Friday, February 8, 2008

JOM KLIK DENGAN REMAJA

DOWNLOAD KESEPULUH:

Ibu bapa dan pendidik semakin buntu memikirkan kenakalan remaja hari ini yang semakin menjadi-jadi. Mengapa saban hari begitu ramai remaja terbabit dengan dadah dan seks bebas? Tidak mungkinkah mereka menurut saja budaya datuk nenek yang menjadi warisan adab dan akhlak Melayu?

Semakin hari semakin semarak budaya Barat yang diikuti; terkinja-kinja dengan gaya hip-hop (ranggi) dan sebagainya. Semakin hari, remaja semakin ‘jauh’ daripada ibu bapa. Kenakalan ini biasanya dilakukan oleh remaja yang gagal dalam menjalani proses perkembangan jiwanya, baik pada saat remaja atau zaman kanak-kanak. Julat masa kanak-kanak dan remaja berlangsung begitu singkat berbanding perkembangan fizikal, psikologi dan emosi yang begitu cepat.

Secara psikologi, kenakalan remaja wujud daripada konflik yang tidak diselesaikan dengan baik pada zaman kanak-kanak atau remaja. Seringkali berlaku pengalaman traumatik pada masa lampaunya seperti dikasari. Begitu juga, mereka terdedah dengan lingkungan atau trauma yang tidak menyenangkan seperti kedudukan ekonomi yang membuatnya berasa rendah diri.

Mengatasi kenakalan remaja bererti menatang kembali emosi remaja yang terkoyak itu. Trauma dalam hidupnya harus diselesaikan, konflik psikologi yang tergantung harus dileraikan. Mereka harus diberi lingkungan yang berbeza daripada sebelumnya.

Memahami perkembangan anak banyak membantu mengurangkan kenakalan remaja. Masa remaja adalah usia seseorang mula berintegrasi dengan orang dewasa atau usia di mana anak tidak lagi berasa dirinya berada pada tingkat lebih rendah daripada orang lebih tua, kecuali berada pada tingkatan sama, yang sekurang-kurangnya dalam masalah hak.

Integrasi dalam masyarakat (dewasa) mempunyai banyak aspek berhubungan dengan masa baligh. Ini termasuk juga perubahan intelektual yang menonjol. Remaja harus mengikuti kemahuan budaya muda apabila mahu diterima kelompok sebayanya. Mereka juga harus mempelajari perilaku dan nilai yang harus diubah sebelum diterima oleh budaya dewasa.

Setiap tahap usia remaja mempunyai tugas perkembangan yang harus dilalui. Apabila seseorang gagal melaksanakan tugas perkembangan pada usia sebenarnya, perkembangan pada tahap berikutnya akan terbantut, lalu mencetuskan masalah pada diri remaja. Pada usia ini, remaja cuba mencari penyesuaian diri dengan kelompok sebayanya. Dia mula memerhati pendapat orang lain, selain menginginkan kebebasan dan keyakinan diri.

Keperluan mencari identiti diri inilah yang membuatkan remaja bercelaru, lalu mereka mencuba perkara baru supaya diterima dan dihargai oleh kelompok sebayanya. Keadaan ini berlaku walaupun kadangkala ia memberikan kesan negatif terhadap dirinya. Dengan timbulnya pelbagai gaya hidup masa kini seperti hip hop, rappers dan punk, ada remaja yang salah memilih gaya hidup yang mereka inginkan.

Mereka akan mengikuti aliran yang berlaku pada saat itu, walaupun ia tidak sesuai dengan kata hati. Mereka mengikuti kecenderungan itu semata-mata dapat diterima oleh rakan sebayanya. Akibat gaya hidup yang salah itu, berlaku banyak salah laku negatif seperti penagihan dadah, pergaulan bebas, seks rambang dan sebagainya yang banyak menyebabkan kehamilan luar nikah serta jangkitan HIV/AIDS.

Kenakalan remaja juga membabitkan aksi kekerasan. Aksi kekerasan ini berlaku di mana saja seperti di rumah, di jalan, di sekolah, bahkan di kompleks membeli-belah. Aksi agresif membabitkan perlakuan secara lisan seperti memaki-hamun ataupun kekerasan fizikal seperti memukul dan mencederakan. Oleh kerana aksi keganasan itu sering disaksikan oleh remaja, kebanyakannya menganggap ia perkara biasa.

Remaja yang terpengaruh dengan aksi kekerasan akan mengalami fikiran kejam seperti perasaan mahu menyerang ketika marah, menumbuk, menghancurkan atau melempar sesuatu dan ia menjadi tidak terkawal serta agresif sebagai tindak balas terhadap perasaan marah. Kekecewaan, kesakitan fizikal, ejekan, penghinaan atau ancaman sering memancing perasaan marah dan akhirnya mengarah kepada tindakan agresif.

Anak seringkali mengejek ketika bermain, begitu juga dengan remaja. Biasanya mereka mula saling mengejek dengan ringan sebagai bahan-bahan tawa. Kemudian yang diejek ikut membalas ejekan. Lama-kelamaan ejekan semakin panjang dan terus-menerus dengan ketegangan yang kian tinggi, bahkan sering disertai kata-kata kotor dan cabul.

Ejekan ini semakin hangat apabila rakan yang menjadi penonton, turut memanaskan situasi. Akhirnya, apabila salah seorang tidak dapat menahan marahnya, dia mula menyerang lawannya.

Ada beberapa faktor biologi yang mempengaruhi perilaku agresif seseorang:

1. Faktor genetik

Faktor genetik berpengaruh dalam pembentukan sistem neural otak yang mengatur perilaku agresif. Daripada penelitian terhadap haiwan, faktor keturunan menyebabkan haiwan jantan lebih mudah marah berbanding haiwan betina.

2. Sistem otak

Sistem otak yang tidak terdedah dalam perlakuan agresif ternyata dapat menguat atau menghambat sirkit neural yang boleh mengendalikan serta mengawal perlakuan agresif sehingga muncul hubungan timbal-balik antara kenikmatan dan kekejaman. Prescott (Davidoff, 1991) menyatakan bahawa orang yang berorientasikan kenikmatan kurang melakukan agresif sedangkan orang yang tidak pernah mengalami kesenangan, kegembiraan atau santai cenderung untuk melakukan kekejaman. Keinginan kuat untuk ‘menghancurkan’ kerana mereka dinafikan untuk menikmati sesuatu rangsangan ‘kenikmatan’ ketika bayi, menyebabkan berlakunya ‘kecederaan otak’.

3. Kimia darah

Kimia dalam badan yang ditentukan oleh faktor keturunan juga dapat mempengaruhi perilaku agresif. Dalam eksperimen suntikan hormon testosteron terhadap tikus dan beberapa haiwan lain (testosteron ialah hormon androgen utama yang memberikan ciri kelamin jantan), didapati tikus itu lebih kuat dan sering berkelahi. Ketika testosteron dikurangkan, haiwan itu menjadi lebih lembut.

Selain itu, faktor-faktor luaran seperti berikut turut mempengaruhi perilaku seseorang:

1. Jurang generasi

Adanya perbezaan atau jurang pemisah di antara anak dengan ibu bapa dapat dilihat dalam bentuk hubungan komunikasi yang semakin minimum dan seringkali tidak berhubungan. Kegagalan komunikasi keibubapaan terbukti menjadi salah satu penyebab anak mempunyai perilaku agresif.

2. Kemiskinan

Kemiskinan yang menghimpit menyebabkan ada kalanya anak meniru ‘cara agresif’ ayah seperti memukul isteri, anak dan sebagainya.

3. Anonimiti

Kehidupan di kota mencetuskan sikap atau budaya jaga tepi kain sendiri. Keadaan ini menyebabkan individu lebih berani melakukan sikap agresif kerana tiada sesiapa berhak menegurnya.

4. Model kekerasan

Perilaku anak juga banyak dipengaruhi oleh aksi ganas di televisyen dan permainan video. Model pahlawan yang dipaparkan dalam filem sering ditiru atau menjadi imbalan anak selepas watak itu bertindak keras. Bahan mainan di pusat membeli-belah juga menjadi ikutan anak bersikap agresif. Ibu bapa lazimnya tidak begitu peduli jenis mainan yang diminta oleh anak. Kepada ibu bapa, apa yang lebih penting adalah anak gembira dan tidak menangis lagi. Mereka tidak menyedari permainan sangat berkesan dalam memperkuat perilaku agresif anak pada masa akan datang.

Pendidikan disiplin, khususnya dalam memberi hukuman secara fizikal menimbulkan pelbagai pengaruh negatif kepada remaja. Pendidikan disiplin seperti itu menyebabkan remaja menjadi penakut, tidak ramah serta membenci orang yang memberi hukuman. Mereka juga kehilangan inisiatif dan akhirnya mencari alasan untuk melepaskan diri.

Salah laku remaja boleh ditangani, tetapi perlu mengambil kira lapan aspek berikut:

1. Keluarga

Keluarga adalah tempat pertama dan paling utama bagi anak dalam mendapatkan pendidikan. Kepuasan hubungan kekeluargaan anak dalam keluarga akan menentukan bagaimana dia akan bertindak balas terhadap lingkungan.

Anak yang dibesarkan dalam keluarga tidak harmonis sukar mengembangkan ketrampilan sosialnya. Ini dapat dilihat daripada kurang saling pengertian serta kurang mampu menyesuaikan diri dengan kehendak ibu bapa dan adik-beradik, kurang berkomunikasi secara sihat, kurang mengurus diri, kurang memberi dan menerima sesama adik-beradik serta dalam mengadakan kerjasama dan hubungan baik.

Adalah sangat penting bagi ibu bapa menjaga hubungan sesama ahli keluarga agar selalu harmonis. Keharmonian tidak semestinya dikaitkan dengan keutuhan hubungan ibu bapa kerana dalam banyak kes, ibu bapa tunggal terbukti dapat berfungsi lebih baik dalam membantu perkembangan psiko-sosial anak-anak.

2. Lingkungan atau kelompok

Anak-anak harus diperkenalkan dengan lingkungan mereka sejak kecil. Ia merangkumi lingkungan fizikal (rumah dan perkarangan), sosial (tetangga), keluarga (keluarga primer dan sekunder), sekolah dan akhirnya masyarakat. Dengan pengenalan itu, anak-anak akan mengetahui bahawa mereka memiliki lingkungan sosial yang luas, tidak hanya ibu bapa, adik-beradik atau datuk dan nenek sahaja.

3. Keperibadian

Penampilan lazimnya sering dikaitkan dengan manifestasi keperibadian seseorang. Namun, dalam keadaan tertentu, apa yang lahiriah tidak selalu menggambarkan keperibadian sebenarnya. Dalam hal ini, penting bagi remaja untuk tidak menilai seseorang berdasarkan penampilan semata-mata, sehingga orang yang memiliki penampilan tidak menarik sering disisihkan. Di sini, penting bagi ibu bapa menanam ke dalam diri anak-anak mereka keutamaan menghargai bakat dan keunikan orang lain, tanpa menilai rupa diri, penampilan lahiriah dan keturunan.

4. Rekreasi

Rekreasi adalah satu keperluan. Dengan rekreasi, seseorang akan mendapat kesegaran fizikal atau spiritual, sehingga terlepas daripada rasa bosan untuk mendapat semangat baru.

5. Pergaulan dengan rakan bukan sejenis

Bagi membolehkan anak berjaya menjalankan peranan sebagai ibu bapa selepas mereka dewasa, adalah penting sejak kecil mereka tidak dibatasi pergaulannya hanya dengan teman sejenis. Pergaulan dengan rakan bukan sejenis memudahkan mereka mengenal pasti tingkah-laku serta peranan seks dalam persiapan berkeluarga. Namun, dalam bergaul dengan rakan bukan sejenis, mereka perlu diberi garis panduan agama dan sentiasa dipantau.

6. Pendidikan

Pada dasarnya, sekolah adalah institusi mengajar pelbagai ketrampilan kepada anak-anak. Antaranya ialah ketrampilan sosial yang dikaitkan dengan cara belajar cekap dan pelbagai teknik belajar yang sesuai dengan jenis pelajarannya. Dalam hal ini, ibu bapa berperanan dalam menjaga agar ketrampilan itu tetap dimiliki oleh anak-anak dan dikembangkan terus-menerus sesuai tahap perkembangannya.

7. Rakan sebaya

Ketika remaja, peranan dan pengaruh kelompok rakan sebaya bagi seseorang individu begitu besar. Lazimnya, remaja lebih kerap mementingkan urusan kelompok rakan sebaya berbanding urusan keluarganya. Ini adalah sesuatu yang normal selagimana kegiatan itu bertujuan positif dan tidak merugikan orang lain.

Dalam hal ini, orang tua perlu memberikan sokongan tetapi pada masa yang sama mereka perlu mengadakan pengawasan agar remaja dapat memiliki pergaulan yang luas dan bermanfaat bagi perkembangan psiko-sosial mereka.

8. Kerjaya

Cepat atau lambat, setiap orang pasti akan menghadapi dunia kerjaya. Ketrampilan sosial untuk memilih lapangan kerja sebenarnya mesti disiapkan sejak anak memasuki sekolah rendah lagi. Melalui pelbagai pelajaran, mereka perlu mengenal pelbagai lapangan pekerjaan. Selepas masuk sekolah menengah, mereka perlu mendapat bimbingan kerjaya untuk menentukan kerjaya masa depan.

Untuk membantu pertumbuhan kemampuan penyesuaian diri, anak-anak sejak awal lagi perlu dibimbing untuk memahami dirinya sendiri. Begitu juga kesedaran kendiri (kelebihan dan kekurangannya) agar dia mampu mengendalikan dirinya hingga dapat
beraksi secara wajar dan normal.

Untuk memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan kelompok, tugas ibu bapa dan pendidik adalah membiasakan diri untuk menerima dirinya, menerima orang lain, tahu dan mahu mengakui kesalahannya. Dengan cara ini, remaja tidak akan terkejut menerima kritikan atau maklum balas, mudah bercampur dalam kelompok dan memiliki kesedaran kendiri yang tinggi sehingga mudah diterima oleh orang lain.

Selain itu, anak harus dibimbing sejak kecil supaya dapat membantu menentukan keutamaan tugas yang harus segera diatasi, bukan menunda atau megalihkan perhatian pada tugas lain. Ini penting agar mereka dapat memilih yang mana penting atau kurang penting melalui pendidikan agama secara berdisiplin, tata tertib dan etika.

No comments: