Thursday, February 14, 2008

Berterima kasih Kepada Pengkritik















Menghargai insan yang memberikan senyuman jauh lebih mudah, berbanding untuk berterimakasih dan bersabar dengan insan yang memberikan kritikan kepada kita.

Namun, sesungguhnya kesabaran kita menghadapi kritikan dan cercaan akan sentiasa diambilkira oleh yang Maha Esa, dan insyaAllah kita akan beroleh ganjaran yang setimpal.

Sedangkan para Rasul sendiri diuji dengan ujian kritikan dan cercaan. Malahan ketika Nabi Musa a.s memohon kepada Allah supaya Dia menghentikan kejahatan mulut kaumnya, Allah swt berfirman :

“Wahai Musa, Aku tidak lakukan itu untuk diri-Ku. Aku menjadikan dan memberi mereka rezeki, namun mereka malah mencela dan mengejek-Ku”

Menurut satu hadis bahawa Baginda Rasul (saw) bersabda, ertinya Allah swt berfirman, ertinya: ”Manusia mencerca dan menghina Ku padahal tidak sepatutnya ini ia lakukan. Berkenaan dengan cercaanNya kepada Ku ialah bahawa dia mencerca zaman padahal Akulah zaman. Aku pergilirkan malam dan siang sekehendak Ku. Manakala hinaannya kepada Ku adalah ia mengatakan bahawa Aku mempunyai sahabat wanita dan anak.”

Sesungguhnya tidak mudah untuk kita mendiamkan mulut manusia supaya tidak melakukan penghinaan terhadap kehormatan kita. Apatah lagi berterima kasih kepada pengkritik. Walaupun begitu, kita masih boleh terus berbuat baik dan menghindari kata-kata dan kritikan mereka.

Seorang pujangga pernah berkata - Katakan sahaja kepada mereka, ”Jika kebaikan yang kulakukan anda nampak sebagai dosa-dosa katakanlah kepadaku bagaimana aku sepatutnya meminta maaf?

Seorang sasterawan Barat mengungkapkan kata-kata yang ertinya : ”Lakukan apa yang engkau yakin benar, dan palingkan tubuhmu dari semua kritikan yang tidak bernilai”.

Beberapa pesanan dari Dr Aidh Abdullah Al-Qarni :

1. Jangan sekali-kali membalas cercaan atau cemuhan yang melukai hati anda. Kerana kesabaranmu dalam menghadapi semua itulah yang dengan sendirinya akan menguburkan semua kehinaan. Kesabaran adalah penyebab kemuliaan, diam adalah penyebab kekuatan untuk mengalahkan musuh, dan memaafkanlah adalah penyebab dan tangga untuk mencapai pahala dan kemuliaan.

2. Ketahuilah bahawa separuh dari orang yang pernah mencerca atau mengkritik anda itu akan melupakan cercaan mereka, sepertiga tidak sedar dengan apa yang mereka lontarkan, dan selebihnya tidak akan mengerti apa dan mengapa mereka mencerca anda. Sebab itu jangan sekali-kali cercaan mereka engkau masukkan ke dalam hati dan jangan pula berusaha membalas apa yang mereka katakan.

3. Seorang yang bijaksana berkata ertinya, “Orang lain akan sibuk mengumpatku hanya kerana roti bahagian mereka lebih kecil dari bahagianku”. Sesungguhnya rumah yang sentiasa tenteram meskipun hanya ada sepotong roti di dalamnya, adalah lebih baik daripada rumah yang penuh dengan makanan tetapi tidak pernah lekang dari pergaduhan dan sumpah seranah.

Ya Allah kami berserah kepadaMu. SesungguhNya Engkau yang Maha Mengetahui segalanya yang nyata lagi tersembunyi. Yang Maha Adil lagi Maha Mengadili. Jadikan kami insan yang dapat bersabar dan mampu berterima kasih kepada para pengkritik.

Nurdinie Sufi
14 Februari 2008

No comments: