Monday, July 9, 2012




Sikap Remaja Muslim Menjelang Ramadhan


Ell       : “Apa tengok-tengok? Tiba-tiba Ell menyergah Urwah yang sedang menyusun buku di Library

Urwah : “Eh! Apa pulak ni? Aku tak tengok engkaupun? Kau jangan bikin aku panas! Urwah memberikan reaksi  dengan wajah yang kurang menyenangkan.

Amal : “Urwah! Ell! ini Library la. Janganlah nak bergaduh kat sini”. Amal menegur dengan
suara berbisik.

Nisa’ : “Ish dia orang berdua tu, aku tengok selalu je bertegang urat. Dua-dua panas baran.
Sikit-sikit angin. Sikit-sikit panas”.

Amal : “Ell! Urwah! Kesini kejap! Kita ni dah nak masuk bulan Ramadhan tau! Belajar-
belajar la sabar. Ni tak, asyik nak gaduh je. Cubalah jujur dan tabah dalam berkawan. Tak
elok nak gaduh je. Cabaran kecik je ni. Dah nak jadi huru-hara. Aku taulah korang berdua
dulu kawan baik, awek punya pasal, semua lintang pukang. Tabahlah sikit dengan ujian beb!

Hari demi hari berlalu. Minggu demi minggu meninggalkan kita. Bulan demi bulan silih berganti. Tidak lama lagi bulan paling mulia ini akan tiba. Sudahkah anda menyediakan diri agar cukup tabah untuk melalui liku-liku ramadhan dan kehidupan. Bersiap sediakah anda untuk beramal penuh amanah, rendah diri, ikhlas tanpa mengharap upah, pujian atau balasan.


Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya): “Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat; bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada 1,000 bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)


Bagaimanakah sikap remaja kita menjelang Ramadan?

Sesungguhnya remaja Muslim sejati berpuasa pada bulan Ramadan. Dia akan bersikap seperti orang yang benar-benar berpuasa, menjauhkan dirinya daripada semua perkara yang boleh membatalkan puasanya atau mengurangkan pahala.

Sikap remaja Muslim dalam bulan Ramadan mestilah bertambah baik daripada masa-masa yang lain. Dia mesti tahu bahawa bulan Ramadan tidak sama dengan bulan-bulan yang lain. Ia bulan yang mana amal kebajikan harus digandakan dan pintu kebaikan dibuka seluas-luasnya. Sesungguhnya Allah sangat sayang pada hamba-Nya yang berpuasa.

Sebagai persiapan menghadapi Ramadan, dikongsikan di sini beberapa tip untuk para remaja menghadapi Ramadan al-Mubarak:


 



Pertama: Peningkatan ilmu



Persiapkanlah diri anda dengan ilmu wahai remaja - ilmu berkaitan dengan ibadah puasa. Segala yang rukun, wajib, sunat dan makruh. Juga tambahkan ilmu untuk mengetahui segala amalan yang digalakkan sepanjang Ramadan.


Dalam hal ilmu ini, usahlah bimbang. Kita boleh memperolehnya dengan mudah melalui media baru dan tradisional seperti “you tube”, “facebook”, “website” “friendster”, sistem pesanan ringkas (SMS), radio, televisyen, majalah, akhbar, buletin, ceramah, kem dan di mana-mana sahaja. Pendek kata, terlalu mudah untuk mendapatkan ilmu, tip dan panduan untuk menghadapi Ramadan.


Kedua: Mengumpul dan menambahkan kekuatan

Berpuasa memerlukan kekuatan. Fizikal, mental dan spiritual perlulah dipersiapkan untuk
melakukan ibadah sepanjang Ramadan. Pastikan tubuh kita sihat dan bertenaga dengan mengambil makanan yang seimbang dan menyihatkan. Penuhkan jiwa dengan kekuatan iman kerana ia amat penting untuk berpuasa.


Berkaitan perlunya kekuatan iman dalam menunaikan ibadat puasa ini, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda (maksudnya):



“Barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala, maka semua dosanya yang telah lalu diampunkan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)




Ketiga : Tingkatkan Ketabahan dan Kejujuran

Ini adalah dua elemen paling penting diantara semua elemen penting yang perlu ditanamkan dalam diri para remaja. Ketabahan yang mantap dalam ertikata tabah melalui ujian kehidupan sebelum, ketika dan selepas ramadhan. Manakala kejujuran adalah rahsia kejayaan anda untuk menjadi remaja yang baik dan cemerlang. Sikap jujur pada diri, kawan-kawan, keluarga, guru, masyarakat serta paling penting kepada Allah perlu dibajai menjadi subur. Hanya remaja yang jujur mampu melalui Ramadhan dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan dan pujian.

Keempat: Memperbanyak latihan

Latihlah diri dengan berpuasa sunat sebelum menjelangnya Ramadan. Di samping latihan menahan diri daripada lapar dan dahaga, jangan lupa melatih diri dalam amalan yang lain. Kurangkan amalan yang tidak sihat seperti merokok, bercakap kasar, menonton rancangan atau hal-hal yang batil di televisyen atau internet, bergosip, ber'dating' dan segala yang tidak baik dan memudaratkan.



Selain latihan meninggalkan hal-hal yang dilarang, latihan memperbanyak amalan juga harus dilakukan. Lipat gandakan amalan menjelang Ramadan supaya kita akan dapat kekuatan melaksanakan lebih banyak kebaikan berbanding hari-hari biasa. Ia selari dengan amalan RasululLah sallallahu alaihi wasallam seperti yang diceritakan oleh Sayidatina Aisyah, “Rasulullah selalu melipatgandakan usahanya sepanjang bulan Ramadan, terutamanya pada
sepuluh hari terakhir daripadanya.”

Kelima: Kemaskan jadual kehidupan




Sebagai remaja yang aktif dan sibuk, Ramadan akan menjadi sesuatu yang sukar jika kita tidak menyusun jadual kehidupan sebaik mungkin. Ramadan akan dijadikan alasan keletihan kita. Ia juga akan dijadikan alasan untuk kurang aktif. Ia juga sering dijadikan batu loncatan untuk memperbanyak tidur dan rehat.
Sebenarnya remaja Muslim yang bijak mesti menyusun jadual kehidupannya secara menyeluruh sepanjang Ramadan. Malahan sewajarnya menjadi seorang remaja Muslim lebih aktif, bijak, cergas, rajin dan lebih baik daripada sebelumnya.



Jadual yang menyeluruh bermaksud keseimbangan antara tugasan belajar atau menuntut ilmu, berpuasa, solat, membaca al-Quran, solat terawih, qiamullail, menolong ibu bapa, bersedekah, membantu orang lain yang di dalam kesusahan serta melakukan amar makruf dan nahi mungkar.



Menukar sikap tidak semudah menukar baju. Namun jika baju sahaja yang ditukar, manakala sikap dan iman masih ditahap lama, mana mungkin anda berjaya!


Roha Hassan
Ramadhan..kehadiranmu ku tunggu...

Wednesday, June 13, 2012

Bapa Adalah Hero Kita


Dinie   : “Awak pilih kad apa tu”
Nadia  : “Kad Hari Bapa. Kan tak lama lagi Hari bapa”
Nabila: “Ye ke? Kita pun nak beli jugak la”
Syikin : “Bole ke kita sambut Hari Bapa?
Faezah: “Rasanya boleh kot sebab Hari Ibu pun disambut. Dulu-dulu lagi. Hari Bapa ni kite rasa macam kemudian sikit. Tapi kalau kurang pasti kita boleh tanya cikgu atau semak pandangan tentang hari Bapa ni kat internet!

Selain Dinie, Nadia, Nabila, Syikin dan Faezah, ramai lagi para remaja yang ternanti-nanti untuk mengucapkan “Selamat Hari Bapa” atau memberikan kad atau hadiah yangbersesuaian untuk bapa kita sempena hari bapa yang disambut dalam bulan jun setiap tahun. Hari Bapa seperti juga Hari Ibu bagaikan trend dikalangan para remaja hari ini. Ada yang merasakan anda memang tidak cool dan ketinggalan jika tidak tahu mengenainya.

Bapa berperanan penting menyara isteri dan anak-anak,  memberikan kasih sayang, mendidik, memberi kebahagiaan dan kedamaian kepada keluarga, mendisiplinkan serta menjadi contoh. Pendekata, bapa adalah hero kita! Mereka adalah pemimpin kita.
Hari Bapa merupakan suatu hari yang bermula pada awal abad ke-12 untuk memberi penghormatan dan peringatan terhadap para bapa. Ia disambut pada tarikh yang berlainan di seluruh dunia serta melibatkan pemberian hadiah kepada bapa dan lain-lain aktiviti kekeluargaan.

Sambutan hari bapa bermula di Amerika Syarikat dengan ideanya dicetuskan oleh seorang wanita, Sonora Dodd dari daerah Spokane.
Beliau mahu sesuatu dilakukan untuk mengenang bapanya, William Smart, seorang veteran perang saudara yang ditinggalkan oleh isterinya dan membesarkan enam orang anak secara bersendirian di sebuah ladang kecil. Hari Bapa yang pertama disambut pada tahun 1910 dengan mengambil sempena tahun kelahiran William Smart sendiri.
Sejak tahun 1972, ia disambut setiap tahun apabila bekas Presiden  AS, Richard Nixon menandatangani satu undang-undang awam yangmenjadikan hari tersebut dicatat di dalam kalendar.Tarikh yang diakui secara rasmi di berlainan negara.
Malaysia bersama negara-negara lain seperti Amerika syarikat, Afrika Selatan, Argentina, Bahamas, Bangladesh, Belanda, Bulgaria, Chile dan lain-lain lagi menetapkannya pada hari ahad ketiga pada bulan Jun.
Hari Bapa dan Hari Ibu sudah menjadi sesuatu yang global dan tidak eksklusif kepada mana-mana ajaran atau fahaman agama. Ianya mungkin dicetuskan oleh orang kristian tetapi bukanlah sesuatu yg terkandung dalam mana-mana kitab atau ajaran pokok agama tersebut.

Apa yang penting sebagai remaja muslim, anda mesti tahu bagaimana memanfaatkan hari bapa tanpa mencemarkannya dengan perkara-perkara yang dilarang oleh agama.

 Jom kita sambut Hari Bapa dengan perkara-perkara yang bermanfaat seperti berikut:

1.      Ucapkanlah kata-kata kasih sayang kepada bapa dan ahli keluarga – Sempena Hari Bapa, ucapkanlah kata-kata kasih sayang kepada hero kita yang telah bertungkus lumus membesarkan kita selama ini. Cuma, tanamkan dalam hati, kasih sayang pada bapa bukan hanya pada hari bapa tetapi sepanjang masa. Ia akan menjadi sesuatu yang salah jika menyintai bapa hanya pada Hari Bapa. Menyayangi bapa mestilah hingga ke syurga.

2.      Bersederhana – Ketika menyambut Hari Bapa, kita tidak boleh melakukan pembaziran. Sambutannya yang sederhana sudah mencukupi. Kita boleh membelikan kad atau hadiah tetapi biarlah berpada-pada. Yang paling penting ingatan pada hero kita. Sebenarnya bapa kita juga tidak mengharapkan balasan atas setiap pengorbanan yang dilakukannya, namun pasti berbesar hati bila anda menunjukan ingatan dan penghargaan.

3.      Pengisian yang berfaedah – Pada Hari Bapa, ajaklah ahli keluarga bersolat berjamaah bersama-sama dengan bapa sebagai imamnya, mengadakan majlis tahlil dan doa selamat, berkumpul dalam usrah keluarga yang dipimpin oleh bapa sambil saling memberikan pesanan dan nasihat. Boleh juga bercuti dan berehat-rehat bersama keluarga serta ziarah menziarahi sesama keluarga dan sahabat handai.

4.      Saling memperbaharui azam – Manfaatkan hari bapa untuk anda perbaharui azam untuk terus menjadi anak yang soleh dan solehah terhadap ibubapa. Dalam masa yang sama, mohonlah agar bapa kita terus menjadi contoh dan hero kita. Kisah Luqmanul Hakim yang merupakan bapa contoh dengan anaknya telah diwartakan dalam Al-Quran sebagai contoh yang baik. Ambilnya ia sebagai panduan yang bermanfaat.

5.      Tiada unsur-unsur maksiat dan melalaikan – Walaupun menyambut Hari Bapa adalah sesuatu yang harus, namun akan menjadi rosak jika kita mengisinya dengan aktiviti-aktiviti yang buruk serta melalaikan seperti pergaulan bebas yang melampaui batasan, minum arak, membuka aurat serta lain-lain perbuatan yang mencemarkan akhlak dan keperibadian yang murni.
Semoga anda menyambut Hari Bapa dengan menyerlahkan lagi tiga unsur kasih sayang yang sangat penting iaitu yang pertamannya, kasih kepada Allah dengan menyatakan kesyukuran yang tidak terhingga kerana dikurniakan seorang bapa yang telah banyak berkorban untuk kita sekeluarga.

Yang keduanya, kasih kepada RasululLah saw yang merupakan bapa contoh yang paling penyantun kepada ahli keluarga baginda dan Yang ketiganya, kasih pada sesama makhluk khususnya bapa yang merupakan hero kita seterusnya ibu, adik-beradik, rakan-rakan, jiran dan sanak saudara semuanya.


Disediakan oleh:
Roha binti Hassan



Monday, June 11, 2012

Tidakkah Anda Menyesal?


“Saya perlukan bantuan Kak Roha” ujar lelaki yang sebaya adik lelaki saya itu apabila memulakan bicara.
“Tolong yang macam mana tu? Tanya saya ingin tahu.
“Bapa saudara saya minta saya bantu seorang gadis ni. Dia mengandung tanpa suami.” Laju sahaja pemuda ini menyudahkan bicara.
“Orang mana? Tanya saya lagi
“Orang Pendang…budak Kolej” Pemuda itu terus menceritakan kisah gadis yang berusia 21 tahun ini.



Begitulah sedikit paparan perbualan kami. Minggu itu sahaja, ada 3 kes yang melibatkan gadis hamil luar nikah ini dirujuk kepada saya dan sahabat. Ini bukanlah kali pertama membantu dalam hal-hal seumpama ini, namun setiap kali berhadapan dengan mereka, hati pasti akan rasa duka.
Antara kemahuan untuk menolong dengan kerisauan bersubahat, saya mengambil pendekatan yang terbaik. Bantuan dihulurkan namun peringatan dan tazkerah mesti diberi. Cuma antara ramai yang dibantu, pasti ada yang keras kepala.
Teringat pada gadis “cute” yang mengandung 8 bulan dari Kuala Lumpur. Orangnya cantik sungguh tapi bila ditanya, “Kamu tak menyesal ke atas apa yang berlaku” tanya kami ketika sesi perkenalan. “Ada la sikit-sikit” jawab gadis tersebut selamba. “Ish, aku rasa macam nak terajang je budak ni” bisik salah seorang teman yang paling brutal dikalangan kami. Si gadis buat-buat tak dengar je bila sahabat saya yang digelar “ustazah” memberikan teguran dan tazkeerah. “Tahu ke apa hukum berzina ni” tanya sahabat saya tersebut. “Tak! Jawab gadis itu lagi menatap tajam ke wajah “ustazah”. “Kamu ambil Quran, saya tunjukkan” Begitulah antara butir perbualan yang menghiasi tengahari yang suram itu.



Dalam hati terasa kasihan. Sambil melontarkan soalan pada diri, saya mencari-cari jawapan. Teringat satu lagi perbualan antara sahabat saya dengan dua orang remaja lelaki yang salah seorangnya telah melakukan zina dengan salah seorang dari tiga gadis yang kami bantu ini.
“Ni kawan kamu dah membuntingkan anak dara orang. Kamu pulak macam mana? Ada ke cita-cita nak membuntingkan girlfren kamu pulak” tanya sahabat saya yang sangat prihatin pada remaja yang begini. “Dulu-dulu ada la jugak makcik! Tapi sekarang dah tak ada la niat tu! Wah selamba betul dia menjawab. Memang panas telinga. “Kamu ni, teruk betul. Kalau lelaki lain ada niat nak membuntingkan adik kamu, kamu marah tak? Tanya sahabat saya lagi. “Marah makcik…” jawabnya perlahan sambil menundukkan kepala. “Ish kalau adik aku, lama dah aku lempang” bisik sahabat saya yang memang dari tadi geram pada pemuda pemudi yang bermasalah tersebut.



Senario yang dikongsikan ini saya kira bukan sesuatu yang baru, barangkali ada yang lebih teruk dari ini, cuma hati rasa sedih dan benci bila bakal pemimpin masa depan ini terus selamba berbuat dosa. Bukan susuk tubuh pemuda pemudi ini yang dibenci, tapi perbuatan mereka.
“Barangkali mereka ni belum mumayyiz, tak reti nak bezakan yang mana betul dan yang mana salah” Kami saling memberikan pandangan. “Tak mumayyiz apa, dah 20-21 tahun kan? Pelajar kolej pulak tu. Otak dia orang tu simpan kat mana? Ujar N sahabat yang tegas tapi baik hatinya.
“Tapi yang akak paling tak suka bila yang lelakinya, nudah saja terlepas kan? Ujar sorang lagi sahabat. “Ala, kat dunia terlepas la, kat akhirat belum tentu lagi” Jawab N yang sejak tadi semacam tak puashati. “Ya Allah, kita berdoalah banyak-banyak agar tak berlaku pada kita, keluarga dan keturunan kita” ustazah meluahkan apa yang terbuku dalam dada.
Saya nukilkan disini tentang kisah dua gadis yang saya tapis beberapa makluman untuk menjaga nama baik mereka. Jadikan ia satu pengajaran.
Gadis pertama berasal dari KL. Sangat cantik orangnya. Berusia 20 tahun. Pelajar sebuah kolej swasta. Anak kedua dari empat adik beradik. Mak ayah orang baik-baik. Suara dan tajwidnya sangat bagus bila memperdengarkan ayat-ayat suci Al-Quran. Dari situ, kita boleh faham mak ayah memberikan didikan agama. Tapi dari perbualan dengan dia dan maklumat dari keluarganya, fahamlah kita yang dia memang degil orangnya. Kata-kata nasihat keluarga dan orang lain memang tidak diambil pusing.
Perkenalan dengan teman lelaki tersebut sudah bermula sejak dibangku sekolah. Bila menyedari hubungan tersebut, ibubapa cuba mengurangkannya dengan menghantar beliau ke sebuah kolej. Namun peluang tersebut disalahguna dengan lebih kerap berjumpa dengan teman lelaki tersebut. Menurut gadis ini, setiap kali berjumpa mereka akan berzina, cuma kali ini dia mengandung.
Ibubapa pada asalnya berhasrat menikahkan dia dengan teman lelakinya, namun bila disiasat latarbelakang teman lelaki gadis ni yang agak menakutkan dan bukan lelaki yang baik. Hasrat tersebut terpaksa dibatalkan. Harapan ibubapa, gadis ini akan berubah dan membina masa depan yang lebih baik.
Gadis kedua berasal dari Kedah. Pelajar Kolej. Berusia 21 tahun. Kesnya lebih menyedihkan. Berlatarbelakangkan keluarga miskin, beliau telah memilih jalan yang salah. Menurutnya, pada awal pengajian beliau menghadapi masalah kewangan. Jadi, dengan terburu-buru telah menceritakan masalah kewangan beliau dalam forum maya. Seorang lelaki dari Kuala Lumpur tampil menawarkan diri untuk membantu.
Maka gadis inipun ke Kuala Lumpur menemui lelaki tersebut untuk mendapatkan wang dijanjikan. Namun beliau diberikan syarat, serahkan tubuh sebagai ganjaran terhadap wang yang akan dipinjamkan. Si gadispun menyerahkan dirinya. Akhirnya diri mengandung, duit tak dapat, lelaki tersebut menghilangkan diri.
Ayah yang sedang sakit dikampung belum tahu cerita anak gadisnya mengandung 8 bulan. Emaknya pun tidak diberikan khabar berita. Tambahan sekeluarga masih bersedih dengan kematian seorang anak, iaitu adik si gadis.
Begitulah kisah dua gadis ini. AlhamdulilLah mereka semua sedang ditarbiyah oleh sahabat saya yang memiliki sebuah rumah perlindungan untuk remaja dan anak-anak yatim. Memang tidak ramai insan berhati mulia seperti dia. Saya dan beberapa sahabat yang lain adalah sukarelawan dan sahabat beliau yang bila-bila sahaja akan menghulurkan bantuan bila diperlukan.





Apa yang tidak boleh tidak saya coretkan disini ialah langkah-langkah yang boleh ibubapa lakukan sebagai langkah pencegahan.
1.      Kenali anak-anak kita – Ramai yang tahu tips ini, tapi macam mana nak buat ye. Kata orang setiap anak ada perangai yang berlainan. Jadi semakin ramai anak, semakin mencabar untuk mengenal setiap satu daripadanya. Tapi apa pilihan yang kita ada. Kalau kita tidak mengenali mereka, mungkinkah boleh fahami masalah mereka? Mau tak mau, mesti berusaha kenali setiap seorang darinya. Tapi siapakah yang paling kenal anak-anak kita kalau bukan ibubapa yang melahirkannya. Maknanya, pusing macam manapun, ibubapa dan anak-anak ada ikatan yang tersendiri. Tapi, bolehkah ikatan itu kukuh jika sering mengabaikannya. Allah sudah mencampakkan mawaddah dan rahmah, tapi kalau ia tidak dibajai, mungkinkah ia akan terus subur?

2.      Siapa kawan-kawan anak kita – Mesti berusaha mengenali kawan-kawan anak kita. Siapa kawan mereka akan memudahkan kita untuk mengetahui kegiatan mereka. Kalau kawan-kawan mereka suka bolasepak, mustahil anak kita suka badminton. Selalunya mereka ni suka mengikut kawan. Jarang sangat manusia tak suka berkawan. Terutama anak-anak remaja. Kalau berjaya kenal kawan-kawan anak-anak kita, insyaAllah banyak perkara yang kita tak duga ada dalam tangan kawan-kawan dia. Tapi niat kenalah betul. Kalau sekadar nak mengorek rahsia, tak jujur namanya! Lagi baik kalau dapat kenal ibubapa kawan-kawan anak-anak kita. Pergh! Banyak kerja tu. Tapi apa salahnya mencuba demi kebaikan anak-anak kita.

3.      Terimalah anak-anak kita seadanya – Ini lagi susah. Kita nak anak-anak kita berjaya! Pandai-pandai! Cantik-cantik! Bijak-bijak! Tapi takan la semua anak kita tu boleh jadi doktor atau jurutera atau pengurus. Kalau yang terkurang dan terlebih tu, bagilah sokongan. Janganlah dikutuk sesedap rasa. Kelak dipendamkan hatinya yang luka, jadi cerita lain pulak. Terimalah dia seadanya. Didiklah agar dia sentiasa berusaha dan berserah. Dedahkan ia erti sebenar tawakkal! Tapi kalau kita sendiripun tak ada elemen tawakkal, jangan haraplah anak-anak kita pun akan penuh dengan sikap tawakkal.

4.      Bersikap positif akan membina budaya yang positif – Positif yang kita harapkan dari anak-anak mestilah bermula dengan positifnya pemikiran dan tindakan kita. Kata orang, benih yang baik jika disemai, dibelai dan disiram dengan baik, insyaAllah akan tumbuh menjadi pohon yang baik. Tapi kalau benih yang baik ditanam tapi tidak dibelai dan dibajai sebaiknya boleh jadi semak samun jua adanya. Sedangkan benih yang tak baik sekalipun kalau kena cara tanam dan penjagaaannya, insyaAllah boleh menjadi baik. Pokok pangkal, setiap yang mahukan yang baik-baik, mulakan dengan yang baik-baik. Tapi kalau kita rasa sudah buat yang terbaik, tapi hasilnya tidak baik. Kembalikanlah ia kepada yang menjadikan kita dan anak-anak kita yakni Allah. Yang Maha Pencipta itu lebih mengerti apa yang terbaik untuk kita dan anak-anak kita.

5.      Anak kita bukan malaikat – Jika ada yang mengamuk bila diberitahu oleh guru masalah anak kita, usah terus melenting. Begitu juga jika ada yang memaklumkan pada kita anak kita telah hamil 8 bulan padahal kita sangkakan anak-anak kita baik-baik belaka. Kita bukan malaikat, anak kitapun bukan malaikat. Usah disalahkan semua orang, sebaliknya analisa setiap sudut dimana silapnya. Kemudian carilah penyelesaian. Siapalah yang lebih kenal anak dan keluarga kita. Sudah tentu kita sendiri. Tiada manusia yang terlepas dari ujian. Ujian Allah dijanjikan tanda kasih sayang untuk melihat kesabaran hambaNya. Ia turut disebut penghapus dosa agar kelak diakhirat ringan sedikit. Ada juga disebut ia sebagai balasan perbuatan kita sendiri. Allah lebih mengetahui yang mana kategori yang diperuntukkanNya buat kita. Namun, sungguh Allah Maha Penyayang. Setiap kesusahan pasti diikuti dengan kesenangan dan Allah tidak menguji hambaNya melebihi kemampuan hamba tersebut.

6.      Usah lepaskan tanggungjawab – Antara senario yang selalu kita lihat bila anak-anak kita ditimpa musibah akibat perbuatan mereka sendiri atau teraniaya, kita mula bertindak lepas tangan. Menghantar anak-anak ke pusat pemulihan atau pendidikan mestilah beserta tanggungjawab. Usah biarkan orang lain menyelesaikan masalah anak-anak kita. Kitalah yang lebih patut menyelesaikan masalah anak-anak kita. Sekalipun kita memerlukan bantuan, kita tidak boleh berlepas tangan. Pihak ketiga hanya pemudahcara atau penyelesai masalah sementara. Kitalah yang sebenarnya bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyelesaikan semua permasalahan yang ada. Anak kita, tanggungjawab kita.

7.      Lontarkanlah ego kita jauh-jauh – Pasti ada yang marah-marah jika kita kata, anak tuan dan puan jadi begini kerana tuan dan puan tidak memberikan didikan agama sewajarnya kepada anak-anak. Kita pasti bertegang urat dengan menyatakan kita sudah berikan secukupnya buat anak-anak. Tapi pengalaman kami, ramai yang tidak. Jika ibubapa terror bab agama, terkadang terlupa jua mendidik anak-anak. Jika ibubapa tegas giler dengan orang lain, tapi dengan anak-anak cair bak ais krim yang diletakkan ditengah terik mentari. Ambillah beberapa jam dari masa kita yang amat berharga itu untuk menganalisa keseimbangan makanan yang telah kita berikan buat fizikal, mental, spiritual dan emosi anak-anak. Kelak akan kita temui ada satu lubang kosong yang satu ketika dahulu telah kita abaikan.

8.      Penyelesaian terbaik ialah kembali kepada fitrah – Walaupun ada manusia yang sesedap mulut sahaja mengkritik, kembali kepada fitrah tetap penyelesaian terbaik. Ada yang berkata, “Ala, budak yang ada background agamapun ramai yang perangainya tak senonoh…”. Bagi saya itu kritikan yang melulu. Bukan menafikan 100% tetapi antara tahu, faham dan buat apa yang dianjurkan oleh agama, ada perbezaannya. Kalau sekadar tahu tapi tak faham. Tak ada ertinya. Tapi kalau tahu dan faham tapi tak nak buat, agama hanya pada nama baginya. Jika sudah tahu, faham dan buat seperti yang dianjurkan agama, kemudian tersasar juga, ini lalai namanya. Hanya sedikit dalam kelompok ini. Selebihnya lebih kepada kelompok pertama dan kedua.

Apapun yang berlaku, bagi yang tersasar, mesti kembali kembali pada fitrah. Hanya itu jalan peyelesaiannya agar tidak kembali ke jalan yang salah semula. Manakala yang tidak mahu tersasar, jadikan agama sebagai benteng dan perbanyakkan memohon perlindungan dari Allah.

9.      Berdoalah – Inilah satu-satunya senjata yang tidak boleh diambil dari kita. Berdoalah dan ajarkanlah anak-anak untuk berdoa. Hanya pada Allah tempat orang-orang yang beriman mengadu. Jika kita telah melakukan apa sahaja untuk anak-anak kita. Berserahlah sepenuhnya pada Allah. Allah pasti akan membantu kita dan anak-anak.

Roha Hassan
Dublin, Ireland

Monday, December 12, 2011

JJMS Zon Tengah : Andainya Aku Kaya

1. Andainya Aku Kaya

Andainya aku kaya : Itulah ayat yang muncul dalam minda ini apabila anak-anak kecil sekitar 8-12 tahun itu berkeliaran di sekitar pasar yang basah dan berbau. Anak-anak kecil yang comot itu mendekati hampir semua pembeli termasuk kami. Berbekalkan plastik hitam ditangan, anak-anak ini mula menawarkan diri untuk mengangkat ikan dan udang yang baru kami beli.

Saya serba salah untuk membenarkan mereka membawa ikan dan udang yang saya beli sekitar 15 kilo itu. Sederhana berat untuk kami berdua, tetapi bagi saya terlalu berat untuk kanak-kanak. Janggal untuk saya membiarkan anak-anak sebaya mereka mengangkat barang-barang.

Rupanya sayalah yang tidak mengerti. Saya tidak mengerti bahawa kanak-kanak itu dari keluarga yang miskin dan tidak mampu. Demi meringankan bebanan ibubapa masing-masing, kanak-kanak ini mencari rezeki dengan cara mengangkat beg para pembeli di pasar itu. Tentulah ia lebih baik dari meminta-minta.

Sejenak saya teringatkan seorang remaja lelaki yang saya ditemui disebuah resort di Melaka beberapa minggu yang lalu. Dia datang mengemas bilik kami. Sempat kami berbual dengan remaja yang bertubuh kecil itu. Katanya, ”Saya baru habis PMR. Kerja kat sini untuk cari duit. Nak guna masa bukak sekolah tahun depan. Kami orang susah..” Begitu anak ini berkongsi secebis kisahnya dengan kami. Beberapa kali kami terserempak dengan remaja ini, namun tawa dan senyumnya tetap sama. Ceria dan peramah.

Saya suka apa yang dilakukannya. Teringat pula pada diri sendiri. Dulu, setiap kali pulang dari sekolah kami akan membantu arwah abah berniaga. Tidak pernah rasa ianya satu bebanan. Tidak pernah rasa ia sesuatu yang memalukan. Yang pasti sejak kecil kami sudah diasuh dan dididik agar berusaha demi kehidupan!

Kalau dulu saya sering diingatkan agar belajar bersungguh-sungguh. Ada kerjaya. Punya wang demi membantu keluarga. Menjadi kaya dan berjaya agar boleh membantu diri, keluarga, agama dan sesiapa sahaja yang memerlukan.

2. Lagi-lagi, Aku Ingin Kaya

Andainya aku kaya : Ayat itu muncul kembali dalam minda ini apabila sering didekati oleh kanak-kanak yang meminta wang. Antara ingin memberi atau tidak, saya jadi serba salah. Tidak diberi, saya rasa kasihan. Diberi, pasti akan ada beberapa orang lagi yang akan menyerbu kita. Risau juga dengan keselamatan sendiri.

Namun antara rasa kasihan dan kerisauan, biasanya saya akan hulurkan jua sumbangan kecil. Mudah-mudahan ia memberi manfaat. Sebabnya, saya memang mudah simpati. Tambahan pulak itulah yang dididik oleh arwah mak yang sifatnya sentiasa memberi walaupun sedikit.

Apa yang kanak-kanak ini lakukan sebenarnya mengingatkan saya akan beberapa peristiwa yang pernah saya temui. Dulu ketika masih di IPT, saya akan naik bas ekspres untuk balik kampung. Ketika itulah kanak-kanak yang meminta sedekah ini akan mendekati kita. Jika kita tidak memberikan apa-apa bila diminta, mereka mula mengungut dan mengeluarkan pisau kecil. Satu ketika dahulu perkara ini pernah jadi isu dan dihebohkan.

Mungkinkah perkara seumpama itu sudah dapat dibendung atau masih berleluasa? Saya tiada fakta tentangnya namun cerita seorang teman membuatkan saya berfikir.


3. Kefakiran Boleh Membawa Kepada Kekufuran

Baru-baru ini ketika kami makan-makan bersama teman yang berasal dari Indonesia, dia bercerita. Kata teman yang baik itu, di satu bandar yang tidak mahu saya sebutkan namanya adalah tempat dimana kanak-kanak diajar menjadi penyeluk saku sehingga menjadi yang terhandal. Kemudian dilepaskan untuk menjalankan operasi masing-masing. Biasanya kanak-kanak yang miskin, melarat dan tidak mampu yang terpilih untuk dilatih!

Begitulah, kemiskinan ada ketikanya mengubah manusia baik menjadi sebaliknya. Benarlah bagai yang diingatkan oleh baginda RasululLah SAW, Kefakiran boleh membawa kepada kekufuran.

Semua ini membuatkan saya berfikir, andainya aku kaya! Alangkah baiknya jika aku kaya! Sekiranya aku orang kaya. Aku ingin membantu ramai orang. Aku ingin bersedekah. Aku ingin menolong kanak-kanak, janda, fakir miskin dan sesiapa sahaja yang memerlukan. Aku ingin melakukan banyak kebajikan. Aku ingin melakukan itu dan ini demi umat dan agama.


4. Si Kaya Yang Derhaka

Namun mungkinkah begitu! Benarkah jika kita sudah kaya raya kita akan jadi bertambah pemurah? Benarkah harta benda yang banyak akan jadikan kita lebih mudah memberi? Benarkah dengan menjadi jutawan atau hartawan kita juga mampu jadi dermawan? Benarkah kita mesti menanti menjadi kaya raya, jutawan, hartawan serta semua ini sebelum memiliki sifat pemurah dan pemberi?

Maka, teringatlah saya akan kisah Qarun yakni manusia kaya yang akhirnya mati dalam kekufuran. Tidak sedikit kisah manusia kaya yang bakhil serta mengingkari perintah Allah untuk mengeluarkan zakat sehingga diperangi seperti di zaman Syaidina Abu Bakar. Tidak kurang ”haji bakhil” yang tersenarai dalam carta kehidupan hari ini.

Walapun ramai sikaya yang dermawan diluar sana namun bagi saya, memberi bukan ketika kita kaya semata-mata. Yang penting kaya dengan sifat pemurah dan pemberi. Berilah sedikit asalkan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.



5.Dalam Setiap Kekayaan Ada Hak Yang Perlu Ditunaikan

Memberi itu hadir apabila kita memiliki. Kita memberi bila kita punya sesuatu untuk diberi. Walaupun sedikit asalkan kita mengerti nikmat dan kelebihan yang akan dinikmati oleh orang yang suka memberi dan berkongsi.

Ada banyak sebab kenapa kita kena selalu memberi! Apa yang kita miliki adalah milik Allah. Semuanya Allah yang beri walaupun yang berusaha itu kita. Berilah hak dirimu, keluargamu, umahmu, agamamu. Ada zakat dan sedekah yang perlu kita tunaikan. Semuanya telah Allah peringatkan dalam Al-Quran dan dikukuhkan oleh Al-Hadis.

1. Allah swt berfirman tentang Emas dan perak. Firman Allah S.W.T di dalam surah at-Taubah ayat 34 yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

2. Allah swt juga berfirman tentang tanaman dan buah-buahan, Allah S.W.T menyatakan perkara tersebut di dalam surah an-An’aam yang bermaksud :

“Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.”

3. Allah swt juga berfirma tentang hasil usaha, firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.”


4. Allah S.W.T juga berfirman di dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud :

“Ambilah (sebahagian) dari harta (kekayaan) mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)”

Serta surah adz-Dzaariyaat yang bermaksud :

“Dan pada harta-harta (kekayaan) mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”

6. Jomlah Kita Memberi Walaupun Kita Bukan Jutawan Melalui JJMS Zon Tengah


Mungkin ada antara kita sudah cukup berjaya. Jutawan, hartawan, kaya raya. Ramai pulak antara kita berjaya tapi belum cukup kaya. Tidak kurang yang sederhana sahaja.

Pun begitu, anak-anak kita tidak sampai mencuri kerusi dan meja untuk dijual demi sesuap nasi. Anak-anak kita tidak menadah tangan kesana kemari untuk mendapat beberapa ringgit. Anak-anak kita juga tidak perlu ponteng sekolah untuk mencari rezeki.

Tidak sama nasib kita dan anak-anak kita dibanding dengan anak-anak dari golongan yatim, miskin, ibu dan bapa tunggal yang memerlukan bantuan di PPRT di Lembah subang, Selangor. PPRT ini merupakan perumahan rakyat termiskin. Ramai ibu-ibu tunggal dan anak-anak yang tinggal disana yg amat memerlukan bantuan. Kawasan ni mempunyai 8 blok flat.


7. Jalan-jalan Masuk Sekolah (JJMS) Zon Tengah Ke PPRT Lembah Subang Selangor Pada 25 Disember.

Antara bantuan yang Wargakilang Zon Tengah cadangkan untuk diserahkan kepada mereka yang memerlukan ini ialah:

1) Set peralatan sekolah atau sebahagiannya:
Beg sekolah, pensel, pemadam, pengasah, pembaris, kotak pensel
Botol minuman,bekas makanan, stokin, kapur kasut
2) Buku-buku latihan
3) Buku-buku bacaan, novel, komik etc
4) Pakaian-pakaian terpakai yg masih elok.
5) Tajaan makanan dan minuman pada hari tersebut juga dialu-alukan.

8.Jika ingin sertai kami, hubungi :

1. Kawasan Cheras dan sekitar - Warikh 019-470 1477
2. Kawasan Wangsa Maju dan sekitar- Roha 012-431 7948
3. Kawasan Subang & Sg Buluh dan sekitar - Sharul 012-631 5244
4. Kawasan Petaling Jaya dan sekitar– Borhan 013-3412057

Boleh hubungi salah seorang dari kami jika anda ingin memberi walaupun bukan berada di kawasan yang disebutkan diatas.

Sokongan dan bantuan dari semua amat kami hargai dan alu-alukan. Semoga Allah menambahkan rezeki kita melebihi apa yang kita beri.


Roha Hassan
Wargakilang
16 Disember 2011

Sunday, August 14, 2011

Jom Santuni Anak Yatim Bersama Wargakilang Zon Tengah

As salam,


1. Berkongsi Atas Dasar Prihatin dan Kasih Sayang
Sepertimana yang diwar-warkan sebelum ini, Wargakilang zon tengah akan meneruskan usaha dan peranan menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan, sumbangan dan kasih sayang dari kita semua. Memberi bukan beerti kita yang paling kaya, menerima bukan beerti kita yang paling miskin dan malang. Sebenarnya semua ini adalah ujian. Yang memberi dengan ujian memiliki, yang menerima dengan ujian ketiadaan.

Memberi dan menerima adalah satu jalinan ukhuwwah dan kasih sayang. Ia adalah perkongsian atas dasar peduli, prihatin dan tanggungjawab. Sesungguhnya harta kita adalah pinjaman semata-mata. Memang benar usaha kita yang akan menentukan harta kita. Namun yang lebih benar, rezeki kita sudah ditentukan Allah. Maka, bagi manusia yang bersyukur pastilah akan mengerti harta benda adalah ujian atau cobaan Allah kepada manusia. Barangsiapa yang bersyukur, harta benda akan disalurkan kejalan yang diredhaiNya. Barangsiapa yang mengerti, mereka akan tahu dalam harta kita ada bahagian untuk fakir miskin, anak-anak yatim, saudara baru dan lain-lain. Yang pasti tiada satupun milik kita. Semuanya milik Allah. Kita hanya mengusahakan apa yang Allah sudah sediakan. Kita hanya dipinjamkan agar kita memanfaatkannya demi mencari bekalan menuju dunia akhirat yang kekal abadi.

Ingatlah ketika Luqman AS mengajarkan anaknya, ”Janganlah engkau hinakan seseorang karena pakaiannya, sebab Rabmu dan Rabnya adalah sama”. Pangkat, darjat, harta, keturunan dan kekayaan kurnia Allah adalah untuk kita bertambah belas dan kasih sayang pada yang lain. Bukan ruang untuk sombong dan memandang rendang sesama manusia.

2. Kemuliaan Yang Besar Akan Diperolehi Apabila Menyantuni Anak-anak Yatim
Islam memberikan kemuliaan yang besar jika kita mengasuh dan menyantuni anak yatim. Dan rumah yang disukai oleh Allah SWT adalah rumah yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Baihaqi:”Rumah yang paling disukai Allah adalah rumah yang didalamnya ada anak yatim yang dimuliakan”

Dalam hadis yang lain, Abu Hurairah RA berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda : “Orang yang menanggung anak yatim, baik anak yatim itu masih ada hubungan famili atau tidak, maka aku akan menanggungnya seperti dua jari ini dalam Surga” (HR Bukhari)

Apabila kita tidak mampu untuk mengasuh mereka, cukuplah dengan cara menyantuni kehidupan mereka. Dalam satu riwayat Nabi SAW menegaskan : “Barang siapa diantara kaum muslimin yang menaggung makan dan minum anak yatim, maka Allah akan memberikan kecukupan penghidupan baginya, serta mengharuskan dia masuk surga kecuali bila dia melakukan dosa yang tidak terampuni”. (HR. Turmudzi)
Memang benar, menjaga dan menyantuni anak-anak yatim bukanlah satu tugas yang mudah, kerna itu kita harus menyokong serta meringankan bebanan rakan-rakan yang menguruskan rumah-rumah kebajikan dan anak-anak yatim. Dalam masa yang sama, tidak la pulak kita terlepas dari peranan menyantuni anak-anak yatim. RasululLah SAW amat menggalakan sikap seumpama ini. Maka seterusnya baginda bersabda. ”Barang siapa mengusap anak yatim, kelak Allah SAW akan mencatatkan baginya atas setiap helai rambut yang diusap tangannya dengan sepuluh kebajikan”

Alangkah bertuahnya jika dapat membuat hati orang-orang yang susah menjadi gembira, berlemah lembut kepada orang-orang yang lemah dan miskin, membantu orang-orang yang tidak punya, menyantuni anak-anak yatim, dan mengusap kepala mereka kerana ini merupakan sebahagian dari proses penyucian jiwa dan pencerahan kalbu.
3. Persatuan Kebajikan & Perlindungan Raudhatul Jannah Kuala Lumpur dan Selangor
Untuk kali ini, Wargakilang Zon Tengah memilih, Persatuan Kebajikan & Perlindungan Raudhatul Jannah Kuala Lumpur dan Selangor yang diasaskan oleh Hjh Zainab Othman (Kak Nab). Ia merupakan pusat perlindungan yang memberi perlindungan kepada anak-anak yatim, mualaf, ibu tunggal, fakir miskin dan remaja yang terlibat dengan gejala sosial.

Alamat : Persatuan Kebajikan & Perlindungan Raudhatul Jannah Kuala Lumpur dan Selangor
No 39, Jalan Pelangi 2,Taman Pelangi,
51000 Sentul, Kuala Lumpur

Jumlah Penghuni setakat ini : 20 orang dengan yang paling kecil bayi berusia 2 bulan dan remaja berusia 17 tahun.

Jumlah ini tidak termasuk Kak Nab, fultimer dan sukarelawan.
Rumah ini kami pilih atas sikap dan pegangan Hjh Zainah atau Kak Nab yang tidak suka meminta-minta. Apa sahaja bantuan yang diterima, diterima seadanya. Sikapnya yang merendah diri dan mendidik anak-anak ini mengikut lunas-lunas agama amat menyenangkan. Semoga melalui majlis ini kita dapat menyantuni anak-anak yatim yang mulia sambil menghulurkan bantuan sekadar cuma bagi meringankan beban mereka, insyaAllah

4. Program Iftar Wargakilang Bersama Anak-anak Yatim

Sepertimana yang diwar-warkan sebelum ini, kami mohon maaf terdapat sedikit perbezaan maklumat dari sudut tarikh dan tempat. Sebelum ini diwar-warkan tarikh majlis iftar pada 23 Ogos dan Raudatul Jannah terletak di Gombak. Namun semua itu atas kelemahan saya. Pengubahsuaian ini berdasarkan tarikh 17 Ogos jatuh pada Nuzul Quran dan ramai yang bercuti berbanding 23 Ogos yang mana rakan WK zon tengah tidak bercuti. Selain dari itu kesesuaian masa dengan pihak Raudhatul Jannah juga telah diambilkira dalam penukaran tarikh ini.

Berikut ialah perincian majlis Iftar bersama anak-anak yatim Raudhatul Jannah.
Tarikh : 17 Ogos 2011
Masa : 6.30 pm - 10.30 pm (Iftar, solat maghrib dan terawih bersama)
Tempat : Persatuan Kebajikan & Perlindungan Raudhatul Jannah Kuala Lumpur dan Selangor
No 39, Jalan Pelangi 2,Taman Pelangi,
51000 Sentul, Kuala Lumpur

5. Untuk yang ingin hadir dan menyumbang, hubungi nama-nama berikut :
1. Roha Hassan (koordinator) - 012-4317948
2. Faisal : 013-3475928
3. Shahrul : 012-6315244
4. Nazirah : 013-3898534

Akhi bicara, sekali lagi dikongsikan kata-kata Luqman AS ketika mengajarkan anaknya, ”Janganlah engkau hinakan seseorang karena pakaiannya, sebab Rabmu dan Rabnya adalah sama”.

Roha Hassan
Koordinator JJMK Zon Tengah sempena Ramadhan al Mubarak!