Monday, April 4, 2011

Setanggi Kasih Yang Mengharum Di Pondok Haji Ahmad Nahu

Kehidupan memang indah. Namun bagi yang tidak menghargai setiap detik yang dilalui dan dimiliki, tiada apa yang bermakna untuk insan seperti ini. Apa yang indahnya dalam hidup? Banyak sangat! Namun bergantung kepada bagaimana kita memanfaatkan nikmat yang Allah kurniakan. Indah dan bahagia itu tidak boleh diukur dengan wang ringgit atau harta benda semata-mata. Kita akui kepentingan harta benda dan wang ringgit dalam kehidupan. Namun ia bukan segala-galanya. Untuk saya, nazirah dan adik-adik, perjalanan ke Pondok Haji Ahmad Nahu Kuala Beris, Sik, Kedah bersama-sama rakan-rakan NGO Wargakilang adalah satu perjalanan yang indah dan mulia. Sejak remaja, saya sukakan kerja-kerja sukarelawan. Dari Perlis hinggalah ke Aceh, saya sering merindui kerja-kerja amal dan kebajikan. Perkongsian seperti ini bukanlah untuk menceritakan berapa banyak kerja-kerja amal yang saya lakukan. Saya hanya ingin menyatakan bahawa ada kepuasan dan kebahagiaan tersendiri dalam setiap kebaikan yang kita lakukan. Bukan nilai sen atau material, masa atau tenaga, anda akan rasa bahagia bila anda dapati anda telah berkongsi bahagia dengan insan lain. Orang yang mulia berkongsi kebahagiaan dan kegembiraan dengan orang lain sebab dia tahu apa sahaja nikmat didunia ini hanyalah pinjaman semata-mata. Namun orang yang bakhil, jiwanya sempit. Semuanya ingin dibolot seorang diri! Ish berfalsafah pulak!


Sepanjang perjalanan ke Pondok Haji Ahmad Nahu, Kuala Beris. Kami memuji-muji ketenangan dan keindahahan ciptaan Allah di kiri kanan jalanraya. Maklumlah sejak berpindah ke Kuala Lumpur, banyak program di Kuala Lumpur diadakan di dewan. Tidak kira samada program motivasi percuma kepada remaja, pengisian kepada ibu tunggal atau malam amal untuk anak-anak yatim. Lama juga tidak ke kampung-kampung atau desa-desa untuk menyantuni mereka yang memerlukan. Bila ada kesempatan ke tempat-tempat yang kaya dengan keindahan alam semulajadi, memang best sangat!

Apa-apapun, kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada kawan-kawan wargakilang, khususnya saudara Wahab yang begitu sabar menanti kami untuk menunjukkan jalan ke tempat yang ingin dituju. Begitu juga penghargaan kepada saudara Shukri yang merupakan koordinator program kali ini. Selebihnya kepada saudara Munir, Sattar, Azman suami isteri serta yang lain-lain yang belum sempat bertaaruf. Apa pun objektif perjalanan kali ini, tidak salah rasanya untuk kita sama-sama menghalusi mutiara iman yang ditinggalkan oleh junjungan besar RasululLah saw dengan sabdanya berkaitan dengan tanggungjawab seorang muslim dengan muslim yang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barangsiapa melepaskan kesusahan seorang muslim dari kesusahan dunia, Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat; barang siapa memudahkan seorang yang mendapat kesusahan, Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat; dan barang siapa menutupi (aib) seorang muslim, Allah akan menutupi (aibnya) di dunia dan akhirat; dan Allah selalu akan menolong hambanya selama ia menolong . (riwayat Muslim)


Dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Hak seorang Muslim atas seorang Muslim yang lain ada enam. Di antara para sahabat ada yang bertanya: Apa saja ya Rasulullah? Baginda menjawab: 1)Bila kamu berjumpa dengannya ucapkan salam. 2)Jika ia mengundangmu, penuhilah. 3)Jika ia meminta nasihat kepadamu, nasihatilah. 4)Jika ia bersin dan memuji Allah hendaknya kamu mendoakannya. 5)jika ia sakit jenguklah. 6)jika ia mati hantarkanlah jenazahnya. (riwayat Muslim)

Perjalanan kami bermula sekitar 7.45 pagi dari Bagan Serai. Terlewat dari masa yang sepatutnya iaitu 7 pagi. Memang agak lewat tiba berbanding rakan-rakan WK yang lain kerana nak mengambil barang makanan dari kedai abah. Maklumlah agak lewat tiba dari Kuala Lumpur. Malamnya, kami bersemangat menyediakan cup cake untuk adik-adik di Sekolah Pondok sampai jam 2.00 pagi. Tak sedar masa berlalu ketika ramai-ramai memasak. Natijahnya, paginya semua bertungkus lumus nak bangun awal. Tambahan pulak ada dua anak kecik, Muhammad Danial Sufi dan Nurdinie Safiah yang ingin turut serta.


Perjalanan ke Kuala Beris dari Bagan Serai mengambil masa hampir tiga jam. Bertemu dengan kawan-kawan Wargakilang yang agak lama menanti kami di pertengahan jalan memang melegakan. Lama sungguh tidak berjumpa sebenarnya. Saya sudah terlupa apa nama tempat tersebut tapi memang seronok melihat konvoi rakan-rakan WK. Mereka ini kebanyakan memang istiqamah dengan apa yang mereka lakukan. Sejak mula WK ditubuhkan, mereka terus melakukan kerja amal dan kebajikan. Memang ada wajah-wajah baru yang silih berganti. Namun Munir and the gang masih istiqamah hingga hari ini. Tahniah!


Setelah melalui jalan-jalan berliku dan segar dengan tumbuhan hijau, AlhamdulilLah kami tiba ke tempat yang dituju. Keadaan sekitar pondok tersebut damai walaupun ada beberapa pembaikan infrastuktur yang diperlukan. Pendekata walaupun serba seadanya, wajah para penghuni Pondok Haji Ahmad Nahu kelihatan bahagia, tenang dan ceria. Ketika "abang-abang dan pakcik-pakcik" Wargakilang sibuk memunggah barang-barang makanan dan kitab selaku sumbangan kepada Penghuni Pondok Haji Ahmad Nahu. Kami pulak ke bahagian belakang madrasah untuk bertemu dengan penghuni pondok di kalangan wanita. Kami disambut oleh Maksu Zaharah dan Kak Endon bersama dengan anak-anak muda yang begitu hebat sekitar 40 orang.

Melihatkan pondok-pondok kecil yang dihuni oleh mereka, hati pasti kagum. Sungguh besar pengorbanan gadis-gadis muda ini. Berkorban demi memantapkan ilmu didada dengan pengorbanan yang bukan calang-calang orang mampu melakukannya.


Yang lebih mengkagumkan ialah Kak Endon, salah seorang ibu tunggal yang menghuni disitu. Wajahnya nampak tenang, namun disebalik ketenangan tersebut, beliau sudah dua tahun menderita kanser. Menurut Kak Endon, beliau mendapat kanser selepas kematian suaminya yang kedua yang katanya sebelum ini merupakan pengamal perubatan tradisional termasuk kanser. Namun kini


Kak Endon menanggung penderitaan kansernya seorang diri tanpa suami tercinta. Menurut Kak Endon, tubuhnya terasa nyilu. Sebelah payudaranya telah dibuang. Namun rawatan seterusnya tidak mampu dilakukan kerana masalah kewangan. Hanya pondok itulah yang bisa merawat kegundahannya daripada terlalu memikirkan tentang kanser yang dihadapinya. Sambil tersenyum Kak Endon terus berkongsi liku-liku perjalanannya setelah dua tahun mengidap kanser. Perkahwinan pertamanya berakhir dengan penceraian selepas lahirnya cahayamata yang pertama. Kemudian suami keduanya pula meninggal dunia. Kini ujian kanser melanda.Begitupun Kak Endon tetap tenang dan sabar mengharungi cabaran kehidupan.


Selain Kak Endon, sekitar tujuh orang dewasa dan 40 remaja puteri yang menjadi penghuni Pondok Haji Ahmad Nahu in yang khabarnya boleh menampung sekitar 150 orang penghuni. Banyak yang ingin dikongsikan, namun kata-kata tidak cukup untuk mengambarkan ketabahan dan kekuatan anak-anak remaja yang menghuni Pondok ini.Barangkali coretan orang kuat NGO Wargakilang iaitu Saudara Monier Mat Din ini dapat pula menceritakan sepenuhnya apa yang berlaku. Bacalah coretan tentang pengorbanan sekumpulan remaja yang terpilih ini dalam coretan berikut: http://moniermatdin.blogspot.com/2011/04/bukan-semua-org-belajar-sebab-nak-dpt.html Seperti pesanan Munir. Saya juga ingin mengajak kalian singgah ke Pondok ini jika ada kesempatan. Banyak yang akan kita pelajari dari anak muda yang masih ”kecil” dari sudut jumlah usia namun ”berjiwa besar” dari sudut pengorbanan dan ketabahan. Semoga Allah mengukuh hati anak-anak ini atas jalan yang mereka pilih.


Catatan oleh : Roha bt Hassan

8 comments:

fadhil muhsin said...

assalamualaikum wbt.saya salah seorang penuntut yang pernah belajar di pondok hj mat nahu.apa yang di perkatakan oleh saudara penulis memang benar sama sekali.

Nureyzal Shoppe said...
This comment has been removed by the author.
Nureyzal Shoppe said...
This comment has been removed by the author.
Nureyzal Shoppe said...
This comment has been removed by the author.
Roha Hassan said...

As salam saudara Fadhil, terima kasih kerana sudi membaca. Kami dalam proses mendapatkan dana untuk mencatikkan infrastukrur Pondok Ahmad Nahu. Mohon doa...:-)

Roha Hassan said...

Saudara Nureyzal, silakan. Kongsi-kongsikan perkara yang baik. Terima kasih. Mohon kita sama-sama berdoa kerana ada banyak kebaikan dari Pondok Ahmad Nahu ini yang boleh dimanfaatkan oleh semua..;-)

khaty69 said...

Assalamualaikum... saya juga teringin sangat nak bersama2 keluarga kilang melawat sambil membantu org2 yg memerlukan. walaupun saya hidup dalam serba sederhana saya sgt bersimpati dengan org2 yg memerlukan ini... kalau ada lagi perjalanan seperti ini harap2 saya dapat menertainya bersama terutama disebelah utara. Puan sungguh baik budi, semoga Allah sentiasa melindungi puan.

Unknown said...

Saya seorang warga emas, kalau nak belajar disini, ada tak rumah/pondok utk disewa?