Friday, April 2, 2010

Indahnya Alam Ciptaan Ilahi

Salam..

Indahnya pagi ini, itulah ungkapan yang terlintas dalam pemikiran ini ketika memandang alam ciptaan Allah.

Menggunakan kamera biasa, saya sempat merakamkan beberapa keping foto keindahan alam yang luar biasa, dalam perjalanan menuju ke KLIA.

Destinasi yang ingin dituju ialah Kelantan.


Apabila melihat alam ciptaan Allah ini, saya teringat ayat-ayat suci al-quran dan al-hadis yang menceritakan tentang keunikan dan keajaiban alam ciptaan Tuhan.

"Dia-lah Allah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu dan Dia berkehendak terhadap langit, lalu di jadikanNya 7 lapisan langit. Dan Dia maha Mengetahui segala sesuatu." (Surah al-Baqarah; 29)

"Maka Dia menjadikannya tujuh langit dalam dua masa dan Dia mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya. Dan Kami hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang cemerlang dan Kami memeliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui." (Surah Fusilat; 12)


Alam mengandungi sejuta pelajaran dan pengajaran yang boleh diambil oleh manusia. Ia adalah salah satu formula untuk kita lebih rapat dan dekat dengan Tuhan jika kita benar-benar berfikir.

Alam yang begitu unik dan tidak mungkin diciptakan oleh insan. Sesuatu yang tiada cacat celanya pastinya dari Tuhan bukan insan atau makhluk

Manusia yang berfikir akan menyedari bahawa alam yang Tuhan jadikan penuh dengan rahsia ini adalah semata-mata untuk
kebaikan semua mahkluk Tuhan. Sebab itu menyayangi dan menyantuni alam adalah merupakan salah satu tanggungjawab insan.

Manusia dan alam memiliki perhubungan yang sangat erat. Oleh itu, kita wajib mengasihi dan memelihara alam sebaik-baiknya.

Mencemari dan menyakiti alam hanya akan membawa kepada kemusnahan.

Malahan segala keindahan yang ada ini mungkin lenyap dari mata dan tidak mampu kita nikmati lagi selama-lamanya

~Roha Hassan~

No comments: