Sunday, February 24, 2008

Dunia Tanpa Suami - Salahkah Dia?

AlhamdulilLah, Buku ”Dunia Tanpa Suami” sudah siap ditulis. Ia dijangka menemui para pembaca pada awal April 2008.

Berikut dikongsikan salah satu topik dari buku...”Dunia Tanpa Suami” tulisan Roha Hassan.

Sokongan dari kalian amat penting dan dihargai.



------------------------------------------------------------------------------------------------

Salahkah Dia

”Tuhan yang telah menciptakan aku, maka dialah yang menunjukkan hidayah kepadaku, dan Tuhanku, yang dia memberi makan dan minum kepadaku. Dan apabila aku sakit, Dialah yang menyembuhkan aku, dan yang akan mematikan aku, kemudian akan menghidupkan aku (kembali), dan yang amat kuinginkan akan mengampuni kesalahanku pada Hari Kiamat.”
–Surah asy-Syura [26] : 78-82-


Adakah aku bersalah, Dinie? Adakah aku bersalah kerana terpaksa melalui jalan ini? Adakah aku bersalah kerana ditakdirkan berada di dunia tanpa suami? Berkali-kali Zee bertanya kepadaku. Zee yang akan menyambut hari lahirnya yang ketiga puluh enam beberapa hari lagi.

Aku diam sahaja. Sikap yang jarang aku lakukan. Semua orang tahu aku jarang berdiam diri. Keramahan dan soalan-soalanku memang difahami oleh Zee dan rakan-rakanku yang lain. Namun, kali ini aku memilih untuk diam. Sejak akhir-akhir ini, matang menjadikan aku lebih banyak diam dalam hal-hal seumpama ini.

Sebenarnya, terlalu sukar bagiku menjawab pertanyaan Zee ini. Yang pasti, aku yakin kita tidak bersalah. Aku faham, kalian tidak pernah berhenti berdoa. Aku juga tahu ada antara kalian yang bukannya tidak pernah dilamar. Aku juga pasti kalian juga pernah melakukan pelbagai usaha melalui orang tengah ataupun ahli keluarga. Namun, ini adalah takdirNya.

Biar orang lain memandang serong dan menyalahkan kita. Yang penting, kita tahu kita tidak bersalah. Tidak perlu menghukum diri dan membiarkan orang lain menghukum kita bagi perkara yang bukan salah kita.

Jika apa yang kita lalui ini kerana ada kesilapan, hanya Allah sahaja yang layak menjatuhkan hukuman. Namun, pasti Tuhan tidak pernah menzalimi setiap hambaNya.

Ujian Tuhan

Perkara terbaik yang mahu aku katakan kepada Zee dan rakan-rakanku adalah Tuhan menguji setiap manusia. Ujian adalah bungkusan hadiah daripada Tuhan kerana kasihNya yang mendalam kepada hambaNya.

Umpama kita yang saling mengutus bingkisan dan bungkusan kasih apabila tiba hari lahir. Juga bingkisan dan bungkusan yang sering dihadiahkan buat individu tersayang. Seumpama itulah bungkusan-bungkusan ujian ini Tuhan kirim buat kita. Tidakkah kau rasa gembira menerimanya?

Bukalah bungkusan itu. Baca, fahami serta teliti hadiah yang berbentuk ujian ini. Di samping hadiah-hadiah yang kita nanti-nantikan dan mampu membuatkan kita ketawa gembira. Pada hari ini, mungkin kita menerima hadiah yang bukan kita harapkan. Ada juga hadiah yang kita tidak suka. Malah, banyak juga hadiah yang kita tidak perlukan. Namun, selagi ia adalah hadiah, biasanya penerima mengucapkan terima kasih.

Apatah lagi ’hadiah’ daripada Allah. Pasti ia bukan hadiah sembarangan. Setiap hadiah daripada Allah ada erti dan nilai. Kita perlu berterima kasih dan memperbanyakkan syukur, walaupun kadang kala ia bukan perkara yang kita inginkan. Setiap ’hadiah’ daripada Allah membawa kebaikan. Sudah pasti, ia kiriman tanda kasih daripada Allah buat hambaNya.

Nabi Muhammad SAW pernah berkata dalam hadis yang bermaksud, ”Apabila Allah menyintai suatu kaum, Dia akan mendatangkan cubaan kepada mereka dan sesiapa rela dengan ujian itu, dia akan memperolehi kerelaanNya, dan sesiapa membencinya maka dia akan memperolehi kebencianNya.”

Hayati pernyataan Allah dalam surah al-Jin [72] ayat 17 yang bermaksud, ”Untuk Kami beri cubaan kepada mereka padanya. Dan sesiapa yang berpaling daripada peringatan Tuhannya, akan dimasukkanNya ke dalam azab yang amat berat.”

Ujian tanda kasih Allah sebagai peringatan dan nikmat. Peringatan supaya kita tidak terus melakukan kesilapan. Ia juga peringatan supaya kita mengerti tanggungjawab dan janji kepada Allah semasa di alam roh. Di samping itu, ujian juga penuh dengan nikmat dan hikmah. Ada kala nikmat dan hikmah itu dapat diterjemahkan dengan mudah. Namun, ada kalanya amat sukar dan payah.

Mungkin bagimu bingkisan hadiah yang lebih diidamkan adalah suami dan anak-anak serta keluarga bahagia. Namun, hadiah yang kau terima sehingga saat ini adalah hidup sendiri, sepi, tidak ada tempat bergantung, tanpa suami untuk mengasihi juga anak-anak untuk berkongsi gelak dan tawa.

Zee, jangan biarkan rasa sedihmu membuatkan dirimu terlupa hidup sendiri juga nikmat daripada Tuhan. Tuhan memberikan cukup masa untuk kita melakukan ibadah dan segala amal kebaikan. Setiap saat adalah ibadah, apabila diniatkan dan diserahkan kepada Allah.

Apabila Allah berikan ’hadiah’ seorang suami dan anak-anak, aku sendiri tidak pasti sama ada aku mampu menyiapkan bingkisanku itu. Apatah lagi duduk bersantai sambil mendengar luahan hatimu, Zee. Aku juga tidak tahu sama ada aku mampu memacu perjuangan dan usaha-usaha dakwahku selaju sekarang ini. Oleh itu, bukalah minda, hati dan tanganmu. Terimalah ’hadiah’ daripada Tuhan dengan reda dan sabar. Terus berdoa. Aku yakin, suatu masa nanti doamu dimakbulkan.

Kau sendiri lihat doa sahabat-sahabat kita, M, L, Kak Min dan teman-teman lain dikabulkan Allah. Khabarnya, mereka bahagia di samping suami dan anak-anak. Namun, kerap juga mereka mengadu kepadaku, ”Sejak berkahwin, sibuklah. Masa bertambah terhad.” Dan macam-macam lagi rungutan. Aku selalu ketawa apabila mendengar keluhan mereka. Begitulah manusia, serba tidak kena.

Walau bagaimanapun Zee, penutup jawapanku bagi persoalanmu ini adalah, yakinlah Zee bahagia itu ada dalam diri sendiri. Hati yang tenang dan sejahtera adalah istana paling bahagia yang pasti dimiliki oleh semua orang apabila kita menghargainya. Oleh sebab itu, cari bahagia dari dalam hatimu. Kau pasti sentiasa tenang dan bahagia kerana ia adalah janji bagi orang-orang yang bersyukur, reda dan bersangka baik dengan Tuhan ~ Roha Hassan



Wednesday, February 20, 2008

Selamat Hari Lahir - Pusi ku Untuk mu


Salam...


AlhamdulilLah. Baru-baru ini rakan-rakan dan orang-orang tersayang ramai yang menyambut hari lahir. Disini kusertakan sebuah puisi hari lahir untuk renungan kita bersama


Puisi Hari Lahir (2)


Selamat hari lahir

itu ucapan ku

terima kasih

itu ucapan mu

semoga panjang umur

doa dari kami buat mu

kau, aku dan mereka senyum dan ceria


Kek, kad dan hadiah diatas meja

menambahkan ceria dan bahagia

untuk seorang insan yang masih bernyawa

tapi kalau mati, ia sudah tidak bermakna

bersyukurlah punya peluang makan-makan tanda kesyukuran

sedangkan ramai umat manusia yang mati kebuluran

bertuahnya kita ada yang memberikan peringatan

sedang ramai manusia dalam kealpaan


Kita menghitung hari lahir, usiapun bertambah

Ada yang sedar diri makin dewasa

Ada yang insaf diri sendiri makin tua

Tapi ramai juga yang perasan,

Makin berusia makin anggun dan bertenaga katanya


Namun,

aku hanya ingin memberikan secebis peringatan

untuk mu, aku dan kalian

Dicelah-celah kek, hadiah dan ucapan

ketika menyambut ulangtahun kelahiran


anggap makan-makan pengukuh ukhuwah

hadiah tanda kasih sayang

kad tanda peringatan terkurang setahun usia yang dikurniakan


Sesungguhnya,

Tibanya hari lahir

ertinya semakin mendekati kematian

semakin mendekati kematian

ertinya semakin kurang kesempatan

merebut masa membuat amalan


Kerna itu,

ingin kuucapkan buat mu

"Selamat hari lahir wahai teman dan insan tersayang"

Ketika menerima ucapan, kenang-kenangkan amalan dan kematian.

Semoga umur yang dikurniakan membawa kerahmatan dan keselamatan.



Nurdinie sufi

20 Februari 2008









Auditlah Diri Dan Amalanmu

Salam kasih sayang,

AlhamdulilLah, selesai sudah sesi audit dalaman dan luaran untuk pensijilan ISO syarikat tempat saya bekerja.

Setiap kali kita diaudit, macam-macam karenah akan kita Nampak ramai yang risau, berdebar-debar, sibuk, tertanya-tanya dan mengharapkan kejayaan. Tidak kurang yang tenang dan ceria seperti biasa.

Risau kalau diri ditanya tapi gagal menjawabnya. Berdebar-debar sebab sebelum ini pernah melakukan tugasan tetapi tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Tertanya-tanya adakah apa yang disediakan adalah yang terbaik dan setiap orang amat mengharapkan kebaikan dan kejayaan. Terlepas dari audit tanpa sebarang sekatan adalah impian.

Itu satu senario ketika manusia didunia yang sentiasa alpa. Diaudit oleh manusia lain yang juga tidak lepas dari kelemahan. Menggunakan sistem dan panduan pensijilan ISO yang meupakan sistem yang dibuat oleh manusia. Yang pastinya bukan yang terbaik.

Apatah lagi kita selaku insan yang wajib akan diaudit oleh ALLah dihari pembalasan kelak. Apakah persediaan yang telah kita lakukan?. Apakah amalan yang akan dipersembahkan?. Apakah jawapan yang akan diberikan? Yang menyoal kita Tuhan dengan disaksikan oleh tubuh kita sendiri. Sudah pasti segala nikmat didunia ada harga dan hitungannya.

Selaku hamba Allah yang telah dikurniakan dengan pelbagai nikmat oleh Allah. Sudah menjadi satu kewajipan untuk setiap kita mengimbas kembali diari amalan kita sepanjang masa. Tidak lain dengan tujuan menghisab dan meneliti diri. Sebelum Allah menghisab kita diakhirat kelak dan selagi berkesempatan untuk kita menghisab dan menghitung diri.

Firman Allah swt dalam surah ali-Imran:30 yang bermaksud, "Pada hari itu ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebaikan dihadapkan (ke hadapannya), begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakannya; ia ingin kalau sekiranya antara ia dengan hari itu ada masa yang jauh; dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (seksa)-Nya. Dan Allah sangat penyayang kepada hamba-hambaNya".

Firman Allah swt dalam al-Hashr:18 yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Alah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan".

Menurut iman Al-Ghazali, orang yang meneliti diri sendiri dan amalannya terbahagi kepada dua cara iaitu :
Meneliti amalan sebelum dimulakan – Kalau sudah jelas bahawa amalan yang kita lakukan memang ditujukan kepada Allah swt semata-mata, maka hendaklah amalan itu diteruskan sehingga berjaya. Sebaliknya jika amalan itu dilakukan bukan kerana Allah swt semata-mata, kita mestilah merasa malu dan menghentikan amalan yang jelek itu serta merta.
Meneliti amalan ketika sedang melaksanakannya – Manakala ketika melaksanakan sesuatu amalan yang baik, hendaklah ia diteliti sebaik mungkin dari sudut niat dan pelaksanaannya. Ia mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan sempurna. Bukan sahaja kuantiti yang mesti diambilkira, malahan kualiti amat yang lebih penting dan utama.

Kesimpulannya;

Setiap amalan yang kita lakukan akan dihitung oleh Allah swt daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada amalan yang besar. Sebab itu kita mesti menghitung diri terlebih dahulu sebelum amalan kita dihitung oleh Allah swt. Menghitung diri adalah amalan yang menguntungkan kerana dengannya, insan akan lebih berhati-hati sebelum melaksanakan sesuatu perkara.

Setiap perbuatan baik dan buruk boleh ditentukan oleh manusia dengan meneliti niat dan cara ia dilaksanakan. Meneliti amalan sebelum dan semasa ianya dilakukan akan memudahkan kita menahan diri dari terjerumus dalam perbuatan dan amalan yang sia-sia. Disamping menjamin kuantiti dan kualiti amat sentiasa terpelihara.


Nurdinie Sufi
19 Februari 2008

Thursday, February 14, 2008

Kasih Sayang Itu Bukan Valentine Day






Assalamualaikum wbt..


Tarikh : 14 Februari 2008 jam 6.00 petang

Lokasi : Kedai Cenderahati


Ketika aku singgah di sebuah kedai cenderahati, kelihatan dua orang gadis remaja sedang membelek-belek kad dan hadiah valentine. Kuperhatikan kedua-dua gadis itu yang kelihatan teruja benar membaca bait-bait tulisan yang terdapat di atas kad yang berbentuk hati dan terdapat perkataan "Love". Aku pulak sibuk memilih kad ucapan harilahir yang ingin kuberikan buat sahabat tersayang.


Sejenak aku terdiam, memberikan senyuman dan menyapa kedua-dua gadis yang nampak gembira. "Beli kad valentine? Tanya aku. Kedua-dua gadis hanya menganggukkan kepala sambil ketawa ceria. "Untuk siapa? Aku bertanya lagi. "Untuk kawan" Jawab gadis yang berkulit cerah. "Tanda kasih sayang Kak. Hari ni kan 14 Februari" Jawab gadis yang tinggi lampai pulak. Gadis ni nampak macam peramah orangnya. "Betul tu Kak, hari ni hari valentine Kak. Ramai yang beli kad dan hadiah valentine." Pembantu kedai yang memang aku kenali pula menambahkan maklumat.


"Betul ke valentine day adalah hari kasih sayang? Tanya aku lagi. Ketiga-tiga gadis mendiamkan diri. Hanya tersengih-sengih. "Korang ni, apa orang lain buat. Korang pun nak buat. Entah faham entah tak. Ini alamat blogspot Kak Roha. Pergi baca tentang valentine day kat situ ya. Jumpa lagi, insyaAllah". Aku menghulurkan sekeping nota pada si gadis tinggi lampai sampai berlalu pergi.


Didepan laptop yang aku namakan sebagai "laptop kasih sayang" atau "laptop ukhuwah" ini aku ingin kongsikan dengan tiga gadis remaja comel yang kutemui di kedai cenderahati jam 6.00 petang tadi serta semua insan diluar sana tentang salah satu sumber kasih sayang yang terpenting dalam hidup manusia. Iaitu kasih sayang dalam sebuah keluarga. Bagi aku kasih sayang itu bukan valentine day dan valentine day itu bukan kasih sayang.


Sesungguhnya kasih sayang itu terlalu luas ruang lingkupnya dan satu hari khas tidak cukup untuk membuktikannya.


Selain cinta yang terangung iaitu cinta kepada yang Maha Pencipta. Kasih sayang keluarga adalah kasih sayang yang sangat mulia, indah dan utama.


Akhir-akhir ini, banyak kes yang melibatkan remaja lelaki dan perempuan yang lari dari rumah. Kenapa? Tidak sayang dan rindukah pada keluarga. Begitu juga kes-kes penceraian dan penderaan.


Pergilah ke rumah anak-anak yatim. Tanyalah pada anak-anak yatim atau piatu. Pasti ramai yang teringin benar punya keluarga yang besar dan bahagia. Tanyalah erti rindu pada yang telah kematian ibu atau ayah. Tentu ramai yang merindui saat-saat indah bersama ibu dan ayah ketika mereka masih hidup.


Sebab itu aku ingin nasihatkan kepada aku dan dirimu. Sebelum membeli kad dan hadiah valentine. Hitunglah kasih sayang yang telah diberikan kepada keluarga. Sudahkah kita mengucapkan terimakasih kepada ibubapa, adik beradik dan semua ahli keluarga diatas kasih sayang mereka kepada kita selama ini?


Al-fatihah buat bondaku yang sudah lama meninggalkan aku, abah dan adik beradik. Arwah bondaku adalah ibu yang penuh dengan kasih sayang.


Terimakasih buat keluarga dan para sahabat yang telah memberikan aku kasih sayang.


Nurdinie Sufi

14 Februari 2008


Berterima kasih Kepada Pengkritik















Menghargai insan yang memberikan senyuman jauh lebih mudah, berbanding untuk berterimakasih dan bersabar dengan insan yang memberikan kritikan kepada kita.

Namun, sesungguhnya kesabaran kita menghadapi kritikan dan cercaan akan sentiasa diambilkira oleh yang Maha Esa, dan insyaAllah kita akan beroleh ganjaran yang setimpal.

Sedangkan para Rasul sendiri diuji dengan ujian kritikan dan cercaan. Malahan ketika Nabi Musa a.s memohon kepada Allah supaya Dia menghentikan kejahatan mulut kaumnya, Allah swt berfirman :

“Wahai Musa, Aku tidak lakukan itu untuk diri-Ku. Aku menjadikan dan memberi mereka rezeki, namun mereka malah mencela dan mengejek-Ku”

Menurut satu hadis bahawa Baginda Rasul (saw) bersabda, ertinya Allah swt berfirman, ertinya: ”Manusia mencerca dan menghina Ku padahal tidak sepatutnya ini ia lakukan. Berkenaan dengan cercaanNya kepada Ku ialah bahawa dia mencerca zaman padahal Akulah zaman. Aku pergilirkan malam dan siang sekehendak Ku. Manakala hinaannya kepada Ku adalah ia mengatakan bahawa Aku mempunyai sahabat wanita dan anak.”

Sesungguhnya tidak mudah untuk kita mendiamkan mulut manusia supaya tidak melakukan penghinaan terhadap kehormatan kita. Apatah lagi berterima kasih kepada pengkritik. Walaupun begitu, kita masih boleh terus berbuat baik dan menghindari kata-kata dan kritikan mereka.

Seorang pujangga pernah berkata - Katakan sahaja kepada mereka, ”Jika kebaikan yang kulakukan anda nampak sebagai dosa-dosa katakanlah kepadaku bagaimana aku sepatutnya meminta maaf?

Seorang sasterawan Barat mengungkapkan kata-kata yang ertinya : ”Lakukan apa yang engkau yakin benar, dan palingkan tubuhmu dari semua kritikan yang tidak bernilai”.

Beberapa pesanan dari Dr Aidh Abdullah Al-Qarni :

1. Jangan sekali-kali membalas cercaan atau cemuhan yang melukai hati anda. Kerana kesabaranmu dalam menghadapi semua itulah yang dengan sendirinya akan menguburkan semua kehinaan. Kesabaran adalah penyebab kemuliaan, diam adalah penyebab kekuatan untuk mengalahkan musuh, dan memaafkanlah adalah penyebab dan tangga untuk mencapai pahala dan kemuliaan.

2. Ketahuilah bahawa separuh dari orang yang pernah mencerca atau mengkritik anda itu akan melupakan cercaan mereka, sepertiga tidak sedar dengan apa yang mereka lontarkan, dan selebihnya tidak akan mengerti apa dan mengapa mereka mencerca anda. Sebab itu jangan sekali-kali cercaan mereka engkau masukkan ke dalam hati dan jangan pula berusaha membalas apa yang mereka katakan.

3. Seorang yang bijaksana berkata ertinya, “Orang lain akan sibuk mengumpatku hanya kerana roti bahagian mereka lebih kecil dari bahagianku”. Sesungguhnya rumah yang sentiasa tenteram meskipun hanya ada sepotong roti di dalamnya, adalah lebih baik daripada rumah yang penuh dengan makanan tetapi tidak pernah lekang dari pergaduhan dan sumpah seranah.

Ya Allah kami berserah kepadaMu. SesungguhNya Engkau yang Maha Mengetahui segalanya yang nyata lagi tersembunyi. Yang Maha Adil lagi Maha Mengadili. Jadikan kami insan yang dapat bersabar dan mampu berterima kasih kepada para pengkritik.

Nurdinie Sufi
14 Februari 2008

Monday, February 11, 2008

Hargailah Insan Yang Memberikan Mu Senyuman




Assalamualaikum dan salam sejahtera buat kalian yang dikasihi,


Pernahkah anda memberikan senyuman kepada seseorang atau sekumpulan insan?


Pernahkah ada insan memberikan senyuman kepadamu?



Jawablah soalan ini dengan ikhlas.


Apa yang ingin anda berikan kepada mereka yang telah memberikan mu sekuntum senyuman?

Apa pula yang ingin anda berikan kepada insan yang mampu membuatkan anda tersenyum walau dalam apa jua keadaan sekalipun?


Berkaitan dengan senyuman, Hamka pernah mengungkapkan kata-kata ini :


"Senyum itu ibadat, sebab dengan senyum anda menggembirakan hati orang lain"

Manakala Dale Carnegie pula pernah berkongsi kata-kata tentang senyuman seperti berikut :


"Senyum mengkayakan jiwa orang yang menerima tanpa memiskinkan orang yang memberi"

Kita juga dididik bagaimana senyuman juga merupakan sedekah.

Betapa bertuahnya mereka yang memberi dan menerima senyuman.

Bagi diri ini, bila sahaja berbicara tentang senyuman, pasti aku tidak akan melupakan dua insan yang sering memberikan aku senyuman, membuatkan aku ketawa dan menceriakan hari-hari hidupku. Itulah adikku Dek Na dan Anak saudara kami, Danial. Aku bukan sekadar menghargai mereka. Tetapi mereka adalah antara insan-insan yang disayangi

Sesungguhnya terlalu ramai insan yang memberikan senyuman padaku. Dan aku ingin sekali memberikan senyuman ikhlas dan penawar kepada insan-insan disekelilingku.


nurdinie_sufi
11 Februari 2008

Friday, February 8, 2008

REMAJA - ANTARA TEORI DAN REALITI

DOWNLOAD 20:

Saban hari, masyarakat tidak sunyi dengan pelbagai persoalan remaja yang dipenuhi dengan cerita-cerita yang kurang menyenangkan. Dadah, pergaulan bebas, terlibat dengan pelbagai jenayah kecil dan besar seperti membuli, meragut, mencabul, membunuh dan lain-lain lagi perbuatan sumbang yang menggugat kesejahteraan individu dan masyarakat.

Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja pihak yang akan berbincang tentang pelbagai permasalahan yang melibatkan remaja. Masing-masing mencari formula untuk mengatasi segala permasalahan yang dihadapi. Pelbagai teori dan formula dicadangkan, dan bermacam-macam buku ditulis berkaitan remaja. Semuanya dengan satu tujuan iaitu untuk mendapatkan beberapa penyelesaian bagi menangani kebejatan sosial remaja hari ini.

Namun, usaha-usaha murni ini seakan-akan ‘menuang air di daun keladi’. Ini menyebabkan ada pihak yang kadangkala mula terasa penat. Ada pihak yang mula menuding jari menyalahkan satu sama lain. Ada pihak yang membuat pelbagai tuduhan dan andaian di samping tidak kurang juga pihak-pihak yang mengambil kesempatan di atas segala kelemahan yang ada.

Sebagai sebuah NGO yang prihatin dengan remaja, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) tidak mahu ketinggalan dalam bab remaja. Kita bukan bercita-cita menjadi juara dalam isu dan persoalan berkaitan remaja, tetapi kita ingin bersama pihak Kerajaan dan masyarakat membimbing para remaja ke arah menjadi remaja yang berpersonaliti matang serta soleh wa musleh.

“(Wahai anakku!) Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, janganlah engkau berjalan dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong, takabbur, dan membangga diri.” (Luqman :1-8)

Begitulah di antara kemesraan yang ditunjukkan oleh Luqmanul Hakim ketika mendidik anak-anaknya kepada personaliti matang, iaitu personaliti yang tidak sombong dan memandang rendah orang lain.

Kalau kita amati di dalam surah Luqman, kita akan dapati pelbagai nasihat dan teguran oleh Luqmanul Hakim ketika mendidik anak-anak beliau. Apabila kemesraan Luqman dalam ketegasan beliau terhadap anak-anaknya yang dinukilkan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran dihalusi oleh para pendakwah dan aktivis remaja, kita akan dapati salah satu pendekatan terbaik untuk mendampingi para remaja ini ialah dengan konsep ‘mesra remaja’.

Mesra Remaja - Kaedah Praktikal Mendampingi Remaja

  1. Mesra Remaja Antara Teori dan Realiti

Mendekati remaja secara ‘friendly’ atau mesra semestinya diterjemahkan ke dalam rupa bentuk yang praktikal. Andai ia hanya dijadikan slogan yang indah dipandang dan disebut, ia tidak akan membawa apa-apa makna. Tetapi andai teori yang cantik ini diterjemahkan kepada realiti, ia pasti akan merapatkan jurang generasi antara orang dewasa dan remaja.

  1. Mesra Remaja Membimbing Remaja Melalui Personaliti Matang

Dengan segala cabaran dan gegaran luaran dan dalaman yang sentiasa mendatang, generasi remaja kita hari ini sudah pastilah memerlukan kematangan agar mereka mampu membezakan apa yang buruk dan apa yang baik. Kematangan tersebut mampu memantapkan pertahanan diri remaja. Sudah pastilah yang menjadikan seseorang remaja itu matang ialah sentuhan orang-orang dewasa yang menanamkan benih-benih iman dan takwa di dalam jiwa mereka. Ilmu menjadi tatapan, dan akhlak menjadi perhiasan.

Golden Allport menulis, “Personaliti matang adalah cara individu itu menunjukkan sifat yang konsisten, positif dan mempunyai mental-emosi yang stabil walaupun berada di mana sahaja.”

  1. Mesra Remaja Untuk Kenal Pasti Potensi Diri

Melalui pendekatan mesra remaja, aktivis remaja perlu menyediakan pelbagai program yang sesuai dengan jiwa remaja seperti Karnival Jom L.E.P.A.K., program kesenian, program sukan dan rekreasi, ekspedisi remaja kental dan banyak lagi. Melalui program-program tersebut, sedikit sebanyak para remaja dapat meneroka dan mengenalpasti kelebihan dan kekurangan diri serta mampu memahami potensi diri.

  1. Mesra Remaja: Satu Penghargaan Buat Pemimpin Hari Esok

Sepertimana yang kita sedia maklum, remaja adalah pemimpin hari esok. Mereka merupakan pelapis dan penerus perjuangan.

George Palushy di dalam bukunya ‘Revolusi Jantina’ pernah menulis:

“Pada tahun 1962, Presiden Kennedy telah mengisytiharkan bahawa masa depan Amerika dalam bahaya kerana remajanya keras kepala, tidak bermoral, tenggelam dalam lautan hawa nafsu, dan tidak mengendahkan tanggungjawab. Setiap tujuh pemuda yang dikerah menjadi askar, terdapat enam pemuda yang tidak sesuai sebab hawa nafsu telah menguasai mereka serta merosakkan kesihatan dan jiwa mereka.”

Sedangkan di negara Amerika sekalipun pemimpinnya berduka melihatkan gejala yang melanda generasi remajanya, apatah lagi di negara kita serta negara-negara lain yang majoritinya terdiri daripada umat Islam. Sebagai pendakwah dan aktivis remaja, kita wajib sentiasa menyedarkan para remajanya atau golongan muda hari ini tentang gambaran rupa bentuk tamadun sesebuah negara itu pada masa hadapan. Baiknya para remaja dan golongan muda kita hari ini, maka akan baiklah pemimpin masyarakat kita pada masa akan datang.

  1. Mesra Remaja Dalam Membimbing Remaja Ke Arah Jati Diri yang Mantap

Imam Tarmizi pernah mengungkapkan sebuah hadis yang bermaksud:

“Janganlah salah seorang daripada kamu menjadi pak turut. Jika mereka berbuat jahat, maka aku pun berbuat jahat. Tetapi hendaklah kamu menyediakan diri kamu, jika orang ramai berbuat baik, hendaklah kamu berbuat baik. Dan jika orang berbuat jahat, hendaklah kamu menjauhkan diri daripada kejahatan mereka itu.”

Satu cerita berlaku pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab. Seorang wanita ingin mencampurkan susu dengan air supaya susu itu semakin bertambah dan apabila dijual akan mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Tetapi anak perempuannya mengingatkan ibunya bahawa Amirul Mukminin iaitu Umar melarang daripada melakukan pembohongan dan penipuan. Perlakuan seperti ini adalah sama seperti mencuri harta orang lain. Lalu wanita tadi berkata, “Ah, jika kita campurkan susu ini dengan air mana Umar tahu.” Anak itu pun menjawab, “Jika Umar tidak melihat kita, tetapi Tuhan Umar iaitu Allah tetap melihat kita.”

Remaja sebenarnya merupakan golongan yang mempunyai potensi diri yang besar. Mereka aktif, kreatif, muda, bertenaga, berani, suka meneroka benda-benda baru dan banyak lagi. Kelebihan mereka yang sebenarnya jika kita bimbing dengan mesra akan menjadikan mereka insan-insan yang mempunyai jati diri yang mantap. Mereka akan menjadi remaja soleh wa musleh dan tetap teguh dengan agama dan adab, seterusnya menjadi pewaris dan pelapis dakwah dan perjuangan.

PANDUAN UNTUK IBU BAPA DALAM MEMBIMBING REMAJA

DOWNLOAD KESEMBILAN BELAS:


Zaman remaja merupakan alam persinggahan bagi setiap manusia di mana seseorang remaja mula memberikan definisi kewujudan dirinya dalam keluarganya, kumpulan rakan sebayanya dan masyarakat sekeliling. Remaja adalah satu fasa kehidupan di mana remaja bergelut dengan proses transisi dari alam kanak-kanak ke alam kedewasaan. Kanak-kanak bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa mereka yang memberikan sokongan dan arahan dalam aspek emosi dan ekonomi. Alam dewasa pula dianggap sudah mencapai tahap kemerdekaan dari sudut ekonomi dan emosi dan perlu membuat pilihan terhadap pengajian mereka, pekerjaan dan hubungan peribadi yang akan mengesani setiap aspek masa hadapan mereka secara langsung.

Zaman remaja boleh menjadi zaman yang penuh cabaran bagi sebahagian remaja. Pada waktu inilah mereka perlu berhadapan dengan perubahan fizikal yang berlaku secara mendadak, tekanan untuk mematuhi trend semasa dan tidak-tanduk rakan sebaya, serta pengharapan yang semakin tinggi daripada keluarga, guru-guru dan orang dewasa yang lain. Remaja juga perlu menangani konflik yang dihadapi daripada pihak yang berbeza kepentingan seperti ibu bapa, guru-guru, rakan sebaya dan media. Mereka sebenarnya turut berjuang dengan keperluan diri untuk ‘diterima’ oleh sesuatu pihak atau kumpulan. Pencapaian akademik dan sosial turut memberikan tekanan kepada remaja.

Bagi sesetengah remaja pula, cabaran-cabaran di atas menjadi lebih rumit apabila ditambah dengan situasi keluarga yang susah, perpisahan dengan salah seorang atau kedua-dua ibu bapa (akibat kematian atau perceraian), suasana pembelajaran yang tidak terkawal (akibat kekurangan guru atau saiz kelas yang terlalu besar), kawasan kejiranan yang kurang prihatin atau selamat dan pendedahan kepada bahan-bahan yang boleh membawa ketagihan seperti rokok, alkohol dan dadah. Tanpa bantuan, sokongan dan panduan daripada orang dewasa, anak-anak muda remaja ini akan terperangkap ke dalam lembah yang penuh berisiko ini.

Dalam masyarakat kita hari ini, perkara ini ditandai dengan gejala dibuang sekolah, lari dari rumah, menyertai kumpulan anti sosial seperti samseng, Black Metal dan kongsi gelap, penyalahgunaan alkohol atau dadah, terlibat dengan seks rambang, bohsia dan bohjan, pembuangan bayi dan masalah jenayah juvana. Turut menyedihkan sekiranya remaja hidup terumbang-ambing tanpa panduan akibat terheret oleh masalah keluarga yang porak-peranda dan terhimpit oleh kemiskinan yang mengakibatkan fenomena keciciran akademik, terpinggir daripada masyarakat sosial dan kelakuan yang memusnahkan diri sendiri.

Cabaran Remaja Masa Kini

Lebih kurang setengah abad yang lalu, para remajanya tidak menghadapi kesukaran yang bertubi-tubi yang dihadapkan dalam hidup mereka seperti remaja masa kini. Kehidupan adalah lebih simple tanpa perlu belajar tinggi. Remaja perempuan biasanya mengalami kedatangan haid pertamanya sekitar umur 14-16 tahun dan berkahwin menjelang usia 16-18 tahun. Alam perkahwinan memberikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu. Remaja lelaki juga biasanya mengakhiri zaman kanak-kanak mereka dengan akil baligh pada usia yang lebih lewat sedikit dan berkahwin ketika berusia sekitar dua puluhan.

Fasa pembelajaran ditempuhi secara tidak formal seperti belajar membaca Al-Quran, pengajian fardhu ‘ain, belajar memasak dan menjahit bagi remaja perempuan serta bertukang dan memburu binatang bagi remaja lelaki. Pembelajaran ini menyediakan mereka ke alam tanggungjawab yang bakal dipikul sesudah berumahtangga. Oleh kerana fasa remaja yang terlalu pendek, tidak ditemui gejala sosial pada remaja zaman tersebut.

Hari ini, kanak-kanak menempuhi zaman remaja mereka dengan lebih awal iaitu pada umur 11-13 tahun bagi remaja perempuan dan 13-15 tahun bagi remaja lelaki. Tempoh pengajian yang lama yang mesti dihabiskan pula ialah sepanjang 11 tahun, bermula umur tujuh tahun sehingga 17 tahun sebelum mereka dibenarkan memikul tanggungjawab sebagai seorang dewasa. Kebanyakan keluarga sekarang juga tidak membenarkan anak mereka berkahwin pada usia remaja dengan alasan perlu bekerja dahulu atau menyambung pengajian di peringkat tertinggi.

Pada masa yang sama, naluri remaja mula bersifat kedewasaan dan memerlukan tuntutan bagi menzahirkan ‘kebebasan’ dan kematangan mereka. Remaja mula berasa tidak senang diganggu oleh pertanyaan daripada ibu bapa. Kehidupan moden pula menyediakan remaja dengan pelbagai pilihan dari segi kepercayaan, pegangan hidup, karier, cara hidup dan kawan sekeliling. Cara hidup (lifestyle) sementara ini berpunca daripada keterasingan daripada keluarga lanjutan (extended family) dan sikap individualistik masyarakat hari ini. Oleh itu, hari ini kita lihat golongan remaja belia memerlukan ‘kebebasan’ terhadap cara berfikir dan cara bertindak daripada diwarnai oleh ibu bapa dan masyarakat.

Sementelahan pula, infrastruktur sosial dan masyarakat hari ini amat meletakkan pengharapan yang tinggi kepada golongan muda ini. Oleh itu, badan-badan tertentu dalam masyarakat dan orang dewasa di sekelilingnya haruslah memainkan peranan yang lebih proaktif dengan menawarkan bantuan sokongan kepada golongan muda ini dengan perkhidmatan kaunseling, talian hotline, dan kursus jangka pendek untuk remaja dan ibu bapa. Membantu remaja ke arah kematangan dan kemerdekaan diri memerlukan ibu bapa memahami perkembangan remaja yang sihat dan menggali bahan-bahan yang boleh membantu mereka sekiranya anak remaja bertindak di luar batasan.

Panduan Keibubapaan Setelah Anak-anak Menginjak Alam Remaja

Semasa remaja, mereka mula mengambil tindakan yang berisiko dan bereksperimen. Ini adalah titik permulaan bagi remaja untuk beralih dari alam yang berpusat kepada keluarga (family-centered) kepada komuniti yang jauh lebih luas di mana mereka mula tercari-cari identiti diri sendiri. Remaja mungkin akan memilih kawan-kawan yang tidak disenangi oleh ibu bapa atau mencuba merokok, menghisap dadah dan minum minuman beralkohol. Mereka turut bergaya dengan fesyen semasa, membanding-bandingkan gaya hidup keluarga mereka dengan keluarga yang lain serta melanggar peraturan rumah atau norma masyarakat.

Remaja berbuat demikian untuk menguji sejauh manakah kemampuan dan keterbatasan mereka dalam melakukan sesuatu tindakan. Mereka ingin percaya bahawa mereka boleh meneruskan hidup tanpa panduan atau kawalan ibu bapa. Remaja juga mungkin cuba memindahkan keseimbangan kuasa dan otoriti ke pihak mereka. Maka dengan itu, ramai ibu bapa yang bimbang dan dihantui dengan sikap anak remaja mereka yang seolah-olah ingin berkonfrontasi dengan mereka. Ibu bapa juga bimbang dengan tindakan berisiko tinggi yang diambil oleh anak remaja mereka.

Sebenarnya tiada jalan pintas dalam mendidik anak-anak. Ibu bapa haruslah melengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan dari semasa ke semasa supaya berlaku aliran komunikasi yang licin di antara ibu bapa dan remaja. Ibu bapa perlu memahami keperluan emosi, fizikal dan mental remaja bagi membangunkan sahsiah mereka sepenuhnya.

Panduan berikut boleh digunakan oleh ibu bapa dan orang dewasa yang ingin menangani remaja keseluruhannya:

  • Didik diri anda dengan perkembangan anak-anak sebaik memasuki alam remaja. Pelajari kelakuan dan tindak-tanduk yang biasa bagi remaja, perubahan fizikal, biologi, emosi dan mental yang berlaku serta kesannya dan cara membantu anak remaja anda menangani perubahan tersebut.
  • Kenangi semula zaman remaja anda; perasaan yang berubah-ubah (mood swing), kemarahan terhadap pihak yang memegang kuasa (seperti ibu bapa, guru-guru dan sebagainya), kebimbangan dan harapan anda. Lihat pula tingkah-laku anak remaja anda dari sudut memori tersebut supaya anda dapat memahami perspektif mereka.
  • Daftarlah untuk kursus kemahiran keibubapaan yang berkesan. Keibubapaan adalah satu kemahiran yang perlu dipelajari dan ia tidak datang sendiri. Belajarlah juga daripada ibu bapa lain yang berpengalaman dalam mendidik remaja yang berjaya.
  • Dengarlah dan kurangkan bercakap. Anak remaja anda telah menghabiskan sebahagian besar masa kanak-kanak mereka sebagai pendengar dalam kebanyakan situasi. Ketika remaja inilah mereka mahu dan perlukan peluang untuk didengar dan berkongsi perasaan dan pendapat mereka. Mereka mula menyemak semula pegangan keluarga, adat tradisi dan agama yang sesuai dengan kehendak identiti mereka.
  • Didiklah anak remaja anda tentang asam garam kehidupan, dan kemanisan dan kepahitan menyelesaikan masalah agar mereka tahu menikmati kegembiraan dan menangani perkara yang buruk. Sedarkan remaja bahawa hidup ini tidak seindah mimpi. Jangan dibuai remaja dengan harapan semuanya mudah dan indah kerana ini akan menyebabkan remaja kecewa dengan realiti kehidupan. Jangan sempitkan ruang lingkup pilihan yang ada. Misalnya, meminta anak belajar dengan rajin sekiranya ingin menjadi seorang doktor. Realitinya ramai juga remaja yang pintar yang tidak mendapat kursus pilihan masing-masing kerana persaingan yang sengit.

  • Gunakan kaedah ‘peneguhan positif’ (positive reinforcement) untuk tingkah-laku yang positif sekiranya munasabah; ia jauh lebih berkesan daripada kritikan (atau kutukan) dan hukuman terhadap tingkah-laku yang negatif. Peneguhan positif diberi dalam bentuk pujian, penghargaan, hadiah istimewa atau pergi melancong misalnya. Perkataan yang memperkecilkan keupayaan dan kebolehan mereka boleh menyebabkan kecederaan kepada penghargaan kendiri (self-esteem) remaja. Perkakas yang paling berguna dalam mendidik remaja ialah kasih sayang, belas ihsan, kepekaan, sanjungan, memahami dan komunikasi yang telus dan tulus.
  • Didik anak remaja anda bahawa hak-hak dan tanggungjawab berjalan seiringan. Berikan tanggungjawab sedikit demi sedikit kepada anak remaja anda dengan tujuan melatihnya seperti tanggungjawab menjaga keselamatan dirinya dan ahli keluarga yang lain. Beri peluang kepada remaja untuk membantu kerja-kerja di rumah dan terlibat dengan proses perbincangan bagi mencapai sesuatu keputusan dalam keluarga.

Dapatkan pandangan remaja dan bantu mereka agar memahami proses bagaimana sesuatu keputusan dicapai. Berikan situasi di mana remaja diuji dengan kemahiran membuat keputusan dengan sokongan orang dewasa di sekelilingnya. Jangan kritik remaja sekiranya keputusan yang diambilnya tidak tepat atau tidak seperti yang diingini. Sebaliknya tunjukkan bahawa anda memahami dan berikan bantuan yang diperlukan. Dengan ini, remaja akan belajar membuat keputusan-keputusan yang penting dalam hidup mereka seperti keputusan samada hendak merokok atau tidak, hendak belajar atau tidak dan sebagainya.

  • Bantu remaja agar tidak terlalu bergantung kepada orang di sekitarnya seperti ibu bapa atau abang dan kakaknya. Keperluan remaja untuk memanifestasikan ‘kebebasan’ dan kematangan mereka mungkin berlaku pada masa yang berbeza dan melalui wadah yang berbeza. Kadangkala sukar bagi ibu bapa untuk membiarkan remaja melakukan keputusan bersendirian kerana risaukan keselamatan mereka. Walau bagaimanapun, keupayaan remaja menangani tanggungjawab yang semakin bertambah akan meningkat sekiranya ibu bapa mampu memberikan sokongan kepada pilihan yang mereka buat dan menjadikan remaja bersedia menghadapi cabaran yang menanti.
  • Berikan peluang kepada anak-anak untuk terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Golongan muda sebenarnya sedang mencari-cari ruang untuk diri mereka di dalam dunia ini. Melibatkan remaja dalam aktiviti komuniti dan masalah masyarakat akan mengalihkan perhatian mereka terhadap diri sendiri dan menolong mereka membangunkan kemahiran sosial mereka dengan perasaan ‘dipunyai’ (belonging) di samping memperkasakan remaja dalam menyelesaikan masalah masyarakat. Bantu anak remaja yang bersekolah asrama untuk menyertai kelab-kelab remaja seperti Kelab Remaja JIM (KRJ) atau program dakwah yang lain ketika cuti sekolah. Adakan program ziarah kampung, memberi bantuan kepada fakir miskin dan sebagainya yang boleh mengajar remaja tentang realiti kehidupan selain mengelakkan remaja terlibat dalam gejala sosial.
  • Luangkan masa dari segi kualiti dan kuantiti terhadap anak remaja anda. Tidak ada istilah ‘masa berkualiti’. Untuk mendapatkan kualiti dalam perhubungan, kuantiti masa juga adalah kritikal. Zaman remaja inilah biasanya anak remaja anda semakin jauh daripada keluarga dengan meluangkan lebih banyak masa di sekolah, dengan rakan sebaya ataupun sudah bekerja. Ibu bapa yang prihatin akan sentiasa meluangkan masa dengan anak remaja mereka kerana inilah kunci kepada kesejahteraan perkembangan emosi dan sosial remaja.

Ambil peluang ketika remaja berada di rumah, sewaktu makan malam, solat berjemaah di rumah atau surau serta menonton televisyen bersama untuk mengukuhkan hubungan anda dengan remaja. Ambil tahu apakah minatnya dan hobinya serta terlibat dengan minat tersebut. Ini boleh membantu mengukuhkan sokongan anda terhadapnya serta memberi gambaran kepada anda tentang alam remajanya.

  • Ada ketikanya ibu bapa merasa kecewa, marah, sedih atau putus asa terhadap anak remaja mereka. Terimalah perasaan anda itu. Menjadi ibu bapa yang baik tidak semestinya mesti segalanya sempurna. Tunjukkan bahawa anda mampu meminta maaf kepada remaja sekiranya anda telah terkasar dengan mereka. Ini akan menjadi contoh kepada remaja bahawa manusia juga melakukan kesilapan dan bermaaf-maafan adalah suatu cara dalam memulihkan semula perhubungan yang retak oleh tekanan dan ketidaksefahaman.
  • Dapatkan bantuan dan panduan untuk diri anda dalam menangani perubahan pada diri anak remaja anda. Lihat tanda-tanda berlakunya krisis dan berbincanglah dengan ibu bapa lain atau dapatkan bantuan pakar. Dengan ini, ibu bapa boleh memahami apakah yang normal atau tidak normal pada seseorang remaja.
  • Kebanyakan remaja mempunyai masalah pada suatu masa tertentu. Ini ditunjukkan dengan tingkah-laku memberontak secara tiba-tiba dan adalah normal kepada remaja. Janganlah ibu bapa pula merasa malu di atas sikap remaja. Jangan pula anggap bahawa setiap tingkah-laku anak-anak mencerminkan kualiti keibubapaan anda. Anda sudah lakukan yang terbaik dan berusahalah agar tingkah-laku negatif remaja tidak berpanjangan dan dibaiki segera.
  • Jangan paksa remaja menyelesaikan masalah mereka dengan drastik. Remaja juga perlukan masa dan sokongan untuk membantu menyelesaikan masalah mereka. Misalnya, berikan masa kepada remaja untuk membuang tabiat merokok dengan mendedahkan semua maklumat yang perlu dan memberi bantuan profesional kepadanya. Tunjukkan sokongan anda dan tidak berputus asa dengan mereka.
  • Sediakan peluang untuk mereka membesar dan mengharungi zaman remaja dengan tindakan dan maklum balas yang positif. Berkongsi dengan anak remaja tentang harapan anda terhadapnya, pelajarannya dan masa hadapannya. Muhasabah tentang peranan mereka dan minta mereka muhasabah diri anda sebagai ibu bapa. Sediakan peluang untuk mereka mengasah bakat dan minat mereka serta mempertajamkan kemahiran mereka di samping memperkembangkan jati diri dan daya saing.

BAPA PENCORAK SIKAP ANAK-ANAK

DOWNLOAD KELAPAN BELAS:

Bapa merupakan salah seorang daripada dua individu terpenting dalam pembentukan sahsiah dan identiti seorang anak. Anak pula merupakan penyejuk mata manusia dan buah hatinya dalam hidup ini. Anaklah yang menggembirakan umurnya dan yang menghiburkan hidupnya kerana anak-anaklah hidup menjadi ceria dan seronok dan kerana anak-anaklah bapa bekerja keras menampung keperluan mereka demi untuk membesarkan mereka agar menjadi manusia yang berjaya.

Oleh itu, wajarlah para bapa tidak mencuaikan bentuk pendidikan dan sentuhan kasih sayang yang diberikan kepada anak-anak agar anak-anak membesar dalam suasana penuh penghormatan, didikan yang tertib dan kasih sayang yang melimpah-ruah. Rahmat kasih sayang sejati serta akhlak Islam yang menonjol dalam kehidupan Rasulullah diungkapkan oleh Anas r.a. ketika dia berkata:

“‘Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih merahmati keluarganya daripada Rasulullah s.a.w.’, sambil berkata lagi: ‘Adalah Ibrahim (putera Rasulullah s.a.w. dari Mariatul Qibtiah) disusukan bagi Rasulullah di utara Madinah, maka Rasulullah s.a.w. pergi ke sana bersama kami lalu memasuki rumah itu dengan mengambil Ibrahim lalu diciumnya lepas itu baru baginda kembali.’” (H.R. Muslim)

Abu Hurairah meriwayatkan:

“Bahawasanya Rasulullah s.a.w. mencium Hussin bin Ali r.a., maka berkatalah Al-Aqra’ bin Habas: ‘Sesungguhnya bagiku ada sepuluh orang anak tetapi aku tidak pernah mencium satu pun daripada mereka.’ Maka bersabdalah baginda: ‘Barangsiapa tidak merahmati, dia tidak dirahmati.’”

Pendidikan dalam bentuk bermesra dan bergurau-gurau dalam melayani anak-anak sangatlah digalakkan dalam Islam melalui teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. “Barangsiapa mempunyai anak kecil hendaklah menjadi anak kecil terhadapnya.” (Riwayat Ibn Asakir)

Rasulullah juga tidak membeza-bezakan layanan terhadap anak lelaki m anak perempuan. Ummul mukminin Aisyah r.a. meriwayatkan:

“Sesungguhnya apabila Fatimah r.a. masuk menemui Rasulullah s.a.w., baginda bangun menyambut kedatangan puteri baginda dan mengalu-alukan kedatangannya, menciumnya dan mendudukkan dia di majlis baginda. Begitu juga apabila Rasulullah s.a.w. masuk menemuinya (Fatimah) dia bangun menyambut Rasulullah s.a.w. dan mencium baginda dan mendudukkan Rasulullah s.a.w. di majlisnya dan sesungguhnya Fatimah telah masuk untuk berjumpa Rasulullah s.a.w. di masa baginda sedang sakit menjelang kewafatannya lalu baginda mengalu-alukan dia dan menciumnya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Zaman masyarakat pos-moden yang berlaku di Barat dan kini menular dalam masyarakat Timur sedang menyaksikan keruntuhan akhlak manusia, renggangnya ikatan kekeluargaan serta rapuhnya ikatan hati sesama insan walaupun di antara suami dan isteri, anak dan ibu bapa. Kajian-kajian yang dijalankan mula menunjukkan ke satu arah iaitu apabila peranan seorang bapa gagal dijalankan, ia akan membentuk sikap yang sama pada anak-anak lelaki dan perempuannya yang kemudiannya akan melakukan perkara yang sama dalam perkahwinan mereka dan terhadap anak-anak mereka pula.

Di dalam buku ‘What A Difference A Daddy Makes’ oleh Dr Kevin Leman, beliau menggariskan sebab-sebab mengapa kehadiran seorang bapa yang berperanan sangat penting dalam kehidupan seorang anak:

  1. Membentuk keyakinan diri seorang anak.
  2. Mencorakkan maruah diri (self-esteem) seorang anak.
  3. Meningkatkan kecerdasan emosi dan kepintaran akalnya.
  4. Membentuk tanggapan anak perempuan terhadap lelaki yang mendampinginya.
  5. Kepuasan anak dalam perkahwinannya sendiri.
  6. Hubungannya kelak dengan anak-anaknya sendiri.

Anak-anak sangat memerlukan sentuhan, perhatian, belaian, kasih mesra, gurau senda serta ketegasan daripada seorang bapa. Bagi seorang anak, bapa yang selalu tiada di rumah menjadikannya seolah-olah seperti seorang anak yatim. Kerana itu, kepulangan seorang bapa tidak pernah disambut.

Kehadiran seorang bapa di rumah sama sahaja seperti ketiadaannya. Ini berlaku kerana tiadanya sentuhan samada dalam bentuk fizikal, perbuatan atau perkataan. Lama-kelamaan anak-anak hanya menjadikan bapa sebagai tempat meminta wang tetapi bukan sebagai tempat mengadu, bermain atau meluahkan masalah. Anak-anak merasakan mereka tidak ‘diterima’ oleh bapa sendiri. Ini menyebabkan anak-anak akan mengalihkan perhatian kepada kawan-kawan mereka yang menerima mereka seadanya.

Bapa yang terlalu garang, kerap mengkritik anak, tidak pernah mendengar luahan perasaan dan pendapat anak serta sering membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak anak (kerana merasakan keputusan mereka lebih baik) juga menyebabkan anak-anak merasa tersisih di dalam rumahnya sendiri. Perceraian dan poligami juga kadangkala menyebabkan bapa mula mengabaikan tanggungjawabnya memberikan perhatian kepada anak-anak yang sedang membesar. Keadaan menjadi lebih buruk setelah anak meningkat remaja. Mereka akan lebih mempercayai kawan-kawan dan lebih senang menghabiskan masa dengan kawan-kawan daripada bersama keluarga sendiri. Anak-anak begini akan mudah menerima huluran persahabatan daripada orang luar yang tidak dikenali. Mereka juga akan lebih mudah bersama dengan remaja lain yang juga mempunyai bapa sedemikian kerana kehadiran mereka ‘diterima’.

Penerimaan orang lain terhadap seseorang adalah sesuatu yang didambakan oleh setiap insan. Begitu juga dengan seorang anak yang mendambakan bapanya menerima kehadirannya dengan sepenuh hati, menghargai dan menyokong kebaikan anaknya, dan merangsang dan menggalakkan minatnya serta menegur dengan baik kesilapan yang dilakukannya. Sekiranya tugas ini gagal dijalankan oleh seorang bapa, anak-anak akan mengemis ‘penerimaan’ orang luar yang mungkin mengambil kesempatan daripada seorang anak yang dahagakan kasih sayang.

Perhatian yang diberikan oleh bapa kepada anak perempuannya didapati mempengaruhi hubungannya dengan lelaki lain. Anak perempuan yang mendapat cukup perhatian daripada bapanya akan meletakkan piawai (standard) yang tinggi terhadap lelaki yang mendampinginya. Dia tidak akan mudah terpengaruh dengan sifat luaran sahaja, tetapi dengan kualiti yang ada pada lelaki tersebut. Kajian mendapati anak perempuan yang tidak mendapat perhatian seorang bapa kerapkali bertemu dan berkahwin dengan lelaki yang juga kurang mengambil berat terhadap perasaan isteri, rumahtangga dan anak-anak.

Allah telah memuliakan kedudukan seorang bapa dan memerintahkan anak-anak taat terhadapnya seperti dalam surah Al-Ankabut ayat 8:

“Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada kedua-dua orang ibu bapanya.”

Maka wajarlah pula seorang bapa menunaikan tanggungjawab dan amanah yang telah dipikulkan ke atas bahunya dengan menunaikan hak-hak anak dengan sebaik-baiknya. Hubungan bapa dan anak ibarat tali bersimpul mati. Ia tidak mungkin dirungkai semula hatta si bapa telah berpisah dengan ibu kepada anaknya. Hubungan ini akan dituntut pula di akhirat kelak dengan mempersoalkan tanggungjawab yang telah ditunaikan dan hak yang telah diberikan.

Hubungan yang sangat kudus ini juga tidak berakhir walaupun si anak telah berkahwin dan berkeluarga. Malah, sebuah hadis menunjukkan keutamaan seorang bapa yang berbuat baik terhadap anaknya yang telah janda.

Rasulullah bersabda kepada Suraqah bin Ju’syum:

“‘Mahukah kamu aku tunjukkan kepada sebesar-besar sedekah atau dari sebesar sedekah?’ Dia berkata: ‘Bahkan ya Rasulullah s.a.w.’ Baginda bersabda: ‘Puterimu yang telah menjadi janda (kerana perceraian atau kematian suami) pulang kembali kepadamu, yang tidak mempunyai tempat bergantung selain daripadamu.’” (H.R. Ahmad, An-Nasai dan Ibn Majah)

Anak-anak kita mungkin mempunyai ramai teman dan rakan serta boleh bertukar-tukar pasangan hidup, tetapi mereka hanya mempunyai seorang bapa sahaja di dunia ini.

PENDIDIKAN SEKS ATAU REPRODUKSI TIDAK MENYALAHI AGAMA

DOWNLOAD KETUJUH BELAS:

Sarah, 30 tahun, (bukan nama sebenar) mengandung semasa dia berumur 17 tahun. Nasibnya masih baik kerana beliau dan pasangannya telah bertaubat dan membetulkan sikap mereka, seterusnya berkahwin sebelum anak mereka lahir. Mereka kini merupakan pasangan yang bahagia dan aktif dalam kerja-kerja kaunseling remaja.

“Sebenarnya saya datang daripada keluarga yang baik dan berlatarbelakangkan agama. Kejahilan dan pengaruh cakap kawan serta nafsu yang tidak terkawal membuatkan saya melakukan perbuatan yang terkutuk itu. Kini saya telah bertaubat dan amat bersyukur kepada Allah kerana tidak dijangkiti penyakit AIDS.

Sekiranya saya didedahkan dengan pengetahuan dan pendidikan seks semasa meningkat remaja dulu, kami mungkin tidak jadi begini. Dulu tiada siapa pernah bercakap mengenai seks kepada kami secara terbuka, tentang baik buruknya, salah betulnya, samada di sekolah, di rumah atau di surau. Mereka yang selalu membincangkan mengenai seks adalah remaja seusia yang masih mentah.

Mesej yang sampai kepada kami sesama remaja adalah seks itu menyeronokkan, puncak rasa kecintaan dan kebahagiaan, tidak perlu takut, tiada kedukaan dan tidak menyakitkan. Malangnya, saya memahami makna seks melalui pengalaman psikologi yang sungguh tertekan dan emosi yang sungguh perit, pahit dan menyakitkan dan membayarnya dengan harga diri yang amat mahal. Maruah diri saya tercemar.”


Demikian keluhan seorang wanita yang menjadi mangsa ‘kejahilan’ pengetahuan dan pendidikan seks semasa remaja.

Secara umumnya, perbincangan mengenai seks adalah merupakan satu topik pembicaraan yang amat payah (terutama dengan anak-anak), samada kita di pihak yang bertanya atau yang menjawab pertanyaan. Kebanyakan kita yang telah dewasa ini memandang bahawa perbincangan mengenai seks ini adalah taboo, memalukan (boleh dibincangkan di kalangan orang dewasa sahaja) atau hanyalah merupakan bahan jenaka. Seks jarang dibincangkan secara ilmiah, serius dan berterus-terang.

Anak-anak perlu diberi kefahaman yang betul mengenai seks. Janganlah dibiarkan anak-anak dalam kejahilan seks. Seks adalah sebahagian daripada kehidupan yang penuh misteri dalam kehidupan manusia yang diselimuti oleh perasaan ingin tahu, kerahsiaan, aspek-aspek yang tersembunyi, ghairah dan penyesalan.

Remaja cintakan kisah misteri. Kewajipan ibu bapa memberitahu anak-anak bahawa perasaan seks adalah ‘normal’. Seks bukan sahaja setakat ‘keperluan biologi’ tetapi juga adalah isu kompleks ghairah (dan juga maruah) dari dalam diri (personal passion) dan juga ‘hubungan kasih prihatin’ dengan orang lain (interpersonal caring).

Seks ibarat api atau pistol. Ia tidak boleh digunakan oleh orang yang belum bersedia. Tersalah laku dalam kefahaman dan tindakan tentang seks akan memberikan padah yang membawa penyesalan dan kekejian.

Dalam pada itu, kebanyakan ibu bapa tidak memberikan didikan seks kepada anak-anak kerana takut tersalah ajar atau tersalah cakap, atau memberikan penerangan yang tidak tepat, atau lebih teruk lagi dikatakan tidak relevan. Sebab utamanya kerana mereka pun juga dulunya begitu, ibu bapa mereka tidak ‘selesa’ membicarakan mengenai seks ketika anak-anak meningkat remaja. Tetapi awas dan ingatlah, jika ibu bapa tidak memberikan perspektif seks yang betul kepada anak-anak, rakan-rakan sebaya mereka yang jahil dan mentah akan mengajar mereka tentang seks songsang. Oleh itu, ibu bapa perlu mendapat pendedahan ataupun nasihat daripada orang-orang lain yang berilmu.

Islam dalam banyak dalilnya mengharuskan para ibu bapa berterus-terang mengajar anak-anaknya mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan seks dan ‘keinginan batiniah’. Malah, kadang-kadang sesuatu topik itu menjadi WAJIB bagi ibu bapa menerangkannya kepada anak-anak, terutamanya apabila menyentuh perkara-perkara syarak, contohnya bab taharah dan bersuci.


Al-Quran adalah ‘medium’ pendidikan seks yang terbaik untuk ibu bapa kerana keterbukaannya yang terserlah. Hadis-hadis Rasulullah pula menjadi ‘penyuluh’ terhadap segala kekaburan atau kesangsian ibu bapa dalam perbincangan mengenai seks di kalangan anak anak.


“Dan mereka yang menjaga kehormatan (faraj) – tidak melepaskan syahwatnya...” (Al-Mukminuun : 5-7)

“Dibolehkan kamu bersetubuh dengan isteri-isteri kamu pada malam hari puasa...” (Al-Baqarah : 187)

“Dan mereka bertanya kepada engkau tentang haid…” (Al-Baqarah : 222)


“Dan jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu menyentuhnya…” (Al-Baqarah : 237)

“Sesungguhnya kami jadikan manusia itu daripada setitis air mani (sperma) yang bercampur (dengan ovum) untuk kami mengujinya…” (Al-Mukminuun : 12-13)


“Ibunya telah mengandungkannya dengan susah dan melahirkan dengan susah jua…” (Al-Ahqaf : 15)

“Dan janganlah kamu dekati zina, sesungguhnya ia adalah dosa dan tindakan yang terkutuk.” (Al-Israk : 32)

“Dan Lut ketika dia berkata kepada kaumnya: ‘Adakah kamu melakukan kekejian yang belum pernah dibuat oleh seseorang daripada bangsa-bangsa di alam?’” (Al-A’raf : 80-81)


Perkataan baligh, air mani, faraj, zakar, haid, nifas, nikah kahwin, mas kahwin, persetubuhan, cerai, zina, mengandung, kaum Lut (homoseksual) dan lain-lain dalam ayat-ayat Al-Quran ini membicarakan secara terus-terang mengenai maksud-maksud yang sama dan rapat hubungannya dengan seks dan tuntutan naluri manusia. Bagaimanakah anak-anak yang meningkat remaja akan memahami tafsiran ayat-ayat ini jika tidak diajarkan secara terus-terang dan telus oleh ibu bapanya, gurunya atau orang dewasa yang memahami?

Amatlah malang jika ibu bapa atau orang dewasa menutup makna ayat-ayat ini dengan memberikan tafsiran yang lain dan tiada kaitan sama sekali dengan maksudnya yang asal. Ataupun apabila sampai sahaja kepada ayat-ayat seperti ini, dia melepasinya sahaja secara terhormat tanpa memberikan apa-apa penerangan atau pentafsiran tentang maksud-maskudnya. Ini adalah cara yang tidak sihat dan tidak membantu mereka dalam memahami seks yang sihat.

Pendidikan seks kepada anak-anak dalam perspektif Islam mestilah melalui tiga tahap, sesuai dengan tahap pembesaran anak-anak. Pendekatan yang dibuat mestilah bersahaja dan tidak reaksionari (kolot). Suasana perbincangan tidak rigid dan dogmatik. Kasih sayang dan nada suara yang prihatin ditunjukkan oleh ibu bapa semasa perbincangan amat perlu untuk mendapatkan kepercayaan anak-anak dan rasa hormat mereka. Jadikanlah diri kita sebagai rujukan mereka.


1. Tahap Tamyiz (mumayyiz) - pada usia 7-10 tahun. Pada tahap ini, anak-anak diajar mengenali identiti dan nilai diri yang berkait rapat dengan organ biologinya dan perbezaan jantina lelaki dan perempuan. Konsep taharah selepas buang air kecil dan besar. Mengenai fungsi biologi wanita, contohnya apabila ibu ada haid, anak bertanya mengapa tidak solat. Si ibu bertangungjawab memberikan jawapan yang tepat bahawa Allah telah memberikan kelonggaran kepada perempuan (dalam sebulan beberapa hari) haid (kerana biologinya perempuan) untuk tidak bersolat. Pemisahan tempat tidur lelaki dan perempuan (untuk mengelakkan sumbang mahram) dan juga pemisahan daripada tempat tidur ibu bapa (untuk mengelakkan anak-anak daripada melihat adegan yang tidak sepatutnya dilihat), mengajarnya adab meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapanya dalam tiga waktu, adab memelihara pandangan mata dalam melihat perkara yang baik dan tidak baik, yang dibolehkan dan tidak dibolehkan.


2. Tahap Murahaqah - pada usia 10-14 tahun. Pada tahap ini, anak-anak diberikan pendedahan mengenai fungsi biologi organnya secara ilmiah. Tentang aurat, kesopanan, akhlak pergaulan lelaki dan perempuan, dan menjaga kesopanan dan maruah diri. Bagi kanak-kanak perempuan, seharusnya didedahkan lepada topik haid dan yang berkaitan dengannya. Mengenai kaifiat mandi wajib selepas haid dan persetubuhan. Jauhikan daripada perbincangan yang membawa kepada perasaan yang boleh menimbulkan nafsu berahi seks.


3. Tahap Baligh - pada usia 14-16 tahun. Anak-anak diajar mengenai maksud baligh, perasaan dan naluri seks anak-anak perlu ditangani dan dibincangkan secara rasional dan objektif, perhubungan seks mengakibatkan mengandung dan tidak seharusnya dilakukan oleh orang yang belum bersedia. Tegaskan bahawa kita tidak ‘terima’ seks sebelum kahwin (zina) dan mesti diterangkan keburukannya dari segi agama, kesihatan, psikologi dan tekanan emosi. Menjelang dewasa, ajarkanlah adab-adab memelihara kebersihan diri, kesihatan reproduksi, adab-adab perhubungan seks, dan adab-adab memelihara diri daripada seks bebas jika dia belum berupaya menempuh alam perkahwinan.

Berikanlah anak anak kita didikan seks yang positif dan betul sebelum rakan sebayanya dan keadaan sekeliling merosakkannya.

JAUHILAH CINTA YANG TERLARANG

DOWNLOAD KEENAM BELAS:

Anita, 19 tahun (bukan nama sebenar) baru saja tamat peperiksaan akhir matrikulasi di sebuah universiti awam tempatan. Hatinya melonjak-lonjak ingin bertemu kekasihnya, Herman, 21, (pelajar tahun dua sebuah institusi pengajian tinggi awam) sebelum balik ke kampungnya untuk bercuti panjang.

Herman terlalu sayangkan Anita dan cuba melamarnya untuk mengikat tali pertunangan. Namun, orang tua Anita menolaknya dengan alasan dia masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Setelah berjumpa Herman, bas akhir yang ingin dinaiki oleh Anita terlepas, menyebabkan dia terpaksa bermalam di rumah sewa Herman. Lalu berlakulah apa yang sepatutnya tidak berlaku pada seorang gadis belasan tahun yang masih mentah dalam bercinta.


“Saya rasa sangat menyesal kerana tidak tahu apa yang harus dibuat untuk menolak ajakan teman lelaki saya. Dia berjanji akan mengahwini saya, tetapi saya mahu melanjutkan pelajaran dulu,” kata Anita.

Anita mengesyaki dirinya hamil selepas tiga bulan tidak kedatangan haid. Pada masa itu, dia baru saja mendapat keputusan matrikulasi yang melayakkan beliau memasuki kursus yang dikehendakinya. Namun, dia terpaksa menangguhkan dulu pengajiannya apabila diterima masuk ke Raudhatus Sakinah yang akan menguruskan kelahiran bayinya.

Ruzaimah, 23, (bukan nama sebenar) lama bercinta dengan Amir, 22, (bukan nama sebenar) yang tinggal di taman bersebelahan kawasan perumahannya. Percintaan mereka bermula sejak selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan diketahui oleh keluarga kedua-dua pihak. Kebetulan, mereka sama-sama dapat melanjutkan pelajaran ke salah sebuah politeknik di Pantai Timur. Hubungan mereka seperti ‘belangkas’ dan diketahui oleh masyarakat kampus. Ruzaimah seorang pelajar yang pintar dan telah dua kali naik pentas menerima hadiah kecemerlangan pelajaran.


Malang nasibnya, apabila dia hamil akibat pergaulan bebas tanpa batasan. Anita dan Amir disingkirkan dari kampus apabila penolong pengetuanya terhidu berita itu. Mereka terpaksa bernikah rahsia kerana ibu bapa Amir melarangnya berkahwin. Kini, Amir terpaksa bekerja di sebuah kedai runcit untuk menampung kehidupan mereka serta bayi yang bakal lahir.


Raudhatus Sakinah, yang menerima kemasukan Ruzaimah, membantu menguruskan perkahwinan mereka dan memberi khidmat kaunseling kepada pasangan remaja itu.

Kisah benar di atas hanya secebis daripada pelbagai kisah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terbabit dengan gejala zina akibat pergaulan terlalu bebas tanpa batasan. Sungguh malang dan menyedihkan, mereka yang pintar ini seharusnya menjadi contoh bagi remaja lain, Namun, disebabkan kejahilan terhadap kesihatan reproduksi, sikap ibu bapa yang terlalu mengongkong dan enggan memahami cinta remaja serta pergaulan yang terlalu bebas menyebabkan penyakit sosial ini semakin menular kebelakangan ini.

Statistik Raudhatus Sakinah menunjukkan, 15% daripada pelatihnya adalah pelajar IPT. Namun, kami percaya jumlahnya lebih besar lagi. Banyak maklumat yang kami terima daripada pelatih bahawa ada rakan mereka yang hamil telah pergi ke klinik swasta untuk menggugurkan kandungan dengan hanya membayar sejumlah wang. Alangkah malangnya wang biasiswa yang diterima, digunakan pula untuk tujuan yang terkutuk itu!

Allah berfirman, maksudnya, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar.” (Al-Israk : 32-33)

Ayat di atas menunjukkan kaitan zina yang dilakukan dengan kesalahan membunuh, yang biasanya terpaksa dilakukan untuk menutup malu. Relakah kita melihat remaja kita menanggung dua dosa besar yang dilakukan? Kepada adik-adik remaja yang terlanjur, bertaubatlah segera dengan taubat nasuha. Hentikan segala tindakan yang akan membawa kepada berlakunya zina sekali lagi.

Islam mengharuskan hubungan halal di antara lelaki dan wanita melalui perkahwinan. Malah, Islam menganggap perkahwinan sebagai sebahagian daripada amal soleh dan ibadat kepada Allah. Islam mahu menjadikan perkahwinan itu satu pekerjaan yang mudah dibuat dalam masyarakat serta menjadikan zina itu sebagai pekerjaan paling sukar dilakukan. Kerana itu, Islam menggariskan konsep hijab yang juga merupakan kod etika atau pedoman bagi lelaki dan wanita berurusan dalam masyarakat.

Sistem hijab menekankan kepada menjaga batas pergaulan, adab berpakaian di kalangan ahli keluarga lelaki dan perempuan, dan adab menutup aurat di hadapan mereka yang halal dinikahi. Ia juga menekankan supaya menjauhi diri daripada syahwat yang tersembunyi, dengan cara menundukkan pandangan terhadap media lucah, pandangan berahi dan pendedahan aurat.

Remaja harus dididik supaya bertanggungjawab di atas segala tindakan mereka, yang akan memberi kesan pada kemudian hari. Sekali mereka terjebak, kesudahannya penyesalan sepanjang hayat! Apakah kesan bagi remaja IPT ini apabila berlaku kehamilan di luar nikah?


1. Mereka dibuang dari IPT atau digantung pengajian. Bayangkan perasaan malu yang menimpa serta masa depan yang gelap! Mereka juga terpaksa bekerja dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia saja.

2. Mereka menggugurkan kandungan dan dalam keadaan jahil, berterusan melakukan zina, hingga ada yang telah berkali-kali ke klinik untuk melakukan pengguguran! Perlu ditegaskan, melakukan pengguguran berulangkali dalam tempoh terdekat pada usia remaja boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem reproduksi dan mendatangkan pelbagai komplikasi pada masa depan.

3. Menghidap penyakit kelamin seperti herpes, sifilis dan AIDS. Ini biasa berlaku kepada remaja perempuan yang berpasangan dengan lelaki dewasa yang sering pula bertukar-tukar pasangan.

4. Dibuang keluarga yang malu akibat perbuatan aib mereka.

5. Terpaksa bernikah secara tergesa-gesa tanpa persediaan mental dan emosional yang stabil.

6. Mengalami penderitaan emosi, terutamanya apabila si lelaki tidak mahu bertanggungjawab atau menghilangkan diri.

7. Gangguan mental juga dialami oleh remaja perempuan apabila memikirkan masa depannya yang gelap.

Raudhatus Sakinah kerap menerima kes di mana ibu bapa masih enggan menikahkan anak mereka yang terlanjur atas alasan anak terlalu muda, masih lagi belajar dan belum bekerja. Apakah pekerjaan lebih penting daripada bertanggungjawab atas dosa yang dilakukan? Ibu bapa pelajar lelaki juga didapati ‘mengajar’ anak lelaki mereka agar jangan mengaku, sebaliknya menyalahkan remaja perempuan yang mengandung, dengan tuduhan yang tidak wajar. Ini menyebabkan pernikahan tidak dapat diteruskan dan usaha menyelesaikan masalah pasangan itu menemui jalan buntu, sedangkan mereka sudah benar-benar insaf dan mahu bertanggungjawab.


Kami ingin meminta sekalian ibu bapa agar bersikap prihatin dan memahami remaja. Sekiranya anda melarang mereka daripada berkahwin ketika masih menuntut, nyatakan secara jelas sebabnya dan keprihatinan anda. Jangan galakkan mereka bertemu dan seterusnya hanyut dalam hawa nafsu.

Sekiranya mereka meminta izin untuk berkahwin demi mengelakkan maksiat, itulah yang sebaik-baiknya. Mudah-mudahan dengan berkat restu dan doa anda sebagai ibu bapa, keberkatan dan rahmat Allah akan melimpah dalam kehidupan mereka.