Friday, February 8, 2008

TEORI DAN FAKTA TENTANG REMAJA YANG ANDA MESTI TAHU

DOWNLOAD KETIGA:

i. Siapakah Remaja?

Tokoh/Penulis

Definisi

Marshall & Turner (1974), Logan (1980), Malina (1990), Noor Adiah Mohd Noor (Satu Kajian Kes Tentang Masalah Remaja Sekolah dan Kaitannya Dengan Pencapaian Akademik - 1998)

Remaja selalunya dihubungkan dengan akil baligh, iaitu sudah cukup umur bagi berkahwin apabila timbul rasa cinta.

Mahmood Nazaar Mohamed (Pengantar Psikologi – Satu Pengenalan Asas Kepada Jiwa dan Tingkah Laku Manusia - 1990)

Zaman peralihan sementara yang dilalui oleh setiap individu daripada zaman kanak-kanak kepada zaman dewasa. Ia adalah peringkat yang bermula apabila seseorang itu baligh sehinggalah dia mencapai umur dewasa atau pun apabila dia mampu mengambil tanggungjawab orang dewasa seperti berkahwin berkerja atau menyertai apa-apa fungsi seorang dewasa.

Zakiah Daradjat (Pembinaan Remaja -1997)

Usia remaja yang hampir disepakati oleh kebanyakan ahli psikologi adalah umur antara 13 hingga 21 tahun.

Dr Noraini Ahmad (Kaunseling Remaja -1995)

Masa remaja itu bermulanya ditentukan oleh faktor biologi dan akhirnya ditentukan oleh budaya masyarakat setempat. Perkembangan fizikal remaja boleh dibahagikan kepada dua peringkat iaitu masa awal remaja (umur antara 13 hingga 18 tahun) dan masa akhir remaja (umur antara 18 hingga 24 tahun).

Granville Stanley Hall (1844-1924)

“Bapa Pengajian Saintifik Tentang Remaja”

Remaja ialah tempoh masa daripada umur 12 hingga 23 tahun dan ia dipenuhi dengan gelora dan tekanan (storm and stress). Hall meminjam label storm and stress’ daripada bahasa Jerman, storm and drang’ yang digunakan oleh penulis-penulis Jerman seperti Goethe dan Schiller – yang menulis novel-novel yang penuh dengan idealisme, komitmen kepada matlamat, rasa berahi, perasaan dan revolusi. Lebih lanjut lagi, Hall merasakan terdapat keselarasan antara tema novel penulis-penulis Jerman dengan perkembangan psikologi yang dialami oleh remaja. Pada pandangan Hall, pemikiran remaja, perasaan dan tindakannya sentiasa berbolak-balik antara keangkuhan dan kerendahan hati, kebaikan dan godaan dan kegembiraan dan kesedihan.

Dengan itu, remaja berkemungkinan bertindak baik pada ketika yang lain. Remaja juga pada suatu ketika mungkin hendak bersendirian, tetapi beberapa ketika selepas itu dia berkehendakkan kepada teman-teman dan rakan-rakan.

Santrock, John W (Adolescence 2001)

Pandangan tentang strom and stress adalah konsep yang diketengahkan oleh Hall yang mengatakan zaman remaja adalah zaman kacau-bilau yang penuh dengan konflik dan keadaan hati yang boleh berubah secara tiba-tiba sahaja.

Newman & Newman (1991)

Remaja bukan lagi kanak-kanak tetapi pada masa yag sama bukan pula dewasa. Dengan kata lain, remaja ialah mereka yang sedang mengalami proses pemantapan fizikal, intelek, rohani dan emosi. Umur mereka adalah sekitar 11 hingga 22 tahun (Weitan & Lloyd - 1994 dan Noor Adiah - 1998).

ii. Remaja Dari Sudut Sejarah Silam

Tokoh/Penulis

Definisi

Plato (abad keempat sebelum masihi)

Kebolehan membuat taakulan bukan ciri-ciri kanak-kanak, sebaliknya adalah kebolehan dan keupayaan pada individu yang muncul buat kali pertama pada usia remajanya. Plato dengan itu membuat kesimpulan kanak-kanak sepatutnya menghabiskan masa dengan melakukan aktiviti sukan dan muzik, manakala remaja pula sepatutnya mempelajari bidang Sains dan Matematik.

Aristotle (abad keempat sebelum masihi)

Aspek yang terpenting pada remaja adalah kebolehannya memilih – di mana kehendak kendiri (self-determination) itulah yang menjadi ciri-ciri kematangan seseorang individu.

Rousseau

Berpendapat kebolehan membuat taakulan (reasoning) adalah sesuatu yang berkembang dalam diri individu sewaktu remaja. Beliau menjelaskan bahawa sikap ingin tahu terutamanya, patut digalakkan dalam pendidikan awal remaja iaitu ketika individu berumur 12 hingga 15 tahun. Beliau percaya daripada umur 15 hingga 20 tahun, individu menjadi matang dari segi emosi dan sikap mementingkan diri sendiri mulai bertukar dengan minat individu tersebut kepada orang lain.

iii. Remaja Dari Sudut Undang-Undang

Umur Remaja

Akta-Akta

10 hingga 18 tahun serta belum pernah berkahwin. Pada peringkat umur ini, remaja masih lagi belum mendapat pengiktirafan sebagai orang dewasa dan tidak dilibatkan dalam proses tertentu, misalnya proses pilihanraya dan tertakluk di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.

Bagi menangani pemasalahan remaja di Malaysia, terdapat akta-akta khusus yang diletakkan di bawah kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM) yang mempunyai kaitan dengan remaja.

Akta-akta tersebut antaranya adalah seperti berikut:

  1. Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611)
  2. Akta Mahkamah Juvana 1947 (Akta 90)
  3. Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 (Akta 106)
  4. Akta Pengangkutan 1952 (Akta 257)
  5. Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (Akta 253)
  6. Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta 521)

iv. Remaja Dari Sudut Undang-Undang – Juvana’

Saya sertakan di sini satu artikel yang informatif tentang sistem pengadilan dan mahkamah juvana.

Perlunya kemahiran mendidik anak

Oleh Saipul Adli Mohamad


KONVENSYEN Mengenai Hak Kanak-Kanak, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 20 November 1989 mendefinisikan kanak-kanak sebagai:

“Seseorang yang berumur di bawah 18 tahun, melainkan jika undang-undang negaranya mengiktirafkan umur dewasanya sebelum itu.

Malaysia pula mendefinisikan kanak-kanak sebagai seseorang yang telah mencapai umur tanggungjawab jenayah yang ditetapkan di bawah Seksyen 82 Kanun Keseksaan dan di bawah umur 18 tahun mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.

Malaysia juga antara negara pertama yang telah menggubal akta berkaitan Sistem Pengadilan Juvana, yang kini dikenali sebagai Akta Kanak-Kanak 2001.

Permasalahan juvana wujud sejak 1940-an dan satu isu global. Di negara ini, pendekatan awal dalam menangani isu berkenaan diambil dengan pelaksanaan Akta Mahkamah Juvana 1947 dan ia dianggap tindakan bijak serta dikagumi kerana dilakukan sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi.

Bagaimanapun, membentuk akta dan penguatkuasaan saja tidak cukup untuk membendung isu berkenaan. Statistik yang dikumpul Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Malaysia menunjukkan sepanjang 2000 hingga 2002, terdapat 15,785 kes kanak-kanak didapati bersalah.

Purata sebulan ialah 439 kes dan setiap hari, kira-kira 15 kanak-kanak didapati bersalah oleh Mahkamah Bagi Kanak-Kanak (sebelum ini Mahkamah Juvana). Jumlah itu tidak termasuk mereka yang dituduh di mahkamah dan tidak mengaku salah, kemudian minta dibicarakan dan menang.

Ia juga tidak termasuk kanak-kanak yang diselamatkan daripada gejala moral seperti berkaitan pegawai perhubungan pelanggan (GRO), bohsia, gadis simpanan atau yang ditemui di sarang pelacuran.

Satu fakta yang cukup membimbangkan, semua negeri di Malaysia terbabit dalam kes kenakalan atau salah laku kanak-kanak.

Sepanjang tiga tahun lalu, sebanyak 15,797 kes didaftarkan dan daripada jumlah itu, 61.4 peratus atau 8,448 kes membabitkan harta benda iaitu mencuri dan menyimpan harta benda curi. Rekod JKM menunjukkan kesalahan membabitkan harta benda masih menduduki tangga pertama, iaitu kedudukan tetap sejak beberapa tahun lalu.

Kesalahan kedua tertinggi dilakukan kanak-kanak bersabit dengan manusia iaitu 1,593 atau 10 peratus daripada jumlah kesalahan yang dilakukan sepanjang tiga tahun lalu. Kesalahan itu termasuk bergaduh, mencederakan orang lain, memukul dan membunuh.

Kes berkaitan dadah iaitu menjadi penagih dan mengedar dadah merekodkan kesalahan ketiga tertinggi iaitu sebanyak 1,510 atau 9.56 peratus.

Kesalahan keempat adalah kesalahan lalu lintas di bawah Akta Pengangkutan Jalan. Antaranya kesalahan kecil seperti menunggang motosikal tiada cukai jalan, tiada polisi insurans, tiada lesen memandu, melanggar lampu isyarat, tiada lampu belakang atau lampu isyarat serta nombor plat tertanggal.

Namun, ada lagi kesalahan lebih serius dan bahaya dilakukan oleh pesalah kanak-kanak iaitu memandu secara melulu dan membahayakan (mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan). Kesalahan ini mewajibkan tiga hukuman iaitu dipenjarakan, denda sehingga RM5,000 dan digantung lesen memandu.

Memandu dengan cara melulu dan membahayakan ertinya memandu terlalu laju atau mencelah di antara kenderaan lain tanpa menghiraukan keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain. Seksyen ini juga digunakan untuk pelumba haram dan JKM merekodkan 921 kes (5.83 peratus), sepanjang tiga tahun lalu.

Kesalahan kelima ialah membawa senjata berbahaya iaitu sebanyak 345 kes. Ia termasuk membawa parang, pisau, sabit, buku lima (kerambit), besi tajam dan sebagainya ke tempat yang tidak sepatutnya. Ia juga termasuk membawa bahan letupan sama ada untuk menuba ikan dan sebagainya.

Sebanyak 301 kes direkodkan kerana berjudi dan 247 kes kesalahan mencabul dan merogol. Kesalahan lain termasuk merosakkan harta benda awam, menceroboh kawasan serta menipu.

Sejak penggubalan Akta Mahkamah Juvana 194, JKM diberi tanggungjawab terhadap juvana yang melakukan kesalahan. Demi memastikan kepentingan juvana terbabit sentiasa terbela dan terjamin dalam masyarakat, JKM memberikan pemulihan kepada juvana yang ditempatkan di Pusat Pemulihan Akhlak serta berperanan dalam aspek pencegahan awal.

Selaras dengan keperluan Akta Kanak-Kanak 2001, JKM menubuhkan beberapa institusi pemulihan akhlak iaitu lapan Sekolah Tunas Bakti, Taman Seri Puteri (lapan) dan 11 Asrama Akhlak.

Ketika ini, seramai 1,350 orang bernaung di bawah pengawasan Sekolah Tunas Bakti di seluruh negara dan tempoh tahanan atau pemulihan mereka selama tiga tahun.

Taman Seri Puteri pula ditubuhkan untuk memberi perlindungan dan pemulihan kepada wanita dan gadis di bawah umur 18 tahun yang terdedah kepada bahaya moral. Mereka termasuk mangsa pelacuran, terdedah kepada bahaya moral atau kecenderungan menjadi pelacur serta golongan yang memerlukan perlindungan segera.

Asrama Akhlak pula institusi untuk tahanan sementara dan pemulihan bagi kanak-kanak yang terbabit dengan jenayah serta kanak-kanak yang tidak terkawal. Objektif asrama itu adalah memberi penjagaan, perlindungan dan bimbingan kepada kanak-kanak dalam tahanan sementara, dalam pemindahan ke Sekolah Tunas Bakti dan dalam Perintah Cubaan Akhlak.

Hasil kajian, antara faktor utama mempengaruhi dan mendorong remaja melakukan jenayah adalah ketiadaan kemahiran keibubapaan dan persekitaran. Persekitaran mereka dibesarkan seperti kewujudan pusat permainan video dan kafe internet, memudahkan mereka terdedah dan terjerat dengan anasir kurang sihat hingga akhirnya mempengaruhi perlakuan mereka.

Jelas pasangan yang berkahwin kurang memandang serius soal membesarkan anak dengan sempurna sehingga ramai yang mengabaikan tanggungjawab atau sememangnya jahil mengenai cara memelihara anak supaya beriman dan bertanggungjawab.

Apa yang harus ditekankan kini ialah pernikahan adalah permulaan hidup penuh cabaran dan memerlukan kemahiran dalam membesarkan zuriat.

Baru-baru ini, Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid, mendedahkan sebanyak 9.82 peratus atau 138,331 kes jenayah di negara ini dalam tempoh dua tahun lalu membabitkan golongan remaja.

Menurutnya, sebanyak 300 hingga 600 kes jenayah juvana berlaku setiap tahun dengan kebanyakannya terbabit dalam salah laku seperti mencuri, pecah rumah dan gangsterisme.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya urus tadbir keluarga mengikut lunas Islam dimasukkan dalam kursus perkahwinan bagi mendedahkan pasangan yang akan berkahwin mengenai cara terbaik menguruskan anak dan keluarga.

“Kursus itu juga perlu diberikan kepada pembantu rumah supaya dapat membantu urusan membesarkan anak yang sihat emosi dan fizikalnya. Kemahiran keibubapaan wajar diterapkan kepada pasangan yang baru memperoleh anak bagi menyedarkan ibu bapa bahawa mereka sedang membentuk generasi baru.

“Dengan hanya memberi arahan kepada anak tanpa menjadi contoh teladan, ibu bapa belum memenuhi proses pendidikan yang sebenar. Nilai kita ialah apa yang kita lakukan, bukan apa yang kita katakan.

“Anak-anak akan melakukan apa yang mereka lihat kerana otak kita lebih mengingati perbuatan daripada perkataan. Anak yang melihat bapanya menipu tidak akan belajar menjadi orang yang benar. Anak yang mempunyai bapa yang kasar dan lasak tidak akan membesar menjadi seorang yang mempunyai sifat belas kasihan, dan anak yang melihat ibunya menipu, tidak akan belajar menjadi jujur,” katanya.

v. Akta Perlindungan Wanita Dan Gadis 1973 (Akta 106)

Suatu Akta bagi meminda dan menyatukan undang-undang berhubung dengan perlindungan wanita dan gadis.

Tujuan

Penguatkuasaan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 (APWG) adalah bertujuan untuk memberi perlindungan kepada wanita dan gadis yang terlibat dengan kegiatan maksiat atau terdedah kepada bahaya moral.

Kemudahan

Akta ini memberi jagaan dan perlindungan serta peluang untuk menjalankan pemulihan kepada wanita dan gadis yang telah terdedah kepada bahaya moral, rosak akhlak atau menjadi mangsa pelacuran.

Memberi peluang kepada penjaga yang sah di sisi undang-undang untuk membuat permohonan bagi menahan seseorang perempuan yang berusia di bawah 18 tahun di tempat perlindungan atas alasan tidak dapat menjalankan kawalan yang sepatutnya ke atasnya serta terdedah kepada bahaya akhlak. Memberi peluang kepada seseorang perempuan tanpa mengira peringkat umur mendapatkan perlindungan dengan segera.

Takrifan Wanita dan Gadis Mengikut Akta Ini

Seorang perempuan berusia di bawah 21 tahun.

Perlaksanaan Undang-undang mengikut Akta

Jika Mahkamah Majistret berpuas hati bahawa orang perempuan itu memerlukan perlindungan mengikut Akta maka Mahkamah boleh:

1. Memerintahkan supaya orang perempuan berkenaan ditahan di tempat perlindungan selama suatu tempoh tiga tahun dari tarikh ia ditahan untuk siasatan.

2. Membuat suatu perintah, supaya perempuan itu diletakkan selama suatu tempoh tidak lebih daripada tiga tahun dalam peliharaan seseorang samada seorang saudara atau tidak yang bersetuju dan difikirkan layak.

3. Membuat suatu perintah, menghendaki ibu bapa atau penjaganya mengikut suatu bon selama sesuatu tempoh tertentu tidak lebih dari tiga tahun untuk menjalankan pemeliharaan atau penjagaan yang sepatutnya.

4. Membuat suatu perintah meletakkan orang perempuan itu selama suatu tempoh tertentu tidak lebih daripada tiga tahun di bawah pengawasan seorang Pegawai Kebajikan Masyarakat.

Hukuman Bagi Orang Didapati Bersalah mempergunakan Wanita dan Gadis Untuk Maksud Pelacuran dan Sebagainya

1. Seseorang yang didapati bersalah mempergunakan wanita dan gadis untuk masuk pelacuran dan sebagainya boleh dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau denda tidak lebih daripada sepuluh ribu ringgit atau penjara dan denda kedua-duanya.

2. Seseorang lelaki yang disabitkan atas kesalahan kali kedua atau kali kemudian, boleh dikenakan hukum sebat selain daripada sesuatu tempoh penjara yang dikenakan.

Peranan Pegawai Kebajikan Masyarakat

1

Menerima dan menyiasat aduan.

2

Mengemukakan kes-kes Mahkamah untuk mendapatkan waran tahanan sementara kes-kes yang telah diselamatkan oleh polis/penjaga yang sah (maksimum 30 hari) bagi urusan menjalankan siasatan.

3

Menyediakan laporan sosial bagi kes-kes tempatan/kes-kes luar yang diselamatkan oleh polis di daerah lain.

4

Menjalankan siasatan dengan kuasa sebagai majistret kelas pertama dan menyediakan laporan siasatan tersebut untuk Mahkamah.

5

Menyiasat dan menyediakan laporan kemajuan atau pembebasan dan laporan sosial terhadap penghuni institusi dan keluarga mereka.

6

Mengeratkan perhubungan di antara wanita dan gadis yang sedang menjalankan pemulihan di tempat perlindungan dengan ahli-ahli keluarganya dengan tujuan penyesuaian beliau dengan keluarga dan masyarakat amnya setelah dibebaskan kelak.

7

Melawat, menyelia dan memberi kaunseling kepada wanita dan gadis di bawah:

  1. Seliaan
  2. Seliaan Lanjutan

8

Mengiringi wanita dan gadis dalam jagaan perlindungan dan pemulihan.

9

Mendapatkan pekerjaan untuk wanita dan gadis agar mereka boleh berdikari dan tidak mengulangi kelakuan lama.

No comments: