DOWNLOAD KELAPAN:
Pakar psikologi Barat, Carl Rogers (1985) menyatakan, ada beberapa perubahan ketara kepada seseorang remaja. Perubahan itu sedikit sebanyak mampu memperjelaskan bagaimana rakan sebaya begitu penting dan perlu dalam memenuhi tuntutan naluri seseorang remaja.
Berikut ialah di antara perubahan itu:
1. Perubahan fizikal
Bagi seorang gadis contohnya, tubuh mula menampakkan sifat kewanitaannya seperti datang haid, payu dara membesar, pinggang mula ramping dan punggung melebar. Simbol daya tarikan seks mula kelihatan. Rangsangan seksual juga mula meningkat.
2. Perubahan emosi dan pemikiran
Pada peringkat remaja, manusia mula pandai berfikir, menilai perasaan, mengkaji skrip hidup ibu bapa, mencuba sesuatu yang baru dan berkhayal mengenai kehidupan golongan dewasa. Perubahan ini mendatangkan kegelisahan kepada remaja kerana untuk berdikari mereka tidak mampu, manakala untuk mengikut jejak langkah golongan dewasa, mereka tidak berdaya. Hasilnya, mereka kadangkala gembira, kesunyian dan berkhayal terhadap idola masing-masing. Mereka juga cenderung meniru gaya berpakaian, cara pergaulan dan cara berfikir golongan dewasa.
3. Narcisme
Ia adalah keadaan ketagihan cinta, perasaan ingin dicintai dan keinginan mendapatkan kasih sayang untuk diri sendiri. Ketika kanak-kanak, perasaan ini diarahkan kepada ibu bapa atau keluarga. Pada usia remaja, perasaan ‘narcisme’ memuncak kerana remaja mengalami ‘emotional vacuum’ iaitu rasa kesunyian yang hebat, kesan daripada peralihan masa untuk berdikari serta memperluaskan jaringan dan kuantiti rakan sosial yang sesuai. Berbanding remaja lelaki, remaja perempuan dikatakan memiliki perasaan ‘narcisme’ yang amat tinggi kerana dari segi biologinya, seorang remaja perempuan memerlukan seseorang untuk membantu dan membimbingnya keluar daripada kesunyian.
Faktor inilah yang mungkin menyebabkan aktiviti bercinta dan bertukar pasangan di kalangan remaja menjadi satu lumrah dalam kehidupan sesetengah daripada mereka.
4. Menyertai kumpulan
Perubahan emosi dan fikiran juga mendorong remaja memperluas dan memperbesarkan kuantiti dan jaringan rakan sosialnya. Ia dilakukan mengikut umur sebaya, hobi, prinsip hidup, cara pakaian yang sama dan sebagainya. Menjadi satu kebiasaan jika remaja dilihat mempunyai identiti tersendiri walaupun ada di antara mereka yang mengalami krisis identiti. Ini adalah tanda perubahan sihat dalam pertumbuhan dan perkembangan mental remaja. Namun, jika mereka tersalah pilih, mereka akan terjerumus ke dalam aktiviti yang tidak sihat.
5. Menentang kekuasaan
Remaja mudah terasa kekuatan kuasa yang ada pada ibu bapa, guru dan orang dewasa boleh menghalang cita-cita mereka. Perbezaan pendapat dan gaya hidup di antara remaja dengan ibu bapa, guru dan orang dewasa akan mencetuskan rasa permusuhan. Ini kerana golongan remaja menganggap bantahan itu merendahkan harga diri mereka yang memang sedang bergelora. Konflik harga diri ini menyebabkan remaja akan menjadikan rakan sebaya tempat mengadu masalah atau melakukan sesuatu untuk membuktikan mereka boleh berdikari dan berkemampuan seperti orang dewasa.
Selain faktor di atas, peranan rakan sebaya dalam kehidupan remaja menjadi bertambah penting apabila:
1. Ibu bapa dan ahli keluarga terlalu sibuk dengan urusan masing-masing tanpa mampu meluangkan masa secukupnya untuk mendampingi anak remaja mereka. Remaja yang tidak mendapat kasih sayang dan tumpuan sewajarnya daripada ibu bapa dan keluarga akan mendapatkannya daripada orang luar, termasuk rakan sebaya.
2. Sekalipun ibu bapa dan keluarga mampu menghabiskan banyak masa bersama anak mereka, kurang berkomunikasi atau komunikasi yang kurang berkesan akan menyebabkan remaja lebih selesa berkongsi masalah dengan rakan sebaya. Sikap ibu bapa dan keluarga yang mudah menghukum sebelum menyiasat menyebabkan anak remaja kecewa. Tambahan lagi apabila mereka berhadapan dengan permasalahan yang kompleks sehingga membabitkan nama baik keluarga dan maruah dirinya. Mereka bimbang akan dihukum sekiranya permasalahan itu dimaklumkan kepada keluarga.
3. Kurang yakin terhadap diri, ibu bapa dan adik beradik turut menyebabkan remaja mencari seseorang atau kumpulan tertentu seperti rakan sebaya sebagai tempat bergantung. Sikap acuh tak acuh ibu bapa terhadap tanggungjawab mereka, menyebabkan remaja memandang rendah kemampuan ibu bapa dan ahli keluarga. Mereka berasa lebih selamat dan selesa apabila bersama rakan sebaya berbanding keluarga.
4.Satu perkara yang perlu diingat oleh ibu bapa dan remaja sendiri ialah ketiadaan garis panduan yang jelas dalam membuat keputusan untuk menyertai mana-mana kumpulan daripada kalangan rakan sebaya boleh menyebabkan remaja tersalah pilih kumpulan dan terjerumus ke dalam aktiviti tidak sihat.
Allah berfirman, yang bermaksud:
“Dan janganlah engkau menurut orang yang kami lalaikan hatinya daripada mengingati Allah, lalu ia mengikutkan hawa nafsunya.” (Surah Al-Kahfi : 28)
Bukan semua rakan sebaya patut dijadikan sahabat. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Seseorang itu atas agama (perjalanan) rakannya, maka hendaklah seseorang kamu memperhatikan siapa yang harus dipilih menjadi rakan.”
Imam Al-Ghazali menyatakan:
“Hendaklah sahabat yang dipilih seorang yang waras fikirannya, baik budi pekerti, tidak fasik dan tidak terlampau mementingkan hal keduniaan. Sifat waras fikiran itu menjadi pokok dalam kehidupan kerana tiada guna bersahabat dengan orang yang kurang akal disebabkan ia akan membawa kepada perasaan tidak tenteram dan perselisihan.”
Setiap orang patut memiliki budi pekerti luhur. Tiada gunanya bersahabat dengan orang yang sering dikuasai oleh perasaan marah dan hawa nafsu yang buruk.
No comments:
Post a Comment