Monday, December 12, 2011

JJMS Zon Tengah : Andainya Aku Kaya

1. Andainya Aku Kaya

Andainya aku kaya : Itulah ayat yang muncul dalam minda ini apabila anak-anak kecil sekitar 8-12 tahun itu berkeliaran di sekitar pasar yang basah dan berbau. Anak-anak kecil yang comot itu mendekati hampir semua pembeli termasuk kami. Berbekalkan plastik hitam ditangan, anak-anak ini mula menawarkan diri untuk mengangkat ikan dan udang yang baru kami beli.

Saya serba salah untuk membenarkan mereka membawa ikan dan udang yang saya beli sekitar 15 kilo itu. Sederhana berat untuk kami berdua, tetapi bagi saya terlalu berat untuk kanak-kanak. Janggal untuk saya membiarkan anak-anak sebaya mereka mengangkat barang-barang.

Rupanya sayalah yang tidak mengerti. Saya tidak mengerti bahawa kanak-kanak itu dari keluarga yang miskin dan tidak mampu. Demi meringankan bebanan ibubapa masing-masing, kanak-kanak ini mencari rezeki dengan cara mengangkat beg para pembeli di pasar itu. Tentulah ia lebih baik dari meminta-minta.

Sejenak saya teringatkan seorang remaja lelaki yang saya ditemui disebuah resort di Melaka beberapa minggu yang lalu. Dia datang mengemas bilik kami. Sempat kami berbual dengan remaja yang bertubuh kecil itu. Katanya, ”Saya baru habis PMR. Kerja kat sini untuk cari duit. Nak guna masa bukak sekolah tahun depan. Kami orang susah..” Begitu anak ini berkongsi secebis kisahnya dengan kami. Beberapa kali kami terserempak dengan remaja ini, namun tawa dan senyumnya tetap sama. Ceria dan peramah.

Saya suka apa yang dilakukannya. Teringat pula pada diri sendiri. Dulu, setiap kali pulang dari sekolah kami akan membantu arwah abah berniaga. Tidak pernah rasa ianya satu bebanan. Tidak pernah rasa ia sesuatu yang memalukan. Yang pasti sejak kecil kami sudah diasuh dan dididik agar berusaha demi kehidupan!

Kalau dulu saya sering diingatkan agar belajar bersungguh-sungguh. Ada kerjaya. Punya wang demi membantu keluarga. Menjadi kaya dan berjaya agar boleh membantu diri, keluarga, agama dan sesiapa sahaja yang memerlukan.

2. Lagi-lagi, Aku Ingin Kaya

Andainya aku kaya : Ayat itu muncul kembali dalam minda ini apabila sering didekati oleh kanak-kanak yang meminta wang. Antara ingin memberi atau tidak, saya jadi serba salah. Tidak diberi, saya rasa kasihan. Diberi, pasti akan ada beberapa orang lagi yang akan menyerbu kita. Risau juga dengan keselamatan sendiri.

Namun antara rasa kasihan dan kerisauan, biasanya saya akan hulurkan jua sumbangan kecil. Mudah-mudahan ia memberi manfaat. Sebabnya, saya memang mudah simpati. Tambahan pulak itulah yang dididik oleh arwah mak yang sifatnya sentiasa memberi walaupun sedikit.

Apa yang kanak-kanak ini lakukan sebenarnya mengingatkan saya akan beberapa peristiwa yang pernah saya temui. Dulu ketika masih di IPT, saya akan naik bas ekspres untuk balik kampung. Ketika itulah kanak-kanak yang meminta sedekah ini akan mendekati kita. Jika kita tidak memberikan apa-apa bila diminta, mereka mula mengungut dan mengeluarkan pisau kecil. Satu ketika dahulu perkara ini pernah jadi isu dan dihebohkan.

Mungkinkah perkara seumpama itu sudah dapat dibendung atau masih berleluasa? Saya tiada fakta tentangnya namun cerita seorang teman membuatkan saya berfikir.


3. Kefakiran Boleh Membawa Kepada Kekufuran

Baru-baru ini ketika kami makan-makan bersama teman yang berasal dari Indonesia, dia bercerita. Kata teman yang baik itu, di satu bandar yang tidak mahu saya sebutkan namanya adalah tempat dimana kanak-kanak diajar menjadi penyeluk saku sehingga menjadi yang terhandal. Kemudian dilepaskan untuk menjalankan operasi masing-masing. Biasanya kanak-kanak yang miskin, melarat dan tidak mampu yang terpilih untuk dilatih!

Begitulah, kemiskinan ada ketikanya mengubah manusia baik menjadi sebaliknya. Benarlah bagai yang diingatkan oleh baginda RasululLah SAW, Kefakiran boleh membawa kepada kekufuran.

Semua ini membuatkan saya berfikir, andainya aku kaya! Alangkah baiknya jika aku kaya! Sekiranya aku orang kaya. Aku ingin membantu ramai orang. Aku ingin bersedekah. Aku ingin menolong kanak-kanak, janda, fakir miskin dan sesiapa sahaja yang memerlukan. Aku ingin melakukan banyak kebajikan. Aku ingin melakukan itu dan ini demi umat dan agama.


4. Si Kaya Yang Derhaka

Namun mungkinkah begitu! Benarkah jika kita sudah kaya raya kita akan jadi bertambah pemurah? Benarkah harta benda yang banyak akan jadikan kita lebih mudah memberi? Benarkah dengan menjadi jutawan atau hartawan kita juga mampu jadi dermawan? Benarkah kita mesti menanti menjadi kaya raya, jutawan, hartawan serta semua ini sebelum memiliki sifat pemurah dan pemberi?

Maka, teringatlah saya akan kisah Qarun yakni manusia kaya yang akhirnya mati dalam kekufuran. Tidak sedikit kisah manusia kaya yang bakhil serta mengingkari perintah Allah untuk mengeluarkan zakat sehingga diperangi seperti di zaman Syaidina Abu Bakar. Tidak kurang ”haji bakhil” yang tersenarai dalam carta kehidupan hari ini.

Walapun ramai sikaya yang dermawan diluar sana namun bagi saya, memberi bukan ketika kita kaya semata-mata. Yang penting kaya dengan sifat pemurah dan pemberi. Berilah sedikit asalkan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.



5.Dalam Setiap Kekayaan Ada Hak Yang Perlu Ditunaikan

Memberi itu hadir apabila kita memiliki. Kita memberi bila kita punya sesuatu untuk diberi. Walaupun sedikit asalkan kita mengerti nikmat dan kelebihan yang akan dinikmati oleh orang yang suka memberi dan berkongsi.

Ada banyak sebab kenapa kita kena selalu memberi! Apa yang kita miliki adalah milik Allah. Semuanya Allah yang beri walaupun yang berusaha itu kita. Berilah hak dirimu, keluargamu, umahmu, agamamu. Ada zakat dan sedekah yang perlu kita tunaikan. Semuanya telah Allah peringatkan dalam Al-Quran dan dikukuhkan oleh Al-Hadis.

1. Allah swt berfirman tentang Emas dan perak. Firman Allah S.W.T di dalam surah at-Taubah ayat 34 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

2. Allah swt juga berfirman tentang tanaman dan buah-buahan, Allah S.W.T menyatakan perkara tersebut di dalam surah an-An’aam yang bermaksud :

“Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.”

3. Allah swt juga berfirma tentang hasil usaha, firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.”


4. Allah S.W.T juga berfirman di dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud :

“Ambilah (sebahagian) dari harta (kekayaan) mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)”

Serta surah adz-Dzaariyaat yang bermaksud :

“Dan pada harta-harta (kekayaan) mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”

6. Jomlah Kita Memberi Walaupun Kita Bukan Jutawan Melalui JJMS Zon Tengah


Mungkin ada antara kita sudah cukup berjaya. Jutawan, hartawan, kaya raya. Ramai pulak antara kita berjaya tapi belum cukup kaya. Tidak kurang yang sederhana sahaja.

Pun begitu, anak-anak kita tidak sampai mencuri kerusi dan meja untuk dijual demi sesuap nasi. Anak-anak kita tidak menadah tangan kesana kemari untuk mendapat beberapa ringgit. Anak-anak kita juga tidak perlu ponteng sekolah untuk mencari rezeki.

Tidak sama nasib kita dan anak-anak kita dibanding dengan anak-anak dari golongan yatim, miskin, ibu dan bapa tunggal yang memerlukan bantuan di PPRT di Lembah subang, Selangor. PPRT ini merupakan perumahan rakyat termiskin. Ramai ibu-ibu tunggal dan anak-anak yang tinggal disana yg amat memerlukan bantuan. Kawasan ni mempunyai 8 blok flat.


7. Jalan-jalan Masuk Sekolah (JJMS) Zon Tengah Ke PPRT Lembah Subang Selangor Pada 25 Disember.

Antara bantuan yang Wargakilang Zon Tengah cadangkan untuk diserahkan kepada mereka yang memerlukan ini ialah:

1) Set peralatan sekolah atau sebahagiannya:
Beg sekolah, pensel, pemadam, pengasah, pembaris, kotak pensel
Botol minuman,bekas makanan, stokin, kapur kasut
2) Buku-buku latihan
3) Buku-buku bacaan, novel, komik etc
4) Pakaian-pakaian terpakai yg masih elok.
5) Tajaan makanan dan minuman pada hari tersebut juga dialu-alukan.

8.Jika ingin sertai kami, hubungi :

1. Kawasan Cheras dan sekitar - Warikh 019-470 1477
2. Kawasan Wangsa Maju dan sekitar- Roha 012-431 7948
3. Kawasan Subang & Sg Buluh dan sekitar - Sharul 012-631 5244
4. Kawasan Petaling Jaya dan sekitar– Borhan 013-3412057

Boleh hubungi salah seorang dari kami jika anda ingin memberi walaupun bukan berada di kawasan yang disebutkan diatas.

Sokongan dan bantuan dari semua amat kami hargai dan alu-alukan. Semoga Allah menambahkan rezeki kita melebihi apa yang kita beri.


Roha Hassan
Wargakilang
16 Disember 2011

3 comments:

fezmia said...

salam roha,

Gambar budak2 Roha ambik kat mana? Sedih tengok rumah kecil kat tepi sungai

Roha Hassan said...

Roha amik kat Sabah dan Sarawak..:-)

sweethOneY said...

Salam, saya confused ini page abg udin ataupun pn roha.. sbb link ke page ni jadi saya balas komen kat sini je lah..

Saya masih ingat lagi abg udin, and thank you, sekarang memang dah kawen pun. Hehee semoga cepat naik pelamin ye, amin :)