Friday, February 27, 2009

Kalau Sudah Bukan Rezeki Kita


Kalau sudah bukan rezeki kita, makanan yang sudah dalam mulut pun terluahkan jua. Kalau bukan rezeki kita, pangkat yang dijanjikan, tiba-tiba ditarik semula. Kalau bukan rezeki kita, gaji sebulan tiba-tiba hilang dari akuan. Kalau bukan rezeki kita, memang bukan rezeki kita.

Ada pepatah menyatakan rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Tapi rezeki yang datang dari sumber yang haram adalah musuh kita. Tidak kurang dasyatnya berbanding musuh-musuh yang lain. Mari kita renungkan amaran Allah swt dalam Surah al-Maidah ayat 88, dimana firman Allah yang bermaksud, “Dan makanlah dari rezeki yang diberikan Allah kepadamu, iaitu yang halal lagi baik, dan bertakwalah kepada Allah yang kepada-Nya sahaja kamu beriman.”

Oleh itu sila senaraikan, rezeki dari sumber yang tidak halal sebagai musuh kita!

Pepatah lain yang tidak kurang popularnya ialah, rezeki secupak tidak akan menjadi segantang! Sebenarnya rezeki secupak boleh jadi bergantang-gantang kalau kita berusaha. Namun kalau sudah habis ikhtiar, yang sedikit itu kita wajib terima penuh keredhaan dan kepasrahan. Lain pula keadaannya kalau usaha sekadar secebis, berasa malulah pada diri untuk menyatakan, rezeki secupak tidak akan menjadi segantang.

Ulat dalam batu pun ada rezekinya, inikan pula kita manusia. Begitu indahnya ungkapan ini yang amat diperlukan disaat keadaan ekonomi yang sedang meruncing ini. Disinilah konsep tawakkal dan sangka baik terhadap Allah itu tersembunyi. Hayati dan fahami bahawa Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dituliskan rezeki bagi setiap ciptaannya hatta ulat dalam batu! Namun, apalah ertinya semua ini bagi insan yang lebih malas dari ulat dalam batu. Kalau masa tidur dan rehat lebih banyak dari masa berusaha, mana mungkin berjaya. Rezeki didepan mata pun belum tentu berada dalam genggaman.

Mencari rezeki biarlah sepadan. Masa yang seimbang jangan diabaikan. Berpagi-pagi mencari rezeki, jangan dilupa amanah yang lain. Ada masa mencari rezeki, ada masa mengadap Ilahi, ada insan-insan tersayang menanti, ada ahli masyarakat yang ada haknya atas rezeki yang kita miliki.

Apa-apapun rezeki yang hilang jangan ditangisi. Kelak sama tarafnya dengan mereka yang tidak tahu mensyukuri. Betapa hinanya makhluk yang tidak mensyukuri, bagai manusia yang tidak sedarkan diri. Rezeki sedikit yang hilang diingat-ingati. Padahal nikmat Allah sudah cukup banyak diberi. Yang ada tidak disyukuri, yang hilang terus dimimpi. Tepuk dada tanyalah diri, untuk yang tidak tahu mensyukuri, layakkah untuk terus diberikan rezeki!


Akhir bicara, sebagai peringatan untuk kita semua yang telah dikurniakan rezeki oleh Allah taala, usah lupa membersihkan dengan zakat dan sedekah!

~ Roha Hassan~

No comments: