Friday, February 20, 2009

Cinta Ini Membunuhku


"Kami dah berpisah! Itulah jawapan yang diberikan oleh seorang teman lama. "oooo..." jawabku. Tidak pantas membina ayat terbaik sebagai balasan sebaik-baik mendengar perkhabaran daripada beliau. "Dah tak ada jodoh! Nak buat macam mana" Sambung beliau sambil melemparkan pandangan ke arah jalan raya yang agak sesak ketika ini. "Tentu ada hikmahnya..." aku cuba memberikan ketenangan. Sebenarnya ini bukanlah kali pertama mendengar perkhabaran begini. Bukan juga teman yang pertama mengalami senario ini. Sebagai insan biasa, aku ingin menggembirakan orang lain, terutamanya seorang kawan yang bukan sehari dua aku kenal. Lebih-lebih lagi dalam keadaannya ketika ini.
Sejenak dia terdiam. Perlahan-lahan airmatanya mengalir membasahi pipinya yang cengkung. Aku pura-pura tidak melihat aliran air jernih dari kelopak matanya. Bagi aku, itu bukan airmata ajaib. Semua yang berpisah dengan insan yang sangat dicintai tentu akan mengalirkan airmata jua. Hanya ada segelintir insan yang akan ketawa bila bercerai. Bilamana manusia yang dinamakan suami sudah tidak sesuai dikategorikan sebagai insan. Perilakunya mirip haiwan. Ketika itu, pasti seorang isteri yang berjaya melepaskan diri dari belenggu perkahwinan seumpama itu, amat bersyukur sekali. Namun untuk kes kawan aku yang seorang ini, aku yakin perpisahan mereka berdua adalah satu kelukaan dan kedukaan.


"Awak pun tahu betapa rapatnya kami berdua kan? Bukan setahun dua kami kenal. Bercinta 5 tahun, berkahwin 8 tahun. Selepas begini lama bercinta, satu hari dia bagi tau yang dia dah tak sayangkan Zie lagi".....kawan yang sedang ditimpa ujian ini mula teresak-esak. Aku mengurut-ngurut belakangnya. Perasaan empati memang menyelubungi perasaanku. Terbayang sepasang "couple boring" yang pernah menjadi bahan bualan satu ketika dahulu. Selalu berpacaran di serata sudut disetiap kesempatan yang ada. Mereka memang sepadan. Sama lawa, sama bijak. Apakan daya, akhirnya berpisah jua.


"Zie ni sebenarnya tak sangka nak jadi macam ni. Zie tak tau apa salah Zie. Zie tak tau apa kekurangan Zie. Semua ni macam mimpi..." Zie terus mencurahkan perasaannya kepadaku. "Maaf la, terpaksa luahkan apa yang Zie rasa. Dah tak larat nak simpan. Datang jumpa awak ni pun sebab nak awak dengar luahan Zie ni". Memang kasihan melihat wanita ini. Betullah kalau dilihat dari sudut fizikal, masih lawa. Kerjapun OK. Pelajaran? Lagi la OK.
"Tak apa, kalau Zie nak saya dengar, saya sudi mendengarnya. Datang jumpa Zie ni pun memang nak membantu. Kalau tak boleh bantu cara lain, dapat kurangkan perasaan Zie pun AlhamdulilLah". Aku cuba menenangkan Zie yang baru diceraikan suaminya dengan talak tiga empat bulan yang lalu.

"Agaknya sebab Zie terlampau cintakan dia kot yang jadi macam ni. Sayang sangat kat suami sampai tak nampak keburukan dia. Cinta sangat sampai tak perasan dia dah berubah" Zie mengesat airmatanya sambil mengumpul kekuatan untuk terus berkongsi. "Sebenarnya setahun dua ni dia dah mula tunjukkan perangai buruk dia. Dah mula berkasar dengan Zie dan anak-anak. Banyak juga tanggungjawab yang dia mula abaikan. Pernah juga dia pukul Zie dan anak-anak" Airmata Zie mengalir semula. "Tapi Zie bertahan. Sebab terkenangkan anak-anak dan kenangan cinta kami sepanjang 13 tahun bersama. Semua kisah cinta kami dulu-dulu, susah nak dilupa" Air jernih dipipinya dibiarkan mengalir jatuh menimpa tudung putih yang dipakainya. Dalam esak tangisnya, Zie masih ayu dan menawan. Aku pula tidak mengulas panjang cerita Zie. Aku hanya menganggukkan kepala sambil menatap wajahnya. "Sabar Zie. Semua yang berlaku ini bukanlah saja-saja kan. Zie kena yakin tu..." Bagi aku, salah satu peranan seorang kawan ialah menyabarkan dirinya ketika dicengkam kepedihan dan kesedihan. Disaat begini Zie memang perlukan sokongan ramai pihak termasuk kawan-kawan.
"Kadang-kadang Zie rasa, hidup Zie dah tak ada apa-apa lagi. Zie selalu menangis dan bersedih. Memang kesian kat anak-anak. Tapi kadang-kadang Zie rasa buntu. Tak tau nak buat apa. Tak tahu nak mengadu pada siapa dah....Kadang-kadang Zie rasa macam nak mati je" Zie mula teresak-esak. Nasib baik tempat kami berbual agak jauh dari orang ramai. Kalau tidak sudah pasti ada mata yang akan memandang penuh tandatanya. "Jangan cakap macam tu Zie, Zie ada tempat mengadu. Ada yang akan menolong. Ada yang terus sayang dan cintakan Zie. Tapi kenalah Zie mengadu kat Dia. Kena la Zie sayang kat Dia. Ingat Allah banyak-banyak Zie. Allah akan ingat kita. Allahlah yang akan mengubat segala kelukaan Zie. Jangan sampai cinta pada bekas suami Zie membunuh Zie! Nasihat ku. Seikhlasnya aku memberikan nasihat itu Zie.
Aku tidak mampu mencoretkan semua curahan perasaan mu disini. Namun kisah mu cukup untuk aku jadikan teladan betapa cinta bisa membunuh manusia. Cinta yang keterlaluan kepada manusia memang bisa membunuh kebebasan, kreativiti, keimanan, kebolehan, kebaikan, keyakinan...dan diri insan itu sendiri.
Oleh itu, jangan biarkan cinta yang sementara dan tidak berharga membunuh dirimu! Kembalilah kepada cinta yang Maha Kekal, Maha Agong, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
~ Roha Hassan~

No comments: