Friday, February 8, 2008

MUZIK! MUZIK! MUZIK!

DOWNLOAD KEENAM:

Sedari kecil lagi, kita dibuai dan didodoi oleh ibu tersayang dengan dodoian dan lagu kasih sayang permata hatinya. Tanpa lagu dan dodoian ibu, si anak kecil susah nak tidur. Apabila kita masuk sekolah, kita diajar pula dengan lagu ‘Bek Bek Kambing Hitam Adakah Bulu?’, apabila besar sedikit kita telah pandai menyanyi lagu ‘Negaraku’. Setelah meningkat remaja, kita mula menyanyikan lagu-lagu cinta. Apabila mencecah usia emas, lagu-lagu instrumental nostalgia menjadi pilihan.

Jadi, kehidupan kita akan merasa sunyi tanpa irama dan lagu. Terasa pincang jika irama dan lagu dipisahkan dalam rutin harian kehidupan.

Apakah hukum memainkan alat muzik itu harus? Apakah mendengar muzik dalam bentuk instrumental tanpa nyanyian itu haram? Apa pula hukumnya mendengar muzik beserta nyanyian? Bagaimana pula mendengar nyanyian bersilang jantina? Seterusnya kalau mendengar muzik dan nyanyian itu diharuskan, apakah ia boleh dikira sebagai ibadah sehingga seseorang yang mendengar muzik dan nyanyian akan mendapat ganjaran pahala?

Pastinya sebagai sumber hukum dalam sebuah agama yang lengkap dan sesuai untuk semua tempat, orang dan zaman, Al-Quran tidak mengabaikan walau sedikit pun urusan manusia. Pasti ada hukumnya. Begitu juga dengan persoalan-persoalan yang dilontarkan di atas.

Penulisan-penulisan fiqh klasik membahagikan alat muzik kepada dua; yang bertali dan tidak bertali. Penggunaan alat muzik yang bertali dihukumkan haram, manakala yang tidak bertali pula sebagai harus.

Namun demikian, kajian dan penulisan fiqh terkini tidak melihat kepada sudut jenis alat muzik, tetapi ia melihat kepada rentak dan irama yang dihasilkan oleh alat tersebut. Adakah ia merangsang pendengarnya sehingga lalai, lupa diri dan lupa Allah? Atau adakah ia merangsang pendengarnya sehingga dapat menaikkan semangat patriotik, rasa sedar diri dan ketakwaan kepada Allah?

Jenis yang pertama dikira haram, manakala yang kedua dikira harus. Jadinya hukum asal menggunakan alat muzik adalah harus, samada dipetik, dipukul, digesek, ditiup dan sebagainya. Apa yang mengharam atau mengharuskannya ialah cara penggunaannya yang melahirkan rentak, lagu dan irama.

Kadangkala alat muzik dimainkan dengan iringan penyanyi. Dalam hubungan ini, selain daripada bentuk rentak, lagu dan irama, cara persembahan penyanyi dan lirik nyanyian juga perlu dilihat sama. Jika ia dipersembahkan dengan penampilan yang menghairahkan, merangsang nafsu dan syahwat, sehingga lupa diri dan Allah, ia tidak diharuskan. Begitu juga lirik lagu yang lucah, memuji sesuatu yang haram, mengagungkan syaitan dan syawat dan cinta berahi yang keterlaluan, ungkapan-ungkapan syirik dan kufur, dan lirik-lirik yang bercanggah dengan semangat syariat, maka hukumnya haram.

Mendengar muzik berlaku dalam pelbagai bentuk; mendengar muzik tanpa nyanyian, mendengar muzik beserta nyanyian, mendengar sambil menonton penyanyi menyanyikan lagu, dan sebagainya. Hukum asal mendengar muzik tanpa nyanyian, mendengar muzik beserta nyanyian, mendengar sambil menonton penyanyi menyanyi adalah ‘harus’ tetapi ‘bersyarat’. Syaratnya ialah rentak, irama, lagu dan liriknya tidak melalaikan, mengkhayalkan, dan membawa kepada lupa diri dan lupa Allah. Persembahan dan penampilan penyanyi juga mestilah menutup aurat dan geraknya tidak menghairahkan pendengar dan penonton.

Selain daripada sifat muzik, rentak, irama, lirik, cara dan perlakuan si pendengar ketika mendengar muzik juga akan menentukan hukum mendengar muzik. Keterlaluan yang melampau, ketagih serta gian dalam mendengar muzik akan mengubah hukum harus mendengar muzik kepada haram. Ia telah termasuk kepada perbuatan sia-sia dan boleh mendatangkan kesan-kesan yang negatif. Pendengar akan tergoda, terbawa-bawa dan terfitnah dengan kemerduan suara penyanyi dan senikata, dan tergoda kepada batang tubuh penyanyi.

Keadaan hukum ‘harus’ mendengar muzik, nyanyian dan menonton persembahan penyanyi boleh disimpulkan seperti berikut:

1. Mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan yang rentak irama, lagu dan liriknya merangsang semangat berani, gagah-perkasa dan patriotik, contohnya rentak ‘march’.

2. Mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan yang rentak irama, lagu dan liriknya meniupkan rasa keinsafan, sedar diri, mengenang kebesaran Allah dan menuju ketakwaan kepada Allah.

3. Mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan yang rentak irama, lagu dan liriknya dapat menenangkan jiwa, meredakan tekanan perasan, menghilangkan kebosanan serta mengembalikan kesegaran spiritual, jasad dan emosi.

Jadi, bolehkah mendengar muzik itu menjadi ibadah? Untuk semua perbuatan boleh dikira sebagi ibadah, ia mestilah memenuhi syarat-syarat berikut:


1. Perbuatan itu diterima syarak.

2. Perbuatan itu dilakukan menurut tuntutan dan peraturan syarak.

3. Perbutan itu dilakukan ikhlas kerana Allah.

4. Perbuatan itu dilakukan oleh Muslim.


Dalam konteks mendengar muzik nyanyian dan menonton persembahan dengan rentak, irama, lagu dan liriknya, selagimana memenuhi empat syarat di atas, ia boleh dikira sebagai ibadah dan mendapat pahala. Jika ia tidak memenuhi syarat-syarat ini, maka ia tidak lagi dianggap sebagai ibadah, malah termasuk sebagai perbuatan yang sia-sia dan dilarang di sisi syarak.

1 comment:

Irfan Abdul said...

Alhamdulilah..terima kasih akak kerana artikel ini sungguh bermakna bagi saya..saya merupakan pelajar seni aliran muzik.Saya sering bingung apabila tujuan sya belajar adalah untuk menuntut ilmu ke Jalan Allah tetapi di dalam bidang muzik. Hasil dari pembacaan sy ini,menguatkan lagi kefahaman diri saya bahawa muzik itu bergantung kepada pembawakan kita.InsyaAllah sy sering berdoa agar Allah sentiasa mendorong sy memilih yg terbaik untuk dunia dan akhirat..AMin..Btw..Thanks alot Akak..