Showing posts with label Remaja Dan Cinta. Show all posts
Showing posts with label Remaja Dan Cinta. Show all posts

Sunday, June 14, 2009

Apa Ertinya CINTA Bagi Seorang Remaja - Part (1)



Definisi Cinta

Dalam memberikan pendapat tentang cinta, Imam Al-Ghazali di dalam bukunya Kimia as-Sa'adah (Rahsia kebahagiaan) mendefinasikan cinta sebagai "Satu Kecenderungan yang membawa kepada perasaan yang menyenangkan. Ia adalah tarikan pemikiran, kesudian dan kecenderungan kepada yang disukai.

Manakali ilmuan tersohor, Profesor Dr Hamka dalam memberikan pendapat tentang cinta menyatakan bahawa, "Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setitis embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanah yang lain-lain menerimanya.

Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesucian hati, keikhlasan, budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji"

Begitu indah ungkapan cinta apa diterjemahkan oleh dua insan mulia ini. Imam al-Ghazali dan Profesor Dr Hamka. Namun bagaimana pula tafsiran cinta oleh remaja secara umumnya. Adakah selari dengan ungkapan yang diberikan para ulama dan cerdik pandai? Atau menepati kehendak agama dan adat. Adakah mengambil kira antara kebaikan dengan kemudaratan?

Antara cinta dengan C.I.N.T.A

Remaja dan cinta bagaikan dua perkara yang tidak dapat dipisahkan. Ketika diambang usia remajalah, cinta mula dikenali. Semuanya berlaku apabila seorang insan yang dulunya kanak-kanak kini mengalami perubahan dari sudut fizikal, mental, emosi, sosial dan moral. Perubahan yang membawa seorang insan ke alam yang penuh mencabar iaitu alam remaja.

Ketika menjadi salah seorang panelis forum remaja dan cinta di sebuah kolej di Negeri Sembilan, baru-baru ini, Ustaz Wan Aminuddin Haji Wan Abdullah berkongsi tentang C.I.N.T.A. Dalam ceria beliau menterjemahkan C.I.N.T.A sebagai "Cuma Ingin Nak Test Aje".

Maka diatas tafsiran inilah cinta yang suci menjadi mimpi ngeri bagi sesetengah remaja. Buktinya apabila bertambahnya kes-kes perzinaan, hamil luar nikah, pembuangan bayi secara berleluasa dan pelbagai lagi penyakit sosial dikalangan remaja yang menjadikan cinta sebagai "C.I.N.T.A".

Cinta Suci Cinta Sejati

Cinta bukan sesuatu yang keji. Tidak pernah ia dimusuhi atau dibenci. Namun, hanya cinta yang suci murni yang mengandungi ketenangan dan keindahan. Maka ingin dikongsikan disini secebis keindahan dan kelebihan cinta yang suci dan murni untuk sama-sama dihayati. Antara

1. Tokoh-tokoh agama juga mengiktiraf kesucian dan keperluan cinta.

Tiada agama yang memusuhi cinta. Sebab itu kebanyakan tokoh agama mengajak kepada cinta dan kebaikan. Berikut antara ucapan tokoh-tokoh berikut tentang cinta :
a. CINTAILAH sesama manusia, seperti engkau mencintai dirimu sendiri – Nabi Muhammad saw
b. Jangan menangis kerana gagal dalam PERCINTAAN, sebab manusia akan meninggalkan semua yang dicintainya - Buddha
c. Apabila kita bersungguh ingin MENCINTAI, kita perlu belajar memaafkan – Mother Teresa
d. Ketika anda diserang oleh musuh, taklukinya dengan CINTA – Mahatma Ghandi

2. Hakikat cinta abadi

Jika benar kita faham tentang cinta, tanamkanlah dalam jiwa kita lima kecintaan hakiki iaitu :
a. Cinta kepada Pencipta
b. Cinta kepada Nabi dan Rasul
c. Cinta kepada ibu bapa
d. Cinta kepada ummah
e. Cinta kepada kecemerlangan

3. Cinta perlukan keutamaan
Sebagai insan yang bijak, kita wajib tahu cinta yang mana harus diutamakan. Jika kita seorang remaja, cinta yang manakah harus kita utamakan?

Pada kekasih atau Tuhan? Sedangkan yang menjadikan dan memberikan segala-galanya kepada kita adalah Tuhan. Sedangkan kita tidak pernah berterimakasih dan mensyukuri segala nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita.

Pada kekasih atau Rasul Saw? Sedangkan kerana cintanya RasululLah saw kepada kitalah, kita hari ini menerima kenikmatan sebagai muslim. Bukan sedikit usaha dan pengorbanan RasululLah demi umat manusia, namun berapa ramaikah antara kita yang mengenali baginda, apatah lagi menyintai junjungan besar RasululLah SAW.

Pada kekasih atau ibu bapa? Pada kekasih yang baru dikenal beberapa purnama atau pada ibu bapa yang memelihara kita penuh cinta dan kasih sayang sejak kita dilahirkan. Tidak tertulis dan terbanding pengorbanan mereka. Sayang seribu kali sayang, manusia terutamanya golongan remaja sering melukakan hati ibu bapa demi cinta kepada seorang kekasih.

Pada kekasih atau kecemerlangan? Ketika usia remaja, cinta pada ilmu adalah lebih utama. Kesungguhan mengejar kecemerlangan akan membuka ruang kepada cinta-cinta yang seterusnya.

Jangan sesekali kantoi dalam kehidupan disebabkan percintaan!


~ Roha Hassan ~

Tuesday, October 7, 2008

Anda Bijak Jauhi Zina - Part 1

Assalamualaikum wbt...

Anda Bijak Jauhi Zina!


Baru-baru ini saya dan rakan-rakan daripada Raudhatus Sakinah iaitu ummi rose (pengarah RS) dan Kak Yus (Pengerusi RS Selangor) juga rakan-rakan lain di RS, wanita JIM negeri dan daerah telah memberikan pengisian berkaitan dengan kempen "Anda Bijak Jauhi Zina" di merata tempat.

Tentu sahabat-sahabat semua tertanya-tanya apa itu kempen Anda Bijak Jauhi Zina. Itu perihal tersebut, kita akan kongsi selepas ini. Sebelum ini, sila baca soalan daripada saya seorang remaja yang merupakan salah satu sebab kenapa kita, harus merancakkan lagi kempen, "Anda Bijak Jauhi Zina"

============================

Soalan
Assalamualaikum wbt,
Saya adalah seorang mahasisiwi di sebuah IPT. Saya memiliki teman rapat yang memiliki teman lelaki. Hubungan mereka seperti 'belangkas'. Teman rapat saya merupakan seorang pelajar yang pintar dan beberapa kali telah menerima hadiah kecemerlangan pelajaran. Dia juga telah memaklumkan bahawa beliau telah beberapa kali terlanjur dengan pasangannya. Memang saya tidak merestui perbuatannya. Malahan akhir-akhir ini saya melihat terdapat beberapa perubahan ketara pada dirinya. Sebagai teman, saya jadi gundah. Saya risau dia akan hamil. Lagipun ia satu perbuatan yang berdosa. Mohon input untuk saya membantu teman saya ini. Saya juga ingin membantu kawan-kawan lain yang bersikap seperti teman rapat saya ini.


Terimakasih.
Nuraliyah, Selangor
----------------------------------------------------------------------------------


Jawapan

Waalaikummussalam wbt,
Teman yang baik ialah teman yang gembira melihat temannya bahagia serta melakukan kebajikan. Dalam masa yang sama akan rasa sedih dan gundah bila melihat temannya berada dalam kesedihan atau melakukan perbuatan mungkar.

Jadi, memang wajar untuk saudari memberikan nasihat dan peringatan kepada teman yang lain. Terutamanya dalam perihal yang boleh memudaratkan diri serta masa depan mereka. Berilah nasihat dan peringatan mengikut kemampuan kita masing-masing. Mudah-mudahan, ada hati yang diberikan hidayah oleh Allah atas nasihat yang kita berikan.

Berkaitan dengan perbuatan teman rapat saudari, Kak Roha ingin kongsikan beberapa peringatan yang mungkin boleh membantu saudari ketika memberikan peringatan kepada beliau.

Allah berfirman dengan maksudnya, "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar." (Al-Israk : 32-33)

Islam mengharuskan hubungan halal di antara lelaki dan wanita melalui perkahwinan. Malah, Islam menganggap perkahwinan sebagai sebahagian daripada amal soleh dan ibadat kepada Allah. Islam mahu menjadikan perkahwinan itu satu pekerjaan yang mudah dibuat dalam masyarakat serta menjadikan zina itu sebagai pekerjaan paling sukar dilakukan. Kerana itu, Islam menggariskan konsep hijab yang juga merupakan kod etika atau pedoman bagi lelaki dan wanita berurusan dalam masyarakat.

Sistem hijab menekankan kepada menjaga batas pergaulan, adab berpakaian di kalangan ahli keluarga lelaki dan perempuan, dan adab menutup aurat di hadapan mereka yang halal dinikahi. Ia juga menekankan supaya menjauhi diri daripada syahwat yang tersembunyi, dengan cara menundukkan pandangan terhadap media lucah, pandangan berahi dan pendedahan aurat.

Remaja dan belia harus dididik supaya bertanggungjawab di atas segala tindakan mereka, yang akan memberi kesan pada kemudian hari. Sekali mereka terjebak, kesudahannya penyesalan sepanjang hayat!

Apakah kesan bagi remaja dan belia IPT ini apabila berlaku kehamilan di luar nikah?
1. Mereka dibuang dari IPT atau digantung pengajian. Bayangkan perasaan malu yang menimpa serta masa depan yang gelap! Mereka juga terpaksa bekerja dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia saja.

2. Mereka menggugurkan kandungan dan dalam keadaan jahil, berterusan melakukan zina, hingga ada yang telah berkali-kali ke klinik untuk melakukan pengguguran! Perlu ditegaskan, melakukan pengguguran berulangkali dalam tempoh terdekat pada usia remaja boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem reproduksi dan mendatangkan pelbagai komplikasi pada masa depan.

3. Menghidap penyakit kelamin seperti herpes, sifilis dan AIDS. Ini biasa berlaku kepada remaja perempuan yang berpasangan dengan lelaki dewasa yang sering pula bertukar-tukar pasangan.

4. Dibuang keluarga yang malu akibat perbuatan aib mereka. Kasihan pada ibubapa dan keluarga yang bekerja keras memastikan kita berjaya hingga ke IPT. Alangkah pilu anak yang ditatang bagai minyak yang penuh menconteng arang ke wajah mereka. Apabila dibuang keluarga, tentu hidup individu ini akan terbiar. Betapa sedih dan sukar hidup tanpa keluarga.

5. Terpaksa bernikah secara tergesa-gesa tanpa persediaan mental dan emosional yang stabil. Pernikahan secara tergesa-gesa sudah pasti mengundang pelbagai kegawatan selepas itu. Mulalah kedua pihak saling ungkit mengungkit dan tuduh menuduh apabila menghadapi perlbagai rintangan mendatang.

6. Mengalami penderitaan emosi, terutamanya apabila si lelaki tidak mahu bertanggungjawab atau menghilangkan diri. Kisah si lelaki yang melarikan diri apabila pasangannya hamil bukan kisah baru atau khayalan. Perkara ini memang sering berlaku dalam masyarakat. Tinggallah si gadis menanggung segala keperitan dan penderitaan seorang diri.

7. Gangguan mental juga boleh dialami oleh remaja atau belia perempuan yang melalui senario ini apabila memikirkan masa depannya yang gelap.
Melihatkan kepada kesan-kesan buruk yang begitu banyak. Lebih bijak untuk remaja dan belia menjauhi zina. Untuk yang sudah terlanjur, bertaubat, berkahwin dan baikilah kesalahan yang telah dilakukan. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosa kita. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat mereka yang benar-benar mahu membersihkan diri mereka dari dosa dan noda.

~Roha Hassan~

Wednesday, March 12, 2008

Remaja Dan Cinta (1)


















Kyusuknya Para Remaja Ni - Bab Cinta La Katakan











Posing Maut!














Apa Itu C.I.N.T.A



















Seminar Remaja Dan Cinta


Saban hari kita dikejutkan dengan berita pembuangan bayi, remaja lari dari rumah mengikut teman lelaki atau remaja bebas membawa masuk teman lelaki atau wanita ke dalam rumah, berkucupan dan berdakapan tanpa rasa segan silu dan seribu satu macam lagi masalah yang memeningkan kepala ibu bapa.

Anak-anak remaja yang kita sayangi dan tatangi bagai minyak yang penuh, wajar mendapatkan maklumat yang betul bagaimana untuk menjaga perhubungan di antara lelaki dan perempuan.

Berikutan dengan itu, baru-baru ini sempena cuti semester Persekolahan Mac 2008, The Little Khalifah Shop bersama Wanita JIM (Pertubuhaan Jamaah Islah Malaysia) telah menganjurkan Seminar Remaja Dan Cinta.

Antara Objektif penganjuran Seminar ini ialah :

1- Memberikan pengertian cinta yang dikehendaki dalam Islam.
2- Mengetahui batasan pergaulan di antara lelaki dan perempuan menurut Islam.
3- Memberikan panduan bagaimana untuk mengelakkan diri daripada terjebak dalam percintaan sebelum berkahwin.
4- Menyedarkan remaja tentang kesan yang akan mereka hadapi sekiranya tidak menjaga perhubungan antara lelaki dan perempuan.
5- Membantu remaja merasa ‘OK’ dan bangga walaupun tidak mempunyai teman lelaki/wanita.
6- Berkongsi panduan bagaimana untuk menjaga kehormatan agar terhindar daripada gangguan seksual.
7- Membantu remaja menilai sama ada perbuatan mereka terhadap kawan berlainan jantina sebagai gangguan seksual atau tidak.
8- Memberikan tips kepada remaja agar tidak mudah terpedaya.
9- Memberi peluang kepada anak-anak untuk mengemukakan soalan-soalan mengenai isu-isu yang berkaitan.

Nurdinie Sufi
12 Mac 2008