Friday, February 8, 2008

BAPA PENCORAK SIKAP ANAK-ANAK

DOWNLOAD KELAPAN BELAS:

Bapa merupakan salah seorang daripada dua individu terpenting dalam pembentukan sahsiah dan identiti seorang anak. Anak pula merupakan penyejuk mata manusia dan buah hatinya dalam hidup ini. Anaklah yang menggembirakan umurnya dan yang menghiburkan hidupnya kerana anak-anaklah hidup menjadi ceria dan seronok dan kerana anak-anaklah bapa bekerja keras menampung keperluan mereka demi untuk membesarkan mereka agar menjadi manusia yang berjaya.

Oleh itu, wajarlah para bapa tidak mencuaikan bentuk pendidikan dan sentuhan kasih sayang yang diberikan kepada anak-anak agar anak-anak membesar dalam suasana penuh penghormatan, didikan yang tertib dan kasih sayang yang melimpah-ruah. Rahmat kasih sayang sejati serta akhlak Islam yang menonjol dalam kehidupan Rasulullah diungkapkan oleh Anas r.a. ketika dia berkata:

“‘Aku tidak pernah melihat seorang yang lebih merahmati keluarganya daripada Rasulullah s.a.w.’, sambil berkata lagi: ‘Adalah Ibrahim (putera Rasulullah s.a.w. dari Mariatul Qibtiah) disusukan bagi Rasulullah di utara Madinah, maka Rasulullah s.a.w. pergi ke sana bersama kami lalu memasuki rumah itu dengan mengambil Ibrahim lalu diciumnya lepas itu baru baginda kembali.’” (H.R. Muslim)

Abu Hurairah meriwayatkan:

“Bahawasanya Rasulullah s.a.w. mencium Hussin bin Ali r.a., maka berkatalah Al-Aqra’ bin Habas: ‘Sesungguhnya bagiku ada sepuluh orang anak tetapi aku tidak pernah mencium satu pun daripada mereka.’ Maka bersabdalah baginda: ‘Barangsiapa tidak merahmati, dia tidak dirahmati.’”

Pendidikan dalam bentuk bermesra dan bergurau-gurau dalam melayani anak-anak sangatlah digalakkan dalam Islam melalui teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. “Barangsiapa mempunyai anak kecil hendaklah menjadi anak kecil terhadapnya.” (Riwayat Ibn Asakir)

Rasulullah juga tidak membeza-bezakan layanan terhadap anak lelaki m anak perempuan. Ummul mukminin Aisyah r.a. meriwayatkan:

“Sesungguhnya apabila Fatimah r.a. masuk menemui Rasulullah s.a.w., baginda bangun menyambut kedatangan puteri baginda dan mengalu-alukan kedatangannya, menciumnya dan mendudukkan dia di majlis baginda. Begitu juga apabila Rasulullah s.a.w. masuk menemuinya (Fatimah) dia bangun menyambut Rasulullah s.a.w. dan mencium baginda dan mendudukkan Rasulullah s.a.w. di majlisnya dan sesungguhnya Fatimah telah masuk untuk berjumpa Rasulullah s.a.w. di masa baginda sedang sakit menjelang kewafatannya lalu baginda mengalu-alukan dia dan menciumnya.” (H.R. Bukhari dan Muslim)

Zaman masyarakat pos-moden yang berlaku di Barat dan kini menular dalam masyarakat Timur sedang menyaksikan keruntuhan akhlak manusia, renggangnya ikatan kekeluargaan serta rapuhnya ikatan hati sesama insan walaupun di antara suami dan isteri, anak dan ibu bapa. Kajian-kajian yang dijalankan mula menunjukkan ke satu arah iaitu apabila peranan seorang bapa gagal dijalankan, ia akan membentuk sikap yang sama pada anak-anak lelaki dan perempuannya yang kemudiannya akan melakukan perkara yang sama dalam perkahwinan mereka dan terhadap anak-anak mereka pula.

Di dalam buku ‘What A Difference A Daddy Makes’ oleh Dr Kevin Leman, beliau menggariskan sebab-sebab mengapa kehadiran seorang bapa yang berperanan sangat penting dalam kehidupan seorang anak:

  1. Membentuk keyakinan diri seorang anak.
  2. Mencorakkan maruah diri (self-esteem) seorang anak.
  3. Meningkatkan kecerdasan emosi dan kepintaran akalnya.
  4. Membentuk tanggapan anak perempuan terhadap lelaki yang mendampinginya.
  5. Kepuasan anak dalam perkahwinannya sendiri.
  6. Hubungannya kelak dengan anak-anaknya sendiri.

Anak-anak sangat memerlukan sentuhan, perhatian, belaian, kasih mesra, gurau senda serta ketegasan daripada seorang bapa. Bagi seorang anak, bapa yang selalu tiada di rumah menjadikannya seolah-olah seperti seorang anak yatim. Kerana itu, kepulangan seorang bapa tidak pernah disambut.

Kehadiran seorang bapa di rumah sama sahaja seperti ketiadaannya. Ini berlaku kerana tiadanya sentuhan samada dalam bentuk fizikal, perbuatan atau perkataan. Lama-kelamaan anak-anak hanya menjadikan bapa sebagai tempat meminta wang tetapi bukan sebagai tempat mengadu, bermain atau meluahkan masalah. Anak-anak merasakan mereka tidak ‘diterima’ oleh bapa sendiri. Ini menyebabkan anak-anak akan mengalihkan perhatian kepada kawan-kawan mereka yang menerima mereka seadanya.

Bapa yang terlalu garang, kerap mengkritik anak, tidak pernah mendengar luahan perasaan dan pendapat anak serta sering membuat keputusan yang bertentangan dengan kehendak anak (kerana merasakan keputusan mereka lebih baik) juga menyebabkan anak-anak merasa tersisih di dalam rumahnya sendiri. Perceraian dan poligami juga kadangkala menyebabkan bapa mula mengabaikan tanggungjawabnya memberikan perhatian kepada anak-anak yang sedang membesar. Keadaan menjadi lebih buruk setelah anak meningkat remaja. Mereka akan lebih mempercayai kawan-kawan dan lebih senang menghabiskan masa dengan kawan-kawan daripada bersama keluarga sendiri. Anak-anak begini akan mudah menerima huluran persahabatan daripada orang luar yang tidak dikenali. Mereka juga akan lebih mudah bersama dengan remaja lain yang juga mempunyai bapa sedemikian kerana kehadiran mereka ‘diterima’.

Penerimaan orang lain terhadap seseorang adalah sesuatu yang didambakan oleh setiap insan. Begitu juga dengan seorang anak yang mendambakan bapanya menerima kehadirannya dengan sepenuh hati, menghargai dan menyokong kebaikan anaknya, dan merangsang dan menggalakkan minatnya serta menegur dengan baik kesilapan yang dilakukannya. Sekiranya tugas ini gagal dijalankan oleh seorang bapa, anak-anak akan mengemis ‘penerimaan’ orang luar yang mungkin mengambil kesempatan daripada seorang anak yang dahagakan kasih sayang.

Perhatian yang diberikan oleh bapa kepada anak perempuannya didapati mempengaruhi hubungannya dengan lelaki lain. Anak perempuan yang mendapat cukup perhatian daripada bapanya akan meletakkan piawai (standard) yang tinggi terhadap lelaki yang mendampinginya. Dia tidak akan mudah terpengaruh dengan sifat luaran sahaja, tetapi dengan kualiti yang ada pada lelaki tersebut. Kajian mendapati anak perempuan yang tidak mendapat perhatian seorang bapa kerapkali bertemu dan berkahwin dengan lelaki yang juga kurang mengambil berat terhadap perasaan isteri, rumahtangga dan anak-anak.

Allah telah memuliakan kedudukan seorang bapa dan memerintahkan anak-anak taat terhadapnya seperti dalam surah Al-Ankabut ayat 8:

“Dan Kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada kedua-dua orang ibu bapanya.”

Maka wajarlah pula seorang bapa menunaikan tanggungjawab dan amanah yang telah dipikulkan ke atas bahunya dengan menunaikan hak-hak anak dengan sebaik-baiknya. Hubungan bapa dan anak ibarat tali bersimpul mati. Ia tidak mungkin dirungkai semula hatta si bapa telah berpisah dengan ibu kepada anaknya. Hubungan ini akan dituntut pula di akhirat kelak dengan mempersoalkan tanggungjawab yang telah ditunaikan dan hak yang telah diberikan.

Hubungan yang sangat kudus ini juga tidak berakhir walaupun si anak telah berkahwin dan berkeluarga. Malah, sebuah hadis menunjukkan keutamaan seorang bapa yang berbuat baik terhadap anaknya yang telah janda.

Rasulullah bersabda kepada Suraqah bin Ju’syum:

“‘Mahukah kamu aku tunjukkan kepada sebesar-besar sedekah atau dari sebesar sedekah?’ Dia berkata: ‘Bahkan ya Rasulullah s.a.w.’ Baginda bersabda: ‘Puterimu yang telah menjadi janda (kerana perceraian atau kematian suami) pulang kembali kepadamu, yang tidak mempunyai tempat bergantung selain daripadamu.’” (H.R. Ahmad, An-Nasai dan Ibn Majah)

Anak-anak kita mungkin mempunyai ramai teman dan rakan serta boleh bertukar-tukar pasangan hidup, tetapi mereka hanya mempunyai seorang bapa sahaja di dunia ini.

1 comment:

Ummu Amaani said...

kak roha, boleh ke kite tahu bahawa kesan tindakan bapa kita terhadap kita? maksud saya, adakah pemikiran/ persepsi kita terhadap lelaki merupakan kesan peranan bapa kita terhadap kita? atau adakah ia satu alasan utk kita punya sesuatu persepsi terhadap lelaki..(maksudnya, kesan peranan seorang bapa terhadap anaknya adalah kesan tidak langsung terhadap persepsi dan pemikiran kita kan?)
tapi bagaimana mahu menghilangkan kesan tersebut kerana saya rasa ia sangat mempengaruhi terhadap perkahwinan terutama yang masih baru seperti saya.