Saturday, November 8, 2008

Bermesra Dengan Alam

Assalamualaikum wbt...

Kita dan alam. Mungkinkah terasing oleh perbezaan fizikal dan fungsi. Cukup kenalkah diri kita pada diri dan alam. Pernahkah kita bertanya pada diri atau mengajak diri, "kenali diriku". Sudahkah pula kita mengenal alam yang selama ini menjadi sahabat paling akrab.

Acapkali kita akan bersungut. Busuknya kawan persekitaran kita. Atau kita bersungut, kotornya sungai. Lebih hebat kita akan bersungut, hujan lagi. Atau...aduhhh panasnya cuaca hari ini.




Namun pada hakikatnya, kita dan alam memang tidak dapat dipisahkan. Malahan saling bergantung dan memerlukan. Namun kekurangan kita dari sudut memahami alam amat ketara. Kita jarang muhasabah diri terhadap hak alam. Namun kita lebih kerap menyalahkan alam atas segala kekurangan atau malapetaka alam yang melanda.
Kita sama sekali lupa. Banjir kilat yang sering berlaku adalah disebabkan oleh saliran air yang tersumbat dek buruknya tabiat manusia yang sering mengotorkan alam dengan membuang sampah ke dalam sungai dan tempat pengaliran air. Kita juga lupa bau busuk yang timbul di kawasan kejiranan adalah disebabkan sikap sesetengah pengusaha kilang atau industri yang membuang sisa industri atau toksid secara tidak terkawal. Kita juga lupa, haba panas dari mentari yang mencengkam kulit adalah akibat lapisan ozon yang semakin tipis. Hasil kerja siapa yang menyebabkan lapisan ozon nipis? Pasti kita akan rasa malu bila tahu, tangan-tangan kitalah yang membuatkan alam menderita.



Alam yang dilukai pasti akan mengembalikan penderitaannya kepada kita sendiri. Satu hari apabila malapetaka timbul, itulah petanda alam sudah tiada kuasa menanggung derita dek sikap buruk kita manusia.

Allah menjadikan manusia selaku khalifah agar bertindak adil kepada insan dan alam. Sesungguhnya Allah dalam penciptaannya kenal benar dengan sikap sesetengah manusia yang gemar membuat kerosakan. Namun sifat Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Indah telah menjadikan alam untuk manusia mengambil manfaat, pengajaran dan bukti keEsaan Allah itu sendiri.

Kerna itu sekali sekala bila ada kesempatan, ambillah sedikit ruang dalam kehidupan kita untuk bermesra dengan alam. Mengenalinya, menghargai dan menyayanginya.



Kemesraan dengan alam boleh membangkitkan rasa cinta dan syukur yang tidak terhingga pada Allah swt. Sesungguhnya segala keunikan dan keindahan alam itu sendiri menggambarkan besarnya kekuasaan Allah. Alam merupakan nikmat yang tidak tergambar bagi insan yang mahu berfikir dan memahami. Segala rahsia alam bisa mengukuhkan lagi kekaguman dan kecintaan makhluk pada penciptanya.
Banyak sekali nikmat yang perolehi dari alam. Tempat tinggal, makanan, air, udara, kekayaan pelbagai galian dan banyak sekali manfaat yang alam berikan kepada manusia dengan izin Allah.


Perkara paling penting yang kita boleh pelajari dari alam ialah; betapa besar dan tingginya gunung ganang, betapa luas dan dalamnya lautan, betapa panas dan indahnya bintang-bintang, betapa hebatnya angin dan taufan....semuanya tunduk kepada perintah Allah swt semata-mata. Tiada yang pernah derhaka dan engkar pada perintah Tuhan.

Hanya kita manusia yang kebiasaanya tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari alam ciptaan Tuhan.

~Roha Hassan~

Thursday, November 6, 2008

Bersikap Benarlah Dikau!



Soalan

Saya sebenarnya malu untuk bertanya tentang perihal ini. Namun saya bimbang jika berterusan begini. Saya suka meniru rakan-rakan dalam ujian dan peperiksaan setiap kali ada kesempatan. Bermula dari sekolah rendah hinggalah sekarang. Saya baru sahaja melanjutkan pelajaran ke Kolej, namun tabiat meniru ini masih berlaku. Yang lebih teruk, saya juga semakin kerap menipu. Tabiat meniru dan menipu saya ini sebenarnya bukan sahaja memalukan, malahan memudaratkan hubungan baik saya dengan rakan-rakan. Banyak kali juga saya "kantoi". Tapi masih tidak mampu menghentikan tabiat ini. Baru-baru ini saya bergaduh besar dengan orang yang saya sayang kerana hal ini menyebabkan saya berazam untuk mengubah tabiat ini. Namun saya memerlukan kekuatan untuk melakukannya. Tolonglah berikan saya panduan dan nasihat yang sewajarnya.

Suzana Abdullah
Kuala Lumpur



-------------------------------------------------------------------------------------------------

Jawapan

Assalamualaikum wbt

Suzana,
Anda berhak mnerima ucapan tahniah untuk dua langkah pertama yang diambil. Pertama mengakui kelemahan diri manakala langkah kedua ialah mencari jalan mengatasinya.

Kita memang maklum perbuatan meniru merupakan satu kerugian kepada yang mengamalkannya. Meniru memang memudahkan pada awalnya. Tetapi kesan yang amat buruk jika kita tertangkap ketika meniru. Kita mungkin dibuang dari Kolej. Selain dari itu, sijil dan anugerah yang diterima, mungkin ditarik balik. Kita pasti akan mendapat malu.

Risiko lain ialah kehilangan rasa hormat dari orang lain, rakan-rakan menjauhkan diri, memusnahkan harapan keluarga juga memalukan ibubapa, dicop sebagai peniru dan penipu sepanjang hayat dan banyak kali keburukannya.

Apabila membicarakan persoalan meniru dan menipu ini, sebenarnya ia merangkumi beberapa perkara. Meniru sebenarnya termasuk dalam kategori menipu. Selain daripada itu janji bohong, berkata dusta, khianat pada janji, membocorkan rahsia, memberikan alasan yang dusta, memperdayakan orang lain juga jatuh dalam kategori menipu. Saya kurang pasti tindakan yang mana, yang sering dilakukan oleh saudari Suzana. Namun, kita akan sama-sama berkongsi keburukan dan beberapa panduan mengatasinya bersama-sama.

Pepatah melayu ada mengungkapkan kalimat ini. "Siakap Senohong, Gelama Ikan Duri. Bercakap Bohong, Lama-lama Mencuri"

Manakala sabda RasululLah saw pula bermaksud, "Tiga perkara, barangsiapa yang berada di dalamnya, maka ia dicap munafik, sekalipun ia puasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang muslim, iaitu; Bila berbicara ia bohong, bila berjanji ia mungkir, dan bila menerima amanat ia khianat".

Menepati janji itulah adalah wajib. Sebab itulah setiap kali berjanji kita mesti berazam untuk menepatinya. Kalau berjanji namun berazam untuk tidak menepatinya, maka termasuklah kita di dalam golongan yang disebutkan dalam hadis RasululLah SAW tadi.

Bagaimanakah kita boleh memulihkan sifat benar dalam diri kita dan menghalau sikap dusta dan menipu dalam diri kita. Mari kita renungkan beberapa nasihat yang diberikan oleh Imam Al-Ghazali yang dipetik dari bukunya yang sangat popular iaitu, "Bimbingan Mukminin". Mudah-mudahan nasihat beliau mampu meningkatkan keazaman dan menunjukkan jalan kepada kita mengurangkan seterusnya meninggalkan sifat buruk iaitu menipu dari diri kita.

Menurut imam Al-Ghazali, hakikat benar itu terbahagi kepada lima bidang, iaitu :

Benar dalam tutur bicara – Adalah wajar untuk setiap kita berkata benar dalam tuturkata. Setiap hamba wajar menjaga lidahnya dari tutur yang tidak benar, malah janganlah berbicara selain yang benar sahaja. Tidak akan sempurna hakikat benar dalam tutur bicara melainkan dengan menghindari kata-kata yang menyimpang. Kata-kata yang menyimpang itu adalah pembuka kepada pintu alasan untuk berdusta.

Benar dalam niat dan tujuan – Teras yang disebut dalam sesuatu niat dan tujuan ialah ikhlas, iaitu jangan sampai ada sesuatu gejala yang mempengaruhi gerak geri atau diamnya seseorang itu, kecuali Allah swt. Jika niat bercampuraduk dengan kekotoran oleh dorongan nafsu, nescaya rosaklah kebenaran niat di dalam hati dan jadilah ia seorang pendusta.

Benar dalam keazaman – Benar dalam keazaman ialah membulatkan niat dalam masa beramal dengan sekuat-kuat azam. Untuk mejadi seorang yang benar, hendaklah keazamannya dalam masa beramal taat dan membuat berbagai kebajikan itu dengan hati dan tekad bulat, sempurna dan kuat. Tidak condong kepada pengaruh-pengaruh yang lain, tidak lemah dan tidah berbolak balik. Malah seluruh jiwa dan raganya hendaklah berhasrat dengan penuh keazaman dalam masa membuat kebajikan-kebajikan itu.

Benar dalam menepati janji – Memang mudah sekali bagi jiwa mencita-citakan sesuatu, lebih lebih lagi mempunyai tekad keazaman di masa kini, sebab lidah tidak bertulang, dan untuk membuat janji dan azam memang tidaklah sukar kerana risikonya tidak berat. Tetapi apabila segala yang dicita-citakan itu menjadi hakikat dan segala yang dituntutnya itu telah tercapai, akan berkobarlah nafsu dan shahwat untuk mempengaruhi keazaman yang tadi sehinggalah akhirnya keazaman yang mula-mula itu menjadi meleset. Nyatalah menepati janji itu bukanlah sesuatu yang mudah namun kita hendaklah berusaha menepati janji kita, supaya kita dapat dijumlahkan sebagai orang-orang yang benar.

Benar dalam amalan – Orang-orang yang benar dalam mengerjakan amalannya ialah orang-orang yang berusaha dengan rajin, sehingga amalan lahiriahnya itu tidak menampakkan sifat-sifat batinnya yang bertentangan. Benar dalam amalan itu ialah persamaan gerak geri yang batin dengan gerak geri yang lahir. Umpamanya, apa yang terdetik dalam batin, hendaklah tampak sama seperti lahirnya, ataupun harus lebih baik dari yang lahir, sebagaimana digambarkan oleh seorang penyair, "Jika batin dan lahir seseorang mukmin itu sama, hidupnya mulia, dunia akhirat menerima sanjungan dan puja. Kalau yang lahir dengan yang batin pula berbeda, tiadalah sanjungan. Malah hidupnya payah penuh sengsara




~ Roha Hassan~

Wednesday, October 22, 2008

Karakter Mu, Karakter Ku



Mengikut Alexander Solzhemitsyu, "Tujuan kehidupan bukanlah bagi mencari kesenangan, tetapi bagi membangunkan jiwa kita.



Apa itu Karakter?


1. Karakter bukan sekadar bercakap kosong



Semua orang boleh bercakap tetapi perbuatannya adalah ujian sebenar karakter seseorang. Karakter anda menentukan pegangan, cara berfikir dan cara anda menangani sesuatu. Kerana itulah karakter pemimpin tidak dapat dipisahkan daripada tingkah lakunya. Jika pemimpin itu tidak cakap serupa bikin, lihat pada karakternya bagi mengetahui sebabnya.


2. Bakat sudah ditentukan Tuhan, tetapi karakter adalah pilihan sendiri
Kita tidak dapat mengawal banyak perkara dalam hidup . Kita tidak dapat memilih siapa ibubapa kita, cara kelahiran atau cara kita dibesarkan, bakat dan IQ kita. Tetapi kita dapat memilih karakter kita sendiri. Kita sebenarnya mendefinisikan lagi karakter kita setiap kali kita membuat keputusan - sama ada bagi berjuang atau berputus asa, menipu ataupun mengaku salah. Dengan setiap pilihan yang dilakukan, kita terus membangunkan karakter semula.


3. Karakter menyebabkan kejayaan bersama orang lain

Kepimpinan sebenar melibatkan orang lain. Pepatah ada menyatakan, "Jika anda fikir anda sedang memimpin tapi tiada orang yang mengikut anda dibelakang, maknanya anda hanya keluar berjalan-jalan". Orang tidak akan percaya pada pemimpin yang mempunyai karakter yang tidak baik, dan mereka tidak mungkin mahu mengikutnya.


4. Pemimpin akan dihadkan oleh karakternya

Pernahkah anda melihat orang yang sudah berjaya tetapi tidak bahagia selepas mencapai satu tahap kejayaan? Ini disebabkan oleh karakter yang tidak kuat. Ahli psikologi, "Steven Berglas pernah menulis di dalam bukunya, The Success Syndrom, "Orang yang berjaya tetapi tidak mempunyai karater yang kukuh, tidak akan dapat menghadapi stres yang timbul daripada kejayaannya dan akhirnya akan musnah. Mereka ini akan dimusnahkan oleh perasaan bongkak, kesepian, gila-gila mencari keseronokan atau zina".
Dipetik dari buku, "The 21 Indispensable Qualities Of A Leader"
~Roha Hassan~

Monday, October 20, 2008

ACA - Aku Suka Alam

Aku Suka Alam
Alam buat aku tenang,
kerana ia penuh dengan kasih sayang,
hamba Tuhan yang penuh kepatuhan

Aku suka alam,
kerana ia penuh rahsia dan cerita,
penuh kisah suka dan duka,
penuh warna warni,
melakar harapan dan impian.

Aku suka alam, kerana ia membuat aku berlari, berenang dan terbang


Aku tetap sukakan alam....walaupun kadangkala ia garang
kerana kerasukan manusia tamak lagi petualang, membuat alam menjadi berang.

Jangan salahkah alam kalau ia tiba-tiba hilang pertimbangan.

Alam hanya tunduk pada Tuhan walaupun kita kadangkala tewas pada nafsu.





Thursday, October 9, 2008

kualiti insan bernama disiplin


Soalan,

Saya selalu dimarahi ibubapa kerana disiplin. Di sekolahpun saya sering dimarahi guru kerana disiplin. Saya selalu dituduh kurang atau tidak berdisiplin. Kata-kata saya rasa bengang juga. Kadang-kadang rasa risau sebab asyik dimarahi kerana tidak berdisiplin. Bagaimana caranya untuk saya baiki perkara ini. Mohon pandangan Kak Roha.

Enrika,
Kuala Lumpur

==================================

Jawapan,

Salam lebaran buat Enrika, Semoga sentiasa ceria dan gembira di samping keluarga dan teman-teman.

Usahlah marah, bengang atau bersedih hati apabila didakwa kurang atau tidak berdisiplin. Teguran atau muhasabah itu amat diperlukan dari masa ke semasa. Itulah ertinya mereka kasih dan mengambil berat pada diri kita.

Bercakap tentang persoalan disiplin, kita harus melihat ke dalam diri kita dan apa sahaja yang berada di sekeliling kita. Anda sangat bertuah dikelilingi oleh insan-insan yang mementingkan disiplin. Kehidupan memang memerlukan disiplin. Samada kita suka atau tidak, ia satu tuntutan dan keperluan.

Bayangkanlah jika alam tanpa disiplin. Andai matahari tenggelam timbul sesuka hati. Tanpa mengikut masa yang telah ditetapkan. Bulan dan bintang beredar sesuka hati tanpa mengikut orbit yang sepatutnya. Musim tidak silih berganti mengikut turutan. Dunia pasti akan hancur.

Begitu juga dengan manusia. Bayangkan jika kita ke sekolah sesuka hati tanpa mengikut masa dan jadual yang ditetapkan. Apa akan jadi dengan suasana pembelajaran di sekolah. Begitu juga jika kita tidak berdisiplin di jalanraya, sudah pasti setiap hari kemalangan akan berlaku.

Sekarang inipun kita boleh melihat kadar kemalangan yang tinggi di jalanraya akibat sikap tidak berdisiplin sesetengah pengguna jalanraya. Hidup kita ini sebenarnya disempurnakan lagi dengan pelbagai disiplin yang diterapkan melalui adat dan agama. Contohnya ketika seorang muslim bersolat, setiap pergerakannya disusun penuh disiplin. Malahan ”tertib” atau ”mengikut turutan” merupakan salah satu rukun solat. Begitu juga dengan agama lain ada cara dan adabnya yang tersendiri apabila mereka bersembahyang.


Kita sendiri boleh melihat kualiti insan yang tidak mengikut disiplin yang sepatutnya. Lihatlah keadaan remaja yang tidak berdisiplin di sekolah. Mereka ponteng sekolah. Melawan guru. Membuli teman-teman. Akhirnya mereka gagal dalam pelajaran dan hidup.

Seorang penulis terkenal, John C.Maxwell dalam bukunya The 21 Indispensable Qualities Of A Leader, yang diterjemahkan ke dalam edisi Bahasa Melayu oleh PTS Profesional mengungkapkan pandangan berikut tentang disiplin.

H. Jackson Brown pernah berkata, ”Bakat tanpa disiplin adalah seperti sotong kurita berkasut roda. Ia bergerak tetapi tidak pasti ke mana.” Jika anda tahu anda berbakat dan sudah berusaha tetapi masih tidak mencapai kemajuan, mungkin anda kurang berdisiplin.


Sebuah nurseri pokok di Kanada mempamerkan kat-kata ini pada dindingnya, ”Masa yang terbaik bagi menanam sebatang pokok adalah 25 tahun tahun dahulu...masa kedua terbaik ialah hari ini”. Tanamkan disiplin hari ini.

Bagi mendisiplinkan diri, ikuti langkah-langkah berikut :

1. Susun semula keutamaan Kita

Fikirkan aspek yang penting dalam hidup dan catatkannya. Fikirkan juga disiplin yang kita perlu ada supaya terus berkembang dalam aspek-aspek itu. Masukkan disiplin itu dalam jadual harian kita. Untuk kes Enrika, anda boleh catatkan apakah masalah disiplin anda yang sering dikritik oleh ibubapa, guru-guru dan rakan-rakan. Kemudian anda boleh melaksanakan cadangan berikut.

2. Fikirkan sebab-sebabnya

Senaraikan pula faedah melakukan disiplin-disiplin tadi setiap hari. Tampal supaya kita dapat melihatnya setiap hari. Apabila kita merasakan malas mahu melakukannya, baca semula senarai tersebut.

3. Buangkan segala alasan

Senaraikan semua sebab mengapa anda tidak melakukan disiplin itu selama ini. Baca senarai itu dan akuilah semuanya hanya alasan semata-mata. Walaupun mana-mana sebab yang anda beri dirasakan seperti muhasabah, tanganilah ia. Jangan berikan diri anda ada ruang bagi berputus asa.

Begitulah diantara beberapa cadangan dan langkah-langkah yang boleh kita ambil untuk meningkatkan lagi disiplin diri kita.

Dari masa ke semasa, cubalah membaca kisah insan-insan yang berjaya seperti Nabi Muhammad SAW, para sahabat, ulama, tokoh-tokoh antarabangsa dan negara yang amat menitikberatkan soal disiplin dalam kehidupan mereka. Disiplin adalah ramuan untuk mereka berjaya dalam bidang masing-masing serta dihormati oleh orang lain.

Kisah-kisah mereka pasti menyuntik semangat untuk kita menjadi insan yang lebih berdisiplin. Oleh itu tanamkanlah disiplin dalam diri kita sejak di usia remaja supaya kita berjaya di masa hadapan.

-Roha Hassan-

Tuesday, October 7, 2008

Anda Bijak Jauhi Zina - Part 1

Assalamualaikum wbt...

Anda Bijak Jauhi Zina!


Baru-baru ini saya dan rakan-rakan daripada Raudhatus Sakinah iaitu ummi rose (pengarah RS) dan Kak Yus (Pengerusi RS Selangor) juga rakan-rakan lain di RS, wanita JIM negeri dan daerah telah memberikan pengisian berkaitan dengan kempen "Anda Bijak Jauhi Zina" di merata tempat.

Tentu sahabat-sahabat semua tertanya-tanya apa itu kempen Anda Bijak Jauhi Zina. Itu perihal tersebut, kita akan kongsi selepas ini. Sebelum ini, sila baca soalan daripada saya seorang remaja yang merupakan salah satu sebab kenapa kita, harus merancakkan lagi kempen, "Anda Bijak Jauhi Zina"

============================

Soalan
Assalamualaikum wbt,
Saya adalah seorang mahasisiwi di sebuah IPT. Saya memiliki teman rapat yang memiliki teman lelaki. Hubungan mereka seperti 'belangkas'. Teman rapat saya merupakan seorang pelajar yang pintar dan beberapa kali telah menerima hadiah kecemerlangan pelajaran. Dia juga telah memaklumkan bahawa beliau telah beberapa kali terlanjur dengan pasangannya. Memang saya tidak merestui perbuatannya. Malahan akhir-akhir ini saya melihat terdapat beberapa perubahan ketara pada dirinya. Sebagai teman, saya jadi gundah. Saya risau dia akan hamil. Lagipun ia satu perbuatan yang berdosa. Mohon input untuk saya membantu teman saya ini. Saya juga ingin membantu kawan-kawan lain yang bersikap seperti teman rapat saya ini.


Terimakasih.
Nuraliyah, Selangor
----------------------------------------------------------------------------------


Jawapan

Waalaikummussalam wbt,
Teman yang baik ialah teman yang gembira melihat temannya bahagia serta melakukan kebajikan. Dalam masa yang sama akan rasa sedih dan gundah bila melihat temannya berada dalam kesedihan atau melakukan perbuatan mungkar.

Jadi, memang wajar untuk saudari memberikan nasihat dan peringatan kepada teman yang lain. Terutamanya dalam perihal yang boleh memudaratkan diri serta masa depan mereka. Berilah nasihat dan peringatan mengikut kemampuan kita masing-masing. Mudah-mudahan, ada hati yang diberikan hidayah oleh Allah atas nasihat yang kita berikan.

Berkaitan dengan perbuatan teman rapat saudari, Kak Roha ingin kongsikan beberapa peringatan yang mungkin boleh membantu saudari ketika memberikan peringatan kepada beliau.

Allah berfirman dengan maksudnya, "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar." (Al-Israk : 32-33)

Islam mengharuskan hubungan halal di antara lelaki dan wanita melalui perkahwinan. Malah, Islam menganggap perkahwinan sebagai sebahagian daripada amal soleh dan ibadat kepada Allah. Islam mahu menjadikan perkahwinan itu satu pekerjaan yang mudah dibuat dalam masyarakat serta menjadikan zina itu sebagai pekerjaan paling sukar dilakukan. Kerana itu, Islam menggariskan konsep hijab yang juga merupakan kod etika atau pedoman bagi lelaki dan wanita berurusan dalam masyarakat.

Sistem hijab menekankan kepada menjaga batas pergaulan, adab berpakaian di kalangan ahli keluarga lelaki dan perempuan, dan adab menutup aurat di hadapan mereka yang halal dinikahi. Ia juga menekankan supaya menjauhi diri daripada syahwat yang tersembunyi, dengan cara menundukkan pandangan terhadap media lucah, pandangan berahi dan pendedahan aurat.

Remaja dan belia harus dididik supaya bertanggungjawab di atas segala tindakan mereka, yang akan memberi kesan pada kemudian hari. Sekali mereka terjebak, kesudahannya penyesalan sepanjang hayat!

Apakah kesan bagi remaja dan belia IPT ini apabila berlaku kehamilan di luar nikah?
1. Mereka dibuang dari IPT atau digantung pengajian. Bayangkan perasaan malu yang menimpa serta masa depan yang gelap! Mereka juga terpaksa bekerja dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia saja.

2. Mereka menggugurkan kandungan dan dalam keadaan jahil, berterusan melakukan zina, hingga ada yang telah berkali-kali ke klinik untuk melakukan pengguguran! Perlu ditegaskan, melakukan pengguguran berulangkali dalam tempoh terdekat pada usia remaja boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem reproduksi dan mendatangkan pelbagai komplikasi pada masa depan.

3. Menghidap penyakit kelamin seperti herpes, sifilis dan AIDS. Ini biasa berlaku kepada remaja perempuan yang berpasangan dengan lelaki dewasa yang sering pula bertukar-tukar pasangan.

4. Dibuang keluarga yang malu akibat perbuatan aib mereka. Kasihan pada ibubapa dan keluarga yang bekerja keras memastikan kita berjaya hingga ke IPT. Alangkah pilu anak yang ditatang bagai minyak yang penuh menconteng arang ke wajah mereka. Apabila dibuang keluarga, tentu hidup individu ini akan terbiar. Betapa sedih dan sukar hidup tanpa keluarga.

5. Terpaksa bernikah secara tergesa-gesa tanpa persediaan mental dan emosional yang stabil. Pernikahan secara tergesa-gesa sudah pasti mengundang pelbagai kegawatan selepas itu. Mulalah kedua pihak saling ungkit mengungkit dan tuduh menuduh apabila menghadapi perlbagai rintangan mendatang.

6. Mengalami penderitaan emosi, terutamanya apabila si lelaki tidak mahu bertanggungjawab atau menghilangkan diri. Kisah si lelaki yang melarikan diri apabila pasangannya hamil bukan kisah baru atau khayalan. Perkara ini memang sering berlaku dalam masyarakat. Tinggallah si gadis menanggung segala keperitan dan penderitaan seorang diri.

7. Gangguan mental juga boleh dialami oleh remaja atau belia perempuan yang melalui senario ini apabila memikirkan masa depannya yang gelap.
Melihatkan kepada kesan-kesan buruk yang begitu banyak. Lebih bijak untuk remaja dan belia menjauhi zina. Untuk yang sudah terlanjur, bertaubat, berkahwin dan baikilah kesalahan yang telah dilakukan. Mudah-mudahan Allah mengampuni dosa-dosa kita. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat mereka yang benar-benar mahu membersihkan diri mereka dari dosa dan noda.

~Roha Hassan~

Monday, September 22, 2008

Santunilah Anak- anak Yatim Dan Ibu Tunggal

Kakitangan GeoInfo Meraikan Anak-anak Yatim Dan Ibu Tunggal

Ibadah puasa adalah ibadah yang sangat istimewa. Ramadhan menjanjikan pahala yang berlipat ganda, pengkabulan do’a, pemudahan amal shaleh, penghapusan dosa, surga dibuka seluas-luasnya, neraka ditutup rapat-rapat, syaitan-syaitan dibelenggu. Dan di dalamnya ada malam lailatul qadar, malam yang lebih baik dari seribu bulan. Kebaikan yang tidak ternilai bagi yang meraihnya. Subhanallah!

Nabi saw. bersabda: “Bila Ramadhan tiba, pintu-pintu surga dibuka, dan pintu-pintu neraka ditutup, sementara syaitan-syaitan diikat.” (HR. Bukhari-Muslim).

“Siapa yang berpuasa Ramadhan dengan kesedaran iman dan penuh harapan mengharapkan ridha Allah, akan diampuni semua dosa-dosa yang lalu.” (HR. Bukhari-Muslim).

“Orang yang berpuasa doanya tidak ditolak, terutama menjelang berbuka.” (HR. Ibn Majah, sanad hadits ini sahih).
Menyantuni Anak Yatim Dan Ibu Tunggal Adalah Amalan Mulia

Salah satu perkara yang amat perlu kita lakukan di dalam bulan Ramadhan ialah, membuka lembaran baru yang bersih. Kepada Allah, dengan taubatan nasuha. Kepada Rasulullah saw, dengan melanjutkan risalah dakwahnya dan menjalankan sunnah-sunnahnya.
Kepada orang tua, isteri, anak, dan karib kerabat, dengan mempererat hubungan silaturrahim. Kepada masyarakat, dengan menjadi orang yang paling bermanfaat bagi mereka. Sebab, manusia yang paling baik adalah yang paling bermanfaat bagi orang lain.
Bagi mengukuhkan ukhuwwah sesama ahli dan keluarga, di samping berpeluang menyantuni anak-anak yatim dan ibu tunggal, satu majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan telah diadakan dengan perincian berikut :

Tarikh : 20 September 2008 / 20 Ramadhan 1429H (Sabtu)
Tempat : Zara Kafe & Restoran A-G-7 (Ground Floor), Jalan 2/4C, Desa Melawati, 53100 Kuala Lumpur


Seramai 60 orang kakitangan dan keluarga menghadiri program ini bersama 40 orang anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Antara objektif program ialah, mengeratkan silaturrahim di kalangan ahli GSSB, menghayati, meraikan dan memeriahkan bulan Ramadhan dengan amalan yang berfaedah serta menyantuni golongan yang kesempitan dan memerlukan seperti anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Selaian majlis berbuka puasa bersama, cenderahati dan sumbangan turut diberikan kepada anak-anak yatim dan ibu tunggal.

Roha Hassan
Pengurus Pentadbiran dan Kualiti
Geoinfo Services Sdn. Bhd.