Wednesday, June 13, 2012
Bapa Adalah Hero Kita
Monday, June 11, 2012
Tidakkah Anda Menyesal?
Monday, December 12, 2011
JJMS Zon Tengah : Andainya Aku Kaya
Andainya aku kaya : Itulah ayat yang muncul dalam minda ini apabila anak-anak kecil sekitar 8-12 tahun itu berkeliaran di sekitar pasar yang basah dan berbau. Anak-anak kecil yang comot itu mendekati hampir semua pembeli termasuk kami. Berbekalkan plastik hitam ditangan, anak-anak ini mula menawarkan diri untuk mengangkat ikan dan udang yang baru kami beli.
Saya serba salah untuk membenarkan mereka membawa ikan dan udang yang saya beli sekitar 15 kilo itu. Sederhana berat untuk kami berdua, tetapi bagi saya terlalu berat untuk kanak-kanak. Janggal untuk saya membiarkan anak-anak sebaya mereka mengangkat barang-barang.
Rupanya sayalah yang tidak mengerti. Saya tidak mengerti bahawa kanak-kanak itu dari keluarga yang miskin dan tidak mampu. Demi meringankan bebanan ibubapa masing-masing, kanak-kanak ini mencari rezeki dengan cara mengangkat beg para pembeli di pasar itu. Tentulah ia lebih baik dari meminta-minta.
Sejenak saya teringatkan seorang remaja lelaki yang saya ditemui disebuah resort di Melaka beberapa minggu yang lalu. Dia datang mengemas bilik kami. Sempat kami berbual dengan remaja yang bertubuh kecil itu. Katanya, ”Saya baru habis PMR. Kerja kat sini untuk cari duit. Nak guna masa bukak sekolah tahun depan. Kami orang susah..” Begitu anak ini berkongsi secebis kisahnya dengan kami. Beberapa kali kami terserempak dengan remaja ini, namun tawa dan senyumnya tetap sama. Ceria dan peramah.
Saya suka apa yang dilakukannya. Teringat pula pada diri sendiri. Dulu, setiap kali pulang dari sekolah kami akan membantu arwah abah berniaga. Tidak pernah rasa ianya satu bebanan. Tidak pernah rasa ia sesuatu yang memalukan. Yang pasti sejak kecil kami sudah diasuh dan dididik agar berusaha demi kehidupan!
Kalau dulu saya sering diingatkan agar belajar bersungguh-sungguh. Ada kerjaya. Punya wang demi membantu keluarga. Menjadi kaya dan berjaya agar boleh membantu diri, keluarga, agama dan sesiapa sahaja yang memerlukan.
2. Lagi-lagi, Aku Ingin Kaya
Andainya aku kaya : Ayat itu muncul kembali dalam minda ini apabila sering didekati oleh kanak-kanak yang meminta wang. Antara ingin memberi atau tidak, saya jadi serba salah. Tidak diberi, saya rasa kasihan. Diberi, pasti akan ada beberapa orang lagi yang akan menyerbu kita. Risau juga dengan keselamatan sendiri.
Namun antara rasa kasihan dan kerisauan, biasanya saya akan hulurkan jua sumbangan kecil. Mudah-mudahan ia memberi manfaat. Sebabnya, saya memang mudah simpati. Tambahan pulak itulah yang dididik oleh arwah mak yang sifatnya sentiasa memberi walaupun sedikit.
Apa yang kanak-kanak ini lakukan sebenarnya mengingatkan saya akan beberapa peristiwa yang pernah saya temui. Dulu ketika masih di IPT, saya akan naik bas ekspres untuk balik kampung. Ketika itulah kanak-kanak yang meminta sedekah ini akan mendekati kita. Jika kita tidak memberikan apa-apa bila diminta, mereka mula mengungut dan mengeluarkan pisau kecil. Satu ketika dahulu perkara ini pernah jadi isu dan dihebohkan.
Mungkinkah perkara seumpama itu sudah dapat dibendung atau masih berleluasa? Saya tiada fakta tentangnya namun cerita seorang teman membuatkan saya berfikir.
3. Kefakiran Boleh Membawa Kepada Kekufuran
Baru-baru ini ketika kami makan-makan bersama teman yang berasal dari Indonesia, dia bercerita. Kata teman yang baik itu, di satu bandar yang tidak mahu saya sebutkan namanya adalah tempat dimana kanak-kanak diajar menjadi penyeluk saku sehingga menjadi yang terhandal. Kemudian dilepaskan untuk menjalankan operasi masing-masing. Biasanya kanak-kanak yang miskin, melarat dan tidak mampu yang terpilih untuk dilatih!
Begitulah, kemiskinan ada ketikanya mengubah manusia baik menjadi sebaliknya. Benarlah bagai yang diingatkan oleh baginda RasululLah SAW, Kefakiran boleh membawa kepada kekufuran.
Semua ini membuatkan saya berfikir, andainya aku kaya! Alangkah baiknya jika aku kaya! Sekiranya aku orang kaya. Aku ingin membantu ramai orang. Aku ingin bersedekah. Aku ingin menolong kanak-kanak, janda, fakir miskin dan sesiapa sahaja yang memerlukan. Aku ingin melakukan banyak kebajikan. Aku ingin melakukan itu dan ini demi umat dan agama.
4. Si Kaya Yang Derhaka
Namun mungkinkah begitu! Benarkah jika kita sudah kaya raya kita akan jadi bertambah pemurah? Benarkah harta benda yang banyak akan jadikan kita lebih mudah memberi? Benarkah dengan menjadi jutawan atau hartawan kita juga mampu jadi dermawan? Benarkah kita mesti menanti menjadi kaya raya, jutawan, hartawan serta semua ini sebelum memiliki sifat pemurah dan pemberi?
Maka, teringatlah saya akan kisah Qarun yakni manusia kaya yang akhirnya mati dalam kekufuran. Tidak sedikit kisah manusia kaya yang bakhil serta mengingkari perintah Allah untuk mengeluarkan zakat sehingga diperangi seperti di zaman Syaidina Abu Bakar. Tidak kurang ”haji bakhil” yang tersenarai dalam carta kehidupan hari ini.
Walapun ramai sikaya yang dermawan diluar sana namun bagi saya, memberi bukan ketika kita kaya semata-mata. Yang penting kaya dengan sifat pemurah dan pemberi. Berilah sedikit asalkan ikhlas kerana Allah SWT semata-mata.
5.Dalam Setiap Kekayaan Ada Hak Yang Perlu Ditunaikan
Memberi itu hadir apabila kita memiliki. Kita memberi bila kita punya sesuatu untuk diberi. Walaupun sedikit asalkan kita mengerti nikmat dan kelebihan yang akan dinikmati oleh orang yang suka memberi dan berkongsi.
Ada banyak sebab kenapa kita kena selalu memberi! Apa yang kita miliki adalah milik Allah. Semuanya Allah yang beri walaupun yang berusaha itu kita. Berilah hak dirimu, keluargamu, umahmu, agamamu. Ada zakat dan sedekah yang perlu kita tunaikan. Semuanya telah Allah peringatkan dalam Al-Quran dan dikukuhkan oleh Al-Hadis.
1. Allah swt berfirman tentang Emas dan perak. Firman Allah S.W.T di dalam surah at-Taubah ayat 34 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
2. Allah swt juga berfirman tentang tanaman dan buah-buahan, Allah S.W.T menyatakan perkara tersebut di dalam surah an-An’aam yang bermaksud :
“Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.”
3. Allah swt juga berfirma tentang hasil usaha, firman Allah S.W.T di dalam surah al-Baqarah ayat 267 yang bermaksud :
“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.”
4. Allah S.W.T juga berfirman di dalam surah at-Taubah ayat 103 yang bermaksud :
“Ambilah (sebahagian) dari harta (kekayaan) mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk)”
Serta surah adz-Dzaariyaat yang bermaksud :
“Dan pada harta-harta (kekayaan) mereka, (ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri (daripada meminta).”
Mungkin ada antara kita sudah cukup berjaya. Jutawan, hartawan, kaya raya. Ramai pulak antara kita berjaya tapi belum cukup kaya. Tidak kurang yang sederhana sahaja.
Pun begitu, anak-anak kita tidak sampai mencuri kerusi dan meja untuk dijual demi sesuap nasi. Anak-anak kita tidak menadah tangan kesana kemari untuk mendapat beberapa ringgit. Anak-anak kita juga tidak perlu ponteng sekolah untuk mencari rezeki.
Tidak sama nasib kita dan anak-anak kita dibanding dengan anak-anak dari golongan yatim, miskin, ibu dan bapa tunggal yang memerlukan bantuan di PPRT di Lembah subang, Selangor. PPRT ini merupakan perumahan rakyat termiskin. Ramai ibu-ibu tunggal dan anak-anak yang tinggal disana yg amat memerlukan bantuan. Kawasan ni mempunyai 8 blok flat.
7. Jalan-jalan Masuk Sekolah (JJMS) Zon Tengah Ke PPRT Lembah Subang Selangor Pada 25 Disember.
Antara bantuan yang Wargakilang Zon Tengah cadangkan untuk diserahkan kepada mereka yang memerlukan ini ialah:
1) Set peralatan sekolah atau sebahagiannya:
Beg sekolah, pensel, pemadam, pengasah, pembaris, kotak pensel
Botol minuman,bekas makanan, stokin, kapur kasut
2) Buku-buku latihan
3) Buku-buku bacaan, novel, komik etc
4) Pakaian-pakaian terpakai yg masih elok.
5) Tajaan makanan dan minuman pada hari tersebut juga dialu-alukan.
8.Jika ingin sertai kami, hubungi :
1. Kawasan Cheras dan sekitar - Warikh 019-470 1477
2. Kawasan Wangsa Maju dan sekitar- Roha 012-431 7948
3. Kawasan Subang & Sg Buluh dan sekitar - Sharul 012-631 5244
4. Kawasan Petaling Jaya dan sekitar– Borhan 013-3412057
Boleh hubungi salah seorang dari kami jika anda ingin memberi walaupun bukan berada di kawasan yang disebutkan diatas.
Sokongan dan bantuan dari semua amat kami hargai dan alu-alukan. Semoga Allah menambahkan rezeki kita melebihi apa yang kita beri.
Roha Hassan
Wargakilang
16 Disember 2011
Sunday, August 14, 2011
Jom Santuni Anak Yatim Bersama Wargakilang Zon Tengah
1. Berkongsi Atas Dasar Prihatin dan Kasih Sayang
Sepertimana yang diwar-warkan sebelum ini, Wargakilang zon tengah akan meneruskan usaha dan peranan menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan, sumbangan dan kasih sayang dari kita semua. Memberi bukan beerti kita yang paling kaya, menerima bukan beerti kita yang paling miskin dan malang. Sebenarnya semua ini adalah ujian. Yang memberi dengan ujian memiliki, yang menerima dengan ujian ketiadaan.
Memberi dan menerima adalah satu jalinan ukhuwwah dan kasih sayang. Ia adalah perkongsian atas dasar peduli, prihatin dan tanggungjawab. Sesungguhnya harta kita adalah pinjaman semata-mata. Memang benar usaha kita yang akan menentukan harta kita. Namun yang lebih benar, rezeki kita sudah ditentukan Allah. Maka, bagi manusia yang bersyukur pastilah akan mengerti harta benda adalah ujian atau cobaan Allah kepada manusia. Barangsiapa yang bersyukur, harta benda akan disalurkan kejalan yang diredhaiNya. Barangsiapa yang mengerti, mereka akan tahu dalam harta kita ada bahagian untuk fakir miskin, anak-anak yatim, saudara baru dan lain-lain. Yang pasti tiada satupun milik kita. Semuanya milik Allah. Kita hanya mengusahakan apa yang Allah sudah sediakan. Kita hanya dipinjamkan agar kita memanfaatkannya demi mencari bekalan menuju dunia akhirat yang kekal abadi.
Ingatlah ketika Luqman AS mengajarkan anaknya, ”Janganlah engkau hinakan seseorang karena pakaiannya, sebab Rabmu dan Rabnya adalah sama”. Pangkat, darjat, harta, keturunan dan kekayaan kurnia Allah adalah untuk kita bertambah belas dan kasih sayang pada yang lain. Bukan ruang untuk sombong dan memandang rendang sesama manusia.
2. Kemuliaan Yang Besar Akan Diperolehi Apabila Menyantuni Anak-anak Yatim
Islam memberikan kemuliaan yang besar jika kita mengasuh dan menyantuni anak yatim. Dan rumah yang disukai oleh Allah SWT adalah rumah yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam salah satu hadis yang diriwayatkan oleh Baihaqi:”Rumah yang paling disukai Allah adalah rumah yang didalamnya ada anak yatim yang dimuliakan”
Dalam hadis yang lain, Abu Hurairah RA berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda : “Orang yang menanggung anak yatim, baik anak yatim itu masih ada hubungan famili atau tidak, maka aku akan menanggungnya seperti dua jari ini dalam Surga” (HR Bukhari)
Apabila kita tidak mampu untuk mengasuh mereka, cukuplah dengan cara menyantuni kehidupan mereka. Dalam satu riwayat Nabi SAW menegaskan : “Barang siapa diantara kaum muslimin yang menaggung makan dan minum anak yatim, maka Allah akan memberikan kecukupan penghidupan baginya, serta mengharuskan dia masuk surga kecuali bila dia melakukan dosa yang tidak terampuni”. (HR. Turmudzi)
Memang benar, menjaga dan menyantuni anak-anak yatim bukanlah satu tugas yang mudah, kerna itu kita harus menyokong serta meringankan bebanan rakan-rakan yang menguruskan rumah-rumah kebajikan dan anak-anak yatim. Dalam masa yang sama, tidak la pulak kita terlepas dari peranan menyantuni anak-anak yatim. RasululLah SAW amat menggalakan sikap seumpama ini. Maka seterusnya baginda bersabda. ”Barang siapa mengusap anak yatim, kelak Allah SAW akan mencatatkan baginya atas setiap helai rambut yang diusap tangannya dengan sepuluh kebajikan”
Alangkah bertuahnya jika dapat membuat hati orang-orang yang susah menjadi gembira, berlemah lembut kepada orang-orang yang lemah dan miskin, membantu orang-orang yang tidak punya, menyantuni anak-anak yatim, dan mengusap kepala mereka kerana ini merupakan sebahagian dari proses penyucian jiwa dan pencerahan kalbu.
3. Persatuan Kebajikan & Perlindungan Raudhatul Jannah Kuala Lumpur dan Selangor
Untuk kali ini, Wargakilang Zon Tengah memilih, Persatuan Kebajikan & Perlindungan Raudhatul Jannah Kuala Lumpur dan Selangor yang diasaskan oleh Hjh Zainab Othman (Kak Nab). Ia merupakan pusat perlindungan yang memberi perlindungan kepada anak-anak yatim, mualaf, ibu tunggal, fakir miskin dan remaja yang terlibat dengan gejala sosial.
Alamat : Persatuan Kebajikan & Perlindungan Raudhatul Jannah Kuala Lumpur dan Selangor
No 39, Jalan Pelangi 2,Taman Pelangi,
51000 Sentul, Kuala Lumpur
Jumlah Penghuni setakat ini : 20 orang dengan yang paling kecil bayi berusia 2 bulan dan remaja berusia 17 tahun.
Jumlah ini tidak termasuk Kak Nab, fultimer dan sukarelawan.
Rumah ini kami pilih atas sikap dan pegangan Hjh Zainah atau Kak Nab yang tidak suka meminta-minta. Apa sahaja bantuan yang diterima, diterima seadanya. Sikapnya yang merendah diri dan mendidik anak-anak ini mengikut lunas-lunas agama amat menyenangkan. Semoga melalui majlis ini kita dapat menyantuni anak-anak yatim yang mulia sambil menghulurkan bantuan sekadar cuma bagi meringankan beban mereka, insyaAllah
4. Program Iftar Wargakilang Bersama Anak-anak Yatim
Sepertimana yang diwar-warkan sebelum ini, kami mohon maaf terdapat sedikit perbezaan maklumat dari sudut tarikh dan tempat. Sebelum ini diwar-warkan tarikh majlis iftar pada 23 Ogos dan Raudatul Jannah terletak di Gombak. Namun semua itu atas kelemahan saya. Pengubahsuaian ini berdasarkan tarikh 17 Ogos jatuh pada Nuzul Quran dan ramai yang bercuti berbanding 23 Ogos yang mana rakan WK zon tengah tidak bercuti. Selain dari itu kesesuaian masa dengan pihak Raudhatul Jannah juga telah diambilkira dalam penukaran tarikh ini.
Berikut ialah perincian majlis Iftar bersama anak-anak yatim Raudhatul Jannah.
Tarikh : 17 Ogos 2011
Masa : 6.30 pm - 10.30 pm (Iftar, solat maghrib dan terawih bersama)
Tempat : Persatuan Kebajikan & Perlindungan Raudhatul Jannah Kuala Lumpur dan Selangor
No 39, Jalan Pelangi 2,Taman Pelangi,
51000 Sentul, Kuala Lumpur
5. Untuk yang ingin hadir dan menyumbang, hubungi nama-nama berikut :
1. Roha Hassan (koordinator) - 012-4317948
2. Faisal : 013-3475928
3. Shahrul : 012-6315244
4. Nazirah : 013-3898534
Akhi bicara, sekali lagi dikongsikan kata-kata Luqman AS ketika mengajarkan anaknya, ”Janganlah engkau hinakan seseorang karena pakaiannya, sebab Rabmu dan Rabnya adalah sama”.
Roha Hassan
Koordinator JJMK Zon Tengah sempena Ramadhan al Mubarak!
Wednesday, August 3, 2011
JJMK Perkampungan Orang Asli Ulu Slim - Sharing and Caring
1. Kala menatap wajah anak-anak ini
Kala menatap wajah anak-anak ini, saya terkenangkan zaman kanak-kanak dahulu. 30 tahun yang lalu memang berbeza dengan hari ini. Namun perbezaan itu tidak pernah menjadi halangan terhadap satu impian yang dimiliki oleh semua kanak-kanak. Apapun zaman dan latarbelakang, setiap kanak-kanak ditanamkan dengan harapan dan cita-cita untuk berjaya dimasa hadapan. Sungguhpun kanak-kanak tidak akan mengerti apa itu bahagia yang sebenarnya, sebab setiap kanak-kanak melihat kebahagiaan dari kacamata yang berbeza dari orang yang dewasa. Namun setiap kanak-kanak berhak diberikan kegembiraan dan kebahagiaan.
Barangkali bahagia anak-anak ini adalah dengan apa yang mereka miliki seadanya sedangkan bahagia anak-anak kita yang berada diluar perkampungan orang asli ini agak berbeza. Namun setelah 54 tahun merdeka, tidakkah impian anak-anak ini dengan impian anak-anak kita hampir serupa? Saya tidak memiliki jawapan tersebut sehinggalah kita sendiri menyantuni dan memahami impian anak-anak ini.
3. JJMK Perkampungan Orang Asli Ulu Slim
InsyaAllah program ini akan dilaksanakan pada 13 Ogos 2011 ini. NGO Wargakilang dengan kerjasama MAKPEM Kuala Lumpur akan mengadakan program separuh hari dengan masyarakat Perkampungan Orang Asli Ulu Slim sambil menyampaikan sumbangan. Sekitar 50 keluarga disasarkan untuk menerima sumbangan barangan dan lain-lain. Jauh disudut hati kami selaku penganjur berharap sumbangan kecil ini dapat menghidupkan bibit-bibit ukhuwwah dan perasaan kebersamaan dengan penduduk setempat. Kita boleh saling memahami dan mengetahui dengan lebih mendalam keperluan masyarakat Orang Asli Ulu Slim
4. Kelebihan Bersedekah Terutamanya Di Bulan Ramadhan
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:" Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadhan.” Riwayat at- Tirmidzi
Huraian Pengajaran Hadis:
i) Setiap umat Islam seharusnya berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadhan tanpa memikirkan sebarang kerugian seperti membanyakkan bersedekah kerana balasan di atas setiap satu kebajikan itu adalah amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.
ii) Bersedekah bukan hanya memberikan wang, tetapi termasuk di dalamnya mengajak berbuka puasa kepada fakir miskin dan orang-orang yang berpuasa.
iii) Konsep "memberi" (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadhan bahkan di bulan-bulan lain juga kerana selalu bersedekah akan memberikan pengaruh yang baik pada peribadi dan masyarakat umumnya di mana seseorang itu akan dapat menghakis sifat kedekut dalam dirinya di samping mempereratkan lagi ikatan kemesraan di dalam anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.
iv) Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk. (Nota : Rujukan portal JAKIM)
5. Jom Berkongsi!
Bagi merealisasikan objektif JJMK Perkampungan Orang Asli Ulu Slim, NGO Wargakilang membuka ruang untuk para dermawan yang ingin berkongsi atau menyumbang bersama-sama kami. Semoga perkongsian yang sedikit menjadi nilai yang besar dan berganda disisi Allah swt.
Terima Kasih,
Thursday, May 5, 2011
JJMK 01 Mei (02) - Aku, Selinsing Dan Pengorbanan Ibu
Tuhan!
Izinkan kami menulis tentang dia
Walaupun ada di antara dia yang sudah tidak ada di samping kami lagi
Dia yang sudah tidak bisa membaca apa yang telah kami coret kan ini
Dia yang sudah tidak boleh memberikan ucapan pujian atau teguran
Dia yang tidak boleh ketawa bila kami bersenda, atau mengalir air mata bila terharu atau kelelahan
Tuhanku!
Dia sebenarnya amat banyak baktinya kepada kami
Tuhanku!
Dia sebenarnya sangat sayang dan kasih pada kami
Tuhanku!
Dia sebenarnya sudah menitiskan banyak keringat dan air mata kerana kami
Tuhan!
Sesungguhnya lembaran ini bukan lembaran lengkap
tentang madrasah kami yang pertama
Segala coretan dan nukilan hanyalah secebis pengalaman dan perkongsian
tentang dia yang sungguh istimewa
Tuhan!
Bukan kami ingin memuja dia melebihi diri Mu
Tapi, dari dia kami belajar tentang Mu
Dia yang mendidik kami mengenal dan mencintai Mu
Patuh dan tunduk terhadap perintah Mu
Dia yang Engkau amat muliakan dalam Al-Quran
Dia yang Engkau perintahkan kami taat selagi ia bukan perintah derhaka
Dia yang sangat disanjung oleh para Nabi dan Rasul
Kami sedar ya Ilahi
Bukan kami yang selayaknya memuji
Engkaulah yang lebih utama dalam menghargai dan mengadili
Hatta, walau kering tinta kami, tidak tercatat jasa ibu bapa kami
Namun kerana dia ibu kami
Yang sentiasa berkorban dan memberi
Mohon izinkanlah kami berkongsi
Sebagai bekalan untuk generasi esok dan hari ini
Kelak mereka akan lebih mengasihi dan menyayangi
Kata ibu yang mulia dituruti
Teguran ibu sentiasa dihormati
Nasihat ibu diaplikasikan
Kerana sesungguhnya ibulah madrasah pertama kami
Ya Allah!
Walau dimana jua ibu bapa kami
Di dunia yang sementara
Atau sudah menemui Tuhan nya
Golongkan ibu bapa kami
Di kalangan mereka yang Engkau cintai
Bahagia kan dan selamatkanlah mereka didunia dan akhirat yang abadi
Sepertimana mereka mendidik kami, sejak kecil hingga dewasa hari ini.
Nukilan seterusnya tentang JJMK 01 Mei saya mulakan dengan puisi yang saya tulis khas untuk ibu dan bakal ibu. Saya memilih insan yang sangat mulia ini kerana Allah dan RasululLah saw sendiri meletakkan ibu itu dikalangan yang tinggi dikalangan manusia.
Terlalu banyak yang ingin ditulis bila bicara tentang ibu. Kata orang kasih ibu membawa ke syurga. Kata orang juga syurga di bawah telapak kaki ibu. Tidak kurang juga yang berkata, setiap anak yang hebat itu adalah hasil asuhan ibubapa yang hebat.
Namun, kehebatan dan pengorbanan isteri dan ibu memang bukan hanya pada cerita atau kisah. Kami menemui beberapa orang isteri dan ibu yang sanggup berkorban untuk suami dan anak-anak ketika jalan-jalan Masuk Kampung Sungai Selinsing pada 01 Mei yang lalu.
Ada antara mereka ditinggal suami dengan anak-anak yang menjadi tanggungjawab. Ada pula yang kematian suami tercinta sedang kehidupan mesti diteruskan jua. Ada yang dikurniakan anak yang istimewa, tetap ditatang penuh kasih sayang. Ada yang ditinggalkan dengan anak-anak yatim piatu yang dijaga seperti anak-anak sendiri. Itulah hakikatnya kerana disamping seorang suami dan ayah, isteri dan ibulah pelengkapnya.
Begitulah yang dinamakan mak atau ibu! Samada ibu tinggal atau ibu tunggal. Ibu kandung atau ibu saudara, peranan dan pengorbanan ibu untuk anak-anak, kukuhnya sukar dipertikai. Namun dalam segala kekurangan yang ada, tidak ada ibu yang mahu melihat anak-anaknya hidup tanpa pelajaran atau berteduh disebuah rumah usang atau kekurangan hatta berlapar bila kekurangan!
AlhamdulilLah rakan-rakan wargakilang adalah golongan yang prihatin akan nasib insan-insan yang memerlukan termasuk para ibu tinggal dan ibu tunggal.
Ramai dari kita merupakan para wanita, isteri dan ibu yang tidak diuji dengan ujian kekurangan dan kesempitan dalam hidup. Namun tidak pula kisahnya dengan para isteri dan ibu yang sempat kami ziarahi semasa JJMK 01 Mei yang lalu. Kisah mereka ada dinukilkan dalam blog kawan-kawan kami, iaitu
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
http://moniermatdin.blogspot.com/
http://pembelasp.blogspot.com/
http://comeybelako.blogspot.com/2011/05/jalan2-masuk-kampung-selinsing-dan-doa.html
Tak lama lagi hari ibu, kita memang tidak kisah sebab hari-haripun hari ibu untuk kita. Namun dalam segala kesibukan rindu-rindukanlah ibu kita yang seorang itu. Ingat-ingatkanlah segala pengorbanannya.
Tuesday, May 3, 2011
JJMK 01 Mei - Dia Dipanggil Allah Setelah 18 Tahun Menjadi Suamiku...
Isteri?
Ibubapa?
Anak-anak?
Harta kekayaan dan wang ringgit?
Pangkat dan kedudukan?
Ijazah dan kelulusan?
Jawapannya: Tiada satupun milik kita! Semuanya milik Allah. Allah boleh memberi kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan boleh mengambil apa sahaja dari kita, bila-bila masa sekalipun sebab, tiada satupun milik kita hatta nyawa sendiri.
Mungkin apa yang kita kehilangan itu berbeza, namun kehilangan biasanya adalah sesuatu yang menyakitkan. Terutamanya buat seorang isteri seperti Sharifah, kehilangan suami tercinta seminggu selepas ulangtahun perkahwinan yang ke 18 pasti bukan sesuatu yang mudah.
Barangkali tiada lagi airmata yang boleh ditumpahkan setelah suami tempat bergantung meninggal 17 April yang lalu dihempap kayu balak ketika bekerja.
"Allahumma inni a'uzu bika minal hammi walhazan, wa-auzubika minal 'ajzi wal kasal ( Ya Allah, aku berlindung kepadaMu dari kesedihan dan kegelisahan. Aku berlindung kepadaMu dari kelemahan dan kemalasan. )...amin Ya Rabbal 'Alameen.."
Kisah JJMK 01 Mei juga boleh dibaca di :
http://orangkecilorangbesar.blogspot.com/
http://moniermatdin.blogspot.com/
http://pembelasp.blogspot.com/
~Roha Hassan~
