Friday, February 8, 2008

REMAJA - ANTARA TEORI DAN REALITI

DOWNLOAD 20:

Saban hari, masyarakat tidak sunyi dengan pelbagai persoalan remaja yang dipenuhi dengan cerita-cerita yang kurang menyenangkan. Dadah, pergaulan bebas, terlibat dengan pelbagai jenayah kecil dan besar seperti membuli, meragut, mencabul, membunuh dan lain-lain lagi perbuatan sumbang yang menggugat kesejahteraan individu dan masyarakat.

Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja pihak yang akan berbincang tentang pelbagai permasalahan yang melibatkan remaja. Masing-masing mencari formula untuk mengatasi segala permasalahan yang dihadapi. Pelbagai teori dan formula dicadangkan, dan bermacam-macam buku ditulis berkaitan remaja. Semuanya dengan satu tujuan iaitu untuk mendapatkan beberapa penyelesaian bagi menangani kebejatan sosial remaja hari ini.

Namun, usaha-usaha murni ini seakan-akan ‘menuang air di daun keladi’. Ini menyebabkan ada pihak yang kadangkala mula terasa penat. Ada pihak yang mula menuding jari menyalahkan satu sama lain. Ada pihak yang membuat pelbagai tuduhan dan andaian di samping tidak kurang juga pihak-pihak yang mengambil kesempatan di atas segala kelemahan yang ada.

Sebagai sebuah NGO yang prihatin dengan remaja, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) tidak mahu ketinggalan dalam bab remaja. Kita bukan bercita-cita menjadi juara dalam isu dan persoalan berkaitan remaja, tetapi kita ingin bersama pihak Kerajaan dan masyarakat membimbing para remaja ke arah menjadi remaja yang berpersonaliti matang serta soleh wa musleh.

“(Wahai anakku!) Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, janganlah engkau berjalan dengan berlagak sombong, sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong, takabbur, dan membangga diri.” (Luqman :1-8)

Begitulah di antara kemesraan yang ditunjukkan oleh Luqmanul Hakim ketika mendidik anak-anaknya kepada personaliti matang, iaitu personaliti yang tidak sombong dan memandang rendah orang lain.

Kalau kita amati di dalam surah Luqman, kita akan dapati pelbagai nasihat dan teguran oleh Luqmanul Hakim ketika mendidik anak-anak beliau. Apabila kemesraan Luqman dalam ketegasan beliau terhadap anak-anaknya yang dinukilkan oleh Allah s.w.t. di dalam Al-Quran dihalusi oleh para pendakwah dan aktivis remaja, kita akan dapati salah satu pendekatan terbaik untuk mendampingi para remaja ini ialah dengan konsep ‘mesra remaja’.

Mesra Remaja - Kaedah Praktikal Mendampingi Remaja

  1. Mesra Remaja Antara Teori dan Realiti

Mendekati remaja secara ‘friendly’ atau mesra semestinya diterjemahkan ke dalam rupa bentuk yang praktikal. Andai ia hanya dijadikan slogan yang indah dipandang dan disebut, ia tidak akan membawa apa-apa makna. Tetapi andai teori yang cantik ini diterjemahkan kepada realiti, ia pasti akan merapatkan jurang generasi antara orang dewasa dan remaja.

  1. Mesra Remaja Membimbing Remaja Melalui Personaliti Matang

Dengan segala cabaran dan gegaran luaran dan dalaman yang sentiasa mendatang, generasi remaja kita hari ini sudah pastilah memerlukan kematangan agar mereka mampu membezakan apa yang buruk dan apa yang baik. Kematangan tersebut mampu memantapkan pertahanan diri remaja. Sudah pastilah yang menjadikan seseorang remaja itu matang ialah sentuhan orang-orang dewasa yang menanamkan benih-benih iman dan takwa di dalam jiwa mereka. Ilmu menjadi tatapan, dan akhlak menjadi perhiasan.

Golden Allport menulis, “Personaliti matang adalah cara individu itu menunjukkan sifat yang konsisten, positif dan mempunyai mental-emosi yang stabil walaupun berada di mana sahaja.”

  1. Mesra Remaja Untuk Kenal Pasti Potensi Diri

Melalui pendekatan mesra remaja, aktivis remaja perlu menyediakan pelbagai program yang sesuai dengan jiwa remaja seperti Karnival Jom L.E.P.A.K., program kesenian, program sukan dan rekreasi, ekspedisi remaja kental dan banyak lagi. Melalui program-program tersebut, sedikit sebanyak para remaja dapat meneroka dan mengenalpasti kelebihan dan kekurangan diri serta mampu memahami potensi diri.

  1. Mesra Remaja: Satu Penghargaan Buat Pemimpin Hari Esok

Sepertimana yang kita sedia maklum, remaja adalah pemimpin hari esok. Mereka merupakan pelapis dan penerus perjuangan.

George Palushy di dalam bukunya ‘Revolusi Jantina’ pernah menulis:

“Pada tahun 1962, Presiden Kennedy telah mengisytiharkan bahawa masa depan Amerika dalam bahaya kerana remajanya keras kepala, tidak bermoral, tenggelam dalam lautan hawa nafsu, dan tidak mengendahkan tanggungjawab. Setiap tujuh pemuda yang dikerah menjadi askar, terdapat enam pemuda yang tidak sesuai sebab hawa nafsu telah menguasai mereka serta merosakkan kesihatan dan jiwa mereka.”

Sedangkan di negara Amerika sekalipun pemimpinnya berduka melihatkan gejala yang melanda generasi remajanya, apatah lagi di negara kita serta negara-negara lain yang majoritinya terdiri daripada umat Islam. Sebagai pendakwah dan aktivis remaja, kita wajib sentiasa menyedarkan para remajanya atau golongan muda hari ini tentang gambaran rupa bentuk tamadun sesebuah negara itu pada masa hadapan. Baiknya para remaja dan golongan muda kita hari ini, maka akan baiklah pemimpin masyarakat kita pada masa akan datang.

  1. Mesra Remaja Dalam Membimbing Remaja Ke Arah Jati Diri yang Mantap

Imam Tarmizi pernah mengungkapkan sebuah hadis yang bermaksud:

“Janganlah salah seorang daripada kamu menjadi pak turut. Jika mereka berbuat jahat, maka aku pun berbuat jahat. Tetapi hendaklah kamu menyediakan diri kamu, jika orang ramai berbuat baik, hendaklah kamu berbuat baik. Dan jika orang berbuat jahat, hendaklah kamu menjauhkan diri daripada kejahatan mereka itu.”

Satu cerita berlaku pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab. Seorang wanita ingin mencampurkan susu dengan air supaya susu itu semakin bertambah dan apabila dijual akan mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Tetapi anak perempuannya mengingatkan ibunya bahawa Amirul Mukminin iaitu Umar melarang daripada melakukan pembohongan dan penipuan. Perlakuan seperti ini adalah sama seperti mencuri harta orang lain. Lalu wanita tadi berkata, “Ah, jika kita campurkan susu ini dengan air mana Umar tahu.” Anak itu pun menjawab, “Jika Umar tidak melihat kita, tetapi Tuhan Umar iaitu Allah tetap melihat kita.”

Remaja sebenarnya merupakan golongan yang mempunyai potensi diri yang besar. Mereka aktif, kreatif, muda, bertenaga, berani, suka meneroka benda-benda baru dan banyak lagi. Kelebihan mereka yang sebenarnya jika kita bimbing dengan mesra akan menjadikan mereka insan-insan yang mempunyai jati diri yang mantap. Mereka akan menjadi remaja soleh wa musleh dan tetap teguh dengan agama dan adab, seterusnya menjadi pewaris dan pelapis dakwah dan perjuangan.

No comments: