Saturday, May 9, 2009

Ibu...Dari Pena Seorang Lelaki - Ibu Madrasah Pertama Ku (3)



“Cukup apa yang ada pada kita. Kalau memang kita ini buruh, tidak usah mimpikan yang bukan milik kita. Belajarlah bersungguh-sungguh dan berdoa agar Allah memberi kesenangan di hari muka”.



Sememangnya semua ciri yang ada padaku dan cara tindakan aku dalam kehidupan seharian adalah sangat berkaitan rapat dengan didikan ibu ku. Ini kerana aku adalah anak yang di tengah di kalangan tujuh adik-beradik. Sememangnya perwatakan aku dengan jelas dipengaruhi ketika waktu ibu ku mencapai kematangan ulung apabila mempunyai lima orang anak. Juga kerana pergaulan aku dengan dua abang ku dan dua orang adik ku yang mana kami adalah lelaki kesemuanya.

Sesungguhnya sikap garang dan tegas ayah ku serta dibayangi didikan ibu ku yang penyayang, sabar, mudah memaafkan, tabah ujian dan tidak mudah putus asa dalam hidup; benar-benar sebati dengan diriku. Semua ini melengkapkan diriku sebagai insan yang bersikap tegas, garang, telus, toleransi, sensitif, serta berhati halus dalam semua hal dan keadaan yang melibatkan kemanusiaan.




Aku belajar bagaimana menghargai apa yang ada dalam hidup ini apabila menyusuri seluruh kehidupan ibu sejak muda hingga kini. Ayah ku bukanlah orang senang. Hidup kami berpindah-randah dalam tempoh masa 3 hingga 4 tahun. Ianya silih berganti. Kerja hakiki ayah ku ialah menebang hutan iaitu meneroka belantara apabila ada orang ingin membina tapak rumah atau perkampungan baru.

Keadaan ini menjadikan kami hanya tinggal dalam rumah di pinggir hutan yang serba daif dan diperbuat dengan tiang pokok hutan serta dindingnya diperbuat daripada buluh atau daun bertam. Tetapi tidak langsung aku mendengar dari mulut ibu ku merungut atau kecewa atas kekurangan ini. Sedangkan saban hari siang dan malam, keluarga kami terancam oleh binatang buas kerana rumah sementara kami ini berdekatan dengan belantara. Ibu hanya selalu menyuruh kami memohon keselamatan dari Allah SWT. Itu sahaja sikap ibu yang penuh redha dan sabar.




Justeru rumah yang dibuat adalah di atas tapak tuan tanah yang mengupah ayah ku meneroka hutan, maka makan minum kami juga seolah-olah dikira seperti menumpang juga. Kami tujuh beranak hanya makan apabila ayah mendapat upah gaji untuk setiap hari bekerja. Kami juga kerap makan apa yang ditanam oleh ibu dan ayah di sekeliling rumah kami seperti ubi kayu, keledek, jagung, pisang, nenas dan sayur-sayuran. Pokok buah-buahan tidak dibenarkan ditanam kerana ia akan kekal di atas tanah majikan ayah ku. Juga, kami akan berpindah lagi 3 atau 4 tahun akan datang apabila kerja menebang hutan telah siap seluruhnya.



Keluarga kami hanya makan nasi dan ikan kering apabila ayah sempat ke pekan atau mengirim kepada pemandu majikan ayah. Itu hakikatnya. Kami hanya mewah menjamu selera kiranya ayah dapat menangkap ikan di sungai atau jerat kijang yang dipasang akan mengena. Namun tidak pernah sekelumit pun aku mendengar keluhan ibu. Ibu tabah dan tetap mengharungi hidup ini membesarkan dengan keadaan yang seadanya. Semua yang dilalui ini menjadi titik penilaian dalam diriku.

Dengan kesabaran ibu yang tetap dengan menjaga sembahyang lima waktu dan akhlak mulianya, sebenarnya mengundang berkat dan anugerah Allah SWT kepada keluarga kami. Memang aku menyedari bahawa setiap tuan tanah atau majikan ayah ku yang kami jumpa, telah melayan kami lebih istimewa berbanding keluarga buruh-buruh lain. Kerapkali kami diberi buah tangan dan makanan yang enak oleh majikan setiap kali beliau balik dari membeli-belah di bandar. Semua ini tidak berlaku pada keluarga lain yang mana ayahnya juga menebang hutan seperti keluarga kami.




Juga sesekali, aku terdengar majikan ayah ku memuji ibu dan kami adik-beradik kerana tidak banyak kerenah. Ibu ku selalu disebut sebagai ibu yang pandai menguruskan keluarga dan anak-anak. Memang berbunga hati dan gembira perasaan ku walau pun kurang mengerti akan pujian pada ketika itu. Pernah juga aku mendengar isteri majikan ayah ku memuji-muji akan ibu ku.

“Ibu engkau seorang yang baik, sabar dan pandai menjaga anak-anak,’’ itu kata-kata yang masih aku ingat hingga ke hari ini. Aku hanya mengerti ungkapan itu apabila berumur lebih kurang sepuluh tahun.




Begitulah secebis dari kisah ibu...yang dinukilkan oleh penulis dalam buku, Ibu Madrasah Pertama Ku. Untuk mengetahui lanjutan dari kisah ini. Dapatkan buku, Ibu Madrasah Pertama Ku dengan menghubungi Roha Hassan (012-4317948) atau Nazirah/Murni (03-41073379).

~Roha Hassan~

No comments: