Tuesday, May 3, 2011

JJMK 01 Mei - Dia Dipanggil Allah Setelah 18 Tahun Menjadi Suamiku...

Wahai diri, dalam dunia, mana satukah milik kita?
Suami?
Isteri?
Ibubapa?
Anak-anak?
Harta kekayaan dan wang ringgit?
Pangkat dan kedudukan?
Ijazah dan kelulusan?

Jawapannya: Tiada satupun milik kita! Semuanya milik Allah. Allah boleh memberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan boleh mengambil apa sahaja dari kita, bila-bila masa sekalipun sebab, tiada satupun milik kita hatta nyawa sendiri.



Apa yang dialami oleh Puan Sharifah dan 7 orang anak-anaknya adalah senario yang juga pernah dialami oleh ramai dari kita. Kehilangan sesuatu yang kita kasihi dan sayangi.

Mungkin apa yang kita kehilangan itu berbeza, namun kehilangan biasanya adalah sesuatu yang menyakitkan. Terutamanya buat seorang isteri seperti Sharifah, kehilangan suami tercinta seminggu selepas ulangtahun perkahwinan yang ke 18 pasti bukan sesuatu yang mudah.

"Kakak redha dengan pemergian abang walaupun baru lepas seminggu ulangtahun perkahwinan kami yang ke 18" Ujar wanita yang tabah ini. Tiada airmata yang bergenang atau mengalir, hanya senyuman menyambut kehadiran warga NGO Wargakilang yang menziarahi beliau 01 Mei yang lalu.

Barangkali tiada lagi airmata yang boleh ditumpahkan setelah suami tempat bergantung meninggal 17 April yang lalu dihempap kayu balak ketika bekerja.



Hidup adalah putaran yang ada kegembiraan dan kesedihan. Ada kekayaan dan kemiskinan. Ada masa senang, ada masa susah. Ada masa kita membantu, ada masa kita yang memerlukan bantuan.



Untuk wanita tabah seperti Puan Sharifah, hidup mesti diteruskan. Anak-anak yang merupakan amanah dari Allah perlu dititipkan hingga usia yang sesuai untuk dilepaskan. Kata beliau, "Arwah suami Kak berhajat sangat nak melihat anak-anak berjaya. AlhamdulilLah anak Kak sorang dah masuk MRSM". Puan Sharifah beberapa kali menyebut pesanan arwah dalam bab pendidikan 7 orang anak-anak mereka yang masih kecil dan bersekolah.


Begitulah secebis kisah dan harapan Puan Sharifah dan anak-anak. Apapun, disaat-saat seperti ini, saya yakin sesiapapun amat memerlukan bantuan dan sokongan. Sudah tentu bantuan dan sokongan yang bersifat jangka pendek dan jangka panjang bisa menjadi penawar diatas ujian yang mendatang.


Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mudah-mudahan Puan Sharifah dan anak-anak dikurniakan kesabaran dan ketabahan. Sedang kita pula sebagai saudara sesama muslim, ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan terhadap sesama muslim yang ditimpa musibah.


“Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita..” Al-Baqarah : 274

Untuk kita yang masih memiliki apa yang memang bukan milik kita, wajar menjadikan kisah Puan Sharifah dan anak-anak sebagai pedoman yang sangat bermanfaat. Siapkan diri, suami, isteri serta anak-anak akan hakikat, tiada satupun atas dunia ini milik kita.


Kelak kita akan lebih memahami bahawa setiap yang Allah pinjamkan kepada kita, boleh diambil Allah bila-bila masa. Allah tidak pernah menzalimi hambaNya. Bahkan sifat tamak, ego, takbur, sombong, tidak bersyukur antara punca Allah mengambil kembali setiap yang dipinjamkanNya.


Tidak kurang pula, Allah mengambil apa yang dipinjamkanNya kepada kita sebagai ujian. Ujian untuk melihat sejauh mana kita sayangkan Allah berbanding selainNya. Ujian untuk mengukur kesabaran kita bila diuji ketika ada berbanding ketika tiada.


Kadangkala Allah juga mengambil miliknya dari kita, demi menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Hanya Allah yang Maha Mengetahui setiap segala sesuatu.


Tabahkanlah hati kita atas segala kehilangan dan sesuatu yang bukan milik kita!

"Allahumma inni a'uzu bika minal hammi walhazan, wa-auzubika minal 'ajzi wal kasal ( Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kesedihan dan kegelisahan. Aku berlindung kepadaMu dari kelemahan dan kemalasan. )...amin Ya Rabbal 'Alameen.."

Kisah JJMK 01 Mei juga boleh dibaca di :

http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
http://moniermatdin.blogspot.com/
http://pembelasp.blogspot.com/

~Roha Hassan~

2 comments:

aidilcsr said...

Ada akaun no bank utk kami menderma kat pn ni?

Unknown said...

salam kak. glad to meet u that day masa JJMK. u r a very warm n welcoming person. moga kita jumpa lagi di lain event. insyaallah.