga membawa kepada ajalnya pada 22 September 1987, aku dapat menyaksikan betapa dalamnya cinta, kasih sayang dan penghormatan seorang isteri terhadap suaminya sebagaimana yang ditunjukkan oleh bonda ku.
Bagi bonda, Almarhum ayahanda bukan hanya seorang teman hidup yang berkongsi suka duka mengharungi hidup berkeluarga membesarkan lapan orang cahaya mata. Almarhum ayahanda adalah merupakan guru, pendidik, mentor dan murabbi yang membimbing bonda menjadi insan solehah wa muslehah, meneruskan tarbiah dari madrasah Almarhum nenda ku Kiyai Haji Anuar yang hanya sempat dilaluinya selama 13 tahun. Bonda ku membesar dalam madrasah Almarhum ayahanda ku, melihat contoh teladan yang ditunjukkan oleh suaminya, memikul tanggungjawab besar, menjadi teman hidup dan pendidik awal anak-anak yang menjadi harapan mereka berdua. Kecerdasan, kepintaran, kegigihan dan ketabahan bonda ternyata menambat hati Almarhum ayahanda ku.
Di akhir hayatnya, aku melihat begitu banyak contoh yang membuktikan betapa tingginya rasa hormat, kasih sayang dan penghargaan Almarhum ayahanda kepada bonda ku. Aku tidak akan pernah lupa kata-kata Almarhum ayahanda yang diiringi titisan air matanya semasa di katil wad Perubatan di Hospital Universiti (PPUM sekarang ini) ketika aku menjaganya, menggantikan sebentar bonda yang pergi solat Asar ketika itu.
Almarhum ayahanda berkata: `Bapak kasihan tengok Mbok penat menjaga dan menunggu Bapak kat hospital ni. Mbok memang isteri solehah, syurga Allah tempat ganjarannya.’
Gaya Didik Bonda Hajah Siti Ramlah
Bonda bukan seorang yang garang, namun tegas dan pintar melayan kemahuan anak-anaknya. Apa yang pasti, kasih sayangnya adil dan sama rata, setiap anak terasa istimewa dan diutamakan. Sebagai ibu, bonda banyak menggunakan pendekatan demokratik dalam mendidik anak-anak. Yang paling aku hargai, tidak pernah ku dengar perkataan kasar atau maki hamun dari mulutnya yang mulia. Bonda juga tidak suka berleter panjang dalam memberi peringatan dan teguran. Entah bagaimana strateginya, namun setiap kali ditegur oleh bonda kerana melakukan sesuatu yang kurang disenanginya, aku serta merta menjadi kesal dan sesal yang tidak terhingga, malu dan terkilan kerana menyebabkan bonda ku yang amat baik hati itu berdukacita lantas berjanji kepada diri, aku tidak akan lagi melakukan perkara itu selepas ini. Sumpah, taubat!
Jarang sekali kemahuan ku tidak seiring dengan kehendaknya. Apa yang aku sukai, ternyata bonda juga setuju. Maka, kami tidak pernah berbalah dalam menentukan keputusan-keputusan besar dalam hidup ku, baik mengenai pilihan sekolah yang hendak ku masuki, kursus profesional apa yang hendak ku ceburi, pemuda mana yang hendak ku kahwini dan banyak lagi.
--------------------------------------------------
Dapatkan kisah lanjut tentang ibu Dr Harlina Halizah Siraj yang juga merupakan Ketua Wanita JIM Pusat serta kisah 22 orang ibu-ibu yang lain dengan membeli buku Ibu Madrasah Pertama Ku.
Matlumat lanjut, hubungi Roha Hassan - 012-4317948 atau Nazirah atau Murni di talian 03-41073379. Pengedar juga di galakkan dengan komisyen yang menarik!
~ Roha Hassan~
No comments:
Post a Comment