Wednesday, November 12, 2014

Assalamualaikum wbt...

Lama sungguh tidak menjengah blog yang satu ketika dahulu menjadi tempat untuk berkongsi idea, pandangan dan pengalaman.



Keaktifan kami dalam kerja-kerja kemanusiaan atau berkongsi ilmu dengan golongan yang memerlukan juga semakin banyak. Contoh diatas ialah Munirah yang dulunya dilatih kini sedang melatih Remaja Istimewa. Kali ini dengan Kerjasama Kolej Komuniti Tanjung Karang, kami mengajar anak-anak ini bagaimana menyediakan Mee Telur dan Mee Kuning.

Kami kongsikan beberapa foto yang lain sebagai renungan dan perkongsian bahawa ilmu itu;
1. Penting
2. Mesti diamalkan
3. Mengkayakan bila dikongsi
4. Membantu iktiar hidup
5. Membezakan antara seorang insan dengan insan yang lain
6. Ilmu yang baik pahalnya berterusan walaupun sesudah kita meninggalkan dunia yang sementara ini selagi ia terus diamal dan ajar











Semoga ilmu sedikit dari kami dapat membantu pembangunan diri dan kemahiran remaja istimewa ini.

Kami juga sudi berkongsi ilmu dan kemahiran dengan anda.

Roha Hassan
012-431948
12/11/2014

Monday, July 30, 2012

JJMK Zon Tengah : Aktiviti 2 Dalam 1 : Carilah Bahagia Dengan Membahagiakan Orang Lain

Ada Yang Lebih Memerlukan

Jika membicarakan tentang Raudhatul Jannah, Rumah Anak-anak Yatim dan Perlindungan ini memang berlainan. Berlainanan kerana konsep yang diketengahkan oleh Puan Zainab atau mesra saya panggil Kak Nab, yang memiliki beberapa pendekatan yang beliau rasakan terbaik untuk penghuni yang berada di bawah bumbung Raudhatul Jannah.

Setahun dua ini, disitu antara tempat saya menghulurkan tangan yang saya tidak mahu namakan ia sebagai amal atau sumbangan sebab Allahlah yang lebih berhak menamakan apa yang saya lakukan itu sebagai apa. Walaupun saya mengharap Allah sentiasa memandang saya, namun mahu menyebut apa yang saya lakukan ini sebagai amal, terasa kerdil berbanding usaha yang Kak Nab dan anak-anak lakukan untuk Raudhatul Jannah.

Setiap kali menerima beras dan bahan makanan yang banyak, Kak Nab akan membahagikan kepada anak-anak yatim atau fakir miskin lain yang tidak berada di dalam Raudhatul Jannah.

Saya pernah mendengar, salah seorang anak-anak di Raudhatul Jannah bertanya, “Ummi, kalau kita bagi pada orang lain, nanti habis pulak makanan kita”. Jawab Kak Nab, “Ish tak pa aih, kita kongsi-kongsi rezeki. Ada lagi yang lebih susah dan memerlukan dari kita”.



Dah Tiga Hari Kami Kehabisan Beras

Hari itu dengan penuh prihatin, Kak Nab menghantar beras kepada tiga keluarga di sekitar Sri Gombak dan Flat Seri Perak. Disitulah tinggal tiga (3) keluarga miskin dan anak-anak yatim. Yang pertamanya ada sebelas (11) orang isi rumah, mak ayah dan sembilan (9) anak yang masih kecil dan belajar. Manakala rumah yang sebuah lagi ialah rumah anak yatim yang kehilangan ayah, tinggal ibu dan dua (2) orang anak meneruskan kehidupan. Sedangkan rumah ketiga, terdiri daripada suami isteri yang memiliki lapan (8) orang anak.

Ketika beras dihulurkan, siibupun berbisik, “Sudah 3 hari kami kehabisan beras. Terima kasih banyak-banyak sebab hantar beras pada kami!

Terharu saya mendengar. Lihatlah Tuhanku sebuah rumah anak-anak yatim yang perlindungan yang memerlukan itu menyumbangkan yang sedikit mereka perolehi untuk orang lain yang mereka rasakan lebih memerlukan.

Sebenarnya saya boleh faham sedikit sebanyak kebahagiaan mereka berdasarkan pengalaman melakukan kerja-kerja sukarelawan atau berjawatan bersama beberapa NGO dan rumah anak-anak yatim sejak saya berusia 17 tahun lagi. Sejak 20 tahun itu, saya rasa bahagia dapat membahagiakan orang lain!

Dan ini antara momen yang membahagiakan bila melihat sikap prihatin Kak Nab dan Raudhatul Jannah. Sumbangan yang diterima dikongsi dengan yang juga memerlukan.



Bahagianya Jadi Drebar Anak-anak Yatim!

Ya Allah, jadikanlah tangan aku ini yang sentiasa membantu anak-anak yatim, fakir miskin, muallaf, saudara seagama yang diuji sengsara walau dimana jua mereka berada. Itulah antara doa saya setiap hari. Bahagia rasa hati bila diberikan peluang jadi “drebar” anak-anak yatim, fakir miskin, muallaf dan mereka yang memerlukan.

Ketika menjadi drebar itulah sempat mendengar ucapan syukur anak-anak ini selepas membuka sampul duit sumbangan tuan rumah. Seringgit, dua, mereka ucap AlhamdulilLah. Sepuluh dua pun mereka ucapkan AlhamdulilLah. Anak-anak ini tidak kelam kabut untuk mengetahui isinya tapi sudah biasa mengucap syukur dan terima kasih.

Saya tahu Alza saya bukanlah cukup selesa buat 10 anak-anak yang comel itu, tapi baiknya hati mereka bila menyatakan mereka selesa naik kereta saya. Terima kasih anak-anak sebab beri saya peluang jadi drebar kalian dari masa ke semasa.

Hati lebih bahagia bila terkenangkan hadis RasululLah SAW  tentang anak-anak yatim antaranya:



 1. Hadits Pertama
مَنْ ضَمَّ يَتِيْمًا بَيْنَ أَبَوَيْنِ مُسْلِمَيْنِ فِيْ طَعَامِهِ وَ شَرَابِهِ حَتَّى يَسْتَغْنِيَ عَنْهُ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ

“Barang siapa yang mengikut sertakan seorang anak yatim diantara dua orang tua yang muslim, dalam makan dan minumnya, sehingga mencukupinya maka ia pasti masuk surga.” [HR. Abu Ya'la dan Thobroni, Shohih At Targhib, Al-Albaniy : 2543].

 2. Hadits Kedua
“Ada seorang laki-laki yang datang kepada nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam mengeluhkan kekerasan hatinya. Nabipun bertanya : sukakah kamu, jika hatimu menjadi lunak dan kebutuhanmu terpenuhi ? Kasihilah anak yatim, usaplah mukanya, dan berilah makan dari makananmu, niscaya hatimu menjadi lunak dan kebutuhanmu akan terpenuhi.” [HR Thobroni, Targhib, Al Albaniy : 254]

 
3. Hadits ketiga
Suatu ketika Saib bin Abdulloh rodhiyallohu ‘anhu datang kepada Nabi Shallallaahu ‘alaihi wa Sallam, maka Nabi sholallohu ‘alaihi wa sallam bersabda kepadanya :
ياَ سَائِبُ انْظُرْ أَخْلاَقَكَ الَّتِيْ كُنْتَ تَصْنَعُهَا فِيْ الجْاَهِلِيَّةِ فَاجْعَلْهَا فِيْ اْلإِسْلاَمِ. أَقْرِ الضَّيْفَ و أَكْرِمِ الْيَتِيْمَ وَ أَحْسِنْ إِلَى جَارِكَ

“Wahai Saib, perhatikanlah akhlak yang biasa kamu lakukan ketika kamu masih dalam kejahiliyahan, laksanakan pula ia dalam masa keislaman. Jamulah tamu, muliakanlah anak yatim, dan berbuat baiklah kepada tetangga.” [HR.Ahmad dan Abu Dawud, Shohih Abu Dawud, Al-Albani : 4836]


4. Hadits keempat

Dalam sebuah atsar disebutkan riwayat dari Daud ‘alaihissalam, yang berkata :
كُنْ لِلْيََتِيْمِ كَاْلأَبِ الرَّحِيْمِ

“Bersikaplah kepada anak yatim, seperti seorang bapa yang penyayang.” [HR. Bukhori]

Ramadhan, Bulan Mewah Untuk Anak-anak Yatim

AlhamdulilLah! Ramadhan adalah bulan rahmat untuk semua hambaNya yang memohon dan bertaqwa kepadaNya. Allah tidak akan lupa pada yang tidak pernah melupakanNya. Rezeki, kebaikan, kemuliaan, segala-galanya melimpah ruah...

Kata orang, inilah masanya rumah anak-anak yatim akan dilimpahi oleh rezeki dan sumbangan. Tapi mengenali Kak Nab, tidak pernah beliau buat website, blog atau apa-apa sahaja hebahan tentang Raudhatul Jannah. Sebab itu saya berani menyatakan Raudatul Jannah tidak sama dengan kebanyakan rumah anak yatim dan perlindungan yang lain. Bukan nak menyatakan ada blog dan website itu salah, tapi itulah Kak Nab. Dia tidak suka meminta-minta.

Jika ada yang menghulurkan bantuan dan bertanyakan keperluan Raudhatul Jannah barulah Kak Nab akan “buka mulut”. Sebab itu tidak hairan jika papan putih di Raudhatul Jannah tidak penuh dengan jemputan dan undangan berbanding rumah anak-anak yatim yang lain. Adalah dalam 5-6 program, tapi itu sudah baik dan menggembirakan kami di Raudhatul Jannah.

Namun sebagai sahabat, saya suka menulis tentang Raudhatul Jannah. Saya suka bisik-bisik pada rakan yang lain tentang Raudhatul Jannah. Kata saya pada Kak Nab, “Bagilah orang lain nak buat pahala jugak untuk anak-anak yatim, fakir, miskin dan muallaf ni..”



Oh Tuhan Pandanglah Kami

Ya Allah pandanglah aku. Ya Allah pandanglah kami. Janganlah kami ini dilupakan walaupun seketika walaupun kami banyak dosa. Jika sedikit yang kami berikan untuk anak-anak yatim ini baik disisiMu, mudahkanlah.

JJMK Zon tengah kali ini, kami tampilkan dua perkara dalam satu. Atau 2 dalam 1. Sambil kami menyelusuri mereka yang yatim piatu, fakir, miskin, ibu tunggal, warga emas, OKU dicelah-celah hutan batu di sekitar Kampung Padang Balang, Flat Sri Perak di Bandar Baru Sentul hinggalah Taman Koperasi Polis, kami akan menyantuni penghuni Raudhatul Jannah.



Jom bersama kami JJMK Zon Tengah pada 11 Ogos nanti dengan melakukan aktiviti 2 dalam 1.

Hubungi nama-nama berikut untuk memberikan sumbangan atau memerlukan maklumat lanjut:
1.      Kawasan Cheras dan sekitar – Warikh 019-470 1477
2.      Kawasan Ampang dan sekitar - Roha 012-4317948
3.      Kawasan Subang dan Sg Buluh dan sekitar – Sharul 012-631 5244
4.      Kawasan Shah Alam dan sekitar – Faisal 013-3475928
5.      Kawasan Petaling Jaya dan sekitar– Borhan 013-3412057
6.      Kawasan Seri Kembangan, Cyberjaya dan sekitar – Che Jaafar 0104030401
7.      Persatuan Wanita Dan Ibu Tunggal  – Puan Azizah 013-6790657
8.      Rumah Anak-anak Yatim dan Perlindungan Raudhatul Jannah – Roha 012-4317948






Tarikh : 11 Ogos 2012

Tempat Berkumpul : Raudhatul Jannah : Rumah Perlindungan dan Anak-anak Yatim Raudhatul Jannah, No. 39, Jalan Pelangi 2, Taman Pelangi,  Sentul

Aturcara :

8.30  – 10.00 pagi             Berkumpul untuk agihan barangan dan taklimat
10.00 pagi                                    Penyerahan sumbangan kepada yang memerlukan di sekitar
Kampung Padang Balang, Flat di bandar Baru Sentul serta Taman Koperasi Polis.

6.30 ptg – 10.30 mlm      Aktiviti tazkeerah, solat berjamaah, Iftar serta Terawih
bersama penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Perlindungan Raudhatul Jannah.

Jangan Lepaskan peluang bersama JJMK Zon Tengah yang dibuat khas untuk bulan Ramadhan yang mulia ini! Peluang seperti ini tidak datang selalu!


Disediakan oleh:
Roha binti Hassan
31 Julai 2012 / 11 Ramadhan 2012
HP : 012-4317948

Monday, July 9, 2012




Sikap Remaja Muslim Menjelang Ramadhan


Ell       : “Apa tengok-tengok? Tiba-tiba Ell menyergah Urwah yang sedang menyusun buku di Library

Urwah : “Eh! Apa pulak ni? Aku tak tengok engkaupun? Kau jangan bikin aku panas! Urwah memberikan reaksi  dengan wajah yang kurang menyenangkan.

Amal : “Urwah! Ell! ini Library la. Janganlah nak bergaduh kat sini”. Amal menegur dengan
suara berbisik.

Nisa’ : “Ish dia orang berdua tu, aku tengok selalu je bertegang urat. Dua-dua panas baran.
Sikit-sikit angin. Sikit-sikit panas”.

Amal : “Ell! Urwah! Kesini kejap! Kita ni dah nak masuk bulan Ramadhan tau! Belajar-
belajar la sabar. Ni tak, asyik nak gaduh je. Cubalah jujur dan tabah dalam berkawan. Tak
elok nak gaduh je. Cabaran kecik je ni. Dah nak jadi huru-hara. Aku taulah korang berdua
dulu kawan baik, awek punya pasal, semua lintang pukang. Tabahlah sikit dengan ujian beb!

Hari demi hari berlalu. Minggu demi minggu meninggalkan kita. Bulan demi bulan silih berganti. Tidak lama lagi bulan paling mulia ini akan tiba. Sudahkah anda menyediakan diri agar cukup tabah untuk melalui liku-liku ramadhan dan kehidupan. Bersiap sediakah anda untuk beramal penuh amanah, rendah diri, ikhlas tanpa mengharap upah, pujian atau balasan.


Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya): “Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat; bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)


Bagaimanakah sikap remaja kita menjelang Ramadan?

Sesungguhnya remaja Muslim sejati berpuasa pada bulan Ramadan. Dia akan bersikap seperti orang yang benar-benar berpuasa, menjauhkan dirinya daripada semua perkara yang boleh membatalkan puasanya atau mengurangkan pahala.

Sikap remaja Muslim dalam bulan Ramadan mestilah bertambah baik daripada masa-masa yang lain. Dia mesti tahu bahawa bulan Ramadan tidak sama dengan bulan-bulan yang lain. Ia bulan yang mana amal kebajikan harus digandakan dan pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya. Sesungguhnya Allah sangat sayang pada hamba-Nya yang berpuasa.

Sebagai persiapan menghadapi Ramadan, dikongsikan di sini beberapa tip untuk para remaja menghadapi Ramadan al-Mubarak:


 



Pertama: Peningkatan ilmu



Persiapkanlah diri anda dengan ilmu wahai remaja - ilmu berkaitan dengan ibadah puasa. Segala yang rukun, wajib, sunat dan makruh. Juga tambahkan ilmu untuk mengetahui segala amalan yang digalakkan sepanjang Ramadan.


Dalam hal ilmu ini, usahlah bimbang. Kita boleh memperolehnya dengan mudah melalui media baru dan tradisional seperti “you tube”, “facebook”, “website” “friendster”, sistem pesanan ringkas (SMS), radio, televisyen, majalah, akhbar, buletin, ceramah, kem dan di mana-mana sahaja. Pendek kata, terlalu mudah untuk mendapatkan ilmu, tip dan panduan untuk menghadapi Ramadan.


Kedua: Mengumpul dan menambahkan kekuatan

Berpuasa memerlukan kekuatan. Fizikal, mental dan spiritual perlulah dipersiapkan untuk
melakukan ibadah sepanjang Ramadan. Pastikan tubuh kita sihat dan bertenaga dengan mengambil makanan yang seimbang dan menyihatkan. Penuhkan jiwa dengan kekuatan iman kerana ia amat penting untuk berpuasa.


Berkaitan perlunya kekuatan iman dalam menunaikan ibadat puasa ini, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):



“Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala, maka semua dosanya yang telah lalu diampunkan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)




Ketiga : Tingkatkan Ketabahan dan Kejujuran

Ini adalah dua elemen paling penting diantara semua elemen penting yang perlu ditanamkan dalam diri para remaja. Ketabahan yang mantap dalam ertikata tabah melalui ujian kehidupan sebelum, ketika dan selepas ramadhan. Manakala kejujuran adalah rahsia kejayaan anda untuk menjadi remaja yang baik dan cemerlang. Sikap jujur pada diri, kawan-kawan, keluarga, guru, masyarakat serta paling penting kepada Allah perlu dibajai menjadi subur. Hanya remaja yang jujur mampu melalui Ramadhan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan dan pujian.

Keempat: Memperbanyak latihan

Latihlah diri dengan berpuasa sunat sebelum menjelangnya Ramadan. Di samping latihan menahan diri daripada lapar dan dahaga, jangan lupa melatih diri dalam amalan yang lain. Kurangkan amalan yang tidak sihat seperti merokok, bercakap kasar, menonton rancangan atau hal-hal yang batil di televisyen atau internet, bergosip, ber'dating' dan segala yang tidak baik dan memudaratkan.



Selain latihan meninggalkan hal-hal yang dilarang, latihan memperbanyak amalan juga harus dilakukan. Lipat gandakan amalan menjelang Ramadan supaya kita akan dapat kekuatan melaksanakan lebih banyak kebaikan berbanding hari-hari biasa. Ia selari dengan amalan RasululLah sallallahu alaihi wasallam seperti yang diceritakan oleh Sayidatina Aisyah, “Rasulullah selalu melipatgandakan usahanya sepanjang bulan Ramadan, terutamanya pada
sepuluh hari terakhir daripadanya.”

Kelima: Kemaskan jadual kehidupan




Sebagai remaja yang aktif dan sibuk, Ramadan akan menjadi sesuatu yang sukar jika kita tidak menyusun jadual kehidupan sebaik mungkin. Ramadan akan dijadikan alasan keletihan kita. Ia juga akan dijadikan alasan untuk kurang aktif. Ia juga sering dijadikan batu loncatan untuk memperbanyak tidur dan rehat.
Sebenarnya remaja Muslim yang bijak mesti menyusun jadual kehidupannya secara menyeluruh sepanjang Ramadan. Malahan sewajarnya menjadi seorang remaja Muslim lebih aktif, bijak, cergas, rajin dan lebih baik daripada sebelumnya.



Jadual yang menyeluruh bermaksud keseimbangan antara tugasan belajar atau menuntut ilmu, berpuasa, solat, membaca al-Quran, solat terawih, qiamullail, menolong ibu bapa, bersedekah, membantu orang lain yang di dalam kesusahan serta melakukan amar makruf dan nahi mungkar.



Menukar sikap tidak semudah menukar baju. Namun jika baju sahaja yang ditukar, manakala sikap dan iman masih ditahap lama, mana mungkin anda berjaya!


Roha Hassan
Ramadhan..kehadiranmu ku tunggu...

Wednesday, June 13, 2012

Bapa Adalah Hero Kita


Dinie   : “Awak pilih kad apa tu”
Nadia  : “Kad Hari Bapa. Kan tak lama lagi Hari bapa”
Nabila: “Ye ke? Kita pun nak beli jugak la”
Syikin : “Bole ke kita sambut Hari Bapa?
Faezah: “Rasanya boleh kot sebab Hari Ibu pun disambut. Dulu-dulu lagi. Hari Bapa ni kite rasa macam kemudian sikit. Tapi kalau kurang pasti kita boleh tanya cikgu atau semak pandangan tentang hari Bapa ni kat internet!

Selain Dinie, Nadia, Nabila, Syikin dan Faezah, ramai lagi para remaja yang ternanti-nanti untuk mengucapkan “Selamat Hari Bapa” atau memberikan kad atau hadiah yangbersesuaian untuk bapa kita sempena hari bapa yang disambut dalam bulan jun setiap tahun. Hari Bapa seperti juga Hari Ibu bagaikan trend dikalangan para remaja hari ini. Ada yang merasakan anda memang tidak cool dan ketinggalan jika tidak tahu mengenainya.

Bapa berperanan penting menyara isteri dan anak-anak,  memberikan kasih sayang, mendidik, memberi kebahagiaan dan kedamaian kepada keluarga, mendisiplinkan serta menjadi contoh. Pendekata, bapa adalah hero kita! Mereka adalah pemimpin kita.
Hari Bapa merupakan suatu hari yang bermula pada awal abad ke-12 untuk memberi penghormatan dan peringatan terhadap para bapa. Ia disambut pada tarikh yang berlainan di seluruh dunia serta melibatkan pemberian hadiah kepada bapa dan lain-lain aktiviti kekeluargaan.

Sambutan hari bapa bermula di Amerika Syarikat dengan ideanya dicetuskan oleh seorang wanita, Sonora Dodd dari daerah Spokane.
Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mengenang bapanya, William Smart, seorang veteran perang saudara yang ditinggalkan oleh isterinya dan membesarkan enam orang anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil. Hari Bapa yang pertama disambut pada tahun 1910 dengan mengambil sempena tahun kelahiran William Smart sendiri.
Sejak tahun 1972, ia disambut setiap tahun apabila bekas Presiden  AS, Richard Nixon menandatangani satu undang-undang awam yangmenjadikan hari tersebut dicatat di dalam kalendar.Tarikh yang diakui secara rasmi di berlainan negara.
Malaysia bersama negara-negara lain seperti Amerika syarikat, Afrika Selatan, Argentina, Bahamas, Bangladesh, Belanda, Bulgaria, Chile dan lain-lain lagi menetapkannya pada hari ahad ketiga pada bulan Jun.
Hari Bapa dan Hari Ibu sudah menjadi sesuatu yang global dan tidak eksklusif kepada mana-mana ajaran atau fahaman agama. Ianya mungkin dicetuskan oleh orang kristian tetapi bukanlah sesuatu yg terkandung dalam mana-mana kitab atau ajaran pokok agama tersebut.

Apa yang penting sebagai remaja muslim, anda mesti tahu bagaimana memanfaatkan hari bapa tanpa mencemarkannya dengan perkara-perkara yang dilarang oleh agama.

 Jom kita sambut Hari Bapa dengan perkara-perkara yang bermanfaat seperti berikut:

1.      Ucapkanlah kata-kata kasih sayang kepada bapa dan ahli keluarga – Sempena Hari Bapa, ucapkanlah kata-kata kasih sayang kepada hero kita yang telah bertungkus lumus membesarkan kita selama ini. Cuma, tanamkan dalam hati, kasih sayang pada bapa bukan hanya pada hari bapa tetapi sepanjang masa. Ia akan menjadi sesuatu yang salah jika menyintai bapa hanya pada Hari Bapa. Menyayangi bapa mestilah hingga ke syurga.

2.      Bersederhana – Ketika menyambut Hari Bapa, kita tidak boleh melakukan pembaziran. Sambutannya yang sederhana sudah mencukupi. Kita boleh membelikan kad atau hadiah tetapi biarlah berpada-pada. Yang paling penting ingatan pada hero kita. Sebenarnya bapa kita juga tidak mengharapkan balasan atas setiap pengorbanan yang dilakukannya, namun pasti berbesar hati bila anda menunjukan ingatan dan penghargaan.

3.      Pengisian yang berfaedah – Pada Hari Bapa, ajaklah ahli keluarga bersolat berjamaah bersama-sama dengan bapa sebagai imamnya, mengadakan majlis tahlil dan doa selamat, berkumpul dalam usrah keluarga yang dipimpin oleh bapa sambil saling memberikan pesanan dan nasihat. Boleh juga bercuti dan berehat-rehat bersama keluarga serta ziarah menziarahi sesama keluarga dan sahabat handai.

4.      Saling memperbaharui azam – Manfaatkan hari bapa untuk anda perbaharui azam untuk terus menjadi anak yang soleh dan solehah terhadap ibubapa. Dalam masa yang sama, mohonlah agar bapa kita terus menjadi contoh dan hero kita. Kisah Luqmanul Hakim yang merupakan bapa contoh dengan anaknya telah diwartakan dalam Al-Quran sebagai contoh yang baik. Ambilnya ia sebagai panduan yang bermanfaat.

5.      Tiada unsur-unsur maksiat dan melalaikan – Walaupun menyambut Hari Bapa adalah sesuatu yang harus, namun akan menjadi rosak jika kita mengisinya dengan aktiviti-aktiviti yang buruk serta melalaikan seperti pergaulan bebas yang melampaui batasan, minum arak, membuka aurat serta lain-lain perbuatan yang mencemarkan akhlak dan keperibadian yang murni.
Semoga anda menyambut Hari Bapa dengan menyerlahkan lagi tiga unsur kasih sayang yang sangat penting iaitu yang pertamannya, kasih kepada Allah dengan menyatakan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dikurniakan seorang bapa yang telah banyak berkorban untuk kita sekeluarga.

Yang keduanya, kasih kepada RasululLah saw yang merupakan bapa contoh yang paling penyantun kepada ahli keluarga baginda dan Yang ketiganya, kasih pada sesama makhluk khususnya bapa yang merupakan hero kita seterusnya ibu, adik-beradik, rakan-rakan, jiran dan sanak saudara semuanya.


Disediakan oleh:
Roha binti Hassan