Wednesday, February 20, 2008

Auditlah Diri Dan Amalanmu

Salam kasih sayang,

AlhamdulilLah, selesai sudah sesi audit dalaman dan luaran untuk pensijilan ISO syarikat tempat saya bekerja.

Setiap kali kita diaudit, macam-macam karenah akan kita Nampak ramai yang risau, berdebar-debar, sibuk, tertanya-tanya dan mengharapkan kejayaan. Tidak kurang yang tenang dan ceria seperti biasa.

Risau kalau diri ditanya tapi gagal menjawabnya. Berdebar-debar sebab sebelum ini pernah melakukan tugasan tetapi tidak mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Tertanya-tanya adakah apa yang disediakan adalah yang terbaik dan setiap orang amat mengharapkan kebaikan dan kejayaan. Terlepas dari audit tanpa sebarang sekatan adalah impian.

Itu satu senario ketika manusia didunia yang sentiasa alpa. Diaudit oleh manusia lain yang juga tidak lepas dari kelemahan. Menggunakan sistem dan panduan pensijilan ISO yang meupakan sistem yang dibuat oleh manusia. Yang pastinya bukan yang terbaik.

Apatah lagi kita selaku insan yang wajib akan diaudit oleh ALLah dihari pembalasan kelak. Apakah persediaan yang telah kita lakukan?. Apakah amalan yang akan dipersembahkan?. Apakah jawapan yang akan diberikan? Yang menyoal kita Tuhan dengan disaksikan oleh tubuh kita sendiri. Sudah pasti segala nikmat didunia ada harga dan hitungannya.

Selaku hamba Allah yang telah dikurniakan dengan pelbagai nikmat oleh Allah. Sudah menjadi satu kewajipan untuk setiap kita mengimbas kembali diari amalan kita sepanjang masa. Tidak lain dengan tujuan menghisab dan meneliti diri. Sebelum Allah menghisab kita diakhirat kelak dan selagi berkesempatan untuk kita menghisab dan menghitung diri.

Firman Allah swt dalam surah ali-Imran:30 yang bermaksud, "Pada hari itu ketika tiap-tiap diri mendapati segala kebaikan dihadapkan (ke hadapannya), begitu (juga) kejahatan yang telah dikerjakannya; ia ingin kalau sekiranya antara ia dengan hari itu ada masa yang jauh; dan Allah memperingatkan kamu terhadap diri (seksa)-Nya. Dan Allah sangat penyayang kepada hamba-hambaNya".

Firman Allah swt dalam al-Hashr:18 yang bermaksud, "Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat) dan bertakwalah kepada Alah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan".

Menurut iman Al-Ghazali, orang yang meneliti diri sendiri dan amalannya terbahagi kepada dua cara iaitu :
Meneliti amalan sebelum dimulakan – Kalau sudah jelas bahawa amalan yang kita lakukan memang ditujukan kepada Allah swt semata-mata, maka hendaklah amalan itu diteruskan sehingga berjaya. Sebaliknya jika amalan itu dilakukan bukan kerana Allah swt semata-mata, kita mestilah merasa malu dan menghentikan amalan yang jelek itu serta merta.
Meneliti amalan ketika sedang melaksanakannya – Manakala ketika melaksanakan sesuatu amalan yang baik, hendaklah ia diteliti sebaik mungkin dari sudut niat dan pelaksanaannya. Ia mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan sempurna. Bukan sahaja kuantiti yang mesti diambilkira, malahan kualiti amat yang lebih penting dan utama.

Kesimpulannya;

Setiap amalan yang kita lakukan akan dihitung oleh Allah swt daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah kepada amalan yang besar. Sebab itu kita mesti menghitung diri terlebih dahulu sebelum amalan kita dihitung oleh Allah swt. Menghitung diri adalah amalan yang menguntungkan kerana dengannya, insan akan lebih berhati-hati sebelum melaksanakan sesuatu perkara.

Setiap perbuatan baik dan buruk boleh ditentukan oleh manusia dengan meneliti niat dan cara ia dilaksanakan. Meneliti amalan sebelum dan semasa ianya dilakukan akan memudahkan kita menahan diri dari terjerumus dalam perbuatan dan amalan yang sia-sia. Disamping menjamin kuantiti dan kualiti amat sentiasa terpelihara.


Nurdinie Sufi
19 Februari 2008

No comments: