Saturday, May 15, 2010

Remajaku, Gurumu Untuk Dikasihi, Bukan Disakiti


Puisi Guru Oh Guru – Usman Awang

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Setiap kali membaca puisi guru oh guru oleh SN Dato’ Dr Usman Awang wajah setiap guru yang pernah mendidik dari sekolah rendah hingga universiti akan bermain dalam ingatan.

Menjadi seorang guru bukanlah satu tugas yang mudah. Bukan semua insan sanggup dan mahu melakukannya. Guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain. Sejak dahulu hingga kini guru tetap merupakan insan penting dalam kehidupan kita.

Namun, akhir-akhir ini sering kita dengar hal-hal kurang menyenangkan antara guru dan pelajar. Tidak sedikit kisah yang kita dengar tentang guru mencabul pelajarnya, begitu juga guru memukul dan mencederakan pelajar dan macam-macam lagi hal yang kurang enak didengar.

Dari sudut lain pula, semakin ramai guru yang keluh kesah dengan sikap pelajar masing-masing. Terutamanya pelajar remaja. Bukan sedikit kisah pelajar yang degil, ponteng sekolah, melawan, memaki hamun, memukul atau menyakiti guru masing-masing.
Remajaku, gurumu untuk dikasihi bukan disakiti. Hayatilah puisi diatas betapa sentuhan para guru merupakan sentuhan ajaib yang boleh mengubah seorang manusia dengan izin Allah. Insan boleh jadi istimewa atau sebaliknya dengan bimbingan guru.

Dalam membicarakan kepentingan guru dalam kehidupan remaja. Meletakkan semua tanggungjawab mendidik diri remaja di atas bahu para guru juga merupakan perbuatan yang tidak wajar. Guru adalah sebahagian daripada kehidupan seorang remaja. Namun bahagian yang paling besar mesti diisi oleh ibubapa. Guru ada peranannya yang tersendiri dalam hidup remaja. Manakala ibubapa memiliki tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan apa yang disampaikan oleh guru diamalkan oleh remaja masing-masing.

Kenapakah guru sangat penting dalam kehidupan kita wahai remajaku? Jawapannya kerana guru dan ilmu tidak dapat dipisahkan. Melalui guru kita mendapatkan ilmu. Manakala dalam mendapatkan ilmu kita memerlukan bimbingan guru.

Islam memandang tinggi orang yang menuntut ilmu, ia merupakan satu amalan yang sangat tinggi nilainya. Pahalanya amat besar sehingga orang yang mati semasa menuntut ilmu dikategorikan saperti seorang yang mati dalam beribadah.

Ayat pertama yang diturunkan dalam al-Quran memerintah manusia supaya membaca yang maksudnya menuntut ilmu, sebagaimana firman Tuhan yang bermaksud
"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang maha pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan Qalam”. (al-Alaq – ayat 1-4)

Dalam Hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda madsudnya "Barang siapa keluar untuk menuntut ilmu maka ia termasuk dalam golongan orang yang berjuang pada jalan Allah , sehinggalah ia kembali".

Menuntut ilmu sama ada ilmu fardu ain atau fardu kifayah, kedua-duanya adalah penting.

Allah turut berfirman "Katakanlah hai Muhammad! Adakah sama kedudukan orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu ? Sesungguhnya orang yang sedar itu ialah orang yang berfikir”. (al-Zumar – ayat 9)

Ilmu pengetahuan yang ada pada seseorang itu dapat meningkatkan kedudukannya dalam masyarakat. Lagi tinggi pengetahuan seseorang maka lagi tinggilah kemuliaannya dalam masyarakat. Orang berilmu bagaikan bintang yang bersinar diwaktu malam.

Usia remaja adalah usia dimana seseorang itu perlu melengkapkan diri dengan ilmu sebanyak-banyaknya sebagai bekalan menuju kedewasaan dan paling penting menuju dunia abadi.

Usahlah marah dan benci jika guru memberikan nasihat. Jauhilah salah sangka dan benci pada guru walaupun adakalanya mereka melukakan hatimu. Guru juga manusia, mereka juga boleh tersilap seperti kita. Terimalah setiap ilmu, teguran, muhasabah, nasihat dan bekalan yang gurumu berikan dengan lapang dada.

Andai kita umpama sibuta, guru adalah tongkatnya. Andai kita umpama sijahil, belajarlah menjadi cerdik dari seorang guru dan andai kita sebatang pensil, redhalah guru menjadi pengasahnya!


~Roha Hassan~

No comments: