Friday, February 8, 2008

MASIH ADA YANG SAYANG - RAUDHATUS SAKINAH TERIMA BANYAK KES REMAJA HAMIL

DOWNLOAD KELIMA BELAS:

Mazlan (bukan nama sebenar) tidak mahu melihat anak saudaranya yang ternoda terus hanyut mengharungi hidup remajanya. Baginya, anak saudaranya perlu dilindungi dan diselamatkan daripada terus terjerumus ke dalam gejala sosial yang lain.


Dengan fikiran yang waras dan terbuka, Mazlan menghantar anak saudaranya ke Raudhatus Sakinah, tempat bimbingan dan perlindungan remaja yang dikelolakan oleh Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM). Raudhatus Sakinah memberi perlindungan kepada remaja puteri berusia 12 hingga 25 tahun. Mereka adalah remaja yang menjadi mangsa gejala sosial seperti penderaan, sumbang mahram, murtad, pergaulan bebas dan hamil luar nikah.


Mazlan dalam keterangannya kepada petugas Raudhatus Sakinah memberitahu bahawa anak saudaranya yang berusia 15 tahun telah hamil lima bulan. Beliau mendakwa anak saudaranya adalah mangsa cinta remaja yang terpedaya dengan godaan lelaki hidung belang.

Lelaki ini dapat mengisi hati yang kekosongan kasih sayang ibu bapa yang sibuk mencari rezeki untuk menampung keperluan hidup. Lelaki itu terus menghilangkan diri sebaik sahaja mengetahui remaja berkenaan hamil. Gadis malang itu pula terkapar-kapar dan baru menyedari betapa pentingnya nilai kesucian dirinya.

Tetapi apa hendak dikata, terlajak perahu boleh diundur, terlajak ‘bermukah’ buruk padahnya. Gadis malang itu tiada jalan lain kecuali memberitahu ibu mengenai nasibnya. Sebaik mengetahui bahawa anaknya mengandung, si ibu amat marah dan menghalaunya keluar dari rumah. Remaja itu hampir-hampir membunuh diri mengenangkan nasib malangnya. Nasibnya baik kerana bapa saudaranya prihatin dengan masalahnya.

Bapa saudaranya menghantar beliau ke pusat bimbingan remaja puteri, Raudhatus Sakinah. Di pusat itu, remaja berkenaan dipulihkan emosinya, dikenalkan dengan mentor atau kaunselor yang prihatin, empati dan simpati untuk memulihkan semangatnya. Dia diberikan bimbingan dan kefahaman agama, diajarkan kemahiran sebagai persediaan masa depan seperti menjahit, memasak dan membuat kraftangan. Dia juga diberi bimbingan pengetahuan teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT).


Anak yang dilahirkan kemudian diambil sebagai anak angkat oleh ibu bapa angkat yang terpilih. Jika dulu banyak kisah anak luar nikah dibuang ke dalam tong sampah, tetapi kini kes sebegini semakin kurang.


Pusat ini menerima banyak permintaan untuk mendapatkan anak angkat daripada pasangan yang memerlukan anak. Mereka mempunyai latar belakang keluarga yang baik, berpelajaran, berkemampuan, empati dan simpati. Ini adalah antara beberapa kes remaja bermasalah yang dirujuk ke pusat ini.

Menurut rekod sehingga tahun 2002, 83% kes kemasukan ke pusat ini adalah wanita hamil di luar nikah yang membabitkan remaja berusia 14 hingga 22 tahun. Daripada jumlah itu, 47% adalah berusia 14 hingga 17 tahun. Perangkaan turut menunjukkan 11% adalah kes pergaulan dan seks bebas membabitkan remaja bawah umur dan masih di bangku sekolah.

Bagaimana mereka boleh terjerumus ke lembah perzinaan dan akhirnya membinasakan diri sendiri? Adakah hanya mereka yang patut dipersalahkan? Sebagaimana biasa, apabila berlaku gejala sosial dan sesuatu yang ‘rosak’ dalam masyarakat, maka banyaklah tangan yang menuding menyalahkan remaja semata-mata.

Remaja sukakan cabaran dan mencuba sesuatu yang baru. Kebanyakan mereka mudah terikut dengan gaya dan trend cara hidup lain daripada yang lain, kecuali remaja berkenaan sejak kecil diasuh dengan adab kesopanan dan batas pergaulan yang sihat. Remaja sekarang bukanlah remaja zaman semalam. Remaja sekarang hidup seiring dengan pembangunan dunia. Perubahan ini membawa bersama perubahan gaya hidup rakyat di setiap lapisan masyarakat.

Apabila negara semakin maju, semakin besar pula cabaran ibu bapa dalam pengurusan dan pendidikan anak-anak. Pakar motivasi dan keibubapaan juga mengakui hakikat ini. Kehidupan kini tidak semudah dulu. Remaja kita semakin kompleks.

Pendidik, pengkaji sains sosial, ahli psikologi dan ibu bapa seharusnya melihat kembali dan menilai semula apakah keutamaan dalam hubungannya dengan remaja. Jika ibu bapa gagal memahami anak mereka, kekecewaan dan penyesalanlah kesudahannya.

Kebanyakan ibu bapa dan masyarakat masih lagi tidak dapat memahami citra dan citarasa remaja. Ibu bapa dan masyarakat masih dibelenggu dengan cara didikan lama. Mereka dibelenggu dengan perangai ibu bapa yang penuh keegoan diri dan bersikap ‘kami lebih tahu, lebih dulu makan garam’. Kadangkala ketegasan ibu bapa dianggap oleh remaja sebagai gila kuasa dan mengongkong mereka. Remaja tidak gemar kongkongan kerana sifat semulajadi ‘suka melawan dan agresif’. Tetapi, jika mereka dapat difahami dan diuruskan dengan baik serta kena caranya, mereka sebenarnya sangat kendiri untuk menyelesaikan masalah mereka.

Penanaman dasar akidah yang benar dan keimanan kukuh dengan contoh baik, seharusnya dibuat sewaktu kecil. Motto ‘kita buat apa yang kita dakyahkan’ bukan ‘dakyahkan apa yang kita buat’ sepatutnya diamalkan. Realiti masa kini menunjukkan sebilangan ibu bapa dan masyarakat suka menasihatkan remaja tentang apa yang mereka tidak lakukan atau menunjuk-nunjuk apa yang kononnya ‘baik’ untuk mereka lakukan.

Jadilah pendengar yang baik. Anggaplah remaja sebagai kawan yang kita hormati, tidak merendah-rendahkan kecerdikan, tidak menjatuhkan air muka dan hargailah pencapaian mereka.

Pada masa sama, nada suara juga seharusnya berbau kemesraan dan kasih sayang. Kita perlu menanam kesabaran dan ketahanan dalam diri jika menghadapi remaja bermasalah. Fahamilah faktor sekeliling yang membuat mereka jadi begitu. Di sinilah letaknya ketrampilan dan kemahiran keibubapaan. Di samping itu, sentiasalah berdoa agar hati mereka lembut dan cintakan kebenaran dan ketakwaan.

4 comments:

rena2010 said...

Salam,

saya nak anak angkat lelaki, kalau boleh nak segera sebab saya dan suami akan berpindah... Dah byk tempat saya cari tapi belum berjaya, ramai lagi yg perlukan anak cuma mereka tak tahu di mana.. Tlg call saya segera 017-2074372

Nur Hakim said...

Assalamualaikum....saya juga etringin sangat nak mengambil anak angkat utk pengetahuan saya dah kahwin hampir 8th tp masih belum dikurnai zuriat, saya dah pun punyai seorang anak angkat lelaki kini usianya hampir 2th, klu blh saya mahu sorg lagi, tolonglah Puan benar2 inginkannya, ni no hp saya 013-8401009 Aznur

maizatul norindah said...

Saya dan suami baru sahaja bernikah 10bulan kami bercadang ingin mengambil anak angkat sebagai zuriat kami sekiranya ada rezeki puan boleh telefon saya 0192453492 kami masih mencari sekiranya ada pihak yang sudi menyerahkan kepada kami.

Rosmarliza Ismail said...

As salam,Saya juga teringin mengambil anak angkat ( LELAKI & Baby ).Sy telah mempunyai 3 ank.2 perempuan & 1 lelaki.Saya berharap jika ada rezeki dgn Izinnya daptlah pihak puan menghubungi kami ( 013-5231955 & 017-7517800 ).