Friday, February 8, 2008

PENDIDIKAN SEKS ATAU REPRODUKSI TIDAK MENYALAHI AGAMA

DOWNLOAD KETUJUH BELAS:

Sarah, 30 tahun, (bukan nama sebenar) mengandung semasa dia berumur 17 tahun. Nasibnya masih baik kerana beliau dan pasangannya telah bertaubat dan membetulkan sikap mereka, seterusnya berkahwin sebelum anak mereka lahir. Mereka kini merupakan pasangan yang bahagia dan aktif dalam kerja-kerja kaunseling remaja.

“Sebenarnya saya datang daripada keluarga yang baik dan berlatarbelakangkan agama. Kejahilan dan pengaruh cakap kawan serta nafsu yang tidak terkawal membuatkan saya melakukan perbuatan yang terkutuk itu. Kini saya telah bertaubat dan amat bersyukur kepada Allah kerana tidak dijangkiti penyakit AIDS.

Sekiranya saya didedahkan dengan pengetahuan dan pendidikan seks semasa meningkat remaja dulu, kami mungkin tidak jadi begini. Dulu tiada siapa pernah bercakap mengenai seks kepada kami secara terbuka, tentang baik buruknya, salah betulnya, samada di sekolah, di rumah atau di surau. Mereka yang selalu membincangkan mengenai seks adalah remaja seusia yang masih mentah.

Mesej yang sampai kepada kami sesama remaja adalah seks itu menyeronokkan, puncak rasa kecintaan dan kebahagiaan, tidak perlu takut, tiada kedukaan dan tidak menyakitkan. Malangnya, saya memahami makna seks melalui pengalaman psikologi yang sungguh tertekan dan emosi yang sungguh perit, pahit dan menyakitkan dan membayarnya dengan harga diri yang amat mahal. Maruah diri saya tercemar.”


Demikian keluhan seorang wanita yang menjadi mangsa ‘kejahilan’ pengetahuan dan pendidikan seks semasa remaja.

Secara umumnya, perbincangan mengenai seks adalah merupakan satu topik pembicaraan yang amat payah (terutama dengan anak-anak), samada kita di pihak yang bertanya atau yang menjawab pertanyaan. Kebanyakan kita yang telah dewasa ini memandang bahawa perbincangan mengenai seks ini adalah taboo, memalukan (boleh dibincangkan di kalangan orang dewasa sahaja) atau hanyalah merupakan bahan jenaka. Seks jarang dibincangkan secara ilmiah, serius dan berterus-terang.

Anak-anak perlu diberi kefahaman yang betul mengenai seks. Janganlah dibiarkan anak-anak dalam kejahilan seks. Seks adalah sebahagian daripada kehidupan yang penuh misteri dalam kehidupan manusia yang diselimuti oleh perasaan ingin tahu, kerahsiaan, aspek-aspek yang tersembunyi, ghairah dan penyesalan.

Remaja cintakan kisah misteri. Kewajipan ibu bapa memberitahu anak-anak bahawa perasaan seks adalah ‘normal’. Seks bukan sahaja setakat ‘keperluan biologi’ tetapi juga adalah isu kompleks ghairah (dan juga maruah) dari dalam diri (personal passion) dan juga ‘hubungan kasih prihatin’ dengan orang lain (interpersonal caring).

Seks ibarat api atau pistol. Ia tidak boleh digunakan oleh orang yang belum bersedia. Tersalah laku dalam kefahaman dan tindakan tentang seks akan memberikan padah yang membawa penyesalan dan kekejian.

Dalam pada itu, kebanyakan ibu bapa tidak memberikan didikan seks kepada anak-anak kerana takut tersalah ajar atau tersalah cakap, atau memberikan penerangan yang tidak tepat, atau lebih teruk lagi dikatakan tidak relevan. Sebab utamanya kerana mereka pun juga dulunya begitu, ibu bapa mereka tidak ‘selesa’ membicarakan mengenai seks ketika anak-anak meningkat remaja. Tetapi awas dan ingatlah, jika ibu bapa tidak memberikan perspektif seks yang betul kepada anak-anak, rakan-rakan sebaya mereka yang jahil dan mentah akan mengajar mereka tentang seks songsang. Oleh itu, ibu bapa perlu mendapat pendedahan ataupun nasihat daripada orang-orang lain yang berilmu.

Islam dalam banyak dalilnya mengharuskan para ibu bapa berterus-terang mengajar anak-anaknya mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan seks dan ‘keinginan batiniah’. Malah, kadang-kadang sesuatu topik itu menjadi WAJIB bagi ibu bapa menerangkannya kepada anak-anak, terutamanya apabila menyentuh perkara-perkara syarak, contohnya bab taharah dan bersuci.


Al-Quran adalah ‘medium’ pendidikan seks yang terbaik untuk ibu bapa kerana keterbukaannya yang terserlah. Hadis-hadis Rasulullah pula menjadi ‘penyuluh’ terhadap segala kekaburan atau kesangsian ibu bapa dalam perbincangan mengenai seks di kalangan anak anak.


“Dan mereka yang menjaga kehormatan (faraj) – tidak melepaskan syahwatnya...” (Al-Mukminuun : 5-7)

“Dibolehkan kamu bersetubuh dengan isteri-isteri kamu pada malam hari puasa...” (Al-Baqarah : 187)

“Dan mereka bertanya kepada engkau tentang haid…” (Al-Baqarah : 222)


“Dan jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu menyentuhnya…” (Al-Baqarah : 237)

“Sesungguhnya kami jadikan manusia itu daripada setitis air mani (sperma) yang bercampur (dengan ovum) untuk kami mengujinya…” (Al-Mukminuun : 12-13)


“Ibunya telah mengandungkannya dengan susah dan melahirkan dengan susah jua…” (Al-Ahqaf : 15)

“Dan janganlah kamu dekati zina, sesungguhnya ia adalah dosa dan tindakan yang terkutuk.” (Al-Israk : 32)

“Dan Lut ketika dia berkata kepada kaumnya: ‘Adakah kamu melakukan kekejian yang belum pernah dibuat oleh seseorang daripada bangsa-bangsa di alam?’” (Al-A’raf : 80-81)


Perkataan baligh, air mani, faraj, zakar, haid, nifas, nikah kahwin, mas kahwin, persetubuhan, cerai, zina, mengandung, kaum Lut (homoseksual) dan lain-lain dalam ayat-ayat Al-Quran ini membicarakan secara terus-terang mengenai maksud-maksud yang sama dan rapat hubungannya dengan seks dan tuntutan naluri manusia. Bagaimanakah anak-anak yang meningkat remaja akan memahami tafsiran ayat-ayat ini jika tidak diajarkan secara terus-terang dan telus oleh ibu bapanya, gurunya atau orang dewasa yang memahami?

Amatlah malang jika ibu bapa atau orang dewasa menutup makna ayat-ayat ini dengan memberikan tafsiran yang lain dan tiada kaitan sama sekali dengan maksudnya yang asal. Ataupun apabila sampai sahaja kepada ayat-ayat seperti ini, dia melepasinya sahaja secara terhormat tanpa memberikan apa-apa penerangan atau pentafsiran tentang maksud-maskudnya. Ini adalah cara yang tidak sihat dan tidak membantu mereka dalam memahami seks yang sihat.

Pendidikan seks kepada anak-anak dalam perspektif Islam mestilah melalui tiga tahap, sesuai dengan tahap pembesaran anak-anak. Pendekatan yang dibuat mestilah bersahaja dan tidak reaksionari (kolot). Suasana perbincangan tidak rigid dan dogmatik. Kasih sayang dan nada suara yang prihatin ditunjukkan oleh ibu bapa semasa perbincangan amat perlu untuk mendapatkan kepercayaan anak-anak dan rasa hormat mereka. Jadikanlah diri kita sebagai rujukan mereka.


1. Tahap Tamyiz (mumayyiz) - pada usia 7-10 tahun. Pada tahap ini, anak-anak diajar mengenali identiti dan nilai diri yang berkait rapat dengan organ biologinya dan perbezaan jantina lelaki dan perempuan. Konsep taharah selepas buang air kecil dan besar. Mengenai fungsi biologi wanita, contohnya apabila ibu ada haid, anak bertanya mengapa tidak solat. Si ibu bertangungjawab memberikan jawapan yang tepat bahawa Allah telah memberikan kelonggaran kepada perempuan (dalam sebulan beberapa hari) haid (kerana biologinya perempuan) untuk tidak bersolat. Pemisahan tempat tidur lelaki dan perempuan (untuk mengelakkan sumbang mahram) dan juga pemisahan daripada tempat tidur ibu bapa (untuk mengelakkan anak-anak daripada melihat adegan yang tidak sepatutnya dilihat), mengajarnya adab meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapanya dalam tiga waktu, adab memelihara pandangan mata dalam melihat perkara yang baik dan tidak baik, yang dibolehkan dan tidak dibolehkan.


2. Tahap Murahaqah - pada usia 10-14 tahun. Pada tahap ini, anak-anak diberikan pendedahan mengenai fungsi biologi organnya secara ilmiah. Tentang aurat, kesopanan, akhlak pergaulan lelaki dan perempuan, dan menjaga kesopanan dan maruah diri. Bagi kanak-kanak perempuan, seharusnya didedahkan lepada topik haid dan yang berkaitan dengannya. Mengenai kaifiat mandi wajib selepas haid dan persetubuhan. Jauhikan daripada perbincangan yang membawa kepada perasaan yang boleh menimbulkan nafsu berahi seks.


3. Tahap Baligh - pada usia 14-16 tahun. Anak-anak diajar mengenai maksud baligh, perasaan dan naluri seks anak-anak perlu ditangani dan dibincangkan secara rasional dan objektif, perhubungan seks mengakibatkan mengandung dan tidak seharusnya dilakukan oleh orang yang belum bersedia. Tegaskan bahawa kita tidak ‘terima’ seks sebelum kahwin (zina) dan mesti diterangkan keburukannya dari segi agama, kesihatan, psikologi dan tekanan emosi. Menjelang dewasa, ajarkanlah adab-adab memelihara kebersihan diri, kesihatan reproduksi, adab-adab perhubungan seks, dan adab-adab memelihara diri daripada seks bebas jika dia belum berupaya menempuh alam perkahwinan.

Berikanlah anak anak kita didikan seks yang positif dan betul sebelum rakan sebayanya dan keadaan sekeliling merosakkannya.

No comments: