Friday, February 8, 2008

FUND-RAISING BUKAN SEKADAR MENYUMBANG WANG RINGGIT

DOWNLOAD KEEMPAT BELAS:

Untuk melakukan pelbagai program yang melibatkan remaja, sudah tentu sesuatu organisasi atau mana-mana individu memerlukan kewangan. Setiap manusia sejak azali lagi telah dikurniakan sifat-sifat insani seperti kehendak untuk mengambil berat, membantu meringankan kesukaran insan lain, membimbing, memberi tunjuk ajar, membelai, menyayangi dan disayangi, menghargai dan dihargai, bergotong-royong dan bekerjasama dan lain-lain perasaan kebersamaan yang semulajadi. Pepatah Melayu juga ada menyebut, “Yang ringan sama dijinjing, yang berat sama dipikul” turut menterjemahkan perasaan masyarakat kita sejak dahulu. Perasaan yang tidak sanggup melihat ahli masyarakat lain menanggung penderitaan, sedangkan sebahagian lagi bergembira dan bersenang-lenang.

Rasulullah s.a.w. mendidik umat baginda dengan hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang diterjemahkan sebagai, “Dari Abi Hamzah Anas bin Malik r.a. khadam RasululLah s.a.w. dari Nabi s.a.w. sabdanya: ‘Tiada beriman seorang kamu sehingga ia mencintai saudaranya seperti apa yang ia cintai untuk dirinya.’”

Namun, disebabkan kekeliruan dan kebiasaan masyarakat, kita sering melihat ‘fund-raising’ dari sudut material dan kewangan semata-mata. Puan Ann Woo, Pengarah Esekutif Yayasan Nanyang pernah menyatakan di dalam sebuah program anjuran Rakan Muda bahawa, “Fund-raising is not about a money that people gave to people, fund-raising is about friend-raising. Fund-raising is a warm hearted affair.” Malah, ada pula yang sering tersalah anggap dan memandang rendah kepada pihak yang menganjurkan ‘fun-raising’ samada individu ataupun organisasi.

Maka, diperturunkan beberapa elemen penting yang perlu kita fahami tentang ‘fund-raising’ agar mereka yang memberi akan memberi dengan ikhlas dan faham manakala mereka yang meminta atau menerima melakukannya dengan jujur dan tersusun:

  1. Ia bukan sekadar aktiviti meminta dan memberikan wang ringgit kepada mereka yang memerlukan. Sebaliknya ia turut merangkumi sumbangan atau pemberian berbentuk harta-benda yang lain seperti alatan perabot untuk rumah anak-anak yatim dan warga emas yang diusahakan oleh orang perseorangan, pakaian terpakai yang masih elok kepada mangsa banjir atau kebakaran, bantuan sukarekawan memberikan pengisian rohani kepada penghuni penjara, memberikan kaunseling percuma kepada remaja yang terjebak dengan aktiviti kerosakan akhlak, atau menaja sebuah program untuk remaja luar bandar yang tidak mampu.

  1. Menderma bukan sekadar memberikan wang, material atau bantuan yang diperlukan kepada orang-orang miskin dan mereka yang ditimpa musibah. Tetapi ia boleh digunakan untuk membantu kumpulan belia yang ingin berdikari sebagai motivasi, atau remaja yang ingin menganjurkan aktiviti yang sihat sebagai galakan atau membantu menyiapkan sebuah kediaman yang lebih selesa untuk seorang warga emas yang hidup sebatang kara. Atau juga mendema salah satu daripada buah pinggang kita kepada seorang jiran yang kedua-dua ginjalnya tidak berfungsi, menderma darah di hospital atau menghulurkan bantuan dan sumbangan kepada organisasi sukarela yang bergiat cergas membantu mengislah masyarakat pelbagai lapisan.

  1. Fund-raising’ dapat memenuhi tuntutan fitrah manusia dan menepati ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Malahan ia mampu meluaskan jaringan persaudaraan dan persahabatan.

  1. Ia adalah aktiviti yang seharusnya ikhlas tanpa sebarang tujuan sampingan atau dipengaruhi oleh politik dan kedudukan pihak yang memberi. Adalah menjadi satu amalan yang tidak sihat sekiranya pihak yang memberi mengharapkan balasan jangka panjang atau jangka pendek. Contohnya, ahli politik memberikan sumbangan atau derma agar pihak yang menerima wajib mengundi mereka di dalam pilihanraya kelak. Atau hadiah percuma yang diberikan dengan memiliki muslihat tersendiri, atau seorang artis menderma untuk lebih glamour dan dikenali. Amat penting agar semua ini memenuhi tuntutan lengkap-melengkapi sesama insan, dan keikhlasan kita sebagai penyumbang mestilah semata-mata untuk mendapat keredhaan daripada Allah. Apatah lagi di dalam Islam, ‘sedekah’ amat digalakkan.

  1. Harus bersikap adil dalam memberikan bantuan. Di dalam Islam, kita digalakkan untuk mendahulukan keluarga terdekat dalam memberikan sumbangan dan bantuan. Ia bukan perkara yang ingin dipertikaikan disini. Apa yang ingin ditekankan disini ialah budaya memberikan sumbangan kepada orang-orang yang mampu, asalkan mereka menyokong kepentingan pihak yang memberi walaupun jelas pihak yang menerima tidak memerlukan sumbangan yang memerlukan. Ia akan menjadi sesuatu yang tidak adil, malahan menggalakkan pembaziran.

Manakala bagi individu dan organisasi yang menjalankan fund-raising’ pula diberikan garis panduan berikut:

  1. Tidak perlu malu sekiranya anda sebagai individu atau wakil organisasi yang benar-benar memerlukan bantuan untuk memohon derma, sumbangan atau bantuan.

  1. Menjauhi niat untuk menipu atau memperdayakan orang lain. Sikap segelintir individu dan organisasi yang menipu pihak yang memberi melalui fund-raising’ telah mencemari konsep asal dan utama fund-raising’.

  1. Sediakan dokumentasi yang merangkumi maklumat tentang diri atau organisasi anda dengan benar, tepat, jelas dan mudah difahami. Jangan memalsukan sebarang maklumat dan data. Anda pasti akan dibenci dan dijauhi, malah diambil tindakan undang-undang sekiranya anda tertangkap dalam keadaan menipu.

  1. Sekiranya anda atau organisasi anda tidak diberikan bantuan oleh seseorang atau sesebuah organisasi, anda tidak perlu berputus asa sekiranya benar-benar memerlukan bantuan. Fund-raising’ yang dilakukan sebagai satu usaha yang ikhlas untuk saling bantu-membantu secara proaktif, kreatif dan menggunakan teknik yang betul pasti akan membuahkan hasil.

  1. Mengucapkan terima kasih kepada para penumbang samada secara lisan, bertulis atau membalasnya apabila ada kesempatan. Samada sebagai insan atau organisasi, setiap manusia akan gembira dan lebih bermotivasi apabila dihargai oleh orang lain.

  1. Dapatkan kebenaran daripada pihak yang berwajib sekiranya perlu.

Kesimpulannya, marilah kita sama-sama memenuhi tuntutan fitrah kita sebagai manusia yang ingin membantu dan dibantu, menyayangi dan disayangi, memberi dan menerima serta menghargai dan dihargai. Tambahan lagi sekiranya ia untuk agama dan jalan Allah seperti yang tercatat di dalam Surah Al-Baqarah ayat 261:

Perumpamaan nafkah yang dikeluarkan oleh orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai terdapat seratus biji. Allah melipatgandakan ganjaran bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah Maha Luas kurniaannya dan Maha Mengetahui.”

No comments: