Thursday, February 5, 2009

Jom Melukis Bersama

Assalamualaikum wbt...
Ini adalah secebis kisah seorang kanak-kanak berusia 4 tahun, 11 bulan, 27 hari. Muhammad Danial Sufi atau panggilan manjanya Danial atau Sufi, memang mempunyai minat yang bermacam-macam.
Kadang-kadang dia akan menghabiskan banyak masa mengambil foto menggunakan kamera digital anjang. Kadang-kadang dia akan menghabiskan masa beberapa jam bermain komputer. Dia suka main games dan ber "ym" cara dia.

Beberapa hari ni, Danial asyik melukis jer. Jom kita tengok aksi Danial ketika melukis.

Hai Danial sibuknyer melukis sampai tak sempat pakai baju. Dah la tu, melukis sampai meniarap. Kenapa la tak melukis kat atas meja Danial yang ada gambar fish tu?

Apa la agaknya yang Danial lukis tu? Sebenarnya anjang dulu-dulu pun suka melukis. Bukan anjang aje, alang, anyah, mak tam, andak, che Bun, Acu....semua pandai melukis tau! Tokwan pun pandai! Agaknya Danial nak ikut jejak kami yer? he he he


Tapi anjang lukis untuk main-main je. Anjang pernah dapat "A" tau untuk matapelajaran lukisan masa kat sekolah menengah.
Alamak! Danial dah kepupusan idea nampak! Termenung je tu. Agaknya sedang mencari ilham...apa la agaknya yang ingin dilukis.

Takpe Danial, lukis je apa yang Danial rasa nak lukis. Anjang akan sokong! Asalkan Danial seronok. Teruskan usaha Danial!

Tara! Dah siap lukisan Danial rupanya. "Gambar apa ni Danial? Tanya anjang "Gambar dog! Jawab. "Hah! Dog! Banyak-banyak binatang, gambar dog jugak yang hang suka lukis! Sampuk Acu. "OK la tu...cantik ni. Pandai Danial...." Puji anjang.

"Yang ni gambar apa pulak ni Danial? Tanya anjang. "Gambar Danial main kat Taman permainan..."...Jawab Danial selamba..."ooooo.....macam tu" jawab anjang. "Nanti anjang ambil gambar dan simpan untuk kenangan Danial ya." Anjang terus mengambil kamera untuk merakamkan foto lukisan Danial.
~Roha Hassan~

Tuesday, January 27, 2009

Dunia Tanpa Suami - Sejenak Bersama Mereka (1)

Assalamualaikum wbt...

Sesungguhnya, junjungan Nabi s.a.w. adalah sebaik-baik manusia dari segi kejadian dan akhlaknya. Bagindalah orang yang paling benar menunjuki jalan Allah. Akhlak baginda adalah al-Quran. Baginda juga sangat berlembut terhadap anak-anak yatim dan para janda atau dalam bahasa kebanyakan kita hari ini, golongan ibu tunggal.

Menyentuh tentang ibu tunggal dan membaca kisah-kisah RasululLah saw serta para sahabat. Hati ini tertanya-tanya, siapakah hari ini yang akan atau sudi mengikuti jejak RasululLah saw dalam menyantuni golongan ini.


Ungkapan saya ini bukan bermaksud, setakat ini tiada bantuan untuk golongan anak-anak yatim atau ibu tunggal. Cuma persoalan ini bermaksud, sudah cukupkah apa yang kita lakukan untuk mereka.

Ya, barangkali kita lebih selesa berdiam diri dari memberi pandangan. Khuatir ia bisa "memerangkap" diri sendiri. Barangkali akan ada yang lebih mengerti kelak, bila diri sendiri diuji oleh Allah. Suami yang dipinjamkan diambil kembali atau buat hal atau sudah tidak setia. Ketika itu seorang isteri akan mengerti apa ertinya hidup tanpa suami.

Apa-apapun itu adalah satu teori tentang sebuah pengertian melalui pengalaman. Menurut teori ini, sesetengah manusia akan lebih memahami sesuatu situasi apabila mereka sendiri yang melalui atau mengalaminya.

Teori ini tidak ingin dibahas lanjut kerana, perkara utama yang ingin dikongsikan di sini ialah kisah benar sekumpulan sahabat dari dunia tanpa suami.

Antara perkara yang saya suka lakukan selain melunaskan tugasan dakwah, urusan pejabat, melaksanakan amanah terhadap keluarga, ziarah menziarahi sesama sahabat, ialah melakukan sesuatu yang menggembirakan anak-anak yatim atau ibu tunggal. Walaupun ianya sesuatu yang ringkas dan kecil, rasa gembira bila dapat menghiburkan duka lara mereka walaupun sedetik cuma.

Lihatlah wajah-wajah mereka yang sempat dirakamkan ini. Sudahlah hidup di dunia tanpa suami. Diuji Allah dengan kekurangan dari sudut fizikal. Dia tidak boleh bertutur seperti orang lain. Manakala dia pula, diuji Allah sedikit kekurangan dari sudut kecerdasan akalnya.


Jumlah mereka semua lebih kurang 80 orang. Namun untuk beberapa ketika ini, saya hanya mampu menyantuni mereka secara berperingkat-peringkat. Biasanya mereka akan ceria bila kami berkumpul. Banyak yang ingin mereka ceritakan. Banyak yang ingin mereka kongsikan.

Bila usia semakin lanjut, mata semakin kabur, tubuh semakin lemah, tiada tempat berkongsi masalah selain teman. Ada keluarga pun terkadang tidak mampu membantu. Acap kali juga, keluarga ada, hanya bila kita "berada". Bila papa, keluargapun, ada yang tidak mengaku keluarga. Maka terjadilah, ada sesetengah kita, tiada pula tempat pergantungan selain Tuhan. Maka, bantuan orang lain walaupun kecil sangat dihargai dan disyukuri.

Dia beritahu saya, "Sukanya jumpa Roha. Macam jumpa anak..." Kami sama-sama ketawa dan berpelukan. Kebetulan, diri ini juga sudah tidak memiliki ibu, kerna ibu tercinta sudah pergi mengadap Ilahi beberapa tahun yang lalu.

Kata salah seorang dari mereka, "Boleh tak Roha bukukan kisah kami dalam buku Roha yang akan datang, yang dunia tanpa suami tu. Kak nak ceritakan habis-habisan ujian yang Kak alami untuk dijadikan teladan oleh orang lain. Maka, disambut oleh seorang lagi sahabat kami yang senasib dengan sahabat tadi, "Kak pulak nak kongsikan suka duka dan pengalaman membesarkan 9 orang anak sorang-sorang"...

Begitu mereka bersemangat untuk berkongsi dan ingin kisah mereka dikongsikan dengan umum. "Ye Kak, InsyaAllah...Roha akan usahakan"..janjiku. Itulah yang termampu saya lakukan. Nak kuberikan harta yang banyak, aku bukan hartawan kak. Nak ku hulurkan ribuan ringgit, aku bukan jutawan kak. Nak ku taburkan pelbagai janji dan harapan, aku bukan orang politik Kak.

"Kak, insyaAllah Roha akan tolong apa yang termampu. Kalau ada rezeki lebih, kita kongsikan sorang sedikit. Bila Allah beri kemampuan Roha menulis, Roha akan cuba tulis kisah kakak semua. InsyaAllah dengan tenaga yang Roha ada, kita sama-sama akan buatkan program motivasi untuk Kakak semua, macam hari ini. InsyaAllah bulan depan kita buat untuk 80 orang ye" Itulah antara ucapan saya.

Lalu sumbangan daripada pihak Syarikat Jurukursetia serta tanda kasih dari diri ini diserahkan pada mereka. Cerianya mereka, hanya Allah yang tahu. Walaupun kecilnya sumbangan kami buat mereka.

Maka beberapa foto diambil, bukan untuk memberitahu satu dunia tentang sumbangan kecil kami buat mereka. Tapi foto ini dirakamkan untuk simpanan dan kenangan kami. Sebabnya mereka tidak banyak bergambar dan tidak tahu pula menggunakan kamera digital.

Betapa mereka menghargai apabila foto mereka diambil, pesan mereka, "Nanti, lepas Roha cuci gambar kami. Roha bagi kami tengok yer" Roha geleng kepala sambil ketawa dan memberitahu mereka. "Ini kamera digital. Tapi boleh juga dicuci gambarnya. Tapi sebelum tu, Roha nak masukkan gambar Kak semua dalam blog Roha...maksud Roha dalam komputer! Suka tak?
"Wah...bestnyer...nanti kami nak tengok gambar kami tau!

InsyaAllah Kak. Kalau bakti kecil ini boleh sama-sama buat kita ceria dan gembira, apa salahnya.

Buat Kakak semua, insyaAllah kita jumpa lagi bulan hadapan.

Terimakasih Mak Su yang sentiasa sudi menghubungkan Roha dengan mereka. Roha tahu, Mak Su tak dapat baca blog Roha ini. Takpe Mak Su, nanti Roha printkan. Bolehlah Mak Su kongsikan dengan kawan-kawan yang lain.

~Roha Hassan~

Saturday, January 24, 2009

Bertemu Dan Berpisah Kerana Allah

Assalamualaikum wbt...

Pada hari khamis yang lalu, 22 Januari 2009, kumpulan usrah kami bersama beberapa akhawat JIM Ampang Jaya telah meraikan pemergian Ukhti Jas yang akan berpindah ke Perak. Mengikuti suaminya yang bertugas di RISDA.

Diabadikan beberapa foto kenangan kami bersama Ukhti Jas. Ucapan, pesanan, pemberian cenderahati dan makan-makan adalah antara aktiviti majlis ringkas ini.

Bersama-sama ini disertakan foto majlis perpisahan itu.
Teman-teman seusrah yang sentiasa mendoakan Ukhti Jas terus berjaya dimana jua berada. Kak June, Roha dan Kak Ogy

Antara yang hadir dalam majlis perpisahan. Masing-masing diberikan kesempatan untuk saling pesan memesan. Anataranya, Kak Latifah, Kak Yan, Kak Mar, Kak Ros, Kak Faridah, K Jawaher.

Kak Nor dan Ukhti Jas yang diraikan. ukhti Jas sedih dengan Perpisahan. Namun amat gembira dan terharu diraikan


Pesanan dari seorang Naqibah - Kak Ogy. Bertemu dan berpisah kerana Allah.

Kak Latifah selaku wakil WJIM Ampang Jaya menyampaikan cenderahati.

InsyaAllah ukhti Jas akan sentiasa dalam ingatan, doa dan kenangan kami. Moga bertemu pengganti kami bila berada di tempat baru. Allah akan bersamamu bila kau sentiasa merindui dan mengingatinya, maka janganlah kita gundah untuk memulakan langkah baru di tempat baru. Moga terus sukses ukhti Jas! Jangan lupa doakan kami jua....
Salam ukhuwwah kerana Allah..
~ Roha Hassan~

Tabung Palestine Muhammad Danial Sufi

Assalamualaikum wbt...

Ini adalah secebis kisah seorang anak kecil berumur 4 tahun 11 bulan dalam menyampaikan rasa simpatinya pada "kawan-kawan"nya di Palestine.
Muhammad Danial Sufi memang tidak mengerti tentang apa yang berlaku di Gaza dan Palestine. Untuk memahamkan dirinya tentang apa yang berlaku juga memerlukan cara dan pendekatan yang sesuai. Namun selepas difahamkan, dia cuba memahami dan membantu mengikut cara dan kemampuannya sendiri.

Dikongsikan beberapa perkara bagaimana Danial meluahkan rasa simpatinya pada "kawan-kawan" di Palestine.
1. Kesian kawan-kawan Danial kena bunuh
Kami tidak pernah melepaskan peluang mengikuti perkembangan di Gaza, Palestine melalui kaca TV. Setiap kali paparan kanak-kanak Gaza, Palestine di bunuh, Danial pasti akan berkata, "Kesian kawan-kawan Danial kena bunuh".

2. Tutuplah radio
Tiba-tiba satu hari semasa dalam perjalanan mengambil Acu dari Kolejnya, Danial menyuruh Anjang mematikan radio. Ketika itu berita tentang pencerobohan Israel sedang dibacakan. Kata Danial, "Asyik asyik Israel! Israel! Kesian Palestine" Anjang sendiri terkejut. Macam mana anak ini boleh bercakap macam ni. Agaknya dia dengar apa yang Anjang bincangkan dengan Acunya dan kawan-kawan Anjang. Cepatnya dia faham...fikir Anjang.

3. Jom pi McDonald
Nak memahamkan kanak-kanak ini tentang kempen boikot McDonald bukanlah mudah. Anjang dan Acu jenuh menerangkan kepada dia. Kelakar juga mengingatkanya. Akhirnya Anjang dapat idea. Kata Anjang, "Danial tak boleh beli burger McDonald". "Kenapa? tanya Danial. Aduh...susahnya Anjang nak terangkan kepada Danial. Fikir punya fikir, Anjang bagi tau Danial, "Sebab dia bagi duit kat Israel yang bunuh kawan-kawan Danial yang macam kat TV tu". Lepas tu Danial diam seketika semacam faham.
Tiba-tiba Danial pandang wajah anjang dan berkata, "Jom kita pi McDonald" ajak Danial. "Alamak" kata Anjang dan Acu, "Kan tadi dah bagi tau tak boleh beli burger McDonald" Tegas Acunya. Jawab Danial pula dengan selamba, "Memang la..., Danial nak pi McDonald bukan nak beli burger! Tapi nak bagi tau kat Kakak kat McDonald tu, jangan bagi duit kat orang yang bunuh kawan-kawan Danial tu..." ha..ha..ha..Anjang dan Acu tergelak sama-sama mendengar jawapan Danial yang tak terfikirpun oleh kami.

4. Tabung Palestine Danial

Dengan harga RM5 satu tabung, kami telah membeli 2 tabung untuk membolehkan Anjang dan Acu mendidik Danial menabung untuk Palestine. Maka Danialpun mulalah menabung, untuk diberikan kepada "kawan-kawan" Danial di Palestine. Bukan main sibuk lagi Danial memindahkan duit syiling Anjang dalam balang ke dalam Tabung Palestine Danial...wah. wah.wah. Danial kata nak hantar ke JIM bila Tabung dah penuh!
Anjang berdoa, semoga Danial akan terus memiliki sifat keprihatinan dan simpati pada "kawan-kawan"nya di Gaza, Palestine sehingga dewasa. Juga diharapkan Danial dan kawan-kawannya lah yang akan memperjuangkan nasib Palestine atau mana-mana negara dan umat islam jika dizalimi dizaman mereka kelak.
Apa-apapun, jauh disudut hati Anjang juga mendoakan segala penderitaan rakyat Palestine berakhir segera dengan kemenangan di pihak yang hak!
Selain dari itu, jom ajak anak-anak, adik-adik, murid-murid, ahli keluarga, rakan-rakan dan jiran-jiran kita menabung untuk Palestine!
~ Roha Hassan~
240109

Sekeping Kad Pengikat Hati

Assalamualaikum dan salam sejahtera....

Dalam kehidupan ini, banyak sekali cara untuk kita mengucapkan sesuatu. Tidak kurang pula medium yang ada untuk dimanfaatkan apabila ingin menyampaikan sesuatu.

Namun, dalam sejuta kata-kata atau ribuan ucapan yang kita lafazkan. Kenapa begitu sukar untuk kita mengungkapkan beberapa kata-kata antaranya :


1. Maafkan saya atau maafkan aku

Bila melakukan kesilapan kenapa ramai diantara kita begitu sukar untuk malafazkan kata-kata memohon maaf. Begitu payah mengaku kesalahan sendiri. Walaupun kenal puluhan tahun, masih berat untuk mengungkapkan kata-kata maaf terhadap seseorang yang kita kasihi dan sayangi. Terkadang ungkapan sependek ini, bila gagal untuk dilafazkan. Kita akan kehilangan seorang atau beberapa orang kawan. Padahal seorang kawan amat penting untuk setiap kita. Bukan sekadar kawan, sahabat atau saudara mara. Sukarnya mengucapkan kata-kata maaf boleh menyebabkan kita kehilangan insan yang kita sayangi. Sebab itu ia penting! Apa kata kita berikan sekeping kad kepada mereka yang kita sakiti andai melafazkan maaf itu teramat sukar. Lafazkan di atas sekeping kad. Kad yang murah tapi mengandungi kalimat-kalimat yang indah adakalanya dapat menyejukkan sekeping hati yang kepanasan atau mengubat sekeping hati yang dilukakn. Cubalah! Bukan sesuatu yang mahal dan sukar!

2. Janganlah lupakan hari penting itu

Untuk sesetengah orang, hari lahir adalah hari yang penting untuk diingati. Walaupun ada sesetengah insan tidak suka menyambut hari lahir. Namun kedua-dua pandangan ini bukanlah sesuatu yang tidak baik atau salah. Bagi saya pula, harilahir adalah hari yang penting kerana ia adalah satu tazkeerah bahawa Allah telah mengurniakan satu tahun untuk kita hidup dan mengurniakan satu hari lagi untuk bernafas dan hidup! Harilahir juga satu peringatan bahawa umur kita telah berkurang selama setahun. Maka Kad Harilahir adalah antara cara terbaik untuk kita mengingatkan seseorang yang kita kasihi disamping mengeratkan ukhuwwah dan kasih sayang sesama kita. Ikatkan hatinya dengan ukhuwwah dan suburkan jiwanya dengan kesyukuran dan berilah peringatan padanya kehidupan dan kematian



3. Lepaskanlah ia pergi dengan doa dan kata-kata yang indah
Adakalanya seseorang yang kita kasihi perlu meninggalkan kita demi cita-cita dan kehidupan yang lebih baik. Kita terpaksa berpisah dengannya. Seorang anak, teman, saudara, jiran, insan tersayang akan pergi meninggalkan kita. Namun jauh dimata, tetap dekat dihati. Nyatakan ia diatas sekepin kad. Tuliskan kata-kata semangat, doa, harapan, pesanan, puisi, pantun...agar dia tahu, dia tetap dihati kita. Mudah-mudahan apabila dia berada jauh dari kita nanti, kad ini akan mengingatkan dia pada kita yang sentiasa berada dalam hatinya.

4. Kenapa lokek untuk menyatakan kita menghargai
Satu lagi perkataan yang juga sukar untuk kita berikan pada orang lain ialah ucapan terima kasih. Kenapa lokek untuk ucapkan ucapan yang tidak perlu dibayar apa-apa. Cuma ucapan bila ada insan yang memudahkan kita. Ucapkan kepada ibu dan ayah yang banyak berjasa pada kita. Ucapkan kepada adik beradik yang kita kasihi. Ucapkan pada suami atau isteri masing-masing. Ucapkan pada bos dan rakan di pejabat. Ucapkan pada kawan dan sahabat. Ucapkan pada yang dikenali atau tidak dikenali bila kita ditolong oleh mereka. Pertolongan paling kecil atau paling besar perlu dihargai. Bukan sahaja pertolongan atau pemberian, senyuman dan kegembiraan yang mereka perlukan juga perlu dihargai. Walaupun mereka tidak mengharapkannya, tuliskan di atas sekeping kad ucapan terimakasih sebagai tanda kenang budi atau penghargaan. Kita faham kalimah "terima kasih" bukanlah segala-galanya. Namun, ikatlah sekeping hati dengan kalimah itu supaya mereka tahu, kita amat menghargai apa yang mereka lakukan dan berikan kepada kita.

Sekeping kad bukanlah segala-galanya, namun segala macam bentuk luahan boleh diluahkan di atas sekeping atau beberapa keping kad yang cantik tapi murah. InsyaAllah pasti ada hati yang akan tersentuh.
Saya yakin, sekeping kad boleh mengikat hati ramai orang! Jadilah tulislah kata-kata atau peringatan yang indah.

~Roha Hassan~
240109

Sunday, January 18, 2009

Berfikirlah Sebelum Bertindak

Assalamualaikum wbt...
Akhir-akhir ini saya sering dihadapkan dengan beberapa persoalan berkaitan dengan :

1. Cinta terlarang
2. Berzina setelah mengenali teman lelaki sebulan
3. Teman lelaki sering mengajak melakukan perbuatan yang melampaui batasan adat, adab dan agama
Ada ketikanya kisah-kisah yang mereka kongsikan menggambarkan remaja dan gadis-gadis serta pemuda-pemuda ini tidak berfikir kesan perbuatan mereka sebelum melakukannya.

Maka saya ingin memberikan peringatan kepada diri dan adik-adik remaja belia yang saya kasihi lagi sayangi

Saya mulakan nasihat saya dengan surah al-Hasyr ayat 18 yang bermaksud : ” Wahai orang-orang yang beriman, takutlah kepada Allah! Dan hendaklah (tiap-tiap) orang memperhatikan apa yang diusahakan untuk esok (hari kiamat). Takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa-apa yang kamu kerjakan”.
Orang mukmin adalah orang yang takut kepada Allah dengan seluruh anggota badannya. Ketakutan yang mendalam terhadap Allah swt dapat menghindarkan diri kita dari terjerumus ke dalam perbuatan yang jijik dan jelek.

Firman Allah swt dalam surah ali-Imran:30 yang bermaksud, "Pada hari itu ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebaikan dihadapkan (ke hadapannya), begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakannya; ia ingin kalau sekiranya antara ia dengan hari itu ada masa yang jauh; dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (seksa)-Nya. Dan Allah sangat penyayang kepada hamba-hambaNya".

Firman Allah swt dalam al-Hashr:18 yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Alah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan".




Bagaimanakah mengelakkan diri dari melakukan dosa dan noda walaupun yang mengajak kita melakukannya adalah orang yang paling kita cintai?

Analisalah kebaikan dan keburukan setiap perbuatan kita terutamanya perkara yang besar dan penting sebelum ia dilakukan – Natijah baik dan buruk yang disenaraikan dapat membantu kita mengambil keputusan dengan lebih tepat. Dengan cara ini kita akan mendapati tindakan yang diambil akan membawa kesejahteraan kepada diri kita dan orang lain.

Tambahan pula, setiap kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita lakukan. Oleh itu berhati-hatilah supaya perbuatan jahat kita tidak menjadi beban yang berat sepanjang kehidupan kita didunia dan akhirat.

Menurut iman Al-Ghazali, cara untuk meneliti diri sendiri dan amalan kita terbahagi kepada dua cara iaitu :

Meneliti amalan sebelum dimulakan – Kalau sudah jelas bahawa amalan yang kita lakukan memang ditujukan kepada Allah swt semata-mata, maka hendaklah amalan itu diteruskan sehingga berjaya. Sebaliknya jika amalan itu dilakukan bukan kerana Allah swt semata-mata, kita mestilah merasa malu dan menghentikan amalan yang jelek itu serta merta.

Meneliti amalan ketika sedang melaksanakannya – Manakala ketika melaksanakan sesuatu amalan yang baik, hendaklah ia diteliti sebaik mungkin dari sudut pelaksanaan. Ia mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan sempurna.

Jadi, kesimpulannya ialah berhati-hatilah sebelum melakukan sesuatu. Kaji baik buruk serta kesan setiap perbuatan kita sebelum melangkah lebih jauh.
~Roha Hassan~

Bihun Untuk Jiran Sebelah

Assalamualaikum wbt...

Ini pula kisah Acu. Nama penuh Acu ialah Salina. Acu masih belajar dalam bidang Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Dua kemahiran Acu ialah memasak dan kraftangan.

Baru-baru ni, Anjang minta Acu memasak bihun untuk dihantar kepada jiran-jiran. Sebenarnya semasa bulan Ramadhan baru-baru ini rezeki kami memang murah. Jiran-jiran ramai yang berkongsi rezeki dengan kami.
Jadi, bila ada kelapangan kami pun nak juga mendapat pahala dan mengeratkan ukhuwwah dengan jiran-jiran.

Mari kita lihat bihun yang Acu sediakan untuk dihantar kepada jiran-jiran!
Apakah maknanya sepinggan bihun untuk jiran? Kalau nak tahu....cubalah memberi...kelak kalian akan memahami erti sepinggan bihun untuk satu ikatan kejiranan. Sesungguhnya jiranlah saudara kita di kala keluarga kita jauh dari kita.
Selepas menatap foto sepinggan bihun ini, cubalah hitung kembali :
1. Bilakah kali terakhir menyapa jiran sebelah?
2. Bilakah kali terakhir menziarahi jiran-jiran setaman?
3. Bilakah kali terakhir menggembirakan hati insan-insan sekitar kita?
Ingat-ingatlah hak kita terhadap jiran-jiran!
~Roha~