Saturday, January 16, 2010

Diari Seorang Tetamu Allah (02) – “Haji” Hanya Untuk Orang “Baik-baik”


'Kata orang kaya “A”, “Walaupun saya ada duit, saya belum bersedia menunaikan haji. Maklumlah nak buat jahat lagi…ha ha ha ha”.

Kata Datin “B”, “Saya ni bukan tak nak ke Mekah. Tapi belum bersedia. Maklumlah dah jadi hajah nanti nak kena berjubah dan bertudung pulak. Ish rimaslah. Nanti nak join group poco-poco pun tak boleh lagi…he he he”

Ada juga yang kata, yang boleh pergi haji hanyalah “orang baik-baik”, “orang kaya-kaya”, “orang yang sudah matang”, “orang yang dah pencen yang ada banyak masa” dan macam-macam lagi kata-kata dan ungkapan orang.

Semua itu kadangkala buat kita bertanya...betulkah seruan untuk menunaikan haji hanya sampai pada mereka yang baik-baik, kaya-kaya, pandai-pandai atau orang yang sudah tua ?

Bagi saya, jawapannya tidak.

Ketika membaca kisah-kisah perkongsian pengalaman macam-macam manusia ketika berada di tanah suci dan pengalaman sendiri sebagai tetamu Allah. Dapatlah difahami bahawa mereka yang datang untuk menunaikan haji datang dari pelbagai latarbelakang. Tidak semestinya orang baik-baik sahaja.

Ada orang yang setahu saya merupakan “pemimpin yang digelar zalim oleh rakyat” telah pergi menunaikan haji. Ada juga artis yang digelar “symbol seks” pergi menunaikan haji. Saya lihat ramai anak muda menunaikan haji dicelah-celah tubuh tua dan uzur. Ada yang menginap di hotel-hotel mewah. Ada pulak yang hanya bermalam di bawah jambatan. Ada yang datang berjalan kaki, ada pulak yang menaiki pesawat mewah!

Benarlah firman Allah swt dalam surah Al-Hajj ayat 27 yang bermaksud, "Dan maklumkanlah kepada manusia supaya mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepada Engkau dengan berjalan kaki dan mengenderai unta yang kurus, mereka datang dari segenap ceruk penjuru atau pelusuk yang jauh (seluruh dunia)".

Pendekata, perintah dan seruan menunaikan haji tidak dikhaskan untuk golongan tertentu sahaja. Sebaliknya seluruh umat manusia. Namun menunaikannya menjadi wajib bagi mereka yang berkuasa yakni berupaya melakukan ibadah haji sama ada secara sendiri atau melalui pertolongan orang lain.

Tetapi “hanya yang terpilih” sahaja yang akan dikurniakan oleh Allah dengan Haji mabrur. RasululLah saw bersabda "Haji yang mabrur itu, tidak ada balasan baginya melainkan syurga” (Hadis Riwayat Ahmad di dalam kitab Baqi Musnad al-Mukatthirin, bab Musnad Abi Hurairah r.a).

Oh betapa nikmatnya manusia yang dikurniakan haji yang mabrur. Mudahkah mendapat haji mabrur. Mungkinkah aku mampu memperolehinya. Apakah sifat-sifatnya?

Dalam surah al Baqarah ayat 197, 200-202, diterangkan sifat haji yang mabrur. Marilah kita hayati dan renungi maksud ayat-ayat tersebut.

197. (Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barangsiapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka tidak boleh rafats ("Rafats" artinya mengeluarkan perkataan yang menimbulkan berahi yang tidak senonoh atau bersetubuh.) berbuat fasik dan berbantah- bantahan di dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, niscaya Allah mengetahuinya. Berbekallah, dan sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang-orang yang berakal.

200. Apabila kamu telah menyelesaikan ibadah hajimu, maka berdzikirlah dengan menyebut Allah, sebagaimana kamu menyebut-nyebut (membangga-banggakan) nenek moyangmu, atau (bahkan) berdzikirlah lebih banyak dari itu. Maka di antara manusia ada orang yang bendo'a: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.

201. Dan di antara mereka ada orang yang berdo'a: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka"

202. Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian daripada yang mereka usahakan; dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.
Begitulah istimewanya mereka yang dikurniakan Haji yang Mabrur. Kita mungkin datang dengan latarbelakang yang kotor, tetapi haji mabrur bisa membersihkan insan yang kotor menjadi suci bagai bayi yang baru dilahirkan.
Bahkan....kekayaan, kemasyuran, kecantikan dan segala kelebihan dunia bukan ukuran untuk penganugerahah haji yang mabrur.

Oh Tuhan! Kurniakan aku haji yang mabrur walaupun aku sedar betapa hina dan kerdilnya aku....


Roha Hassan

3 comments:

Unknown said...

salam ziarah

http://kembaratamantamansyurga.blogspot.com

Cikgu Aini said...

MasyaAllah, seronoknya!!... singgah lah ke blog saya: http://ainblogger.blogspot.com... Pinjam gambar 1 keping...syukran...

Roha Hassan said...

As salam, Terima kasih puteri yahaya. Silakan pinjam..:-).