Friday, February 6, 2009

Bunga-Bungaan Dalam Perhubungan

Assalamualaikum wbt...

Senario 1: Kita membeli belah di Giant. Kita membeli pelbagai barangan. Hampir Rm300. Dan ini bukanlah kali pertama kita membeli belah di Giant. Hampir setiap bulan kita membeli barangan keperluan di situ. Kadang-kadang dua tiga kali sebulan. Tapi perasan tak! puluhan kali kita membeli belah disitu, juruwangnya tidak pernah mengucapkan, "terimakasih...sila datang lagi". Kadang-kadang, senyuman pun tidak diberikan. Sebaliknya kita pulak yang setiap kali lepas membayar harga barangan akan mengucapkan "terimakasih!"


Senario 2 : Kita bekerja di bahagian kewangan. Pasukan kitalah yang menguruskan segala hal berkaitan dengan kewangan syarikat. Masa yang paling menggembirakan semua kakitangan ialah apabila gaji atau bonus dimasukkan ke dalam akaun masing-masing. Tapi setelah hampir sepuloh (10) tahun kita bekerja, dua tiga orang kakitangan sahaja yang pernah mengucapkan, "terimakasih sebab proses dan masukkan gaji kami tepat masanya". Kadangkala tak ada yang mengucapkan apa-apapun. Tapi kita tak akan lupa satu hari tu, kita terlambat membayar gaji disebabkan ramai client lambat membuat pembayaran...kiri kanan kita kena marah dan sindir.

Senario 3 : Kita bukan main lemah lembut dengan kawan-kawan. Kira rajin belanja kawan-kawan makan-makan bila dapat gaji. Tapi kalau dengan anak isteri dan adik beradik sendiri. Kitalah yang paling tegas. Kitalah yang paling kedekut. Sikit-sikit nak tengking. Sikit-sikit nak marah. Hal kecilpun boleh membawa kepada pertengkaran! Tapi kalau dengan kawan-kawan kita tak macam tu pun? Tapi paling lembut dan pemurah.
Senario 4 : Kita memang kerap membantu rakan-rakan kita dalam apa jua perkara. Selagi kita mampu kita akan membantu. Tapi, satu hari kita diuji oleh Allah dengan satu insiden yang memerlukan bantuan kawan-kawan. Namun bila sahaja no telefon rakan-rakan di dail. Ada yang tidak dapat dihubungi. Ada pulak yang memberikan pelbagai alasan. Akhirnya, pusing kiri, pusing kanan, tiada seorang rakanpun yang datang membantu.


Senario 5 : Kita memberikan beberapa dokumen penting kepada rakan kita. Macam selalu, dia memang tidak pernah mengucapkan terimakasih. Pandai memujuk, merayu ketika memerlukan, bila sudah memperolehi apa yang dikehendaki....dia akan berlalu dengan puashati. Namun, satu hari kita lihat hasil kerja kita itu diterjemahkan dalam bentuk program/pengoperasian. Tapi tak ada nama kita sebagai penyedia dokumen tersebut. Kita baca setiap baris ayatnya, memang inilah hasil kerja kita yang kawan kita kata nak dijadikan rujukan. Sudahnya, itulah kesudahannya, kita yang buat kerja, orang lain yang dapat nama.

Senario 6 : Kita teringin benar untuk mendapat sejambangan bunga atau sekeping kad daripada orang-orang yang kita kasihi....tapi tak pernah pun kita memperolehinya!
Begitulah diantara senario yang mungkin pernah kita lalui atau hadapi. Bagaikan tiada bunga-bungan dan wangian dalam perhubungan. Samada perhubungan suami isteri, keluarga, rakan-rakan, persatuan, perniagaan. Dimana jua samada di pejabat, di rumah, di pusat membeli belah, di sekolah atau dimana-mana jua.
Amat sukar untuk kita menyatakan terimakasih. Amat janggal untuk kita mengucapkan kalimah maaf. Amat berharga untuk kita mengucapkan tahniah untuk orang-orang yang kita kasihi. Kita memang jarang menaburkan bunga-bungaan dalam perhubungan.
Samada perhubungan secara formal atau tidak formal, sebagai insan kita sewajarnya sentiasa cuba menyuburkan hubungan baik yang kita ada. Memang mudah untuk membina ukhuwwah, tapi mengekal dan menyuburkannya adalah sesuatu yang payah. Tapi, kalau ikatan ukhuwwah itu terlerai lebih parah untuk mengikatnya semula.
Kita maklum sikap ikhlas penting. Tapi jangan menyalahgunakan kepentingan ikhlas dengan mengambil mudah ucapan terimakasih atau menghargai orang lain. Kita maklum sikap tidak mengharapkan balasan adalah yang terpuji. Namun, janganlah menyalahgunakan kemuliaan sifat ini dengan sentiasa mengambil kesempatan.
Hubungan baik yang diredhai oleh Allah mestilah sentiasa diindahkan dengan bunga-bungaan kasih sayang, penghargaan, ambil berat, bersangka baik, menghargai walaupun dengan sepatah ucapan terimakasih, saling memaafkan, saling membahagiakan walaupun dengan sebuah senyuman! Saling mengingatkan, memberikan tazkeerah tanpa diminta, melakukan muhasabah demi pembaikan berterusan. Begitulah, secara ringkasnya, begitu banyak perbuatan yang mudah dan murah bagi menaburkan bunga-bungaan dalam perhubungan. Jauh lebih berkesan dan murah daripada jambangan bunga itu sendiri!

No comments: