DOWNLOAD KEENAM BELAS:
Anita, 19 tahun (bukan nama sebenar) baru saja tamat peperiksaan akhir matrikulasi di sebuah universiti awam tempatan. Hatinya melonjak-lonjak ingin bertemu kekasihnya, Herman, 21, (pelajar tahun dua sebuah institusi pengajian tinggi awam) sebelum balik ke kampungnya untuk bercuti panjang.
Herman terlalu sayangkan Anita dan cuba melamarnya untuk mengikat tali pertunangan. Namun, orang tua Anita menolaknya dengan alasan dia masih belajar dan tidak mempunyai pendapatan tetap. Setelah berjumpa Herman, bas akhir yang ingin dinaiki oleh Anita terlepas, menyebabkan dia terpaksa bermalam di rumah sewa Herman. Lalu berlakulah apa yang sepatutnya tidak berlaku pada seorang gadis belasan tahun yang masih mentah dalam bercinta.
“Saya rasa sangat menyesal kerana tidak tahu apa yang harus dibuat untuk menolak ajakan teman lelaki saya. Dia berjanji akan mengahwini saya, tetapi saya mahu melanjutkan pelajaran dulu,” kata Anita.
Anita mengesyaki dirinya hamil selepas tiga bulan tidak kedatangan haid. Pada masa itu, dia baru saja mendapat keputusan matrikulasi yang melayakkan beliau memasuki kursus yang dikehendakinya. Namun, dia terpaksa menangguhkan dulu pengajiannya apabila diterima masuk ke Raudhatus Sakinah yang akan menguruskan kelahiran bayinya.
Ruzaimah, 23, (bukan nama sebenar) lama bercinta dengan Amir, 22, (bukan nama sebenar) yang tinggal di taman bersebelahan kawasan perumahannya. Percintaan mereka bermula sejak selesai peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan diketahui oleh keluarga kedua-dua pihak. Kebetulan, mereka sama-sama dapat melanjutkan pelajaran ke salah sebuah politeknik di Pantai Timur. Hubungan mereka seperti ‘belangkas’ dan diketahui oleh masyarakat kampus. Ruzaimah seorang pelajar yang pintar dan telah dua kali naik pentas menerima hadiah kecemerlangan pelajaran.
Malang nasibnya, apabila dia hamil akibat pergaulan bebas tanpa batasan. Anita dan Amir disingkirkan dari kampus apabila penolong pengetuanya terhidu berita itu. Mereka terpaksa bernikah rahsia kerana ibu bapa Amir melarangnya berkahwin. Kini, Amir terpaksa bekerja di sebuah kedai runcit untuk menampung kehidupan mereka serta bayi yang bakal lahir.
Raudhatus Sakinah, yang menerima kemasukan Ruzaimah, membantu menguruskan perkahwinan mereka dan memberi khidmat kaunseling kepada pasangan remaja itu.
Kisah benar di atas hanya secebis daripada pelbagai kisah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang terbabit dengan gejala zina akibat pergaulan terlalu bebas tanpa batasan. Sungguh malang dan menyedihkan, mereka yang pintar ini seharusnya menjadi contoh bagi remaja lain, Namun, disebabkan kejahilan terhadap kesihatan reproduksi, sikap ibu bapa yang terlalu mengongkong dan enggan memahami cinta remaja serta pergaulan yang terlalu bebas menyebabkan penyakit sosial ini semakin menular kebelakangan ini.
Statistik Raudhatus Sakinah menunjukkan, 15% daripada pelatihnya adalah pelajar IPT. Namun, kami percaya jumlahnya lebih besar lagi. Banyak maklumat yang kami terima daripada pelatih bahawa ada rakan mereka yang hamil telah pergi ke klinik swasta untuk menggugurkan kandungan dengan hanya membayar sejumlah wang. Alangkah malangnya wang biasiswa yang diterima, digunakan pula untuk tujuan yang terkutuk itu!
Allah berfirman, maksudnya, “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. Dan janganlah kamu membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya), melainkan dengan suatu (alasan) yang benar.” (Al-Israk : 32-33)
Ayat di atas menunjukkan kaitan zina yang dilakukan dengan kesalahan membunuh, yang biasanya terpaksa dilakukan untuk menutup malu. Relakah kita melihat remaja kita menanggung dua dosa besar yang dilakukan? Kepada adik-adik remaja yang terlanjur, bertaubatlah segera dengan taubat nasuha. Hentikan segala tindakan yang akan membawa kepada berlakunya zina sekali lagi.
Islam mengharuskan hubungan halal di antara lelaki dan wanita melalui perkahwinan. Malah, Islam menganggap perkahwinan sebagai sebahagian daripada amal soleh dan ibadat kepada Allah. Islam mahu menjadikan perkahwinan itu satu pekerjaan yang mudah dibuat dalam masyarakat serta menjadikan zina itu sebagai pekerjaan paling sukar dilakukan. Kerana itu, Islam menggariskan konsep hijab yang juga merupakan kod etika atau pedoman bagi lelaki dan wanita berurusan dalam masyarakat.
Sistem hijab menekankan kepada menjaga batas pergaulan, adab berpakaian di kalangan ahli keluarga lelaki dan perempuan, dan adab menutup aurat di hadapan mereka yang halal dinikahi. Ia juga menekankan supaya menjauhi diri daripada syahwat yang tersembunyi, dengan cara menundukkan pandangan terhadap media lucah, pandangan berahi dan pendedahan aurat.
Remaja harus dididik supaya bertanggungjawab di atas segala tindakan mereka, yang akan memberi kesan pada kemudian hari. Sekali mereka terjebak, kesudahannya penyesalan sepanjang hayat! Apakah kesan bagi remaja IPT ini apabila berlaku kehamilan di luar nikah?
1. Mereka dibuang dari IPT atau digantung pengajian. Bayangkan perasaan malu yang menimpa serta masa depan yang gelap! Mereka juga terpaksa bekerja dengan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia saja.
2. Mereka menggugurkan kandungan dan dalam keadaan jahil, berterusan melakukan zina, hingga ada yang telah berkali-kali ke klinik untuk melakukan pengguguran! Perlu ditegaskan, melakukan pengguguran berulangkali dalam tempoh terdekat pada usia remaja boleh menyebabkan kerosakan kepada sistem reproduksi dan mendatangkan pelbagai komplikasi pada masa depan.
3. Menghidap penyakit kelamin seperti herpes, sifilis dan AIDS. Ini biasa berlaku kepada remaja perempuan yang berpasangan dengan lelaki dewasa yang sering pula bertukar-tukar pasangan.
4. Dibuang keluarga yang malu akibat perbuatan aib mereka.
5. Terpaksa bernikah secara tergesa-gesa tanpa persediaan mental dan emosional yang stabil.
6. Mengalami penderitaan emosi, terutamanya apabila si lelaki tidak mahu bertanggungjawab atau menghilangkan diri.
7. Gangguan mental juga dialami oleh remaja perempuan apabila memikirkan masa depannya yang gelap.
Raudhatus Sakinah kerap menerima kes di mana ibu bapa masih enggan menikahkan anak mereka yang terlanjur atas alasan anak terlalu muda, masih lagi belajar dan belum bekerja. Apakah pekerjaan lebih penting daripada bertanggungjawab atas dosa yang dilakukan? Ibu bapa pelajar lelaki juga didapati ‘mengajar’ anak lelaki mereka agar jangan mengaku, sebaliknya menyalahkan remaja perempuan yang mengandung, dengan tuduhan yang tidak wajar. Ini menyebabkan pernikahan tidak dapat diteruskan dan usaha menyelesaikan masalah pasangan itu menemui jalan buntu, sedangkan mereka sudah benar-benar insaf dan mahu bertanggungjawab.
Kami ingin meminta sekalian ibu bapa agar bersikap prihatin dan memahami remaja. Sekiranya anda melarang mereka daripada berkahwin ketika masih menuntut, nyatakan secara jelas sebabnya dan keprihatinan anda. Jangan galakkan mereka bertemu dan seterusnya hanyut dalam hawa nafsu.
Sekiranya mereka meminta izin untuk berkahwin demi mengelakkan maksiat, itulah yang sebaik-baiknya. Mudah-mudahan dengan berkat restu dan doa anda sebagai ibu bapa, keberkatan dan rahmat Allah akan melimpah dalam kehidupan mereka.
No comments:
Post a Comment