Tuesday, September 16, 2008

23 fakir maut rebut wang zakat RM16

Oleh sopha sulaiman

JAKARTA 15 Sept. – Seramai 23 orang fakir miskin mati, manakala lapan yang lain berada dalam keadaan kritikal akibat sesak nafas kerana terhimpit semasa berasak-asak untuk mendapatkan wang zakat daripada seorang ahli peniagaan di Purworejo, Pasuruan, Jawa Timur, 800 kilometer ke timur Jakarta, hari ini.

Kebanyakan mangsa adalah wanita.

Kejadian itu berlaku tengah hari ini semasa lebih 5,000 penduduk sekitar Pasuruan berbaris di halaman rumah ahli perniagaan itu untuk mendapatkan wang zakat bernilai 40,000 rupiah (RM16).

Ketua Polis daerah, Harry Sitompul berkata, pengagihan wang zakat itu merupakan acara tradisi oleh keluarga kaya itu, sempena bulan Ramadan.

Penduduk miskin itu dilaporkan mengunjungi rumah peniaga berkenaan yang menjalankan perniagaan jual beli kenderaan sejak pukul 4 pagi, setelah mendapat khabar tentang pemberian wang zakat berkenaan.

“Setakat ini 23 telah mati dan polis masih menyiasat,” kata jurucakap Hospital Soedarsno.
Ramai yang cedera dan pengsan akibat dihimpit dan dipijak ketika berebut-rebut untuk mendapatkan bantuan zakat tersebut.

polis telah menahan ahli perniagaan itu untuk siasatan kerana gagal mengawal orang ramai semasa hendak memberikan zakat tersebut.
– Utusan - tanggal enam belas september-

'betapa pedihnya hati ini apabila membaca berita ini di akhbar. betapa mewahnya kita. walaupun tida kaya, purata kita mampu memperolehi enambelas ringgit sehari. padahal ada insan terkorban kerana enambelas ringgit. oh tuhanku, ampunilah kami yang kadang2 tidak tahu bersyukur'-rohahassan

Monday, September 15, 2008

Bagaimana Akhirnya Aku Bertudung



"Dahulu saya bintang filem, pelakon televisyen, model, penyanyi dan penghibur popular. Kini saya berhijab walaupun di dapur" - Puan Noor Kumalasari


"Saya pernah berdoa dan berteleku depan patung Jesus" - Zai (Pensyarah universiti)


"Saya dituduh bertudung kononnya disebabkan saya hamil sebelum bernikah" - Noraini (Doktor)


"Bagaimanakah saya hendak bertudung sepanjang masa di luar rumah apabila ibu saya sendiri tidak mengamalkannya?" - Suriza (Jurutera)


"Saya pernah dipanggil "hantu kom-kom" kerana memakai mini telekung". - Ida (pelajar ph.D, UK)

Bagaimana akhirnya kamu bertudung?

Nurdinie Sufi

Sunday, September 14, 2008

Beban....

Assalamualaikum wbt...



Ini catatan yang berlaku pada 7 September yang lalu.


Aku sebenarnya baru sahaja melunaskan satu amanah di Melaka. Negeri yang penuh dengan pelbagai kisah-kisah sejarah. Cuaca agak terik hari itu. Hentian Puduraya seperti biasa...sesak, sibuk dan dipenuhi pelbagai suara hiruk pikuk.


Aku sengaja menggunakan pengangkutan awam hari itu. Sejak memiliki kenderaan sendiri, aku memang jarang menggunakan penganggkutan awam. Sekali sekali aku teringin memahami beban orang lain yang seumur hidup bergantung pada kenderaan awam. Aku kepingin sekali mengerti beban yang mereka lalui dari hari ke hari.


Turun dari bas aku tergesa-gesa bergerak di celah-celah manusia yang semuanya tergesa-gesa. Ketika melalui satu lorong, aku menyaksikan sepasang suami isteri yang cacat penglibatan sedang membuat persembahan untuk mencari rezeki. Aku tidak kenal mereka, tapi aku teringin sekali mengurangkan bebanan mereka dengan menghulur apa yang aku mampu ketika itu. Aku semakin jauh meninggal mereka. Namun, wajah pasangan suami isteri itu terus berputar dalam minda ku. Aku takut untuk membuat andaian, namun aku bagai terasa beratnya beban yang sedang mereka pikul. Aku menarik nafas sambil berdoa, mudah-mudahan Allah meringankan beban aku, mereka dan semua muslimin dan muslimat walau dimana mereka berada.


Namun aku menghela nafas lega bila teringatkan pesanan abah, "barangkali kita lihat seseorang atau sesebuah keluarga yang hidup susah dan kekurangan itu macam berat bebanannya. Tapi kita tak tau, entah-entah mereka lebih bahagia daripada kita".


Namun, aku selalu ingatkan apa yang RasululLah saw didik kita. Baginda amat menggalakkan kita saling meringankan bebanan sesama saudara seagama. Mudah-mudahan dengan meringankan bebanan mereka yang memerlukan, ada bebanan kita yang diringankan di akhirat kelak.


Sesungguhnya kita hidup dua kali dan mati hanya sekali....


~Nurdinie Sufi~



Thursday, September 4, 2008

Pemurah (part 1)


Pemurahlah

Engkau tidak akan papa

Bersedekah selalu engkau tidak akan disia-siakan

Jadikanlah pemurah itu budaya hidupmu

Engkau akan dekat dengan Tuhan

Dengan manusia,

dengan syurga,

jauh dari neraka


Bakhil jauh dengan Tuhan

Jauh dengan manusia

Jauh dengan syurga

Dekat dengan neraka

Pemurah itu menghilangkan hangat kubur

Penaung di Mashar

Penutup aurat di akhirat

Orang Pemurah selalunya di hujung umurnya dapat hidayah

Orang bakhil walaupun ahli ibadah selalunya su'ul khatimah


~Majlis Makan Amal YKPPM~

Wednesday, August 27, 2008

Selamat Datang Ramadhan

Ibadah puasa adalah ibadah yang sangat istimewa. Ramadhan menjanjikan pahala yang berlipat ganda, pengkabulan do’a, pemudahan amal shaleh, penghapusan dosa, surga dibuka seluas-liasnya, neraka ditutup rapat-rapat, syaitan-syaitan dibelenggu. Dan di dalamnya ada malam lailatul qadar, malam lebih baik dari seribu bulan. Kebaikan yang tidak ternilai bagi yang meraihnya. Subhanallah!

Nabi saw. bersabda: “Bila Ramadhan tiba, pintu-pintu surga dibuka, dan pintu-pintu neraka ditutup, sementara syaitan-syaitan diikat.” (HR. Bukhari-Muslim).

“Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan kesedaran iman dan penuh harapan ridha Allah, akan diampuni semua dosa-dosa yang lalu.” (HR. Bukhari-Muslim).

“Orang yang berpuasa doanya tidak ditolak, terutama menjelang berbuka.” (HR. Ibn Majah, sanad hadits ini sahih).

Begitu hebatnya bulan Ramadhan dan ganjaran yang disediakan oleh Allah swt dapat kita hayati melalui ayat-ayat Al-Quran dan Hadis. Namun bagaimanakah kita selaku hamba tidak kira dewasa atau remaja dapat melaksanakannya sebaik mungkin?

Berikut dikongsikan beberapa persediaan yang boleh kita ambil untuk mempersiapkan diri menghadapi dan melalui Ramadhan. Mudah-mudahan tips ini dapat membantu saudari dan semua remaja bersungguh-sungguh menunaikan ibadah puasa yang akan tiba tidak lama lagi;

1. Berdoalah agar Allah swt. memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan dalam keadaan sihat. Mudah-mudahan kita dapat melaksanakan ibadah puasa dan lain-lain sepanjang Ramadhan dengan penuh ketaatan dan kesungguhan. Dari Anas bin Malik r.a. berkata, bahawa Rasulullah saw. apabila masuk bulan Rejab selalu berdoa yang ertinya, “ Ya Allah, berkahilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban; dan sampaikan kami ke bulan Ramadan.” (Riwayat Ahmad dan Tabrani)

1. Bergembiralah dengan kedatangan bulan Ramadan. Rasulullah saw. selalu memberikan khabar gembira kepada para sahabat setiap kali datang bulan Ramadan, “Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh berkah. Allah telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.” (Riwayat Ahmad). Jangan ada dalam hati kita rasa resah gelisah bila hampir dengan bulan Ramadhan. Tidak sepatutnya rasa bimbang tidak dapat makan di waktu siang hari atau gundah sebab perlu menjaga beberapa larangan sepanjang Ramadhan.

2. Rancanglah agenda kegiatan untuk mendapatkan manfaat sebesar mungkin dari bulan Ramadhan. Ramadhan sangat singkat. Kerana itu, isi setiap detiknya dengan amalan yang berharga, yang dapat membersihkan diri, dan mendekatkan diri kepada Allah. Dari sudut aktiviti rutin seorang remaja hendaklah dilalui seperti biasa malahan lebih baik sepanjang Ramadhan. Jangan jadikan Ramadhan sebagai alasan untuk ponteng kelas atau tidur di dalam kelas.

3. Bertekadlah mengisi waktu-waktu Ramadan dengan kebaikan. Susunlah agenda kehidupan dengan teratur dan mengamalkannya dengan jujur. Sesungguh Allah pasti membantu mana-mana hambanya yang berusaha dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sesuatu. Seimbangkan diantara kesibukan belajar dan beribadah.

4. Sambutlah Ramadan dengan membuka lembaran baru yang bersih. Kukuhkanlah kasih sayang kepada Allah, Rasulullah saw, ibubapa, ahli keluarga, rakan-rakan, guru-guru dan masyarakat. Jadilah orang yang paling bermanfaat bagi mereka. Sebab, manusia yang paling baik adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.

5. Mengambil pelbagai iktibar daripada ibadah puasa dengan memanjatkan kesyukuran yang tiada hentinya kepada Allah swt. Berlapar dan dahaga membuat kita berasa insaf dengan keadaan rakan-rakan kita yang sepanjang hidup berada dalam kebuluran dan peperangan.

~Roha Hassan~

Thursday, August 7, 2008

Setiap Insan Berhak Mengecap Bahagia

Bahagia! Bahagia! Bahagia! Satu ungkapan yang memiliki tafsiran yang pelbagai. Jika ingin disenaraikan, memang panjang senarainya. Tapi, biar aku kongsikan beberapa pandangan insan-insan yang dikenali dan tidak dikenali tentang erti bahagia.

1. Aristoteles bila bercakap tentang bahagia mengatakan, "Bahagia itu adalah kesenangan yang dicapai oleh manusia."

2. Dale Carnegie pula menyatakan, "Hati yang bahagia dapat membuat muka tersenyum dan suara jadi bersahabat".

3. Martin Luther pernah mengungkapkan bahawa, "Kebahagiaan lebih banyak menipu dari kesusahan".

4. Abraham Lincoln pula pernah berkata, "Kebanyakan orang dapat berasa bahagia apabila mahu menjernihkan fikirannya".

5. Ibnu Kaldun pernah mengungkapkan kalimat ini bila menggambarkan maksud bahagia, "Bahagia itu adalah tunduk dan patuh mengikuti garis-garis yang ditentukan Allah dan perikemanusiaan".

6. Abu Darda pula mengingatkan bahawa, "Kebahagiaan sejati adalah mengusai dunia dan bukan dikuasai dunia".

7. Joss Billings menyatakan bahawa, "Lelaki yang paling bahagia adalah yang beristerikan wanita yang baik".


Begitulah pendapat yang pelbagai dan berbeza tentang bahagia.

Namun kepelbagaian definasi ini tetap menjurus kepada satu nilai yang sama. Setiap insan berhak mengecap bahagia.

Dakwaan ini diperkukuhkan lagi dengan pandangan Prof. Dr Hamka dalam bukunya yang bertajuk, Tasauf Moden".

Dalam membicarakan soal bahagia, Hamka mencatatkan dalam bukunya padangan berikut:

"Kalau kita perturutkan, setiap orang mempunyai kaedah tentang bahagia, sebanyak penderitaan, sebanyak pengalaman, sebanyak kekecewaan.


  • Orang fakir mengatakan bahagia pada kekayaan

  • Orang sakit mengatakan bahagia pada kesihatan

  • Orang yang terjerumus ke lembah dosa mengatakan bahawa terhenti dari dosa itulah kebahagiaan

  • Seorang yang sedang rindu dan bercinta mengatakan bertemu dengan kekasih itulah bahagia

  • Seorang pemimpin rakyat berpendapat bahawa kemerdekaan dan kecerdasan umat bangsa yang dipimpinnya itulah bahagia.

  • Seorang perawan dusun bernama Asma binti Bahdad, yang dikahwini oleh Muawiyah bin Abi Sufyan, berkeyakinan bahawa bahagia itu adalah kembali kedusunnya, di dalam pondoknya yang buruk, walaupun sekarang dia dalam istana yang indah.

  • Seorang pengarang syair merasa bahagia jika syairnya jadi hafalan orang.

  • Seorang wartawan merasa bahagia jika surat khabarnya dan tulisannya difahami orang."

Begitupun betapa manusia tu berbeda keinginan bahagianya, Imam al-Ghazali mengungkapkan kalimah berikut dalam memberikan jaminan kebahagian sejati kepada manusia. Insan yang mulia itu mengungkapkan bahawa, "Bahagia dan kelazatan sejati, ialah bilamana dapat mengingat Allah".


-Nurdinie Sufi at http://j0mlepak.blogspot.com/ -

Sunday, August 3, 2008

Hadiah Buat Pemimpin Masa Depan


Assalamualaikum wbt...

Bila lidah kita menyebut berkali-kali kalimah-kalimah berikut,

Remaja!
Belia!

Apa agaknya yang terbayang dikepalamu terlebih dahulu. Gambaran pertama mungkin rupa wajah kita semasa remaja atau belia dahulu. Memang seronok teringatkan diri sendiri memakai uniform sekolah. Bergurau senda dan menghabiskan masa dengan teman-teman di padang atau di library. Banyak sekali kenangan pahit manis waktu itu. Ya memang indah!

Apa lagi agaknya, gambaran yang ada di kepala mu. Barangkali, kau terbayangkan remaja dan belia hari ini. Kisah apa yang ada dalam kotak pemikiran mu. Agaknya kisah gadis-gadis yang terjebak dengan pelbagai kebejatan sosial atau para pemuda penghuni pusat-pusat serenti atau merempit dijalanan. Atau pelajar-pelajar sekolah yang ponteng dan lepak2 tanpa tujuan.

Aku pun seperti kalian. Gambaran seperti ini juga yang berada di dalam minda kebanyakan kita. Tapi itu semua hanya digambarkan dimataku. Mindaku lebih sering menggambarkan :

1. Anak-anak muda ini sebagai Perdana Menteri, Menteri-menteri Kabinet, Pemimpin dari segenap pelusok negara.
2. Anak-anak muda ini pencorak pada masa depan agama dan tanahair
3. Anak-anak muda ini mengisi jawatan-jawatan profesional, pemilik gedung-gedung dan perniagaan.
4. Anak-anak muda ini umpama berlian yang sangat berharga.
5. Anak-anak muda ini adalah tamaddun ummah di masa hadapan.

Bagaimanakah nanti keadaan umat, jika anak-anak muda runtuh dan rosak akhlaknya. Tanpa sedar aku menangis................lebih 10 tahun menyantuni mereka. Ya, barangkali tidak banyak kejayaan yang aku telah cipta. Namun, insyaAllah aku masih enggan berputus asa.

Lalu, sebagai sebahagian dari usaha...ku hadiahan : http://j0mlepak.blogspot.com/ untuk dimanfaatkan oleh semua anak-anak muda...

Tuhan..berikanlah kekuatan untuk meneruskan amanah ini!

Roha Hassan