Friday, November 21, 2008

Ayat-ayat Cinta Dari Bonda

Assalamualaikum wbt dan Salam Sejahtera,

Adakah dirimu masih memiliki seorang ibu. Jika ia, bagaimana perasaan dan sikapmu terhadap dia? Manakala dirimu yang sudah kehilangan ibu. Bagaimana pula perasaan dan sikapmu terhadap ibu yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita.

Samada ibumu masih hidup atau telah meninggal dunia, saya yakin ayat-ayat cinta dari bonda terus kekal dalam hati dan jiwa. Hayatilah persembahan yang disertakan ini khas buat mereka yang bergelar, ibu, bonda atau ummi atau mereka yang bakal menjadi seorang isteri dan ibu.



video

Wednesday, November 19, 2008

Ibu Madrasah Pertamaku

Abah dan adik-adik di pusara bonda

Ya Allah, ku sentiasa berdoa kebahagiaan bonda di alam sana..amin

Tuhanku......
AlhamdulilLah kerana menjadikan aku dan ibu ada di atas muka bumi ini.
Kasih sayang yang Engkau tiupkan dalam jiwa ibuku telah dicurahkan sepenuhnya kepadaku

Lalu kami membesar penuh kesempurnaan
Dalam tangan madrasah pertama anugerahMu untuk kami

Ibu madrasah pertamaku,
Izinkan aku menitipkan puisi ini
Walau ia tidak mampu menggambarkan sepenuh penghargaan kami buat mu
Apatah lagi untuk diumpamakan sebagai balasan atas segala pengorbananmu

Anggap ini duhai ibu,
sekadar secebis rasa terima kasih dan syukur diatas segala yang telah kau berikan untuk kami.

Ibu Madrasah Pertamaku,
Jari-jemari mu yang kini sudah semakin berkedut dimamah usia,
sedangkan dulunya jari jemari itulah yang membelai jejari halus ku penuh mesra.
Terkadang jari jemari itu memberikan peringatan bila kami nakal.

Bibirmu yang sentiasa tersenyum sejak dulu hingga hari ini masih tetap menyejukkan hati kami. Walaupun kadang-kadang ada kalimah tegas yang kau ucapkan bila kami melanggar suruhan.

Lalu....

Ibu Madrasah Pertamaku terus mendidik kami
Dari hari ke hari
Dari minggu ke minggu
Bulan ke bulan
Tahun ke tahun
Hingga hari ini kami sendiri menjadi seorang ibu

Ibu Madrasah Pertamaku telah mengajar aku
Tentang cinta
Tentang luka
Tentang suka
Tentang duka
Tentang bahagia
Tentang sengsara
Tentang kemanisan
Tentang kepahitan
Lalu kami dewasa dengan warna warni kehidupan

Ibu Madrasah Pertamaku tidak pernah jemu memberikan peringatan
Tentang Insan
Tentang Rasul
Tentang Tuhan
Tentang Rukun Islam
Tentang Rukun Iman
Tentang Hadis
Tentang Al-Quran
Lalu hari ini kami membesar dalam ukhuwwah dan dakwah

Terimakasih Ibu
Tanpa dirimu sebagai madrasah pertamaku
Siapalah aku

AlhamdulilLah Ibu
AlhamdulilLah Tuhanku
Doa kami akan selalu bersama Ibu
Ketika Ibu masih disisi kami atau setelah ibu dijemput disisi Ilahi

Antara kami ada yang sudah kehilangan Ibu,
yang sudah kembali kepangkuan Tuhan yang lebih Menyintaimu
Izikan kami berdoa dan menghadiahkan al-fatihah buat bonda kami yang terlebih dahulu pergi tak kembali

Untuk kami yang ibunya masih di sisi
Teruslah mendidik kami wahai ibu dengan ayat-ayat cintamu
Kerana sesungguhnya Ibu masih dan tetap Madrasah pertama kami.

Nukilan: Roha Hassan
19 November 2008

Saturday, November 8, 2008

Bermesra Dengan Alam

Assalamualaikum wbt...

Kita dan alam. Mungkinkah terasing oleh perbezaan fizikal dan fungsi. Cukup kenalkah diri kita pada diri dan alam. Pernahkah kita bertanya pada diri atau mengajak diri, "kenali diriku". Sudahkah pula kita mengenal alam yang selama ini menjadi sahabat paling akrab.

Acapkali kita akan bersungut. Busuknya kawan persekitaran kita. Atau kita bersungut, kotornya sungai. Lebih hebat kita akan bersungut, hujan lagi. Atau...aduhhh panasnya cuaca hari ini.




Namun pada hakikatnya, kita dan alam memang tidak dapat dipisahkan. Malahan saling bergantung dan memerlukan. Namun kekurangan kita dari sudut memahami alam amat ketara. Kita jarang muhasabah diri terhadap hak alam. Namun kita lebih kerap menyalahkan alam atas segala kekurangan atau malapetaka alam yang melanda.
Kita sama sekali lupa. Banjir kilat yang sering berlaku adalah disebabkan oleh saliran air yang tersumbat dek buruknya tabiat manusia yang sering mengotorkan alam dengan membuang sampah ke dalam sungai dan tempat pengaliran air. Kita juga lupa bau busuk yang timbul di kawasan kejiranan adalah disebabkan sikap sesetengah pengusaha kilang atau industri yang membuang sisa industri atau toksid secara tidak terkawal. Kita juga lupa, haba panas dari mentari yang mencengkam kulit adalah akibat lapisan ozon yang semakin tipis. Hasil kerja siapa yang menyebabkan lapisan ozon nipis? Pasti kita akan rasa malu bila tahu, tangan-tangan kitalah yang membuatkan alam menderita.



Alam yang dilukai pasti akan mengembalikan penderitaannya kepada kita sendiri. Satu hari apabila malapetaka timbul, itulah petanda alam sudah tiada kuasa menanggung derita dek sikap buruk kita manusia.

Allah menjadikan manusia selaku khalifah agar bertindak adil kepada insan dan alam. Sesungguhnya Allah dalam penciptaannya kenal benar dengan sikap sesetengah manusia yang gemar membuat kerosakan. Namun sifat Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Indah telah menjadikan alam untuk manusia mengambil manfaat, pengajaran dan bukti keEsaan Allah itu sendiri.

Kerna itu sekali sekala bila ada kesempatan, ambillah sedikit ruang dalam kehidupan kita untuk bermesra dengan alam. Mengenalinya, menghargai dan menyayanginya.



Kemesraan dengan alam boleh membangkitkan rasa cinta dan syukur yang tidak terhingga pada Allah swt. Sesungguhnya segala keunikan dan keindahan alam itu sendiri menggambarkan besarnya kekuasaan Allah. Alam merupakan nikmat yang tidak tergambar bagi insan yang mahu berfikir dan memahami. Segala rahsia alam bisa mengukuhkan lagi kekaguman dan kecintaan makhluk pada penciptanya.
Banyak sekali nikmat yang perolehi dari alam. Tempat tinggal, makanan, air, udara, kekayaan pelbagai galian dan banyak sekali manfaat yang alam berikan kepada manusia dengan izin Allah.


Perkara paling penting yang kita boleh pelajari dari alam ialah; betapa besar dan tingginya gunung ganang, betapa luas dan dalamnya lautan, betapa panas dan indahnya bintang-bintang, betapa hebatnya angin dan taufan....semuanya tunduk kepada perintah Allah swt semata-mata. Tiada yang pernah derhaka dan engkar pada perintah Tuhan.

Hanya kita manusia yang kebiasaanya tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari alam ciptaan Tuhan.

~Roha Hassan~

Thursday, November 6, 2008

Bersikap Benarlah Dikau!



Soalan

Saya sebenarnya malu untuk bertanya tentang perihal ini. Namun saya bimbang jika berterusan begini. Saya suka meniru rakan-rakan dalam ujian dan peperiksaan setiap kali ada kesempatan. Bermula dari sekolah rendah hinggalah sekarang. Saya baru sahaja melanjutkan pelajaran ke Kolej, namun tabiat meniru ini masih berlaku. Yang lebih teruk, saya juga semakin kerap menipu. Tabiat meniru dan menipu saya ini sebenarnya bukan sahaja memalukan, malahan memudaratkan hubungan baik saya dengan rakan-rakan. Banyak kali juga saya "kantoi". Tapi masih tidak mampu menghentikan tabiat ini. Baru-baru ini saya bergaduh besar dengan orang yang saya sayang kerana hal ini menyebabkan saya berazam untuk mengubah tabiat ini. Namun saya memerlukan kekuatan untuk melakukannya. Tolonglah berikan saya panduan dan nasihat yang sewajarnya.

Suzana Abdullah
Kuala Lumpur



-------------------------------------------------------------------------------------------------

Jawapan

Assalamualaikum wbt

Suzana,
Anda berhak mnerima ucapan tahniah untuk dua langkah pertama yang diambil. Pertama mengakui kelemahan diri manakala langkah kedua ialah mencari jalan mengatasinya.

Kita memang maklum perbuatan meniru merupakan satu kerugian kepada yang mengamalkannya. Meniru memang memudahkan pada awalnya. Tetapi kesan yang amat buruk jika kita tertangkap ketika meniru. Kita mungkin dibuang dari Kolej. Selain dari itu, sijil dan anugerah yang diterima, mungkin ditarik balik. Kita pasti akan mendapat malu.

Risiko lain ialah kehilangan rasa hormat dari orang lain, rakan-rakan menjauhkan diri, memusnahkan harapan keluarga juga memalukan ibubapa, dicop sebagai peniru dan penipu sepanjang hayat dan banyak kali keburukannya.

Apabila membicarakan persoalan meniru dan menipu ini, sebenarnya ia merangkumi beberapa perkara. Meniru sebenarnya termasuk dalam kategori menipu. Selain daripada itu janji bohong, berkata dusta, khianat pada janji, membocorkan rahsia, memberikan alasan yang dusta, memperdayakan orang lain juga jatuh dalam kategori menipu. Saya kurang pasti tindakan yang mana, yang sering dilakukan oleh saudari Suzana. Namun, kita akan sama-sama berkongsi keburukan dan beberapa panduan mengatasinya bersama-sama.

Pepatah melayu ada mengungkapkan kalimat ini. "Siakap Senohong, Gelama Ikan Duri. Bercakap Bohong, Lama-lama Mencuri"

Manakala sabda RasululLah saw pula bermaksud, "Tiga perkara, barangsiapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang muslim, iaitu; Bila berbicara ia bohong, bila berjanji ia mungkir, dan bila menerima amanat ia khianat".

Menepati janji itulah adalah wajib. Sebab itulah setiap kali berjanji kita mesti berazam untuk menepatinya. Kalau berjanji namun berazam untuk tidak menepatinya, maka termasuklah kita di dalam golongan yang disebutkan dalam hadis RasululLah SAW tadi.

Bagaimanakah kita boleh memulihkan sifat benar dalam diri kita dan menghalau sikap dusta dan menipu dalam diri kita. Mari kita renungkan beberapa nasihat yang diberikan oleh Imam Al-Ghazali yang dipetik dari bukunya yang sangat popular iaitu, "Bimbingan Mukminin". Mudah-mudahan nasihat beliau mampu meningkatkan keazaman dan menunjukkan jalan kepada kita mengurangkan seterusnya meninggalkan sifat buruk iaitu menipu dari diri kita.

Menurut imam Al-Ghazali, hakikat benar itu terbahagi kepada lima bidang, iaitu :

Benar dalam tutur bicara – Adalah wajar untuk setiap kita berkata benar dalam tuturkata. Setiap hamba wajar menjaga lidahnya dari tutur yang tidak benar, malah janganlah berbicara selain yang benar sahaja. Tidak akan sempurna hakikat benar dalam tutur bicara melainkan dengan menghindari kata-kata yang menyimpang. Kata-kata yang menyimpang itu adalah pembuka kepada pintu alasan untuk berdusta.

Benar dalam niat dan tujuan – Teras yang disebut dalam sesuatu niat dan tujuan ialah ikhlas, iaitu jangan sampai ada sesuatu gejala yang mempengaruhi gerak geri atau diamnya seseorang itu, kecuali Allah swt. Jika niat bercampuraduk dengan kekotoran oleh dorongan nafsu, nescaya rosaklah kebenaran niat di dalam hati dan jadilah ia seorang pendusta.

Benar dalam keazaman – Benar dalam keazaman ialah membulatkan niat dalam masa beramal dengan sekuat-kuat azam. Untuk mejadi seorang yang benar, hendaklah keazamannya dalam masa beramal taat dan membuat berbagai kebajikan itu dengan hati dan tekad bulat, sempurna dan kuat. Tidak condong kepada pengaruh-pengaruh yang lain, tidak lemah dan tidah berbolak balik. Malah seluruh jiwa dan raganya hendaklah berhasrat dengan penuh keazaman dalam masa membuat kebajikan-kebajikan itu.

Benar dalam menepati janji – Memang mudah sekali bagi jiwa mencita-citakan sesuatu, lebih lebih lagi mempunyai tekad keazaman di masa kini, sebab lidah tidak bertulang, dan untuk membuat janji dan azam memang tidaklah sukar kerana risikonya tidak berat. Tetapi apabila segala yang dicita-citakan itu menjadi hakikat dan segala yang dituntutnya itu telah tercapai, akan berkobarlah nafsu dan shahwat untuk mempengaruhi keazaman yang tadi sehinggalah akhirnya keazaman yang mula-mula itu menjadi meleset. Nyatalah menepati janji itu bukanlah sesuatu yang mudah namun kita hendaklah berusaha menepati janji kita, supaya kita dapat dijumlahkan sebagai orang-orang yang benar.

Benar dalam amalan – Orang-orang yang benar dalam mengerjakan amalannya ialah orang-orang yang berusaha dengan rajin, sehingga amalan lahiriahnya itu tidak menampakkan sifat-sifat batinnya yang bertentangan. Benar dalam amalan itu ialah persamaan gerak geri yang batin dengan gerak geri yang lahir. Umpamanya, apa yang terdetik dalam batin, hendaklah tampak sama seperti lahirnya, ataupun harus lebih baik dari yang lahir, sebagaimana digambarkan oleh seorang penyair, "Jika batin dan lahir seseorang mukmin itu sama, hidupnya mulia, dunia akhirat menerima sanjungan dan puja. Kalau yang lahir dengan yang batin pula berbeda, tiadalah sanjungan. Malah hidupnya payah penuh sengsara




~ Roha Hassan~