Friday, February 8, 2008

HIDUP BIAR WARAS BEB!

DOWNLOAD KESEBELAS:

Kes pertama - Azirah, 15 tahun, berasal daripada keluarga yang berpecah-belah. Untuk mengubat kerunsingan hatinya, beliau kerap menghabiskan masa dengan melepak di kompleks membeli-belah bersama rakan-rakannya. Disebabkan pergaulan yang tiada batasan, ditambah dengan sikap keluarga yang tidak prihatin, beliau telah terlanjur dan kini hamil tujuh bulan. Semuanya akibat kurang kasih sayang dan longgarnya pegangan iman.

Kes kedua - Khairi baru berusia 18 tahun ketika diperkenalkan oleh abang angkatnya kepada seorang usahawan wanita berjaya, Puan M. Disebabkan desakan hidup di ibu kota, penuntut tahun pertama di sebuah universiti itu sanggup menjadi lelaki simpanan atau gigolo kepada Puan M. Hasilnya beliau disalut kemewahan oleh wanita yang sering ditinggalkan oleh suaminya, seorang ahli perniagaan terkenal.

Kes ketiga - Lina, seorang gadis pendiam sedang menuntut di tingkatan tiga. Selama tiga tahun, beliau memendam perasaan daripada semua orang terhadap perbuatan jirannya yang telah beberapa kali memperkosa beliau. Perbuatan itu akhirnya didedahkan oleh adik jirannya itu yang bersimpati dengan Lina.

Kes-kes di atas adalah di antara banyak gejala yang berlaku dalam masyarakat yang sering kita dengar setiap hari membabitkan remaja. Semua ini merunsingkan ibu bapa serta masyarakat. Menyalahkan remaja terhadap kejadian yang berlaku adalah tidak wajar kerana masih ramai remaja yang berfikiran positif, berdikari, berdaya maju dan berwawasan untuk cemerlang pada masa hadapan.


Kita perlu memahami situasi remaja hari ini yang berdepan dengan pelbagai ujian dan godaan dalam era sains dan teknologi di mana pengaliran maklumat diperoleh secara meluas dan tanpa batasan. Gaya hidup hari ini juga dipenuhi dengan pelbagai bentuk hiburan yang melalaikan, bahan tidak bermoral, pil khayal dan dadah yang mana boleh diperoleh dengan mudah. Oleh kerana adanya dugaan dan godaan sebegini, remaja memerlukan ketahanan serta bimbingan supaya tidak tergelincir atau terjebak dalam perlakuan yang akan memusnahkan diri mereka.

Antara tips yang boleh dijadikan panduan remaja dalam menghadapi cabaran hidup dunia hari ini ialah:

1. Diri Remaja Itu Sendiri

Remaja perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan agama secukupnya bagi membina ketahanan diri dan iman. Hanya iman yang mantap dapat menolak sebarang godaan ke arah jalan yang merosakkan dan memusnahkan diri.

Amati pesanan yang dipetik daripada buku ‘Memahami dan Membimbing Remaja Nakal’
tulisan Hairunnaja Najmuddin:

Seorang remaja jika dapat melalui cabaran pada zamannya dengan baik, tenang dan penuh kebaikan, mampu menolak kehendak nafsu, maka percayalah, dia adalah manusia yang paling berjaya selama hidupnya. Sekiranya seorang pemuda gagal menggunakan zaman remajanya untuk mencari kebaikan, rugilah dia dan celakalah hidupnya, esok dan akan datang.”


2. Berfikir Secara Tenang dan Waras

Remaja harus menenangkan jiwanya yang sentiasa memberontak dengan berfikir secara tenang dan waras. Kajilah baik buruk setiap perbuatan atau tingkah-laku anda. Analisa kebaikan dan keburukan yang akan menimpa diri, keluarga dan masyarakat di atas setiap perbuatan kita.

3. Mengelakkan Diri Daripada Pergaulan Bebas

Pergaulan bebas adalah bibit-bibit maksiat. Maksiat yang paling buruk kesan daripada pergaulan bebas ialah zina. Selain dosa besar, zina membawa kepada pelbagai kemusnahan dan kerosakan seperti lahirnya anak luar nikah dan pembunuhan bayi yang tidak berdosa. Pergaulan bebas turut mengundang ke arah seks bebas yang sememangnya tersedia di dalamnya pelbagai keburukan, antaranya merosakkan maruah dan nilai diri remaja terutamanya gadis, mengundang pelbagai penyakit dari sudut fizikal, minda dan mental dan meruntuhkan tamadun umat.

4. Mempunyai Identiti Sendiri

Setiap remaja harus mampu memiliki identiti diri. Sikap mudah terikut-ikut atau meniru rentak dan gaya orang lain memudahkan remaja tergelincir dari landasan agama dan norma murni kehidupan. Dengan memiliki identiti, remaja tidak akan mudah dimamah ujian dan godaan. Setiap manusia dikurniakan Allah dengan kelebihan dan keistimewaan yang berbeza-beza. Remaja harus mencari dan memahami kelebihan dan keistimewaan dirinya dan seterusnya membina identitinya sendiri.

5. Memahami Undang-undang dan Akta Perlindungan Untuk Remaja

Sekiranya remaja diajak, disuruh, digoda atau diugut untuk melakukan perbuatan yang salah di sisi undang-undang dan agama, remaja mestilah memaklumkan perihal itu kepada ibu bapa, guru ataupun mereka yang boleh dipercayai. Undang-undang adalah amaran kepada remaja supaya tidak terbabit dengan perbuatan tidak bermoral dan menyalahi undang-undang.


Beberapa akta perlindungan yang berfaedah untuk membantu diri dan rakan-rakan yang menghadapi masalah adalah seperti berikut:


i. Akta Perlindungan Kanak-kanak 1991 - melindungi kanak-kanak di bawah umur 16 tahun dari segi penderaan, penganiayaan dan pengabaian. Penderaan termasuk dari segi fizikal, seksual, mental dan emosi. Penganiayaan ialah membebankan remaja dengan tugas yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mereka.


ii. Akta Perlindungan Wanita Dan Gadis 1973 - bagi kes yang terdedah kepada bahaya pelacuran dan melacur samada secara paksa atau sukarela. Jika didapati bersalah selepas perbicaraan di mahkamah, mereka yang berkenaan akan dihantar ke Taman Seri Puteri selama tiga tahun.

iii. Akta Mahkamah Juvana 1947 - bagi kes remaja tidak terkawal. Permohonan daripada dua sumber; surat permohonan ibu bapa dan kes tangkapan polis. Terbahagi kepada dua iaitu Mahkamah Tertutup (remaja 10 tahun hingga 18 tahun) dan Mahkamah Terbuka (remaja 18 tahun hingga 21 tahun).

iv. Akta kawalan Tembakau 1993 - melarang sama sekali remaja membeli dan menghisap rokok. Memberikan kesedaran kepada ibu bapa agar tidak menyuruh remaja membeli rokok untuk mereka. Denda RM5,000 jika didapati bersalah merokok di tempat yang dilarang merokok.

Tips-tips lain yang diperlukan oleh remaja untuk menolak godaan ialah meningkatkan kualiti diri melalui peningkatan akademik dan pelbagai ilmu pembinaan diri, membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti sihat, bijak memilih rakan sebaya, memahami tugas sebagai pemimpin masyarakat apabila dewasa kelak, berpendirian teguh,dan menjadikan ibu bapa, guru dan orang-orang yang lebih tua dan berpengalaman sebagai sumber rujukan.



No comments: