Thursday, October 9, 2008

kualiti insan bernama disiplin


Soalan,

Saya selalu dimarahi ibubapa kerana disiplin. Di sekolahpun saya sering dimarahi guru kerana disiplin. Saya selalu dituduh kurang atau tidak berdisiplin. Kata-kata saya rasa bengang juga. Kadang-kadang rasa risau sebab asyik dimarahi kerana tidak berdisiplin. Bagaimana caranya untuk saya baiki perkara ini. Mohon pandangan Kak Roha.

Enrika,
Kuala Lumpur

==================================

Jawapan,

Salam lebaran buat Enrika, Semoga sentiasa ceria dan gembira di samping keluarga dan teman-teman.

Usahlah marah, bengang atau bersedih hati apabila didakwa kurang atau tidak berdisiplin. Teguran atau muhasabah itu amat diperlukan dari masa ke semasa. Itulah ertinya mereka kasih dan mengambil berat pada diri kita.

Bercakap tentang persoalan disiplin, kita harus melihat ke dalam diri kita dan apa sahaja yang berada di sekeliling kita. Anda sangat bertuah dikelilingi oleh insan-insan yang mementingkan disiplin. Kehidupan memang memerlukan disiplin. Samada kita suka atau tidak, ia satu tuntutan dan keperluan.

Bayangkanlah jika alam tanpa disiplin. Andai matahari tenggelam timbul sesuka hati. Tanpa mengikut masa yang telah ditetapkan. Bulan dan bintang beredar sesuka hati tanpa mengikut orbit yang sepatutnya. Musim tidak silih berganti mengikut turutan. Dunia pasti akan hancur.

Begitu juga dengan manusia. Bayangkan jika kita ke sekolah sesuka hati tanpa mengikut masa dan jadual yang ditetapkan. Apa akan jadi dengan suasana pembelajaran di sekolah. Begitu juga jika kita tidak berdisiplin di jalanraya, sudah pasti setiap hari kemalangan akan berlaku.

Sekarang inipun kita boleh melihat kadar kemalangan yang tinggi di jalanraya akibat sikap tidak berdisiplin sesetengah pengguna jalanraya. Hidup kita ini sebenarnya disempurnakan lagi dengan pelbagai disiplin yang diterapkan melalui adat dan agama. Contohnya ketika seorang muslim bersolat, setiap pergerakannya disusun penuh disiplin. Malahan ”tertib” atau ”mengikut turutan” merupakan salah satu rukun solat. Begitu juga dengan agama lain ada cara dan adabnya yang tersendiri apabila mereka bersembahyang.


Kita sendiri boleh melihat kualiti insan yang tidak mengikut disiplin yang sepatutnya. Lihatlah keadaan remaja yang tidak berdisiplin di sekolah. Mereka ponteng sekolah. Melawan guru. Membuli teman-teman. Akhirnya mereka gagal dalam pelajaran dan hidup.

Seorang penulis terkenal, John C.Maxwell dalam bukunya The 21 Indispensable Qualities Of A Leader, yang diterjemahkan ke dalam edisi Bahasa Melayu oleh PTS Profesional mengungkapkan pandangan berikut tentang disiplin.

H. Jackson Brown pernah berkata, ”Bakat tanpa disiplin adalah seperti sotong kurita berkasut roda. Ia bergerak tetapi tidak pasti ke mana.” Jika anda tahu anda berbakat dan sudah berusaha tetapi masih tidak mencapai kemajuan, mungkin anda kurang berdisiplin.


Sebuah nurseri pokok di Kanada mempamerkan kat-kata ini pada dindingnya, ”Masa yang terbaik bagi menanam sebatang pokok adalah 25 tahun tahun dahulu...masa kedua terbaik ialah hari ini”. Tanamkan disiplin hari ini.

Bagi mendisiplinkan diri, ikuti langkah-langkah berikut :

1. Susun semula keutamaan Kita

Fikirkan aspek yang penting dalam hidup dan catatkannya. Fikirkan juga disiplin yang kita perlu ada supaya terus berkembang dalam aspek-aspek itu. Masukkan disiplin itu dalam jadual harian kita. Untuk kes Enrika, anda boleh catatkan apakah masalah disiplin anda yang sering dikritik oleh ibubapa, guru-guru dan rakan-rakan. Kemudian anda boleh melaksanakan cadangan berikut.

2. Fikirkan sebab-sebabnya

Senaraikan pula faedah melakukan disiplin-disiplin tadi setiap hari. Tampal supaya kita dapat melihatnya setiap hari. Apabila kita merasakan malas mahu melakukannya, baca semula senarai tersebut.

3. Buangkan segala alasan

Senaraikan semua sebab mengapa anda tidak melakukan disiplin itu selama ini. Baca senarai itu dan akuilah semuanya hanya alasan semata-mata. Walaupun mana-mana sebab yang anda beri dirasakan seperti muhasabah, tanganilah ia. Jangan berikan diri anda ada ruang bagi berputus asa.

Begitulah diantara beberapa cadangan dan langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk meningkatkan lagi disiplin diri kita.

Dari masa ke semasa, cubalah membaca kisah insan-insan yang berjaya seperti Nabi Muhammad SAW, para sahabat, ulama, tokoh-tokoh antarabangsa dan negara yang amat menitikberatkan soal disiplin dalam kehidupan mereka. Disiplin adalah ramuan untuk mereka berjaya dalam bidang masing-masing serta dihormati oleh orang lain.

Kisah-kisah mereka pasti menyuntik semangat untuk kita menjadi insan yang lebih berdisiplin. Oleh itu tanamkanlah disiplin dalam diri kita sejak di usia remaja supaya kita berjaya di masa hadapan.

-Roha Hassan-

No comments: