DOWNLOAD KEDUA BELAS:
Puisi 1
ADUH! DIA BERHELAH LAGI
Aduh!
Dia berhelah lagi
Menyeleweng wang saku yang ibu beri.
Alahai!
Dia berdusta kembali
Duit saku yang ibu beri
Buat belanja di sekolah nanti
Bersama geng mencuri-curi
Rokok dibeli, janji pada ibu dimungkiri.
Remaja kita
Merokok, melepak, ponteng sekolah.
Remaja kita
Mabuk kepayang dengan kesenangan hawa nafsu.
Mereka
hanya ingin suka-suka.
Mereka
Khayal berdating dan bercinta.
Mereka
Mabuk dunia
Jauh dari akhirat.
Mereka
Memboros masa dan tenaga
Pada kerja sia-sia.
Dan kita
Sebagai ibu bapa
Haruskah terus didusta?
Dan kita
Sebagai pendidik
Wajarkah memaki mengherdik?
Dan kita
Ahli masyarakat yang cerdik
Cukupkah sekadar memandang jelek
Banyak teori daripada tindakan yang strategik?
Dan dikau
Pemilik kuasa sementara
Sebagai pemerintah di bumi Malaysia
Tidakkah engkau terasa celaka
Melihat kerosakan para remaja
Segala hiburan yang kalian puja-puja
Buat remaja jadi tambah gila
Sedangkan merekalah masa depan negara
Sedangkan merekalah harapan nusa dan agama
Tolong...Jangan berlepas tangan sahaja.
Dan dikau
Pemilik akta-akta dan kuasa
Tidakkah kalian terluka
Melihat penyakit yang menimpa anak bangsa
Black Metal, Punk sampah dan segala kerosakan budaya.
Ingatlah!
Aku, kau dan mereka
Pasti ditanya oleh yang Maha Kuasa,
Tentang tanggungjawab kita kepada semua remaja.
Puisi 2
SALAM SEJAHTERA WAHAI REMAJA
Salam sejahtera…
Remaja puteraku
Yang tunduk pada perintah Tuhan.
Salam sejahtera...
Remaja puteriku
Yang tunduk malu di depan insan dan Tuhan.
Salam mesra
Remaja puteraku
Yang menjadikan Rasulullah ikutan dan pujaan
Sahabat dan para anbiya’ sanjungan.
Salam mesra
Remaja puteriku
Yang mengambil teladan daripada keteguhan dan ketakwaan
Maryam binti Emran, Asiah, saidatina Aisyah, Fatima az-Zahra.
Salam kasih
Remaja puteraku
Yang bersolat, berpuasa, patuh kepada ibu bapa
Kasih pada yang muda dan hormat pada yang tua.
Salam kasih
Remaja puteriku
Yang beramal pada yang makruf dan menjauhi kemungkaran
Yang menutup aurat dan menjaga maruah diri
Yang sopan dalam pergaulan
Dan kebal terhadap rayuan dan godaan.
Wahai remaja putera dan puteriku
Mari kita perbanyakkan zikir, bersyukur dan beribadah
Mari kita tabah dan sabar dengan ujian dalaman dan luaran
Mari kita persiapkan diri kerana kita adalah pemimpin hari esok
Mari kita bersedia kerana ummah dan agama
Mari kita kumpul bekalan kerana dunia hanya tempat persinggahan dan pengembaraan
Sedangkan perkampungan kekal dan abadi.
Roha bt Hassan
1 September 2005
UIA, Gombak
Puisi 3
SAY NO @ KATAKAN TIDAK
No…
Untuk wajah tampan tanpa wawasan
Dan wajah jelita tanpa akhlak dan kesopanan.
No…
Untuk maksiat, rokok, dadah, arak, pergaulan dan seks bebas
Zina, berpeleseran dan melepak tanpa haluan
Jenayah, ponteng, kurang ajar pada yang tua, biadap pada yang muda
Sakiti manusia, aniaya haiwan dan alam.
No…
Untuk trendmu yang cederung pada Barat,
Punk sampah, skinhead, black metal, dan
Setiap budaya negatif yang menjahamkan akidah dan peganganmu.
No…
Untuk brand dan style pakaian yang berlawanan dengan peradaban
….seluar ketat, baju singkat mendedah pusat, jeans pendek terbuka aurat, tudung tipis mendedah leher, kebaya nona seksi dan mengghairahkan
dan setiap pakaian yang pastinya mengundang petualang.
Katakan ‘tidak’…
Katakan ‘tidak’…
Katakan ‘tidak’…
No…
Buat pornografi, CD dan video lucah
Internet yang penuh ghairah
Chatting yang melalaikan
Jangan biarkan teknologi maklumat ini melumatkan iman
Dan meleburkan ketakwaan.
No…
Buat semua yang merosakkan fizikal, mental, spiritual dan emosional
Terlebih lagi yang merosakkan akidah, pegangan dan keimananmu.
No…
Untuk yang akan merosakkan dirimu, maruahmu, nama baikmu
Keluargamu, ummahmu, agamamu.
Roha Hassan
UIA Gombak
Puisi 4
TAWA DUKA REMAJA NUSANTARA DAN DUNIA
Pembunuhan di Palestin
Pencerobohan di Afghanistan dan Iraq
Kebuluran di Sudan
Pembunuhan di Ambon
Penindasan di Cechnya dan Bosnia
Air mata derita di Aceh dan Sri Lanka.
WTC...
Politik...
Militan...
Dan pengganas...
Hanyalah alasan.
Insan kejam seperti Israel
Kerajaan rakus seperti Amerika
Yang gilakan kuasa seperti Britain dan Russia
Kanak-kanak
Remaja
Yang muda
Yang tua
Manusia, tanaman, bangunan, kehidupan
Jadi mangsa dan musnah
Oleh ketamakan dan kekejaman insan.
Kematian
Penderitaan
Kemiskinan
Kemunduran
Penindasan
Nasib umat Islam terumbang-ambing.
Air mata remaja nusantara dan dunia
Pernahkan kita teringatkan mereka semua.
Aduhai remaja!
Pernahkah terbayangkan kehidupan
Yang diulit jeritan peluru
Dan pekikan maut
Betapa sukar dan derita.
Sungguh kehidupan mereka penuh ranjau dan cabaran
Penuh darah dan air mata
Sukarnya untuk menuntut ilmu
Makan minum tidak ketentuan
Namun
Walau derita masih tersenyum
Walau kekalutan tetap tabah
Tuhan tetap di hati, agama disanjung tinggi
Maruah dan aurat diri dipelihara
Walau derita tetap mulia.
Aduhai Remaja...
Pernahkah terbayang
Kehidupan tanpa video games
Lepak-lepak di kompleks membeli-belah
Berkirim salam melalui internet dan berchit-chat secara maya
Berkunjung ke masjid, sekolah, membeli-belah dengan selesa
Manakan sama air mata tawa kita dengan air mata duka mereka
Sungguh hidup kita penuh kemudahan dan keselesaan
Sedang hidup mereka penuh pelbagai ranjau
Manakan sama hidup kita yang penuh tawa dengan mereka yang disaluti darah dan air mata
Manakan sama sabar kita dengan ketabahan mereka.
Tika kita selesa di dalam bilik berhawa dingin
Mereka kehilangan harta-benda dan tanahair
Tika kita selesa disaluti selimut tebal
Mereka tidur dalam kedinginan dan kelaparan
Ketawa dan ketawalah lagi wahai remajaku…
Kebanyakan masa kita kekenyangan
Kebanyakan saat kita suka-suka menonton drama, tayangan Hindi, nyanyian dan hiburan
Makan, pakai, belajar, beriadah, berekreasi ikut suka hati
Ketawa dan ketawalah lagi.
Wahai remaja penghuni tanahair yang indah, permai, subur, aman dan damai
Pantai nan bersih dan lautan terbentang indah
Dan nikmat Allah melata di bumi ini.
Sayang nikmat yang ada tidak disyukuri
Nikmat ini dikau balas dengan lepak-lepak
Black metal
Bohsia
Dadah
Maksiat
Dan pelbagai dosa…
Wahai remaja…….dalam tawamu, cuba kenangkan……
Pada teman-teman sebayamu di nusantara dan dunia yang dicerobohi hak-hak mereka.
Teringatkanlah pada diri
Kamulah pemimpin masa depan
Susunlah langkah-langkah mudamu
Menjadi batu-bata ummah yang sejati maruah diri
Kukuh akidah dan pegangan pada Tuhanmu yang satu.
Warnakanlah tanahair ini
Dengan wajah remaja pemimpin remaja
Dengan wajah remaja soleh lagi musleh
Dengan wajah remaja yang berakhlak dan berwawasan
Dengan wajah remaja yang impikan mati dalam iman
Dengan wajah remaja yang menjunjung tinggi agama.
Berhentilah ketawa seketika
Tadahkanlah tangan-tangan kita
berdoa untuk sahabat remaja kita di nusantara dan dunia
Agar mereka dilindungi, dirahmati dan diberi kemenangan oleh Ilahi.
Berdoalah jua untuk diri
Agar kita dan remaja tanahair ini
…..tidak ketawa lagi dalam kederhakaan dan kelalaian
…..tidak ketawa lagi dipenjara budaya kuning
…..tidak ketawa lagi dijajah tingkah-laku negatif
…..tidak ketawa lagi dalam maksiat dan dosa
Jadilah Remaja Mithali….Tonggak Kepimpinan
Hargailah kenikmatan.
Dan insafilah keadaan remaja lain di nusantara dan dunia.
Roha bt Hassan
No comments:
Post a Comment