Friday, February 8, 2008

AKU ORI BUKAN FOTOKOPI

DOWNLOAD KEDUA:

Pernahkah anda memandang wajah anda di cermin, kemudian merasa rendah diri kerana merasakan wajah anda tidak secantik rakan sekelas anda? Hidung anda tidak semancung artis pujaan anda? Kulit anda tidak secerah gadis jiran sebelah?

Pernahkah anda merasa ketinggalan dari sudut fesyen rambut, cara penampilan dan berpakaian, cara bercakap dan berjalan berbanding teman sebaya? Atau artis pujaan ramai yang menghiasi muka depan pelbagai majalah?

Pernahkah anda rasa tersinggung kerana melihat teman karib anda memiliki teman lelaki? Pernahkah anda merasakan diri anda serba kekurangan kerana tiada buah hati’ yang akan membawa anda keluar dating? Pernahkah anda merasa tidak ke disko atau mengambil pil khayal untuk mengubat kerunsingan itu sesuatu yang ketinggalan zaman?

Semua yang disenaraikan di atas sebenarnya bukanlah satu senario yang luar biasa. Ia perkara biasa yang berlaku di kalangan para remaja.

Menurut satu kajian oleh Prof Dr Azimi Hamzah daripada Universiti Pertanian Malaysia (UPM) berkaitan dengan remaja dan belia menunjukkan bahawa:

  1. 68.0% remaja yang berusia 15-19 tahun menyukai pakaian yang trendy’ berbanding 16.1% sahaja yang menyukai pakaian tradisional.
  2. 43.1% menjadikan rakan sebaya sebagai rujukan berbanding 38.0% menjadikan ibu bapa sebagai rujukan.
  3. 14.8% menjadikan disko sebagai tempat mencari hiburan.
  4. 31.7 % adalah perokok.
  5. 13.6% ketagih alcohol.
  6. 25.2% menganggap agama tidak penting.

Kajian ini bukan sahaja merupakan satu petanda kepada keadaan kecelaruan remaja hari ini, tetapi juga kecenderungan untuk terpengaruh dengan budaya yang bercangkah dengan agama memang wujud. Malah, ramai daripada kalangan remaja juga menganggap agama tidak penting.

Para remaja, terutamanya remaja Muslim harus sedar bahawa kita sebenarnya tidak perlu menjadi orang lain. Kita adalah kita. Setiap orang memiliki keunikannya yang tersendiri. Lagipun, belum pasti lagi apa yang dilakukan oleh orang lain itu betul dari sudut keagamaan dan kemanusiaan. Belum tentu juga ia baik untuk anda. Tidak usah ikut-ikutkan orang lain. Tidak perlu terikut-ikut dengan perasan rendah diri dan kecewa atau berasa ketinggalan kerana tidak mengikut budaya kuning yang berlawanan dengan kehendak Tuhan dan agama.

Di dalam bukunya yang bertajuk La Tahzan’ atau tajuknya dalam penerbitan terjemahan ke dalam Bahasa Melayu Jangan Bersedih’, Dr ‘Aidh bin Abdullah al-Qarni antara lain menulis:

“Jangan ikut-ikutkan, dengan kata lain, jangan mudah memakai dan meniru-niru ciri sahsiah orang lain. Kerana itu akan menjadi malapetaka yang tidak mudah diterima oleh jiwamu. Orang-orang yang lupa dengan dirinya sendiri, suaranya, gerakan tubuhnya, ucapannya, kemampuannya, dan suasananya sendiri, kebanyakannya akan meniru-niru budaya bangsa lain. Dan itulah yang disebut dengan latah, mengada-ngada, berpura-pura dan membunuh secara paksa jati dirinya sendiri.

Ketahuilah bahawa diri anda merupakan sesuatu yang lain daripada yang lain - unik; tidak ada seorang pun yang menyerupai anda dalam catatan sejarah hidup ini, belum pernah ada seorang pun yang diciptakan sama dengan anda, dan tidak akan ada orang yang akan serupa dengan anda sampai bila-bila pun. Keadaan anda betul-betul berbeza dengan orang lain, sebab itu jangan memaksakan diri untuk berbuat latah dan meniru-niru sahsiah orang lain. Tetaplah berpijak dan berjalan pada keadaan dan sahsiah anda sendiri.”

Sebagai umat yang mulia, para remaja Muslim harus memiliki dan memelihara jati diri berasaskan kepada apa yang diajarkan oleh Al-Quran dan Sunnah. Tidak salah untuk kita ikut serta dalam kemajuan zaman, kerana Islam amat menggalakkan umatnya berdaya maju dan mengusai teknologi pada zamannya. Namun, kita harus memiliki panduan dalam keghairahan untuk mengikut trend semasa samada dari sudut pakaian, perbuatan, cara hidup dan lain-lain.

Banyak sekali panduan daripada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. kepada kita dalam persoalan mengekalkan jati diri kita sebagai seorang remaja Muslim.

Antaranya dari sudut pakaian – Islam telah menggariskan agar kita memastikan pakaian kita menutup aurat dan memenuhi tuntutan agama. Hal ini didasarkan pada hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah, bahawa Asma binti Abu Bakar masuk ke rumah Rasulullah s.a.w. dengan pakaian yang tipis, maka Rasulullah berpaling seraya bersabda:

Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita yang sudah baligh, maka tidak boleh dilihat tubuhnya kecuali ini dan ini dengan menunjuk wajah dan telapak tangan (sampai pergelangan).” (H.R. Abu Dawud)

Manakala dalam Al-Quran, Allah s.w.t. berfirman dalam surah An-Nuur ayat 31:

“...dan wanita-wanita jangan menampakkan perhiasan mereka kecuali apa yang biasa nampak di perhiasan itu.”

Selain daripada itu, baginda Rasulullah s.a.w. juga mengingatkan kita dengan hadis berikut mengenai kecenderungan umat Islam untuk menurut jejak langkah dan budaya orang-orang Yahudi dan Nasrani dari segenap gaya hidup mereka. Pesanan baginda s.a.w. dalam sabdanya:

Kamu telah mengikuti sunnah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak, kamu tetap mengikuti mereka.’ Kami bertanya: Wahai Rasulullah, apakah yang engkau maksudkan itu adalah orang-orang Yahudi dan orang-orang Nasrani?’ Baginda bersabda: Kalau bukan mereka, siapa lagi?’” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Semoga semua ini sedikit sebanyak dapat menjadi panduan kepada para remaja untuk berusaha mengekalkan jati diri sebagai remaja Muslim dalam arus perubahan dunia yang kadangkala melalaikan dan merosakkan diri kita.

Aku Ori Bukan Fotokopi

Rambutmu tajam seperti duri

Cicak jatuh mesti mati

Konon punya gaya sendiri

Siapa tegur pun kau tak peduli.

Kau memang suka bersubang

Di bibir, di pusat, di dahi, di hidung

Buang masa merewang-rewang

Naik berang disuruh bertudung.

Konon ori bukan fotokopi

Konon ori bukan fotokopi

Suruh solat pun tak reti.

Black metal, punk sampah

Budaya Barat bersepah-sepah

Kadang-kadang rasa menyampah

Ditegur dilarang buat tak endah.

Maksiat mungkar merata-rata

Buang anak tak rasa berdosa

Bukan niat nak kutuk mengata

Kalau tak tegur bala menimpa.

Konon ori bukan fotokopi

Konon ori bukan fotokopi

Buat dosa tak sedar diri

Cuba dikau sedarkan diri

Jadilah ori bukan fotokopi

Kembalilah segera kepada Ilahi

Bimbang tak sempat bertaubat nanti.

Engkau aset agama dan negara

Masa remaja hanya seketika

Jangan habiskan bersuka sahaja

Kelak menyesal tak terkira.

Jadilah ori bukan fotokopi

Jagalah maruah dan nilai diri

Jadilah manusia yang dihormati.

Kita punya Al-Quran yang indah

Tambah teguh dengan As-Sunnah

Ikutlah ahli sunnah wal jamaah

Jauhi ahli punnah wal ranah.

Jadilah remaja soleh wa musleh

Tak perlu tiru budaya Barat

Buat baik tak toleh-toleh

Nak jadi mulia ujiannya berat.

Aku ori bukan fotokopi

Aku ori bukan fotokopi

Kukasihkan Allah, kukasihkan Nabi.

Aku ori bukan fotokopi

Aku ori bukan fotokopi

Al-Quran kujunjung tinggi-tinggi.

Aku ori bukan fotokopi

Aku ori bukan fotokopi

Demi Islam yang dicintai.

Aku ori bukan fotokopi

Aku ori bukan fotokopi

Akidahku jelas, tak perlu diragui.

Wahai remaja yang dikasihi

Jadilah ori bukan fotokopi

Miliki jati diri Islami

Impikan syurga setelah mati.

Pesan akhir buat remaja

Jangan disia usia muda

Ikutlah yang baik-baik sahaja

Kelak Allah ganjarkan syurga.

Roha Hassan

9 Ramadhan 1427

030906

No comments: