Showing posts with label Dunia Tanpa Suami. Show all posts
Showing posts with label Dunia Tanpa Suami. Show all posts

Tuesday, July 28, 2009

Wacana Wanita Tanpa Suami : Senario Hari Ini

”Kita tidak mampu mengubah peristiwa masa lalu atau membuat masa depan dengan gambaran yang kita kehendaki. Lantas kenapa kita menghancurkan diri kita sendiri dengan bersedih hati untuk sesuatu yang pasti tidak bisa kita ubah.”
– Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni-

Perangkaan pada tahun 1989 menunjukkan, Malaysia mempunyai 600,000 wanita yang berumur sekitar 30 hingga 34 tahun yang masih belum berumahtangga. (petikan dari buku ”Andartu: Penyelesaian Menurut Pandangan Islam” oleh Fauziah Mohammad)


Terkini
Perangkaan Banci Penduduk dan Perumahan 2000 yang dipetik daripada laman web IKIM menunjukkan:

Pertama:
Statistik umur minimum perkahwinan yang semakin meningkat dari masa ke semasa seperti berikut:
a. Tahun 1980 26.2 tahun bagi lelaki dan 23.5 tahun bagi wanita
b. Tahun 1991 28.2 tahun bagi lelaki dan 24.7 tahun bagi wanita
c. Tahun 2000 28.6 tahun bagi lelaki dan 25 tahun bagi wanita


Mentaliti Orang Kita

”(Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikanNya kepadamu.” (Surah al-Hadid [57] : 23)

Istilah andartu (anak dara tua) ataupun istilah yang dimodenkan iaitu andalusia (anak dara lanjut usia) adalah istilah biasa pada masa ini. Istilah ini bukan sekadar diucapkan oleh mana-mana ahli masyarakat, tetapi turut disenaraikan di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka.

Gelaran Yang Kurang Menyenangkan, Tetapi Sudah Menjadi Kebiasaan
Andalusia (Anak Dara Lanjut Usia), Andartu (Anak Dara Tua), Janda Berhias, Janda Meletup dan lain-lain lagi adalah gelaran yang kurang menyenangkan. Ada masanya ia memberikan tekanan.

Sudahlah mereka menerima ujian dengan keadaan yang mereka miliki. Masyarakat sekeliling pula seakan-akan tidak mengerti dan memahami kerana membiasakan bibir dan minda dengan gelaran-gelaran seumpama ini.

Lelucon dan Sindiran

Lelucon yang berlebihan dan sindiran yang menyakitkan telinga memberikan kesan pada mental, spiritual dan emosi seperti, ”Itulah memilih sangat”, ”Patutlah tidak berlaki”, ”Bila kamu mahu berkahwin”, “Apa-apa pun, kamu jangan jadi perampas suami orang”, “Kamu kena mandi bunga agaknya”, “Kucing pun sudah bertanduk, kamu tidak juga berkahwin”, ”Kalau susah-susah sangat, kamu pinang sahaja aku jadi suami kamu” dan lain-lain lagi.

Bukan semua insan yang berada dalam situasi ini rasa terhibur dan turut ketawa dengan gurauan seumpama ini. Kadang kala, ada yang mampu mengalirkan air mata dan bertindak agresif.

Biasanya, salah seorang sahabat kami menangis teresak-esak apabila diusik begini. Tidak kurang yang tertekan dan terhimpit. Walaupun ada insan yang tidak kisah. Gurau senda seumpama ini bukan ucapan alu-aluan yang sesuai dan diharapkan oleh semua orang.


Andaian dan Tohmahan

Masyarakat kita juga kaya dengan andaian dan tohmahan yang tidak berasas pada golongan yang lambat berkahwin sebagai tidak berkat ataupun tidak laku. Manakala golongan ibu tunggal pula sebgai ’tidak pandai menjaga suami’, ’pembawa sial’ dan sebagainya.



Mudah Melakukan Maksiat dan Dosa

Masyarakat juga mengaitkan golongan ini dengan maksiat secara membuta tuli. Kononnya berasaskan ajaran islam, insan yang tidak berkahwin lebih mudah melakukan perbuatan yang menghampiri zina atau berzina dan sebagainya. Padahal konsep sebenar yang ingin diketengahkan oleh ajaran islam adalah menggalakkan umatnya berkahwin bagi mengelakkan diri daripada terlibat dengan zina dan lain-lain.

Walaupun kita tidak menafikan terdapat golongan ini yang terjebak dengan pelbagai maksiat dan dosa, namun punca utamanya bukan disebabkan oleh status mereka.

Dunia hari ini menyaksikan kadar dosa dan maksiat dilakukan oleh remaja seawal usia sembilan (9) tahun yang berzina dan golongan tua sehingga lapan puluh (80) tahun yang merogol cucu sendiri. Tidak kurang juga, cinta terlarang antara orang yang sudah bersuami ataupun beristeri.


Pahala dan Rahmat Allah

Ada dakwaan yang menyatakan wanita yang berumahtangga lebih mudah mengumpul pahala. Ini kerana setiap kebaikan yang dilakukan untuk suami dan anak-anak mendapat pahala, sedangkan wanita yang belum berumahtangga tidak ada peluang seumpama ini.

Kita tidak menafikan, wanita yang berumahtangga memiliki lebih banyak ruang dan peluang bagi mengumpul pahala. Namun, kita perlu ingat Allah maha adil terhadap semua makhlukNya. Yang menjadi ukuran di sisi Allah adalah iman dan takwa hamba-hambaNya.

Allah menyatakan dalam surah Ali Imran [3] ayat 139 yang bermaksud, ”Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”

Rahmat Allah terlalu luas. Tidak terbatas pada segolongan hamba sahaja. Hayati hadis Rasulullah SAW yang direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, ”Sesungguhnya rahmatKu lebih luas daripada murkaKu.”


Menangguk di Air Keruh

Banyak pihak yang mengambil kesempatan dengan pelbagai cara terhadap sekelompok golongan ini yang terdesak untuk berumahtangga ataupun memerlukan perlindungan dan kasih sayang.

Apatah lagi, jika mereka berpangkat dan berharta. Kalau ada paras rupa yang cantik dan pandai bergaya, semakin ramai yang menggoda.



Kurang Sokongan

Berkaitan dengan sokongan, ia diberikan kepada beberapa kategori iaitu:

i. Sokongan ibu bapa dan keluarga: Sokongan ini penting dan utama. Tanpa sokongan daripada ibu bapa dan keluarga, wanita-wanita ini pasti berasa tertekan. Lebih-lebih lagi apabila ibu bapa dan keluarga sering mendesak supaya anak-anak perempuan mereka berkahwin serta merta.



i. Rakan-rakan: Selain daripada keluarga, rakan adalah kelompok kedua terhampir dengan kita. Rakan dapat menjadi tempat yang kukuh sebagai sokongan. Namun, boleh juga menjadi punca robohnya keyakinan. Oleh itu, peranan dan kefahaman daripada rakan atau teman diperlukan. Sepatutnya, rakan-rakan dapat menjadi tempat mengadu.

Namun, keadaan menjadi rumit apabila ramai kawan yang tidak mengerti berbanding yang mahu memahami. Tambah menyakitkan apabila ada kawan yang busuk hati dan membuat tuduhan melulu.

i. Masyarakat sekeliling: Ia termasuk jiran-jiran, teman sekerja, media, pihak-pihak berwajib dan seluruh ahli masyarakat. Sikap golongan yang berada di sekeliling kita pasti memberikan kesan. Pandangan dan sikap positif pasti melahirkan suasana positif. Namun, jika pandangan dan sikap terhadap golongan ini negatif, pasti suasana dan sikap negatif ini mewujudkan suasana yang menekan jiwa.
Mentaliti Orang Kita Perlu Diubah

Bersangka baik dan menerima wanita-wanita ini seadanya adalah perkara yang amat dihargai. Lebih wajar dan munasabah jika kita menghulurkan bantuan kepada golongan ini. Ada antara mereka yang bahagia dan berjaya dalam pelbagai perkara. Ada pula yang mundur, hidup miskin dan terpencil. Lebih teruk apabila ada tanggungan sama ada ibu bapa, adik-beradik ataupun anak-anak.

Bagi mereka yang berada dalam situasi ini, bukan sahaja memerlukan sokongan emosi. Malah, memerlukan bantuan lain seperti wang ringgit dan harta benda.

Teringat aku pada keluhan teman berkenaan anak lelakinya yang semakin membesar. Dia berasa agak sukar mahu mendidik anak lelaki sulungnya melaksanakan sembahyang Jumaat. Siapakah yang dapat menemaninya? Mahu diminta bantuan suami jiran, takut disalahertikan. Maklumlah IT (Ibu Tunggal). Apabila jiran dan masyarakat sekeliling lebih prihatin, hal seumpama ini tidak berlaku.

Ini belum termasuk hal-hal lain. Oleh itu, fikir-fikirkan sikap anda kepada wanita-wanita ini. Anda perlu tahu ia patut dibetulkan.















~ Roha Hassan~

Friday, July 17, 2009

Wacana Wanita Tanpa Suami : Khas Untuk Mu




Hidup ini adalah realiti yang perlu dihadapi. Sendiri tidak bererti sepi.

Bukan bererti cacat jika tidak bergelar isteri.

Bukan bererti kurang kalau tidak dipanggil ibu.


Mereka juga isteri-isteri yang setia. Yang berpisah dengan suami akibat sikap tidak adil sesetengah manusia.

Berpisah dengan suami demi kehidupan dan perjuangan.

Berpisah oleh kematian dan perceraian.

Namun amanah dan tanggungjawab yang ditinggalkan oleh suami dilaksanakan sebaik mungkin.

Mereka punyai misi dan visi

Mereka sentiasa bermotivasi

Mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran

Mereka bijak dan bekerjaya

Mereka juga pejuang dan pendakwah.

Ramai daripada mereka yang ceria dan bahagia kerana kebahagiaan milik semua insan yang berusaha mencari dan mempercayainya.

Ramai juga yang dikurniakan ketenangan dan kekayaan jiwa.

-Petikan Buku Dunia Tanpa Suami 1-

Kepada semua. Kami bawakan:

Wacana Wanita Tanpa Suami:
Cabaran, Peranan dan Sumbangan kepada Masyarakat

Pada
26 Julai 2009 (Ahad)

Pukul
8.00 pagi-5.00 petang

Di
Auditorium A, Kuliyyah Engineering, UIA Gombak

Kepada semua
Yang masih solo @
Ibu tunggal @
Isteri yang suaminya ditahan di penjara / pusat tahanan


KEUTAMAAN PENYERTAAN ADALAH KEPADA ANDA!!!!
Jadi jangan lepaskan peluang untuk menyertainya. Tiada bayaran dikenakan

Aktiviti menarik untuk semua!!!! Kita ada::

Sesi Forum Wanita Tanpa Suami: Bukan Golongan Terpinggir
Sesi Perkongsian Dunia Tanpa Suami: Bangkit dari Kejatuhan
Tayangan Multimedia Dunia Tanpa Suami
Persembahan Nasyid
Gerai Jualan
Pameran
Pemeriksaan Kesihatan
Cabutan hadiah
Doorgift untuk semua peserta

Kepada yang berminat, daftarkan diri anda segera!!!!

Hubungi:
Roha Hassan: 012-4317948
Nazirah: 03-41073379/ 019-5053008
Email:
wjim@pd.jaring. my

Sunday, May 10, 2009

Berbahagialah! Kerana Allah Itu Sentiasa Ada Di Sisi Kita

"Anak akak ni dah 15 tahun, tapi tak serupa la macam anak orang lain..." Kata Kak Midah ketika diwawancara oleh wartawan NTV7. Sebenarnya wartawan ini memohon bantuan saya untuk mendapat ibu tunggal yang boleh diwawancara untuk rancangan di NTV7. Maka saya pun membantu apa yang termampu. Dan dipertemukanlah dengan Kak Midah.

"Dia anak istimewa Kak Midah" bicara saya sambil mengambil beberapa foto. Sesi wawancara terus berjalan. Manakala remaja istimewa itu berguling merangkak, aktif dan ceria.


Tidak tertahan hati ini untuk terus melihat wajah anak itu. Wajah tenang si ibu dan soal jawab wartawan NTV 7 itu membuat saya terasa ingin menangis. Hati rasa sayu sekali. Begitupun faham dengan segala ketentuan Allah. Allah jadikan semua ini untuk semua kita belajar. Yang baik jadikan teladan, yang kurang baik jadikan sempadan.

Kak Midah adalah ibu tunggal yang tabah membesarkan lapan orang anak dengan salah seorangnya remaja istimewa. Walaupun pendapatannya tidak seberapa, makan pakai anak-anak dijaga sedaya upaya, sekolah anak-anak tidak mahu diabaikan jua.
Bukan sedikit cabaran yang menjelma, namun Kak Midah tetap tekun dan tabah. Sebagai insan biasa Kak Midah amat gembira dengan segala bantuan yang diterima, namun tetap malu untuk bergantung pada bantuan dan huluran orang ramai sahaja.

Sebab itu Kak Midah usahakan mencari rezeki yang halal, berniaga secara kecil-kecilan untuk menambahkan pendapatan yang diterima dari Baitul Mal dan lain-lain organisasi dan individu

Sejenak saya mohon diri kerana tidak tertahan mendengar keperitan yang ditanggung oleh wanita ini serta anak-anaknya. Saya menenangkan diri di surau dan sujud syukur, betapa Allah telah mengurniakan segala macam nikmat yang hanya akan saya sedari bila mengetahui ada orang lain yang jauh lebih besar ujiannya dari diri sendiri.
Mengalir airmata kala berdoa kerana rasa kehambaan dan kesyukuran. Dalam sendu saya berdoa agar Kak Midah dan anak-anak dikurniakan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Tentulah sudah ada dalam suratan takdir Allah setiap apa jua peristiwa yang telah dan bakal Kak Midah tanggung. Yang penting, saya ikhlas mahu semua orang bahagia termasuk Kak Midah


Kak Midah, bukanlah satu-satunya wanita yang hidup tanpa suami di sisi. Kak Ros dan Syidah juga mengalami nasib yang sama. Syidah berkahwin di usia muda. Masih remaja, belasan tahun. Setelah 15 tahun berumahtangga, suaminya menjatuhkan talak. Memang adalah kisahnya di sebalik segala kejadian, Namun kata Syidah, dia akan kongsikan dalam buku "Dunia Tanpa Suami" jilid 3 nanti.
Seperti jua pertemuan sebelum ini, setiap kali bertemu, pasti bermacam cerita yang ingin dikongsi. Itulah namanya kawan!

Kak Ros punya kes lagi la complicated. Matanya pernah dibedah kerana penderaan suami. Bukan main sedih kisah perjalanan hidup Kak Ros hinggakan satu ketika tu, Kak Ros prejudis dengan sesiapa sahaja termasuk diri ini.
Buat pertama kali, Kak Ros curahkan pada saya, "Roha tau tak? Mula-mula jumpa Roha, Kak Ros prejudis pada Roha dan kawan-kawan Roha. Dalam hati berkata-kata, boleh percaya ke depa ni. Tapi setelah dua tahun lebih kenal Roha. Kak Ros anggap Roha macam adik. Bukan apa, suami Kak Ros dulu pun kalau cakap bab agama....fuhhhh...nombor satu!"

"Takpe Kak, Roha ni pun tak terasa hati kalau ada sesiapa prejudis dengan Roha. Masa tak kenal atau baru kenal memang la kita ada macam-macam prasangka. Bak kata pepatah, "tak kenal maka tak cinta"..." Sejenak kami sama-sama ketawa.
Maka dipertemuan yang ada, seperti juga di setiap kali perjumpaan kami, saya memberikan sedikit motivasi kepada semua ibu tunggal yang hadir pada 9 Mei yang lalu, jam 6.00 - 7.00 petang.

"Memang kalau nak dermakan segala harta kekayaan, memang la Roha ini bukanlah orangnya sebab Roha ni bukanlah seorang jutawan, tidak juga hartawan"...kata saya pada kakak-kakak dan rakan-rakan ibu tunggal yang ada di depan mata. "Namun kalau saya dapat memberikan semangat dan berkongsi kekuatan sesama kita, saya sudah rasa cukup gembira. Habis-habis sangat pun, dapat melihat semua kita tersenyum dan ketawa pun, saya rasa bertuah dan bahagian sangat".
Dan kami semua ketawa ceria sepanjang pengisian diberikan. Seolah-olah tiada kesusahan, kedukaan dan kelukaan.
Untuk apa ditangisi apa yang tiada. Kenapa pula mencari apa yang bukan rezeki. Atas dasar apa pula menyesali apa yang tidak dimiliki. Padahal segala-galanya Allah telah berikan pada kita. Hanya kita yang sering alpa dan lupa.
Sesungguhnya, tiada yang kebetulan dalam kehidupan, hatta gugurnya sehelai daun menimpa bumi. Setiap satunya penuh dengan hikmah yang kalau kita syukuri dan hayati, penuh dengan pengertian, pengajaran dan nikmat dari Ilahi.
~Roha Hassan~

Sunday, June 8, 2008

Dunia Tanpa Suami Jilid 2 Kini Dipasaran

















Dunia Tanpa Suami Jilid 2 Kini Di Pasaran! Dapatkannya Untuk Mengetahui Tentang......Kebenaran Yang Disembunyikan.