Sunday, June 22, 2008

Perhubungan Sosial Yang Syari'e (Part 1)

Pada hari sabtu yang lalu, di Sekolah Menengah Al-Amin Gombak, satu perkongsian oleh Setiausaha Kehormat WJIM Pusat, Roha Hassan dengan remaja pelajar Sekolah Menengah Al-Amin telah berlangsung. Tajuk pengisian tersebut ialah, “Perhubungan Sosial Yang Syari’e.

Sesi motivasi ini dimulakan dengan membahagikan para peserta kepada empat kumpulan. Setiap kumpulan diminta memberikan input berdasarkan pengalaman dan pendapat sendiri tentang apa yang mereka fahami berkaitan dengan perhubungan sosial yang syari’e. Disamping itu setiap kumpulan juga diminta mengulas beberapa contoh perhubungan sosial yang memudaratkan.


Antara input penting yang dikongsikan dengan peserta ialah :

Perhubungan sosial adalah merupakan satu keperluan memandangkan setiap insan saling berhubung diantara satu sama lain. Ia tidak sahaja merujuk kepada perhubungan seorang lelaki dan seorang wanita sahaja. Tetapi lebih kepada seorang individu dengan individu yang lain atau seorang individu dengan sekumpulan insan yang lain. Juga seorang individu dengan haiwan dan alam.

Perhubungan yang baik sesama manusia atau dengan alam dan haiwan menggambarkan akhlak individu yang baik. Imam Al-Ghazali menggariskan beberapa bentuk perhubungan yang perlu ada dalam memenuhi hak antara satu sama lain. Imam Al-Ghazali telah menulis satu topik khas yang diberi tajuk, ”Adab pergaulan, persaudaraan dan persahabatan” dalam bukunya yang terkenal, Bimbingan Mukminin atau Mau’izhatutul Mu’minin Min Ihya’ Ulumiddin.

Perhubungan sosial melibatkan komunikasi. Komunikasi ialah medium menyampaikan kebaikan dan mencegah atau melarang kemungkaran. Tanpa komunikasi, kehidupan bermasyarakat tidak mungkin akan berlaku.
Medium komunikasi yang ada sekiranya dimanfaatkan sepenuhnya akan jadi pemangkin kepada perhubungan sosial yang syari’e. Samada melalui lisan atau tulisan, manusia yang bijak dan kreatif akan memanfaatkan segala medium yang ada, sekurang-kurangnya untuk berinteraksi, berkongsi maklumat, menyampai dan menerima ilmu dan kemahiran, menerima atau menghantar berita baik atau buruk. Ia juga mampu mendekatkan kita dengan Tuhan dan insan.
Perhubungan sosial juga boleh memudaratkan sekiranya ia tidak mengamalkan akhlak yang benar serta tidak dikawal oleh iman dan taqwa.
Contohnya ”sistem pesanan ringkas” atau singkatannya ”sms” pada asalnya dibuat untuk menghantar pesanan ringkas dan penting dengan cepat dan murah tetapi apabila ianya disalahgunakan, contohnya menghabiskan masa bekerja dan belajar dengan mengirim dan membaca sms, medium untuk mengumpat dan mengutuk orang lain, medium untuk mengugut atau memaki hamun sesama sendiri, berlaku curang dan terlibat dengan cinta terlarang serta lain-lain lagi. Begitu juga dengan telefon bimbit yang amat penting dan bermanfaat, tapi kalau digunakan untuk muat turun foto atau video aksi lucah, ia adalah berlawanan dengan etika dan berdosa.

Di akhir program, beberapa potong hadis dan ayat-ayat al-Quran dikongsikan sesama peserta. Antaranya ialah hadis RasululLah SAW yang bermaksud, ”Seorang Mukmin ialah orang yang senang bermesra dan dimesrai, dan tiada gunanya pada orang yang tidak tahu bermesra dan tidak suka dimesrai.

Di dalam hadis yang lain, RasululLah SAW bersabda, ”Sesiapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan baginya, dikurniakannya seorang teman yang saleh. Apabila terlupa diingatkan dan apabila teringat ditolong oleh teman itu”.


Roha Hassan

1 comment:

~:~qnik91~:~ said...

Assalamualikum, kak Roha. Hanya ingin mewakilkan para sahabat, mengucaokan syukran jazilan ke atas segala ilmu yang telah kak Roha curahkan buat kami.