Sunday, June 8, 2008

Di Sebalik Tembok Dan Pagar Berduri


Setiap kali melalui pintu gerbang Kem Tahanan Kamunting yang indah itu, pasti kita tidak akan mampu membayangkan kehidupan sebenar di sebalik tempoh batu dan pagar berduri.

Paling jauh pun jangkauan pemikiran kita ialah penghuni di sebalik sana adalah insan-insan yang bersalah. Mereka yang mengancam keselamatan negara. Sebab itulah yang diberitahu kepada kita oleh semua media. Dari orang-orang besar hinggalah orang-orang kecil yang menjadi pemerintah negara ini memberitahu bahawa kem ini adalah tempat buangan orang-orang yang merbahaya. Tempat untuk memulihkan mereka agar menjadi warga yang berguna.

Kalau adapun di antara kita memiliki saudara mara, rakan-rakan, jiran-jiran yang menghuni Kem tahanan ini. Kita hanya difahamkan hanya beberapa orang salah sahaja yang terlibat. Hanya beberapa orang yang merbahaya sahaja yang dikurung. Hanya beberapa peribadi yang mengancam keselamatan yang diasingkan disana.

Namun pernahkah kita membayangkan di sebalik tembok sana terdapat tangisan dan airmata para isteri yang ditinggalkan. Di sebalik tembok dan pagar berduri itu juga ada kerinduan berpanjangan anak-anak yang sudah terlalu lama tidak dibelai.

Bagi kita yang berada di luar dunia wanita-wanita ini, kita pasti akan membayangkan keadaan para suami yang berada di dalam tahanan semata-mata. Memang benar, mereka yang ditahan tanpa bicara sudah cukup tersiksa dan menderita.

Namun, ramai antara kita tidak menyedari di sebalik tembok batu dan pagar berduri ini, terdapat wanita-wanita dan anak-anak kecil yang turut menanggung kesengsaraan akibat tindakan terhadap suami dan ayah anak-anak mereka.

Ikutilah perkongsian kisah benar daripada isteri-isteri tahanan dan bekas tahanan ISA. Kesudian untuk berkongsi oleh wanita-wanita yang telah dan sedang melalui ujian hebat ini amat mengkagumkan. Pasti kita yang tidak melalui apa yang mereka lalui akan tersentak sebaik sahaja membaca kisah-kisah mereka.

Sudah pasti intipati cerita oleh mereka tidak sama dengan yang dipaparkan di dalam media. Tidak sama dengan apa yang diceritakan dalam radio, televisyen, akhbar dan majalah. Tiada kebenaran yang disembunyikan dalam kisah-kisah mereka.

Bagi wanita dan anak-anak yang tidak bersalah ini, kefahaman dan pengertian setiap kita amat bermakna. Sudah cukup terseksa tanpa suami di sisi. Ditambah pula dengan hinaan dan tohmahan masyarakat sekitar. Mudah-mudahan selepas kalian membaca baris demi baris, ayat demi ayat, rangkap demi rangkap penulisan wanita-wanita ini. Kalian akan lebih mengerti. Bersimpati dan memahami.

No comments: