Friday, February 8, 2008

USAH TERPERANGKAP JERAT CINTA VALENTINE

DOWNLOAD KELIMA:



Pada tahun ini (tahun 2004), 14 Februari akan jatuh bertepatan pada hari Jumaat bersamaan 12 Zulhijjah atau Hari Tasyrik kedua. Ketika Allah meraikan berjuta-juta tetamu-Nya di Mina bagi menyempurnakan ibadat melontar di tiga Jumrah, maka pada masa yang sama pasangan-pasangan kekasih (tidak kira tua atau muda) sibuk juga memperbaharui ikrar cinta mereka, yang kadangkala terkeluar daripada syariat. Ia adalah budaya yang semakin popular dan kian menular dalam masyarakat Islam Malaysia iaitu Hari Kekasih atau Hari Valentine.


Jika ibadat melontar ini diwajibkan Allah ke atas jemaah haji bagi memperingati bagaimana Nabi Ibrahim pernah melontar syaitan yang cuba menggagalkan kesempurnaan ibadatnya kepada Allah, pada masa yang sama syaitan berlumba-lumba menyesatkan iman anak-anak Adam pada Hari Kekasih ini. Ketika Nabi Ismail menyerahkan lehernya untuk dikorbankan tanda kepatuhan kepada Allah, pada masa yang sama juga, banyak pasangan kekasih yang sanggup mengorbankan maruah diri dan agama atas nama cinta.

Ia seolah-olah satu hari yang amat penting. Pada hari ini, lafaz kasih sayang diucapkan dan diperbaharui. Amat malang jika sambutan ini turut diraikan oleh pasangan Islam yang belum diijabkabulkan. Persoalannya, adakah perasaan cinta, kasih dan sayang yang dilafazkan pada hari itu benar-benar ikhlas, dan yang paling penting menepati tuntutan syariah?

Sayang-menyayangi adalah fitrah semua insan. Perlu diingat bahawa silaturrahim dalam Islam adalah diutamakan. Penerapan nilai kasih sayang dalam Islam adalah menyeluruh, tidak hanya sesama insan, malah seluruh isi alam. Mungkin kepada ibu yang mempertaruhkan nyawa melahir dan bersengkang mata saban malam menjaga anak yang kesakitan. Atau kepada ayah yang saban hari mencari rezeki hingga sanggup meredah lautan bergelora mencari sesuap nasi buat keluarga di rumah.

Tidak salah jika kita ingin menyata dan membuktikan kasih sayang kepada seseorang yang disayangi. Tetapi ia mestilah menepati batas yang diajar oleh Islam. Dalam sejarah, kita pernah diceritakan mengenai seorang musafir yang dijanjikan syurga hanya kerana sifat kasihannya terhadap seekor anjing kehausan. Beralaskan kasutnya, dia menceduk sedikit air dan memberikannya kepada anjing itu.

Alangkah tingginya nilai kasih sayang yang tersemai di jiwanya. Kasih sayang bukan boleh diukur seperti berapa bintang hotel yang dijejaki atau berapa kuntuman mawar merah yang diberi, tetapi ia adalah ukuran di antara perasaan yang ikhlas dan jiwa yang murni.


Kerana sifat kasih sayang inilah Rasul sanggup dihina serta menghadapi pelbagai rintangan ketika menyampaikan dakwah kepada umat mereka. Kerana sifat kasih sayang inilah Allah sentiasa melimpahkan rahmat-Nya kepada seluruh umat manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Tanpa sifat ini juga, kita melihat pihak yang berkuasa sanggup menindas puak yang lemah. Negara yang kaya dan gagah sanggup melancar serangan ke atas negara yang miskin dan lemah.

Budaya mengeratkan kasih sayang pada Hari Kekasih atau Hari Valentine ini bukan budaya Islam dan tiada hubungan langsung dengan ajarannya. Menurut sejarah, Valentine atau Valentino adalah seorang paderi Kristian yang sangat berpengaruh dan giat menyebarkan ajaran Kristian di Rom. Raja Rom Claudius II memenjarakan penganut Kristian yang tidak sealiran agama dengannya termasuk Valentine. Meskipun dalam penjara, Valentine tetap menyebarkan agamanya kepada para banduan.

Kegiatan ini akhirnya diketahui oleh Raja Rom. Lalu diperintahkan paderi tersebut diseksa dan dibunuh pada 14 Februari 296 Masihi. Orang Kristian menganggap paderi ini sebagai orang yang mulia, sanggup berkorban dan mati kerana mempertahankan agama Kristian. Justeru besarnya pengorbanan Valentine, beliau diberi gelaran Saint atau St. Pada 350 Masihi, sebuah gereja dibina berhampiran kuburnya.

Daripada sumber yang lain pula, didapati ketika di dalam penjara Valentine jatuh cinta dengan seorang anak pegawai penjara. Kesalahan ini menyebabkan beliau boleh dibunuh, tetapi sebelum dibunuh Raja Claudius II memberi dua pilihan; meninggalkan agama Kristian atau dibunuh. Namun beliau lebih rela dibunuh, tetapi sebelum itu beliau sempat menulis surat cinta kepada gadis itu dengan menurunkan tandatangan “From Your Valentine.”

Sejak peristiwa itu, orang Kristian mengambil sempena 14 Februari setiap tahun untuk merayakan hari kasih sayang bagi memperingati kematian St Valentine yang merupakan idola mereka. Jadi, adakah wajar kita sebagai umat Islam turut merayakan hari tersebut? Tambahan pula pada tahun ini, ia jatuh pada hari Tasyrik iaitu pada hari kita masih lagi dituntut melafazkan takbir dan tahmid tanda membesar dan mengagungkan Allah, di samping melakukan ibadah penyembelihan korban.

Kepada pasangan kekasih, sayugia diingatkan janganlah sampai sanggup melakukan korban untuk perkara yang keji dan mungkar. Usahlah terdera dalam jerat percintaan. Sesungguhnya kembalilah kepada tata cara yang digariskan oleh Islam.

No comments: