Friday, February 8, 2008

Harapan Dan Cita-Cita.

Beberapa perkara yang menjadi impian saya sebagai Setiauaha Kehormat WJIM dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Remaja JIM Pusat ialah :

1. Memartabatkan kedudukan wanita muslimah dalam masyarakat – Cita-cita dan hasrat ini memang besar dan kelihatan agak sukar untuk dicapai. Namun sebagai seorang wanita muslimah, saya percaya semua kita mesti memiliki hasrat ini. Ia tidak mustahil untuk dicapai. Sejarah telah membuktikan bahawa peranan wanita amat penting dalam membangunkan masyarakat yang bermaruah dan unggul.

Wanita, melalui peranan sebagai anak, kakak, isteri, ibu, guru, ahli profesional atau pemimpin masyarakat memiliki peranan, tuntutan dan tanggungjawab yang mesti dipenuhi. Pandangan bahawa wanita adalah golongan yang lemah dan boleh diperlakukan sesuka hati oleh golongan lelaki adalah satu pandangan yang salah.

Agak mendukacitakan apabila semakin ramai wanita yang menjadi mangsa penderaan dan kes-kes jenayah manusia yang rakus dan tunduk kepada nafsu syaitan semata-mata. Disamping itu, kerelaan wanita membiarkan diri mereka dieksplotasi oleh sesetengah media dan pihak-pihak yang hanya ingin mengaut untung semata-mata.

Sudah tiba masanya wanita lebih memahami hak mereka sebagai makhluk istimewa yang telah dijadikan oelh Allah swt. Di dalam al-Quran dan al-hadis pun telah termaktub ayat-ayat Allah dan sunnah RasululLah tentang hak dan keistimewaan wanita.

2. Menyantuni generasi masa depan ke arah remaja dan belia yang ”ori bukan fotokopi”. Sepertimana yang kita sedia maklum remaja dan belia atau golongan muda hari ini adalah generasi pemimpin masa depan.

Sebagai aktivis remaja saya mengimpikan sekumpulan remaja dan belia yang memiliki ciri-ciri generasi muda seperti yang digambarkan oleh Al-Quran dalam surah Al-Kahfi yang bermula dari ayat 9 hingga ayat 26, dimana di dalam ayat 13 dan 14 diterjemahkan sebagai :

“Kami ceritakan kisah mereka kepadau (Muhammad) dengan sebenarnya. Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri (dijelaskan yakni berdiri dihadapan Raja Dikyanus/Decius yang zalim dan menyombongkan diri) lalu berkata : Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi, kami sekali-kali menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau menyembah yang lain, bermakna kami memperkatakan sesuatu yang amat jauh dari kebenaran.”

Amat penting untuk generasi hari ini kembali kepada sumber yang asli iaitu, Al-Quran dan As-sunnah. Hanya dengan ini kita mampu generasi masa depan yang cemerlang dan gemilang.

Imam Ghazali telah berpesan, ”Kuat dan jayanya suatu umat adalah kerana akhlaknya, apabila akhlaknya rosak maka binasalah umat itu”.

3. Semakin Ramai Yang Sedar Kepentingan Kerja Kebajikan Dan Khimat Masyaratkat

Saya sentiasa berharap semakin ramai ahli masyarakat yang cenderung untuk melakukan kerja-kerja sukarelawan berbentuk kebajikan dan khidmat masyarakat. Dengan cara ini kita mampu berganding bahu kearah membina ummah yang teguh dan berwawasan.

Hayatilah pesanan Sayidina Ali Abi Talib : “Majulah dengan cara berfikir yang serba mungkin. Tiada yang mustahil. Bersiaplah menghadapi kesulitan dan percayalah tiada kesulitan yang tidak dapat diatasi.

No comments: