Friday, February 8, 2008

TEMUJANJI DENGAN GENERASI BARU

DOWNLOAD KETIGA BELAS:

Pernahkah anda berada di dalam sebuah parti anjuran sekumpulan remaja di sebuah kolej? Atau berada di sebuah pusat membeli-belah di KLCC? Atau berada di dalam majlis sambutan hari lahir anak remaja anda atau pelajar remaja anda? Berdirilah seketika di tempat anda berada dan hayatilah suasana di sekeliling anda.

Anda akan dapati betapa berbezanya cara mereka berpakaian, cara mereka bersolek dan cara mereka bersikap dan berbual. Begitu banyak perubahan yang boleh anda lihat pada generasi muda hari ini berbanding sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Perubahan yang besar bukan sahaja berlaku pada perubahan fesyen dan slang’ mereka, banyak lagi perkara yang dapat kita saksikan berlaku terhadap generasi muda kita hari ini.

Pada kesempatan yang lain, apa kata kita selak berita-berita utama di dada akhbar yang melaporkan kejadian-kejadian jenayah yang melibatkan generasi baru ini. Pendek kata, daripada kes ragut hingga ke jenayah berat seperti merompak, merogol dan membunuh, kejadian jenayah yang berlaku di dalam masyarakat kita hari ini turut disumbang oleh golongan generasi baru ini. Ia bukan sesuatu yang asing dan rahsia lagi.

Setelah melihat, meneliti, membaca dan menghayati, sudah pasti sebagai anggota masyarakat yang prihatin, kita mahukan generasi pelapis dan pewaris ini daripada kalangan mereka yang mampu memastikan wawasan dunia dan akhirat tercapai. Kelompok ini adalah pemimpin masa hadapan. Kelompok inilah yang bakal mewarnai kepimpinan negara di pelbagai tempat pada tahun 2020 nanti.

Ciri-ciri generasi muda yang digambarkan oleh Al-Quran di dalam surah Al-Kahfi yang bermula dari ayat 9 hingga ayat 26, di mana di dalam ayat 13 dan 14 yang diterjemahkan sebagai:

“Kami ceritakan kisah mereka kepadamu (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (dijelaskan yakni berdiri di hadapan raja Dikyanus/Decius) yang zalim dan menyombongkan diri) lalu berkata: ‘Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau menyembah yang lain, bermakna kami memperkatakan sesuatu yang amat jauh dari kebenaran.’”

Beginilah generasi yang menjadi impian ibu bapa, pendidik serta ahli masyarakat. Islam juga sangat menghargai apa saja yang dimiliki pada waktu muda. Ketika dalam usia mudalah Rasulullah mengingatkan untuk menggandakan segala kemampuan dan peluang, misalnya mengoptimakan pelbagai kegiatan masa muda sebelum datang masa tua dan anjuran memanfaatkan waktu lapang secara praktis.

Umar bin Khattab sangat menghormati golongan pemuda. Ketika menghadapi masalah-masalah serius termasuk penyebarluasan Islam, pemuda diberi peranan yang cukup strategis. Golongan muda diajak bermusyawarah dalam menentukan kebijakan-kebijakan pemerintahan yang dipimpinnya. Terbukti, kerana hal itu hasilnya amat mengagumkan.

Malah, para pejuang pemuda terdahulu telah memberikan teladan keteguhan dan ketokohan mereka. Para pemuda generasi awal ini telah dicatatkan di dalam sejarah Islam sebagai figur yang sepatutnya dijadikan contoh oleh generasi baru. Mereka menjadi contoh dan dihormati, memeluk Islam dan menjadi da’i sejak usia muda lagi, antaranya Ali bin Abi Thalib (lapan tahun), Zubair bin Awwam (lapan tahun), Arqam bin Abi Arqam (11 tahun), Ja'far bin Abi Thalib (lapan tahun), Shahih Ar-Rumi (19 tahun), Zaid bin Harithah (20 tahun). Sa'ad bin Abi Waqash (17 tahun), Utsman bin Affan (20 tahun), Umar bin Khattab (27 tahun), Abu 'Ubaidah bin Jarrah (27 tahun), Abdurrahman bin Auf (30 tahun), dan Abu Bakar Shiddiq (37 tahun).

Namun, apabila kembali ke dunia realiti masyarakat kini, dan setelah pelbagai usaha dijalankan oleh pelbagai individu dan organisasi, isu berkaitan dengan masa depan generasi baru ini terus menjadi agenda utama negara, agama dan masyarakat. Sebagai ahli masyarakat yang prihatin, kita mesti terus memainkan peranan sewajarnya demi pembinaan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Beberapa peranan seperti berikut adalah dicadangkan dalam memastikan generasi baru ini mampu menerajui agama, negara dan masyarakat dalam mencapai wawasan yang telah ditetapkan. Ia hanya beberapa peranan daripada puluhan peranan yang perlu kita sama-sama mainkan:

1. Mengenali generasi baru kita ini dengan teliti dan mendalam adalah peranan paling asas yang perlu anda lakukan. Sekiranya anda adalah ibu bapa, perubahan anak-anak remaja anda tidak boleh dipandang sepi. Sekiranya ada perkara-perkara yang pelik berlaku, tidak salah untuk ibu bapa bersifat ingin tahu. Tidak salah untuk mendapatkan serba sedikit informasi daripada guru-guru tentang sikap anak remaja anda di sekolah.

Bukan sesuatu yang merugikan jika anda memiliki sedikit maklumat yang penting tentang rakan-rakan karib dan sebaya mereka. Tidak salah juga untuk anda mendapatkan serba sedikit maklumat ke mana dan di mana tempat mereka biasa melepak. Dan yang paling penting, mengamati dan menganalisa sebarang perubahan kecil dan besar yang boleh anda lihat pada diri anak remaja anda dari masa ke semasa, kerana kebanyakan perubahan berlaku sedikit demi sedikit. Jarang sekali ia berlaku secara mendadak. Cuma, jangan terlalu mengongkong sehingga mereka memberontak. Lakukan semua ini secara hikmah.

2. Generasi baru ini adalah tanggungjawab kita bersama. Sebagai ahli masyarakat, kita mesti prihatin tentang anak-anak remaja sahabat, rakan sekerja atau jiran kita. Antara pengaruh paling besar di dalam kehidupan anak-anak remaja ini ialah rakan sebaya, gang atau klik. Kita mesti menjaga tepi kain terhadap perilaku anak-anak remaja di dalam kawasan kejiranan kita. Sama sekali bukan satu pendekatan yang sihat jika kita memegang falsafah “biarlah masing-masing dengan amalan masing-masing sebab kubur pun tidak sama”.

Kita mesti sama-sama menjalankan amar ma’ruf dan nahi mungkar. Sekiranya kita melihat perilaku yang tidak sihat dilakukan oleh generasi harapan kita ini, sesuatu mesti kita lakukan seperti memberikan nasihat sewajarnya atau memaklumkan kepada keluarga atau pihak sekolah, atau andainya kita merasa bimbang dari sudut keselamatan, kita boleh mendapatkan bantuan daripada pihak keselamatan.

3. Kuasa media harus diseimbangkan – media massa memang memiliki peranan yang amat besar di dalam mencorakkan corak atau trend semasa yang diikuti oleh remaja. Samada media elektronik atau cetak, mereka memang boleh membina remaja hari ini menjadi generasi soleh lagi musleh atau generasi rosak dan pincang yang menjadikan keseronokan dan hiburan sebagai anutan. Keghairahan sebahagian media menghidangkan hiburan melampau, drama bersiri yang menggambarkan kehidupan remaja yang mabuk cinta sehingga sanggup melahirkan anak-anak luar nikah atau lari bersama pasangan masing-masing, atau iklan-iklan yang mempamerkan remaja dengan pakaian yang tidak senonoh, video-video klip artis yang berkelakuan lucah sambil menyanyi dan macam-macam lagi pengisian yang menyumbang kepada kerosakan generasi baru ini haruslah dibendung segera.

Kita tidak menghalang hiburan, kerana fitrah manusia memerlukan hiburan. Cuma fungsi utama media ialah saluran komunikasi dan pendidikan yang efektif. Hiburan sepatutnya menjadi fungsi sekunder, bukan primer atau utama. Namun hari ini, praktisnya berlawanan dengan ruh asal, di mana hiburan dan keseronokan seakan-akan menjadi agenda utama sesetengah media.

4. Melihat tube’ dan skirt yang ketat dan singkat yang dijual secara berleluasan, terpandang gambar wanita separuh bogel mempromosikan jam yang berjenama terkenal, atau aksi beberapa remaja lelaki dan wanita melompat menari dan menyanyi tanpa batasan sambil menikmati minuman ringan di dalam commercial break’, atau foto remaja lelaki dan wanita berpelukan sambil memegang telefon berjenama yang terpampang di papan-papan iklan adalah satu lagi cabaran kepada para remaja kini. Sikap sesetengah ahli perniagaan yang hanya ingin mencari untung menjadikan generasi baru ini dewasa sebagai kapitalis muda. Nasihat dan peringatan ibu bapa dan guru-guru tidak boleh melawan kuasa media, jenama dan trend yang dicipta khas untuk remaja.

Islam tidak menghalang idea-dea baru yang kreatif dan inovatif selagi mana ia tidak bercanggah dengan apa yang ditetapkan oleh Al-Quran dan As-sunnah. Namun, bagaimana mereka boleh membesar sebagai generasi yang seimbang kecemerlangannya di dunia dan di akhirat kalau terdapat segelintir manusia yang hanya mementingkan kantung masing-masing tanpa memikirkan halal haram dan kesan buruk terhadap remaja. Terus-terusanlah mereka yang hanya memikirkan keuntungan mencipta pakaian yang ketat dan singkat, mengeluarkan filem yang mengandungi adengan bercium yang dilakonkan oleh para pelakon Islam, mencipta lagu-lagu cinta yang mengkhayalkan dan menghairahkan, dan menggalakkan pergaulan bebas melalui contoh-contoh yang diiklankan.

Kesimpulannya, generasi baru hari ini adalah bakal pemimpin masyarakat dan negara. Tercapai atau tidaknya wawasan negara atau akhirat adalah bergantung di tangan mereka. Setiap individu atau organisasi samada ibu bapa, pendidik, pemimpin negara, pensyarah, artis, ahli perniagaan, ahli politik, persatuan kerajaan atau persatuan bukan kerajaan atau pihak swasta atau parti politik mesti memainkan peranan sewajarnya.

No comments: