Visi dan Misi Hidup Ini
Matlamat hidup ini adalah penegakan dan perlaksanaan agama Allah s.w.t. sepenuhnya sepertimana firman Allah s.w.t. dalam surah Al-Baqarah ayat 208:
“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.”
Pelapis Dakwah
Bagi saya, istilah ‘pelapis dakwah’ mempunyai pengertian yang cukup luas. Ia merangkumi kumpulan manusia yang bakal meneruskan tugas dan tanggungjawab menyebar dan menegakkan agama Allah s.w.t. yang telah diwajibkan oleh-Nya kepada kita. ‘Pelapis dakwah’ ini boleh merangkumi manusia yang sama generasi dengan kita tetapi lambat mendapat hidayah daripada ALlah s.w.t., ataupun generasi yang datang selepas generasi kita. Oleh itu, saya ingin melihat proses santunan generasi pelapis dakwah ini dari perspektif yang multi directional yang melibatkan bapa, ibu, rakan-rakan ibu bapa, anak-anak dan rakan-rakan anak-anak.
Dalam membincangkan mengenai pelapis dakwah ini, kita tidak boleh lari daripada perbincangan zuriat. Anak/zuriat itu merupakan amanah Allah s.w.t. kepada kita. Dalam konteks sebuah Baitul Dakwah (rumahtangga dakwah), zuriat ditakrifkan sebagai hasil semaian semulajadi yang bakal meneruskan/membangunkan usaha menyebar dan menegakkan dakwah Islam. Ia merupakan satu proses penerusan kemanusiaan dalam arus dakwah. Ia membina, membentuk dan menjana tenaga dan kemampuan generasi pelapis yang baru.
Oleh sebab itulah Nabi Zakaria a.s. berterus-terang mengungkapkan mengenai kepentingan penerusan zuriat dalam doa beliau kepada Allah s.w.t. sepertimana yang termaktub dalam surah Maryam, Ayat 5 dan 6:
“Dan sesungguhnya aku khuatir terhadap mawaliku sepeninggalanku, sedang isteriku adalah seorang yang mandul, maka anugerahilah aku dari sisi Engkau seorang putera, yang akan mewarisi aku juga keluarga Yaakub, dan jadikanlah dia wahai Tuhanku, seorang yang meredha serta disukai.”
Berdasarkan kepada anggapan yang sama, maka Nabi Nuh a.s. berdoa supaya kaumnya dibinasakan setelah beliau mendapati tapak semaian semulajadinya itu telah rosak, sebagaimana firman Allah s.w.t. dalam surah Nuh ayat 26 dan 27:
“Dan Nabi Nuh berkata: ‘Wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan seorang pun daripada orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi, kerana jika Engkau biarkan mereka akan melahirkan anak yang hanya berbuat dosa lagi kafir...”
Sementara Rasulullah s.a.w. pula masih menaruh harapan akan lahir daripada kaumnya zuriat yang menyahut dakwahnya. Peristiwa ini dirakamkan tatkala Ar-Rasul s.a.w. memulakan usaha dakwah ke Taif bersama Zaid bin Harithah. Usaha baginda di Taif tidak mendapat sambutan daripada masyarakat Taif, sebaliknya baginda disakiti dan dilempar dengan batu sehingga luka dan berdarah.
Ar-Rasul s.a.w. berdoa kepada Allah s.w.t. mengenai penderitaan dan tentangan yang beliau hadapi. Doa beliau disambut oleh Allah s.w.t. dengan mengutuskan Malaikat Bukit yang turun di Taif dan berkata kepada Ar-Rasul s.a.w.:
“‘Perintahkanlah aku supaya menimpakan kedua-dua bukit ini ke atas mereka.’ Lalu baginda s.a.w. menjawab: ‘Tinggalkanlah mereka... Aku berharap Allah s.w.t. akan satu hari nanti mengeluarkan daripada kalangan mereka orang yang akan menyembah-Nya dan tidak mensyirikkan-Nya.’” (H.R. Bukhari)
Hujah yang berbentuk harapan dan cita-cita terhadap penerusan zuriat yang dinukilkan dalam hujah Nabi Nuh a.s. dan Rasululah s.a.w. adalah berasaskan kepada pentingnya kewujudan agama di atas muka bumi ini. Pengekalan kehidupan di atas muka bumi ini bergantung kepada kelangsungan/kewujudan agama, sementara kelangsungan agama/risalah ini bergantung kepada kewujudan zuriat/fitrah. Oleh kerana itulah Ar-Rasul s.a.w. bersabda:
“Tidak akan terjadi kiamat sehingga apabila tidak akan ada lagi manusia di atas muka bumi ini yang berkata ‘Allah! Allah!’” (H.R. Muslim)
Dengan erti kata lain, apabila tapak semaian semulajadi itu telah musnah dan anak-anak dunia ini semuanya menjadi seperti anak-anak atau masyarakat zaman Nabi Nuh, maka ketika itulah berlakunya hari kiamat. Begitulah pentingnya tapak semaian semulajadi ini.
Ibu bapa mana yang mahu melihat zuriatnya teraniaya atau gagal? Malah, cita-cita ibu bapa terhadap anak-anaknya adalah kebiasaannya jauh lebih tinggi daripada cita-cita yang dapat dibayangkan oleh anak-anak itu sendiri.
Paparan Generasi Pelapis Dakwah Contoh
Dalam pembentukan pelapis dakwah hari ini, banyak contoh terdekat yang boleh kita jadikan idola. Mereka menzahirkan ciri-ciri Rabbani yang berlandaskan keimanan dan ketakwaan mereka kepada agama Allah s.w.t. ini.
a) Keluarga Yasir r.a.
Sebuah keluarga iaitu keluarga Yasir r.a.; Yasir, isterinya Sumayyah dan anaknya ‘Ammar adalah di antara sahabat-sahabat yang terawal memeluk Islam. Mereka diseksa dengan pelbagai cara yang cukup dahsyat oleh Banu Makhzum sehinggakan Ar-Rasul s.a.w. meminta mereka bersabar menghadapi seksaan kejam ini dengan sabdanya, “Bersabarlah kamu dari keluarga Yasir, sesungguhnya syurga telah menanti kalian.”
Sumayyah merupakan syahidah pertama dalam Islam yang dibunuh oleh Abu Jahal. Yasir sendiri juga syahid dalam seksaan ini.
b) Rumaisa’ atau Ummu Sulaim (isteri Abu Talhah)
Seterusnya diketengahkan contoh seorang ibu daripada keluarga Abu Talhah. Ibu ini disebut sebagai wanita ahli syurga oleh ArRasul s.a.w. Islam merupakan mas kahwin beliau sewaktu bernikah dengan Abu Talhah. Ibu ini menyertai usaha jihad di jalan Allah semasa pertempuran Hunain dan pertempuran Uhud (bersama Aisyah Abu Bakar r.a.).
Dikisahkan bagaimana pada suatu hari ibu ini menerima dan meraikan tetamu Ar-Rasul s.a.w. dalam keadaan rumah mereka yang tiada makanan kecuali makanan untuk anak-anak. Akhirnya anak-anak ditidurkan dan tetamu ini diraikan dengan memadamkan lampu dan Abu Talhah dan isteri berpura-pura makan bersama tetamu. Sebenarnya makanan anak-anak mereka yang dihidangkan kepada tetamu.
Semasa solat Subuh keesokan harinya, Ar-Rasul s.a.w. menemui Abu Talhah r.a. dan bersabda kepada beliau, “Wahai Abu Talhah, Allah telah ketawa dengan lakonan kamu berdua semalam.”
Ibu ini juga diuji oleh Allah s.w.t. dengan kematian anak-anaknya. Dengan kesabaran dan keredhaan ibu ini, Allah s.w.t. telah menggantikan dengan sepuluh orang anak lelaki lain termasuk Anas bin Malik dan Al Barra’ bin Malik r.a. Itulah dia Rumaisa’ atau Ummu Sulaim.
c) Umair Abi Waqqas
Remaja ini gugur syahid ketika berusia 16 tahun semasa pertempuran Badar. Ibnu Asakir meriwayatkan daripada Saad bin Abi Waqqas, “Pada hari pertempuran Badar, Ar-Rasul s.a.w. menyuruh remaja ini kembali ke rumah kerana dia masih kecil. Remaja ini menangis sehingga akhirnya Rasul s.a.w. mengizinkannya untuk ikut bertempur.”
Ibnu Saad meriwayatkan daripada Saad, “Pada hari Badar aku lihat adikku yang masih kecil sedang keluar dengan sembunyi-sembunyi agar tidak diketahui oleh Ar-Rasul s.a.w. kerana dia takut disuruh kembali ke rumah kerana masih kecil.” Tanya Saad: “Mengapa kamu keluar dengan sembunyi-sembunyi?” Jawab remaja ini: “Aku takut terlihat oleh Nabi dan tidak dibolehkan ikut berjihad bersama baginda kerana aku masih kecil, padahal aku ingin sekali untuk syahid.”
Ketika remaja ini disuruh kembali ke rumah oleh Nabi s.a.w., dia menangis meminta diizinkan ikut berjihad. Setelah Ar-Rasul s.a.w. memberikan izin kepadanya, maka remaja ini pun berperang bersama Ar-Rasul s.a.w. sehingga gugur di medan tempur sebagai syahid sedangkan umurnya baru 16 tahun. Remaja tersebut ialah Umair Abi Waqqas.
d) Usamah bin Zaid
Dalam usia yang belum mencecah 18 tahun, remaja ini telah dilantik oleh Ar-Rasul s.a.w. sebagai panglima perang yang mengetuai pasukannya. Pasukan ini dianggotai sendiri oleh sahabat-sahabat yang lebih dewasa dan senior seperti Saiidina Abu Bakar r.a., Saiidina Umar r.a. dan lain-lain. Remaja ini juga pernah diberikan peluang untuk terlibat dalam pertempuran Uhud setelah nama beliau tidak tersenarai dan beliau menangis di sepanjang perjalanan pulang ke rumah. Beliau adalah Usamah bin Zaid.
e) Mus’ab bin Umair
Seorang lagi wira yang tampan yang baru berusia 20 tahun. Datangnya daripada keluarga yang kaya dan mempunyai koleksi pakaian yang indah-indah dan mewah sebelum memeluk Islam. Beliau mendapat kepercayaan yang amat besar daripada Ar-Rasul s.a.w. untuk menjadi da’i dan duta Islam pertama ke Madinah. Beliau menguasai Al-Quran. Beliau juga mempunyai kemampuan berkomunikasi dan kecerdasan yang telah membantunya untuk mengIslamkan penduduk Madinah. Itulah dia Mus’ab bin Umair.
f) Anas bin Malik
Beliau meminta izin untuk keluar bertempur sebelum baligh lagi dan merasa dukacita apabila tidak terpilih. Mempunyai perasaan cinta yang mendalam terhadap jihad dan merupakan perawi hadis jihad yang paling banyak iaitu lebih kurang 2286 buah hadis.
g) Al Barra’ bin Malik
“Ada di antara hamba Allah, manusia yang jika ia bersumpah di atas nama Allah, Allah akan menyelamatkannya. ‘Wahai Barra’! Berdoalah kepada Allah supaya memberikan kemenangan kepada kami...’” (Riwayat Tirmidhi dalam at-Targhib dan Syarahnya, hal 205)
As-Syahid Hassan Al-Banna dalam saranan beliau mengenai pembentukan generasi pelapis dakwah ini menyarankan agar pendekatan iman, ikhlas, semangat dan amal menjadi rukun-rukun khusus untuk para pemuda. Menurut beliau:
1. Asas iman ialah hati yang terang
2. Asas ikhlas ialah jiwa yang bersih
3. Asas semangat ialah perasaan yang mantap
4. Asas amal ialah azam yang kuat.
Menurut beliau lagi, remaja di kalangan setiap umat (dahulu dan sekarang) merupakan tiang kebangkitan umat. Firman Allah:
“Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami (Allah) tambahkan kepada mereka petunjuk.” (Surah Al-Kahfi : 13)
Beberapa Fakta di Hadapan Mata Kita
Mari kita buka ufuk pemikiran kita dengan merenung kepada beberapa fakta kedudukan orang Melayu-Islam di Malaysia hari ini. Mudah-mudahan apa yang akan saya kongsi ini akan menyematkan semangat bersegera (urgency) kepada kita semua dalam usaha-usaha penggemblengan tenaga demi untuk meneruskan tanggungjawab jihad dan dakwah pada masa akan datang. Mengislahkan atau memperbaiki diri sendiri, ahli keluarga dan ahli masyarakat di sekeliling ke arah melahirkan insan soleh wa musleh.
Mengikut maklumat daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), jumlah kes keganasan rumahtangga bagi tahun 2002 (Domestic Violence) mengikut bangsa adalah seperti berikut:
- Melayu – 1,303 kes
- India – 724 kes
- Cina – 515 kes
- Bangsa-bangsa lain – 213 kes.
Bagi jumlah bilangan penagih dadah pada tahun 2002, Agensi Dadah Kebangsaan melaporkan seperti berikut:
- Melayu – 22,160 kes
- Cina – 4,737 kes
- India – 3,268 kes
- Bumiputera Sabah dan Sarawak – 1,433 kes
- Bangsa-bangsa lain – 305 kes.
Jumlah kes AIDS dari tahun 1988 hingga 2002 melibatkan 7,218 orang dan daripada jumlah itu, 5,424 (75.14 %) meninggal dunia. Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan pecahan kes AIDS mengikut bangsa adalah seperti berikut:
- Melayu – 4,345 kes
- Cina – 2,057 kes
- India – 522 kes
- Bumiputera Sabah dan Sarawak – 61 kes
- Bangsa-bangsa lain – 233 kes.
Bagi kes ibu tunggal pula, pada tahun 2000, Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan:
Melayu – 74713 kes
Cina – 29677 kes
India – 11597 kes
Bumiputera Sabah dan Sarawak – 9,929 kes
Bangsa-bangsa lain - 894 kes.
(Definisi Ibu tunggal: Perempuan, ketua keluarga, balu atau janda/berpisah, anak tanggungan tinggal bersama)
Dengan maklumat yang saya hamparkan di hadapan kita, saya tidak berniat untuk merendah-rendahkan kedudukan bangsa Melayu yang beragama Islam ini. Apa yang hendak saya nyatakan di sini adalah realiti masyarakat Melayu-Islam yang begitu tenat sekali keadaannya. Menduduki tempat pertama dalam setiap aspek di atas! Inilah cabaran generasi kita dan generasi pelapis dakwah.
Kita mungkin boleh mempersoalkan kesahihan atau ketepatan data dan maklumat yang diketengahkan. Namun, apa yang lebih penting bagi saya ialah kesemua ini melambangkan ciri-ciri atau tanda-tanda penyakit umat Islam di Malaysia yang semakin parah dari hari ke hari. Walaupun seorang sahaja yang mungkin terlibat dalam masalah di atas, namun dia tetap seorang saudara seIslam yang seharusnya diselamatkan daripada kekusutan ini.
Apa Tindakan Kita Seterusnya?
Nampaknya, sudah terlalu lama kita menantikan transformasi atau perubahan ini. Imej remaja atau generasi pelapis yang dilihat sebagai suram, kumpulan bermasalah dan berperibadi remeh perlu ditukar kepada:
“Insan yang proaktif dan berwatak cemerlang, teguh dalam pelbagai aspek termasuk ilmu dan pendidikan, ibadah dan kepemimpinan, memupuk nilai-nilai diri yang kamil, menghormati ibu bapa, guru dan orang tua, berlatih menjadi pemimpin dan memegang tanggungjawab, menghargai kasih sayang dan sebagainya.”
Kita dengan serba macam keterbatasan dan kekangan yang ada, berusaha untuk mewujudkan institusi dan program-program yang boleh menampung dan membina golongan pelapis dakwah khususnya remaja sebagai generasi pelapis dakwah yang soleh wa musleh. Marilah kita sama-sama berdoa seperti doa Ar-Rasul s.a.w. semasa di Taif, yakni memohon hidayah Allah s.w.t. yang bakal menyinari jiwa orang-orang yang jahil yang akan sujud kepada Allah s.w.t.
Saya kira, dunia yang dihadapi oleh kita semua selaku generasi pelapis dakwah jauh berbeza daripada dunia yang dihadapi oleh Usamah, Mus’ab dan Saad Abi Waqqas. Peperangan fizikal oleh musuh Islam masih diteruskan. Cabaran yang telah pun sedia ada diperhebatkan lagi oleh musuh Islam dengan serangan politik, ekonomi, sosial dan gaya hidup hedonisme dan internet tidak bersempadan demi untuk memenuhi angan-angan dan hawa nafsu umat Islam yang sudah pun lemah pegangannya kepada agama.
Saya ingin mencadangkan tujuh ciri utama untuk kita hayati dan hidupkan di dalam diri dan ahli keluarga kita yang saya lakarkan alam bentuk ‘Formula Ra.F.A.A.I.I.I.’ Saya kira ramai di antara kita telah pun menghayati formula ini secara sedar atau tidak. Saya cuma ingin memaparkannya di sini untuk sama-sama kita praktikkan.
a) Rabbani
‘Rabbani’ adalah ciri pertama yang perlu dihayati oleh kita dan generasi pelapis dakwah, iaitu seluruh kehidupan kita berorientasi dan bersandarkan pada Allah s.w.t. Kita mempunyai sifat yakin terhadap pertolongan Allah. Kita wajib berhubung secara intim dengan Al-Quran melalui pembacaan, bertadabbur, menghayati dan mengamalkannya dalam kehidupan.
Mengenai ciri Rabbaniyyah ini, Al-Quran merakamkan dalam surah Ali Imran ayat 79:
“...Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.”
Sebagai manusia yang hidup dengan ciri Rabbani, kita perlu yakin bahwa segala usaha dan kesungguhan kita akan mendapat bantuan dan pertolongan daripada Allah s.w.t. Kita dan generasi pelapis dakwah mesti memohon pertolongan-Nya tanpa jemu. Kita mesti berusaha, berikhtiar, melakukan ibadat, seterusnya berdoa dan barulah selepas semua itu, bertawakkal kepada-Nya.
Sebagai generasi pelapis, apabila kita yakin dengan-Nya, Allah s.w.t. akan memberi kita kejayaan dan kecemerlangan diri. Dengan kejayaan dan kecemerlangan ini, kita pula akan menjadi contoh kepada rakan-rakan lain di sekeliling kita. Dengan keyakinan ini, kita tidak akan mudah terpengaruh dengan kesulitan dan cabaran hidup yang didatangkan kepada kita. Kita mampu untuk membuat keputusan dengan jiwa dan fikiran yang tenang.
Ar-Rasul s.a.w. bersabda:
“Bertakwalah kepada Allah kerana itu adalah kumpulan kebaikan, berjihad di jalan Allah kerana itu adalah kerahiban kaum Muslimin, berzikir kepada Allah serta baca kitab-Nya kerana itu adalah cahaya bagimu di dunia dan ketinggian sebutan bagimu di langit, kuncilah lidah kecuali untuk segala yang baik, dengan demikian kamu dapat mengalahkan syaitan.” (H.R. Tabrani)
Ciri Rabbani ini, apabila telah terpahat dalam jiwa seseorang itu, maka lahirlah suatu kesebatian iman, amal dan pengorbanan yang tidak boleh dipisahkan sebagaimana ungkapan Ibnu Taimiyyah rahimahullah alaih seperti berikut:
“Apakah yang hendak dilakukan musuh-musuh terhadapku. Sesungguhnya taman syurga terletak di dadaku. Jika aku dibunuh, maka aku syahid. Jika diasingkan, maka aku berjaulah. Jika dipenjarakan, itulah saat bagiku berkhalwat dengan Rabbku.”
b) Fikriah Atau Pemikiran
Ciri kedua yang perlu dihayati melibatkan aspek fikriah atau pemikiran kita. Kita perlu melengkapkan diri kita dengan kekuatan berfikir secara positif. Tanpa merasa ujub dan takbur, kita perlu merasakan diri kita bagus, pintar, berdisiplin dan boleh berjaya, seterusnya berusaha ke arah menzahirkan sifat-sifat ini dalam kehidupan kita. Aspek fikriah ini juga melatih kita untuk sentiasa membisikkan pada diri sendiri kata-kata positif dan baik yang boleh merangsang kepada kejayaan diri kita, InsyaAllah.
Aspek fikriah yang diwarnai dengan pandangan dan fikiran positif akan sentiasa mencari-cari aspek kebaikan dan kekuatan sesuatu perkara itu dengan lebih banyak daripada mencari aspek keburukan dan kelemahan. Dengan pemikiran sedemikian, hidup kita dan generasi pelapis dakwah akan menjadi lebih tenang, sabar dan tabah dalam mengharungi cubaan dan halangan kehidupan. Pemikiran yang positif ini juga akan mampu untuk menjana idea yang bernas dan berkualiti. Kekuatan fikriah ini juga akan membantu generasi pelapis dakwah untuk mengelakkan lemparan segala jenis kata-kata, suara hati dan pandangan negatif terhadap diri sendiri dan orang lain.
Generasi pelapis dakwah perlu mempunyai cita-cita yang tinggi. Kita perlu melatih diri untuk meletakkan harapan dan berjanji pada diri sendiri untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat. Kekuatan cita-cita akan mempengaruhi semangat dan ketekunan kita dalam semua usaha. Ciri fikriah ini juga membina semangat yang berlandaskan prinsip yang jitu. Berbekalkan kepada semangat ini, kita akan berjuang demi untuk mencapai cita-cita yang tinggi.
Berdasarkan contoh-contoh generasi pelapis dakwah yang saya kongsi sebelum ini, kita sama-sama dapat melihat bagaimana apabila kita berada dalam jalan perjuangan, sajian-sajian yang berupa dugaan dan cabaran akan mematangkan lagi diri kita untuk menghadapi risiko dan masalah yang lebih besar. Kita tidak akan gentar menghadapi cubaan, malahan ia memberikan rangsangan yang kuat kepada jiwa-raga kita untuk terus berusaha sehingga cita-cita kita tercapai.
Kekuatan ciri fikriah ini juga mampu menyakinkan diri kita bahawa kita boleh melakukan sesuatu, InsyaAllah. Kita mempunyai kebebasan untuk berfikir, bergerak dan memilih selagimana tidak bercanggah dengan hukum Allah s.w.t.
Dalam memantapkan ciri kedua ini, Sheikh Dr Yusuf Qardawi umpamanya, telah membaca 256 buah buku akidah, ibadah, dan akhlak semasa beliau berada di tingkatan lima. Kita juga sedia maklum bahwa ramai orientalis-orientalis Barat lebih arif mengenai Islam daripada kita. Mereka juga telah mengkaji mengenai kaedah-kaedah untuk menghancurkan umat Islam dengan menjauhkan umat Islam daripada sumber kekuatan mereka, iaitu Al-Quran dan dengan meracuni fikiran golongan muda-mudinya. Mudah-mudahan kita mampu untuk menghayati ciri kedua ini.
c) Akhlaki
Ciri ketiga dalam formula ini ialah ciri akhlaki. Kita mesti berlaku adil pada diri kita sendiri. Apa yang saya maksudkan dengan keadilan diri sendiri adalah meletakkan diri kita pada tempat yang sepatutnya dan selayaknya melalui akhlak dan pencapaian cemerlang. Akhlak cemerlang ini pula haruslah berasaskan kepada kecantikan ciptaan manusia oleh Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t. dalam surah At-Tiin ayat 4:
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya.”
Patutkah diri kita sendiri diletakkan setaraf dengan kedudukan haiwan melalui kepincangan akhlak yang kita lakukan, kerana haiwan tidak mempunyai akal dan fikiran? Sedangkan kita adalah khalifah Allah di atas muka bumi ini.
Dalam menghayati ciri ketiga ini, “Be yourselves!” Anda adalah anda! Ada kelemahan dan ada kekuatan. Umpamanya, peluang menjadi remaja dan peluang belajar hanya datang sekali, sekiranya keciciran dan kecundang bermakna kita mensia-siakan peluang keemasan ini. “Be fair to yourselves!”
Ciri akhlaki ini juga mengajar kita supaya mesti bertanggungjawab terhadap diri sendiri demi untuk kebahagiaan pada masa hadapan, dunia dan akhirat.
Kita dan generasi pewaris selepas kita perlu ingat bahwa penonjolan akhlak Islami melalui mesej ‘the living Islam’ telah menjadi daya tarikan pada zaman dahulu dan perlu diteruskan. Manusia tertarik dengan akhlak dan cara umat Islam berinteraksi dan bermuamalat. Apabila ditanya mengenai akhlak Ar-Rasul s.a.w., Saidatina Aisyah r.a. menjawab, “Akhlak Ar-Rasul s.a.w. adalah akhlak Al-Quran – Khuluqul Quran.”
d) Amali
Kita mesti mempersiapkan jiwa dan raga kita untuk melakukan amalan yang terbaik buat diri kita, keluarga dan masyarakat. Untuk melakukan yang terbaik dan mendapat natijah yang berharga itu memerlukan kita untuk berkorban, bersabar dan melakukan persediaan yang rapi. Kita boleh lakukannya, InsyaAllah!
Manakala istilah ‘kegagalan’ tidak sepatutnya wujud dalam perbuatan amali kita. Jangan mengaku kalah sebelum anda kalah. Kita perlu belajar daripada kiasan amali seorang pendekar yang bijak menyusun langkah dan strategi, mengatur langkah dengan teratur, kemahiran, taktik dan sebagainya; Semangat jihad perlu tersemat dalam hati untuk berjuang bermati-matian demi untuk mencapai kejayaan buat diri khususnya dan untuk Islam umumnya.
Bayangkan dan amalkan kejayaan! Kita perlu menggambarkan dan membayangkan bahawa kita ini berjaya dan berdisiplin tinggi. Kegagalan melakukan amal pula berlaku sekiranya kita tidak merancang dan menguruskan masa dengan baik. Bila kita sedar bahawa masa itu terhad, kita akan gigih untuk memanfaatkan masa dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah. Kejayaan orang lain pula akan dijadikan sebagai faktor perangsang juga.
Kita sedia maklum bahawa dalam Islam, amal ini diletakkan di tempat yang tinggi. Seorang tabi’in, Hatim bin Aashim berkata, “Aku lihat setiap orang mempunyai kekasih. Namun tidak ada sesuatu pun yang mahu mengikuti dan menemaninya di alam kubur kecuali amalnya. Oleh itu, aku jadikan amalku sebagai kekasihku yang tak pernah lepas setiap masa.”
e) Ihsan
Ihsan yang saya maksudkan dalam ciri kelima ini melibatkan perlaksanaan kerja secara efektif dan terencana. Kita perlu mula melaksanakan tugasan kita secara ‘work smart’.
f) Istiqamah
Rasul s.a.w. bersabda, “Sesungguhnya amal itu tergantung sehingga ke saat akhirnya.” Kita mesti konsisten/istiqamah dalam amalan kita supaya kita akan menemui Allah s.w.t. dalam keadaan yang diredhai-Nya - “Husnul Khatimah” dan bukan sebaliknya.
g) Istighfar
Kita ingat dalam himpunan doa Al-Mathurat yang dikumpulkan semasa Fathul Makkah, Allah turunkan surah An-Nasr, ayat 3 yang memerintahkan Ar-Rasul s.a.w. beristighfar:
“...Maka bertasbihlah dengan memuji Allah dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima Taubat.”
Sementara hayat masih dikandung badan dan kita masih diberi peluang oleh Allah s.w.t., marilah sama-sama kita hayati Formula Ra.F.A.A.I.I.I. ini.
No comments:
Post a Comment