Saturday, December 20, 2008

Catatan Perjalanan Dakwah - Bermulanya Di sini - Part 1


Assalamualaikum wbt...


Catatan perjalanan dakwah ini adalah untuk adik-adikku dan sahabat-sahabat yang dikasihi...


Ketika perkongsian ini dilakukan, aku berada di KLIA bersama Ummi Rose@Kak Ros. Diringi oleh Pak Rahim (suami Kak Ros), serta anak-anaknya yang ceria dan nakal - siapa lagi kalau bukan Fattah, Maisarah dan Rosilah. Dan tidak lupa, Dolah@Abdullah yang merupakan anak angkat Ummi Rose merangkap mentee Kak Roha. Bab mentor-mentee ni Abdullah la yang kena explain...he..he..he



Bermulanya disini! Di sini! Di sini! Tapi bukan la di KLIA ni! Tapi di sini! Di dunia yang merupakan tempat persinggahan untuk kita mencari bekal sebanyak mungkin untuk menuju ke sana. Nun di sana, dunia yang kekal abadi. Dunia yang mahu tidak mahu akan kita huni bila tiba masanya. Namun untuk ke sana, tiketnya mesti di tempah di sini. Apa yang dilakukan di sini, akan menentukan tempat yang akan dituju di sana. Bila tiket, kenderaan serta tempat yang baik, indah dan membahagiakan yang menjadi impian dan harapan. Amalan dan usaha kita di sini mestilah selaras dengan impian dan harapan untuk bahagia di sana.

"Bermulanya disini" sebenarnya merupakan salah satu topik yang diminta oleh adik-adik penganjur Muktamar MISG-IMSA yang akan bermula pada 26 Disember hingga 30 Disember 2008 di Houstan, Texas. InsyaAllah Kak Roha dan Kak Ros akan memberikan 3 pengisian untuk adik-adik yang dikasihi di Muktamar anjuran MISG dan IMSA ini nanti.



Bila bercakap tentang bermulanya disini, segala memori suka duka, mehnah, tribulasi dan liku-liku perjalanan dakwah sejak dibangku sekolah hingga saat ini kembali dalam minda. Oh Tuhan! Sudah lebih 20 tahun aku di atas jalanan ini. Bermula dengan penglibatan sejak di sekolah menengah hinggalah kini bertahun-tahun bersama JIM....terlalu banyak yang ingin dikisahkan jika ditanya, "Bila dan dimanakah kerjaya dakwah Kak Roha bermula". "Bagaimana Kak Roha boleh terlibat dengan dakwah". "Kenapakah Kak Roha amat menyintai dakwah". "Apakah kenangan-kenangan pahit manis bersama dakwah" dan......segala pengalaman yang amat bernilai ingin sekali aku kongsikan bersama. Kalian ingin belajar dari kami, kami juga ingin sekali belajar dengan kalian.



Sejenak terkenangkan situasi beberapa hari yang lalu. Ketika itu sedang bersemangat untuk menurunkan perkongsian pengalaman di atas slide-slide powerpoint yang bertajuk "Bermulanya Di sini", aku berhenti sejenak. Mengambil sedikit waktu untuk muhasabah diri. AlhamdulilLah, hari ini aku masih di sini! Masih diatas jalanan dakwah dan perjuangan ini. AlhamdulilLah. Ya Allah, terimakasih...aku amat bersyukur. Mohon kekalkan aku diatas jalan dakwah ini. Ya Rabb..mantapkan lagi kerja-kerja dan usaha ku demi Allah dan Rasul.


Pengisian untuk sebuah topik bernama, "Bermulanya Disini" itu, kuhentikan sejenak untuk menyemak diari dakwah dan amanah yang mesti ditunaikan 1. MJKPW 2. Appointment dengan Erma Fatimah 3. Ziarah kawan sakit 4. Update blog 5. Siapakan artikel untuk kolum "Kak Roha sudi mendengar" sepanjang masa aku ke US 6. Slot di radio integriti 7. Slot di IKIM 8. Balas e-mail 9. IIF 2008 10. Muktamar MISG 11. Cenderahati RS...dan...oh Tuhan! AlhamdulilLah ya Allah! Kau penuhkan masaku dengan banyak sekali tugas-tugas dakwah. Ya Allah indahnya jadual yang Kau susun untukku. Namun aku ini insan yang lemah. Sering lalai dan lupa. Aku mohon ya Tuhanku, bersama jadual hidup yang indah ini, kurniakanlah keikhlasan, kekuatan, kesungguhan, hikmah, disiplin dan segala-gala yang aku perlukan untuk menyelesaikan amanah ini.


Ketika itu juga aku merenung dan menganalisa diri. Selama ini berapa banyakkah kerja-kerja dakwah ku ini menjadi amal yang mulia buatku. Hanya Tuhan yang tahu. Hanya kepada Ilahi, aku mengharap dan memohon pertolongan supaya aku dapat terus memperbaiki diri dan amalan ku. Masih banyak yang perlu dipelajari dan diperbaiki. Begitu juga masih banyak perjalanan dan liku-liku yang perlu ditempuhi.

Malam ini, satu lagi program Allah untuk aku sedang berlaku. Begitu juga andai diizinkan, esok lusa dan seterusnya akan ku sempurnakan beberapa amanah yang diberikan.


Beberapa minit lagi, kaki ini akan melangkah untuk melaksanakan misi dakwah yang telah diamanahkan. Begitu juga dengan Kak Mas (Mas Ahmah), Shifaa (anaknda sulong Dr Har), Kak Su (Dr Suriya), Kak Ide dan Kak Liya (Rosliya). Walaupun menaiki pesawat berbeza, namun niat utamanya sama insyaAllah.


Sebelum berangkat pergi, kami semua, seperti e-mail yang ummi Rose @ Kak Ros hantar sebelum ini memohon doa dan kemaafan di atas perjalanan dakwah kami ini. Doakan agar setiap langkah kami di sini akan membawa kebaikan di sana.


InsyaAllah setiap langkah yang membawa makna dan kebaikan akan kita kongsikan bersama sebagai tanda ukhuwah dan kekeluargaan yang Allah kurniakan. Ambillah segala kebaikan yang diperolehi dari setiap perkongsian dan tinggalkan segala kelemahan yang ada.


Salam ukhuwwah,

Roha Hassan

KLIA

Dubai







2 comments:

ab fattah said...

mana lagi....... cerita2 terbaru yang anda ader di sana...... dan nakal sangat ker budak yang bernama Fattah tuh? hehehe...

ab fattah said...

satu lagih..... ckp kat ummiroses tolong belikan apa2 yang best kat saner tuh..... (seperti yang dirancangkan)....(hehehe)